Anda di halaman 1dari 5

KARANGAN AMALAN GOTONG-ROYONG

Pendahuluan

Dengan berkat usaha dan kerja keras kami, akhirnya, dapat jugak kami selesaikan tugasan yang telah
diamanahkan oleh Puan Hayathi Talib binti Wahib, walaupun ini tugasan yang pertama dalam
menjalankan tugas seperti ini. Hal ini kerana dapat meningkatkan ilmu pengetahuan kami dengan
lebih teliti tentang amalan gotong-royong dapat mewujudkan-mengeratkan hubungan silaturrahim
di kalangan kaum. Akhir sekali, harap Puan dapat menilai hasil kerja kami dengan ikhlas dan adil.

Definisi Gotong-Royong

Gotong royong dapat diartikan sebagai sesuatu sikap ataupun kegiatan yang dilakukan oleh anggota
masyarakat secara kerjasama dan tolong menolong dalam menyelesaikan pekerjaan mahupun
masalah dengan sukarela. Sikap gotong royong ini telah melekat pada diri masyarakat dan
merupakan kebiasaan turun temurun dari nenek moyang. Sikap gotong royong ini sangat penting
sekali untuk memperlancarkan pembangunan yang berguna bagi kesejahteraan masyarakat. Gotong
royong adalah aktiviti berkumpulan atau bersama-sama secara sukarela. Amalan ini telah
diprakltikan dan di warisi sejak zaman berzaman. Tetapi amalan ini kian dilupakan oleh generasi alaf
baru yang hanyut dengan keseronokan dan keselesaan yang tiada batasan. Berapa peratus golongan
muda yang mengetahui maksud gotong royong dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Aktiviti gotong royong ini sebenarnya dapat menjalinkan dan memperkukuhkan semangat kejiranan.
Kehidupan masyarakat sekarang kebanyakannya bertunjangkan meterialistik dan individualistik
sehingga tidak mempunyai masa untuk mengenali dan berbual-bual dengan jiran masing-masing.
Melalui aktiviti gotong-royong, jiran-jiran tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama akan
bersama-sama menjalankan aktiviti yang sama.

Kebaikan Amalan Gotong-Royong

Kebaikan mengamalkan amalan gotong-royong atau bekerjasama ini ialah amalan ini mewujudkan
semangat positif antara ahli masyarakat terutama untuk memastikan sesuatu tugasan itu mampu
dilaksanakan dengan berkesan. Amalan ini memberikan satu semangat kepada masyarakat bahawa
tugasan itu walau berat pun akan mampu diselesaikan dengan begitu baik sekali kerana semua pihak
menghulurkan bantuan. Keadaan ini menjadikan semua perkara yang dialami oleh masyarakat dapat
diatasi dalam masa yang singkat dan mudah sahaja. Jelaslah, amalan ini memberikan satu suntikan
baru tentang konsep bekerjasama antara masyarakat terutama di kawasan urbanisasi. Aktiviti
gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum amat penting di
kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Contohnya, dengan
mengadakan gotong-royong bagi menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan
masyarakat akan terjalin secara langsung atau secara tidak langsung. Sesungguhnya, dengan
wujudnya perpaduan kaum di kalangan rakyat, negara kita akan terus aman dan maju. Bergotong
royong juga boleh memperindahkan tempat tinggal dan kawasan persekitaran menjadi bersih.
Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar
daripada rupa. Amalan gotong royong juga dapat membersihkan kawasan kediaman daripada
menjadi sarang pelbagai penyakit seperti aedes. Kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan
dan dipupuk sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan
ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan
pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk
menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, amalan ini harus diingati dari
satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan
kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal. Dalam agama islam juga turut
mementingkan kebersihan kerana kebersihan juga adalah salah satu lambang seseorang itu muslim.
KEBERSIHAN ITU SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN sudah menjadi tema kebersihan bagi orang-orang
islam,sama ada disedari ataupun tidak,ia adalah sebuah Hadis baginda Rasulullah s.a.w berkaitan
dengan kebersihan. Oleh itu, sebagai muslim kita sepatutnya menyertai aktiviti gotong-royong ini
supaya alam sekitar sentiasa terpelihara

KEPENTINGAN GOTONG ROYONG

Perpaduan antara masyarakat harus kukuh untuk membolehkan negara pergi lebih jauh dalam
lapangan dunia moden. Lebih rumit, masyarakat di Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang
kaum. Maka, harus ada satu aktiviti yang berguna untuk merapatkan persefahaman antara kaum itu,
dan tidak dapat dinafikan bahawa gotong-royong mampu membentuk masyarakat yang kondusif.

