Anda di halaman 1dari 6

Karangan Peribahasa

“Hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing”.


Berdasarkan maksud peribahasa tersebut, huraikan
faedah aktiviti kemasyarakatan terutamanya amalan
bergotong royong dalam kehidupan kita seharian.

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan


nawaitu materialistik dan individualistik marcapada,
kita seyogianya memahami maksud amalan
bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya
yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan
ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang dek
panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan
budaya atau amalan bangsa agar sentiasa releven
dan diingati oleh masyarakat Malaysia,
terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku
sekarang, budaya yang diingini hanyalah
keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu
dipertanggungjawabkan. Fenomena ini
melunturkan semangat memupuk amalan
bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera;
berapa ramaikah yang tidak mengenali maksud
gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah
peratus daripada golongan muda generasi kini
yang telah bergotong-royong untuk membersihkan
sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita
mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan
menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.
Faedah dominan ialah amalan bergotong-
royong dapat memperindah tempat tinggal.
Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan
asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan
menjadi sekadar indah khabar daripada rupa.
Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan
kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain.
Dengan menjalankan amalan bergotong–royong
kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat
tinggal dan memahami jiran dengan lebih
mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak
kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, apabila
kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan
indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan
tempat tinggal kita secara langsung dan akan
sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang
penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam
amalan bergotong-royong dapat menghijaukan
bumi. Persis kata peribahasa, sambil menyelam
minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan
bergotong–royong, kita dapat lebih memahami
kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan
mewujudkan masyarakat yang bekerjasama.
Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh
bercerai kita roboh . Lantaran itu, kita harus
mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya
tidak diketahui lagi; dan janganlah kita lupa
bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada
jalannya.
Selain itu, amalan bergotong-royong
seyogianya menjadi satu daripada aktiviti
kehidupan yang penting sebagai langkah
membersihkan tempat tinggal daripada menjadi
vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat
mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr.
Mahathir, “mencegah lebih baik daripada
mengubati”. Secara peribadi, saya berpendapat
bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti
diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah
dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini
sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat
banyak memperoleh pengalaman dan
pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga
dapat mengetahui betapa senangnya untuk
menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja
yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam
kegiatan bergotong-royong. Biar saya ambil contoh
yang dekat dengan kita, amalan ini perlu
dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan
keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .
Justifikasinya, amalan ini harus menjadi amalan
daripada satu generasi kepada satu generasi.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang


tak kata! Hal ini demikian, kegiatan bergotong-
royong memainkan peranan yang amat penting
sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan
demikian kerana kajian yang dijalankan oleh
Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang
pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun
ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-
lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-
royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat
yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang
berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang
yang berlainan kaum, kita dapat mengenali
kebudayaan kaum-kaum masing- masing
kerana masuk ke kandang kambing mengembek,
masuk ke kandang kerbau menguak. Sebagai
contoh, melaui kegiatan bergotong-royong, kita
akan lebih mempercayai masyarakat sekeliling dan
menghormati sesama diri. Dengan itu, kita akan
hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .

Melalui kegiatan yang afdal ini juga kita dapat


memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini
dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir,
mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan
bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan
bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai
nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti
kata peribahasa sambil menyelam ,minum air.
Jelas beliau semasa merasmikan kempen
bergotong-royong pada peringkat nasional, awal
tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan
mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih
disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini
juga mampu memasyarakatkan
rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Hal ini terbukti benar apabila
rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup
secara harmoni dan harmonis. Memang tidak dapat
dinafikan lagi bahawa amalan kemasyarakatan
seperti bergotong royang merupakan wahana
terpenting ke arah merealisasikan agenda dan
aspirasi nasional.

Faedah terakhir yang tidapat diketepikan sama


sekali ialah aktiviti bergotong-royong
sememangnya dapat menghidupkan semangat
kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat
mengenali jiran secara mendalam. Setelah
terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil untuk
membuka hati kita lalu menegur jiran kita.
Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa
aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua
orang akan merasai semangat bersatu padu .
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan
secara bergotong-royong termasuklah
membersihkan kawasan taman, menyediakan
hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya.
Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan
meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata
pepatah,berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar
rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di
belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana
merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan
orang yang pertama akan membantu apabila kita
menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya?
Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa jiran sepakat membawa
berkat. Lantaran itu, hidupkanlah amalan murni ini
dalam kehidupan kita seharian.

Intihanya , amalan bergotong-royong


membawa faedah yang banyak . Dengan
mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi
sebuah tempat yang lebih indah dengan secara
tidak langsung. Hayatilah kata pepatah, ke bukit
sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu,
amalan ini tidak akan dilupai dan sirna ditelan
zaman. Sesungguhnya, amalan gotong-royong
merupakan tanggungjawab yang penting bagi
setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan
yang optimum. Marilah kita semaikan amalan yang
murni dan amalkannya dalam kehidupan harian
kerana pepatah ada menyebut bahawa yang baik
dijadikan teladan, yang buruk dijadikan
sempadan. Maka, semangat hidup sandar-
menyandar bagai aur dengan tebing dapat
disuburkan semula dalam sanubari
rakyat Malaysia yang rencaman budaya, ras, etnik
dan agama ini!

Anda mungkin juga menyukai