Anda di halaman 1dari 4

Dr Shafie Abu Bakar

Sambutan 40 Tahun UKM Mengabai Perkara-Perkara Penting: Satu Kritikan

UKM, 04 Jamadil Akhir = 18 Mei (Selasa)


Sementara itu penulis sebagai salah seorang pelajar sulung UKM dan terlibat di dalam bidang
pengajaran di UKM selama lebih 25 tahun berpeluang sama menghadiri Majlis Sambutan 40
tahun UKM hari ini turut sama menelusuri pameran berhubung dengan penubuhan dan
perkembangan UKM. Apa yang penulis dapati pendekatan dan penampilan imej UKM sebelum
ini dan Sambutan serta Pameran hari ini adalah lebih bias kepada pihak pentadbiran universiti.
Penekanan dibuat dari peringkat tertinggi pentadbiran membawa kepada naib-naib canselor,
dekan-dekan dan pentadbir-pentadbir. Perkara-perkara yang asas dan utama diabaikan. Mengapa
tidak diberi penekanan kepada:

1. Perjuangan rakyat, guru-guru Melayu, pelajar-pelajar, tokoh-tokoh akademik, para


penulis, sasterawan dan persatuan-persatuan yang berjuang bagi mewujudkan UKM.
Mereka bukan setakat menyuarakan pendapat, tetapi mengadakan kempen-kempen,
persidangan, forum dan tunjuk perasaan sehingga tertubuhnya UKM.
2. Tidak ada penekanan dalam pendekatan dan pameran terhadap perjuangan bahasa
Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa pengajaran di UKM. Bahkan kita
berpendapat perjuangan bahasa Melayu ini semakin diabaikan di UKM. Dulu ada Institut
Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu, ada Jabatan Persuratan Melayu dan ada
Jabatan Linguistik sebagai wadah mempertingkatkan bahasa Melayu bukan saja di UKM,
tetapi di dalam negera dan antarabangsa, tetapi institusi-institusi sedemikian telah
ditiadakan. Yang mendukung kursus bahasa, budaya dan sastera diperkecilkan kepada
peringkat program. UKM seharusnya bertanggungjawab dan melaporkan kepada rakyat
tentang usaha UKM meningkatkan bahasa Melayu, khususnya di UKM, kerana ini adalah
harapan utama rakyat terhadap UKM.
3. Tidak diberi tempat kepada kejayaan UKM melahirkan tokoh-tokoh bahasa dan sastera
Melayu yang pada masa lepas begitu ramai dihasilkan oleh UKM, karya-karya mereka
ditonjolkan pada peringkat universiti, negara dan antarabangsa. Mereka diberi
pengiktirafan dan diberi berbagai anugerah, tetapi kini kering dari penghasilan
sedemikian. Kini dengan ketiadaan tokoh-tokoh, UKM sepi dari kegiatan bahasa dan
sastera.
4. UKM tidak memberi penghargaan kepada aspek kemahasiswaan yang mereka
sebenarnya paling utama mewarnai sejarah dan perkembangan universiti. Tidak cukup
sekadar menyebut jumlah mereka sahaja. Mereka sebenarnya menubuhkan Persatuan
Mahasiswa UKM, menubuh Jawatankuasa Kolej Kediaman, mereka menubuhkan
persatuan-persatuan seperti Kelab Sastera UKM, persatuan-persatuan berasaskan disiplin
keilmuan. Bahkan tidak diberi perhatian terhadap pergolokan politik mahasiswa seperti
IPU, Atma, aspirasi, Pro-Mahasiswa dan berbagai-bagai lagi yang mewarnai pergolakan
politik kampus. Banyak buku dan hasil persuratan dan akhbar contoh Gemasiswa, Wadi
Siswa, antologi-antologi dan lain-lain yang dihasilkan oleh persatuan dan mahasiswa
yang sepatutnya diberi kedudukan dan penghargaan.
5. UKM tidak memberi kedudukan yang sewajarnya kepada tenaga-tenaga pengajar UKM,
apa lagi yang cemerlang dari peringkat tertinggi ke peringkat bawah. Mereka seharusnya
ditonjol dan dipamirkan dengan kejayaan dan penghasilan buku dan kajian yang mereka
lakukan. Tenaga pengajar juga mempunyai persatuan-persatuan yang bersifat akademik,
peranan dan sumbangan mereka patut diketengahkan.
6. UKM telah memaklumkan hingga kini telah mengeluarkan sejumlah 130,533 lulusan
UKM pada berbagai peringkat. Patut ditonjolkan bekas pelajar yang berjaya di dalam
berbagai bidang seperti politik, akademik, pentadbiran, usahawan, wartawan, ekonomi
dan berbagai lagi. Mereka ini mengharumkan universiti.
7. Peranan Alumni UKM patut diperkukuh dan ditonjolkan. Selama ini kita perhati pihak
UKM tidak memberi kepercayaan terhadap alumni. Contoh ada majlis yang memberi
penghargaan kepada alumni dikendalikan oleh pihak universiti, mengapa tidak
amanahkan majlis seperti ini kepada alumni ? Mereka lebih matang dan berkelayakan.
Pemilihan pemimpin alumni hendaklah dilakukan secara demokratik oleh kalangan
alumni, bukan ditunjuk dan dipilih dari kalangan yang menyokong kerajaan dan
establishman sahaja.

Kita tidak mahu imej UKM yang bersifat rakyat dan perjuangan diselewengkan. Yang berhak
dan patut diberi tempat diabaikan, sedangkan yang tidak berhak diberi kedudukan. Berlaku
adillah dalam pendekatan dan tindakan. Sejarah tidak pernah dusta di dalam menegakkan
kebenaran.
40 Tahun Usia UKM

Titik sejarah merakam perjalanan


Bermula dengan 192 peneroka
Merentasi ruang keraguan
Dari lokasi sementara
Ke kampus tetapnya di Bangi
Di sini UKM membina identiti.

Empat dekad berlalu


Tempoh mendepani cabaran
Memenuhi misi dan visi
Membina imej dan jati diri
Di tengah khalayak universiti.

Empat dasawarsa usia


Terserlah kematangan
Berjati diri berkeyakinan
Berkreativiti berinovasi
Berjenama berkualiti
Sumbangan pada peradaban
Mengangkat UKM ke mercu
global dan terbilang.

Shafie Abu Bakar,

Bilik Senat, UKM.


04 J. Akhir 1431
18 Mei 2010.

Anda mungkin juga menyukai