Melalui semangat bantu-membantu dan bekerjasama membersihkan taman permainan, longkang,


mahupun rumah ibadat, akan wujud rasa kekitaan yang tulen. Gotong-royong boleh merapatkan ahli
masyarakat kepada nilai-nilai murni yang suci, yang tidak ditemui di rumah mahupun di pejabat.
Rasa kekitaan,prihatin,dan penyayang sesama individu dalam masyarakat akan membantu hasrat
kerajaan untuk negara mara lebih ke depan dalam era globalisasi ini. Hal ni berdasarkan kesan positif
gotong-royong yang sebenarnya dapat membantu menangani gejala-gejala buruk dalam masyarakat
seperti penagihan dadah dan kecurian. Lebih-lebih lagi gotong-royong melibatkan penglibatan
menyeluruh ahli masyarakat.

Bak kata pepatah Melayu; “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Demikian juga tentang kerja
gotong-royong ini. Semua orang mengetahui bahawa sesuatu kerja yang besar buatannya dan juga
belanjanya akan menjadi enteng dan kecil kosnya jika dilakukan bersama-sama. Itulah prinsip
gotong-royong. Pihak kerajaan telah menetapkan bahawa setiap penempatan warganegara di
Malaysia mempunyai satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK).
Fungsinya untuk menjana kegiatan gotong-royong setempat, khususnya untuk kepentingan umum.
Isu ini jika ditelusuri secara mendalam, banyak wang, masa, dan tenaga telah dijimatkan kerana ahli
masyarakat akan bekerjasama mencapai sesuatu perkara.
Contohnya, jika sesuatu tempat itu menjadi kotor kerana sampah, mereka akan bekerjasama
membersihkannya dan tidak perlu membuang masa dan wang mengupah orang lain membersihkan
atau terpaksa menanggung belanja perubatan kerana sakit akibat kesan jangka panjang daripada
gundukan sampah yang tidak sempurna diuruskan itu. Tidak kiralah sama ada menyumbangkan
derma atau tenaga untuk gotong-royong, kesan gotong-royong kepada masyarakat seluruhnya
cukup bermakna baik untuk pembangunan material masyarakat mahupun pembangunan modal
insan.

KESILAPAN MASA KINI

Setelah puluhan tahun berlalu, gotong-royong kian tandus fungsinya di kalangan masyarakat.
Masyarakat masa kini nampaknya lebih individualistik dan materialistik. Mereka bersikap menyendiri
lalu menganggap bahawa segala apa yang berlaku di sekeliling mereka tidak akan mempengaruhi
perjalanan kehidupan seharian mereka. Mereka mula mencari wang dan pangkat kononnya untuk
memperoleh keselesaan dalam kehidupan.”Ada kerja, ada gaji” seakan-akan menjadi prinsip hidup
masyarakat moden hari ini. Masyarakat moden kini juga kian pudar nilai-nilai kejiranannya. Ramai
juga yang terlalu sibuk dengan urusan pejabat. Tidak mustahil, mereka tidak mengetahui nama
jirannya apatah lagi mengenalinya dengan lebih mendalam.

Ketidakfungsian badan-badan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang
terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan, dikatakan punca gejala ini berlaku. Setiap tahun, kerajaan
memperuntukkan jutaan ringgit untuk pembangunan masyarakat malahan telah terdapat sebuah
kementerian untuk hal ehwal masyarakat iaitu Kemeterian Perpaduan Negara dan Kebajikan
Masyarakat. Malangnya, perbelanjaan itu tidak sampai kepada golongan sasaran. Agensi-agensi ini
kurang mengambil usaha untuk membantu masyarakat dalam perkara yang melibatkan kerjasama
segenap lapisan masyarakat.

Nasib yang sama turut menimpa NGO yang kini berjumlah sekitar 40,000 buah. Mereka dipercayai
hanya bertindak seperti “melepaskan batuk di tangga”. Mereka tidak gemar turun padang, berjumpa
dan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk menolong menyelesaikan masalah mereka.
Malahan, ada juga NGO yang dipergunakan sebagai “batu loncatan” oleh pihak tertentu untuk
meraih kepentingan peribadi.

LANGKAH-LANGKAH WAJAR
Situasi seperti ini sesungguhnya amat memalukan, namun itu tidak bermakna kita harus lepas
tangan untuk mencari penyudah isu-isu yang kian membarah ini. Sejak di bangku sekolah lagi,
amalan murni ini perlu diterapkan agar kerja murni bermasyarakat ini akan terus lestari seiring
dengan kemajuan negara. Anak-anak kecil harus dibiasakan bersama-sama masyarakat luar dari
rumah meraka agar keberadaan mereka dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat keseluruhannya
dalam usaha melaksanakan sesuatu yang berfaedah demi kesejahteraan umum.

Sekolah sebagai rumah kedua para generasi muda wajar menerapkan amalan mulia ini dalam
aktiviti-aktiviti kesekolahan seperti Hari Guru, Sukan Tahunan Sekolah, dan Hari Anugerah
Cemerlang. Para pelajar akan menguruskannya dan para guru hanya bertindak sebagai penasihat.
Melalui kerjasama, setiap insan itu akan lebih matang tentang hubungan sosialnya selain dapat
menyelidiki potensi diri secara yang lebih meyakinkan. Badan-badan kerajaan atau sukarelawan
harus bergerak lebih maju dan efisien dalam usaha memugar semula semangat gotong-royong
kembali.

Ceramah, forum, dan kempen kejiranan yang tersusun dan berkala boleh diusahakan sebagai satu
inisiatif menyebarkan maklumat yang berguna tentang gotong-royong kepada orang ramai. Lebih
elok lagi jika mereka turut bersama-sama masyarakat setempat membantu rancangan mereka.
Contohnya, sebuah pertubuhan sukarela di Seksyen 17 hingga Seksyen 22 Petaling Jaya bekerjasama
dengan warga setempat mengutip plastik, kaca, dan kertas terpakai untuk dikitar semula.
Pencapaian badan sukarela ini patut diberi pujian.

Tidak terkecuali, syarikat-syarikat swasta sewajarnya menunaikan tanggungjawab sosial mereka


dengan membantu masyarakat umum mengatasi masalah mereka. Walaupun sehingga kini peranan
syarikat swasta dalam kesejahteraan masyarakat masih samar-samar, namun fungsi sosial mereka
akan lebih jelas pada masa akan datang berdasarkan situasi masa kini dan isentif kerajaan.

KESAN MENGABAIKAN AMALAN GOTONG ROYONG

>>Kurangnya kesedaran diri dalam jiwa masyarakat yang berbilang kaum.

>>Ikatan silaturrahim dalam kalangan masyarakat dan keluarga akan semakin


terhapus

>>Silaturrahim yang ingin dipupuk akan semakin terhakis dengan perlahan-lahan.

>>Masyarakat akan menjadi tidak selesa dan tidak tenteram jika hidup serta bergaul dengan kaum
yang pelbagai.

KESIMPULAN

Kesimpulannya,aktiviti bergotong royong ini amat penting dan perlu dalam mengeratkan hubungan
silaturrahim antara kaum. Lebih-lebih lagi serperti negara Malaysia yang mempunyai pelbagai jenis
kaum dan etnik yang hidup bersama sejak zaman dahulu kala lagi. Dengan terjalinnya hubungan
silaturrahim yang kukuh ini ,negara kita akan lebih aman, lebih mengambil berat antara satu sama
lain dan perpaduan juga akan menjadi lebih kukuh.

Akhir sekali, jelas dan teranglah matlamat pihak kerajaan yang selama ini mengadakan pelbagai
aktiviti dan program-program bagi memupuk hubungan silaturrahim antara kaum.Terutamanya
program-program bagi pelajar-pelajar yang masih di bangku sekolah lagi.Ini kerana amalan ini perlu
disemai sejak dari awal lagi supaya kesannya akan cepat terlihat suatu hari kelak.Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai