Anda di halaman 1dari 16

Karangan Cemerlang Pelajar tahap SPM - Kebaikan bergotong-royong

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik


marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini
merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah
dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan
bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi
alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan
keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat
memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak
mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada
golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu
tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan
menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.

Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal


merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini,
tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai insan
biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan
menjalankan amalan bergotong–royong kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat
tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak
kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-
rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa
menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan
bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum
air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami
kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama.
Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi
amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana
ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan
yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor
penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr.
Mahathir, “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Secara peribadi, saya berpendapat
bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh
biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam
kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan
tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja
dengan tenaga kerja yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-
royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu
generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang
selesa di kawasan tempat tinggal .

1
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong
memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian
kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang
pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati
lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap
masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum,
kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing- masing kerana masuk ke kandang
kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melaui kegiatan bergotong-
royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama
diri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .

Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini
dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah
menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya
menerap pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam
,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat
nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita
sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu
memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat.

Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan


berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti
ini , kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas
akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan
merasai semangat bersatu padu . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara
bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk
kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan
hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran
ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di
belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita
dan orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak
percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat
membawa berkat".
Intihanya , amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan
semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak
langsung. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini
tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan
tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang
optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian.
Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Soalan :

2
Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan baik
oleh manusia.
Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan sungai
dalam kehidupan. [ 100
markah ]

“Beribu-ribu ekor ikan terapung-apung di permukaan sungai di Pahang telah teruk


dicemar”.

Begitulah tajuk-tajuk berita yang acap kali menghiasi dan menguasai dada akhbar-akhbar
tempatan. Berita dan paparan media umpama ini bukan sahaja menghiasi dan menguasai dada
akhbar-akhbar tempatan, isu ini juga sering menjadi liputan media massa antarabangsa dan
persidangan utama dunia.

Pencemaran yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat
manusia di segenap empat pelosok dunia. Oleh itu, isu pancemaran sungai sudah menjadi
berita basi. Kerajaan pernah mengadakan kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita”
tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada segenap lapisan masyarakat. Walaupun isu ini
hangat diperkatakan dan meningkatnya kes ibarat cendawan tumbuh selepas hujan,
pernahkah terlintas dalam benak anda apakah yang dimaksudkan dengan “pencemaran
sungai”? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi keempat,
“pencemaran sungai” dapat didefinisikan sebagai perbuatan yang mengotorkan sungai yang
jernih sehingga keruh dengan pelbagai bentuk cara. Fenomena yang terjadi ini pasti ada
sebab-sebab yang munasabahnya kerana kalau angin tidak bertiup, masakan pokok
bergoyong? Tahukah anda faktor-faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai?
Segalanya bakal terhurai tirai bicara dibuka.

Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sampah
sarap oleh masyarakat. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh masyarakat yang tinggal
berhampiran dengan sungai. Mereka membuang apa-apa sahaja sampah sarap yang mereka
ada ke dalam sungai. Fenomena ini boleh dikatakan telah menjadi satu lumrah dalam
kehidupan masyarakat. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat telah menganggap sungai
sebagai sebuah tong sampah yang besar.Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh
Jabatan Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang
membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada jauh dari
tempat tinggal mereka. Mereka malas untuk membuang sampah sarap tersebut ke dalam tong
sampah yang sedia ada kerana perlu memakan masa yang banyak dan meletihkan mereka.
Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap
tersebut ke dalam sungai yang jernih itu dan mengakibatkan sungai itu menjadi keruh.
Sampah sarap yang terapung-apung di permukaan sungai itu mempunyai bahan kimia yang
akan menyumbang kepada pencemaran sungai.

3
Selain itu, punca yang seterusnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke
dalam sungai. Sisa toksik dari kilang-kilang tersebut akan mencemarkan sungai dengan
menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada
manusia dan kehidupan akuatik. Hal ini dikatakan demikian kerana jikalau seseorang
meminum air sungai yang pH rendah, kesihatan seseorang itu mungkin terjejas dan yang
memburukkan keadaan lagi ialah mendatangkan kematian yang tidak diingini sama sekali.
Kualiti kehidupan akuatik seperti ikan akan menurun kerana keadaan sungai yang tercemar
tidaklah sesuai untuk ikan-ikan tersebut. Statistik yang sahih lagi tepat yang telah dikeluarkan
oleh Jabatan Air Malaysia pada tahun 2008 jelas menunjukkan kebanyakan kilang yang
membuang sisa toksik ke dalam sungai ialah kilang-kilang besar. Ketika ditanya tentang
sebab mereka mengalirkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah
mereka tidak ada pilihan lain selain mengairkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai tanpa
memikirkan impaknya. Sikap sebegini yang mementingkan diri sendiri ibagai enau di
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis demi kepentingan
bersama.

Faktor yang seterusnya ialah tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hal sebegini telah lama
berlaku di dalam negara kita. Mengapakah hal ini akan berlaku? Sebabnya ialah tong yang
mengisi minyak bagi kapal tersebut telah bocor ataupun pecah. Minyak yang jisimnya kurang
daripada air akan terapung di permukaan air. Masalah ini akan menjejaskan tumbesaran
bagi tumbuh-tumbuhan yang hidup di dalam sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana
minyak tersebut akan menghalang sinaran matahari daripada sampai ke tumbuh-tumbuhan
tersebut. Hal ini secara langsungnya akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuhan tersebut
kerana tumbuhan itu tidak dapat menjalankan proses pemhasilan makanan. Di negara lain
seperti Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku dalam
negara tersebut kerana mereka mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang
baik sekali.

Apakah kepentingan sungai dalam kehidupan seharian kita? Tidak dapat dinafikan bahawa
sungai memang mempunyai kepentingan tertentu dalam kehidupan seharian kita.
Kepentingan utamanya ialah sungai memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan
dan penghubungan. Berbalik kepada sejarah dahulu, pembukaan Terusan Suez telah
memendekkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat. Hal ini akan menjimatkan masa dan
memudahkan perhubungan. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya dapat
dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem
pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, pengangkutan udara
dan juga pengangkutan air. Hal ini dapat meyakinkan rakyat negara kita agar visi kudsi
Wawasan 2020 dapat direalisasikan dan menjadi bumi Malaysia duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan negara gergasi yang lain di persada dunia.

Seterusnya, sungai amat penting kerana membekalkan sumber air dan protein kepada
manusia. Air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai.
Jikalau air sungai telah tercemar, air sungai tersebut perlu dibersihkan melalui proses yang
merumitkan dan memakan kos seperti yang berlaku di negara Jerman. Sungai amatlah

4
penting sebagai habitat hidupan akuatik seperti ikan, ketam, dan udang. Tanpa air sungai,
manalah datangnya ikan, ketam dan udang yang kita makan pada hari ini? Ikan, ketam dan
udang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang
dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, ketam
dan udang adalah amat tinggi. Persis kata jauhari “sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya”. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak
mencemarkan air sungai yang merupakan habitat hidupan akuatik dan merupakan anugerah
istimewa daripada Tuhan yang akan membahagiakan kita pada hari esok agar kita tidak
menyesal pada hari kemudiannya.

Secara kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat “ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni” untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan
seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Janganlah kita membiarkan masalah
ini terus bernanah di dalam negara kita. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran
dan bergelar insan kamil, kita bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan
anugerah Tuhan yang amat bernilai ini. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan
mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena “sudah terhantuk baru tengadah”.
Marilah kita bersama-sama merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan 2020. ‘Cintailah
Sungai Kita’.

(diubah suai daripada karangan asal


milik Vincent Kok Chin Keong,
vick.kok@hotmail.com)

Ramalan SPM 2 - Usaha Mengekalkan Budaya Warisan Rakyat Malaysia

Arus globalisasi telah menyebabkan pelbagai budaya warisan rakyat Malaysia semakin
terhakis.
Anda sebagai rakyat yang cinta akan negara, sarankan sumbangan anda untuk
mengekalkan budaya warisan rakyat Malaysia.[ 100 markah ]
Peribahasa Melayu jelas menyatakan bahawa “tak basah dek hujan, tak lekang dek panas”.
Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya bangsa perlu dipertahankan agar sentiasa releven
dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda-mudi. Yang berlaku
sekarang, kemasukan budaya asing sudah mula menjajahi minda warisan yang dianggap
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Budaya “punk” dan “gortik” umpamanya
menerapkan unsur bawah tanah, yakni alam kematian dan keseronokan yang bertunjangkan
keghairahan melalui penggunaan pil khayal dan dadah. Fenomena ini melunturkan semangat
menghargai warisan bangsa. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang mengenali dan
menghargai pakaian tradisional? Golongan yang muda masih bermain permainan tradisional
mahupun suka akan makanan tradisional? Oleh hal yang demikian, remaja seperti saya
memainkan peranan penting untuk mengembalikan zaman kegemilangan untuk warisan
rakyat Malaysia supaya tinggalan nenek moyang kita sentiasa subur dalam sanubari kita.

5
Sebagai rakyat yang berjiwa patriotisme, darah kita mengalir deras warisan daripada nenek
moyang kita. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia tidak mungkin melupakan asal
usulnya kecuali berpegang pada sikap kacang lupakan kulitnya. Sebagai remaja, saya akan
mengaktifkan diri dalam persatuan atau kelab permainan tradisional. Dengan menyertai
aktiviti dalam kelab tersebut, saya dapat memahami permainan tradisional yang terdapat di
Malaysia. Bak kata peribahasa, “tak kenal maka tak cinta”. Dengan menghadiri perjumpaan
dan belajar bermain permainan seperti congkak dan gasing, kita dapat mengetahui betapa
halusnya dan tingginya tahap pemikiran nenek moyang kita yang mewariskan permainan ini
kepada kita. Oleh hal yang demikian, warisan bangsa ini dapat diturunkan dari satu generasi
kepada satu generasi. Jikalau warisan acara merejam lembing dan wushu dapat diketengahkan
ke arena sukan dunia, bagaimanakah pula dengan wau dan gasing? Saya berpendapat bahawa
di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Kita harus menghargai warisan rakyat Malaysia
sebelum warisan ini diapresiasi oleh orang asing.

Selain itu, anak remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru
setampuk pinang perlulah mengingati warisan nenek moyang seperti pantang larang sekali
gus mempraktikkannya. Hal ini dikatakan demikian kerana kita akan memperoleh banyak
pengetahuan dan pengalaman daripada amalan tersebut. Di samping itu, kita dapat
mengetahui kebaikan yang diperoleh daripada amalan pantang larang tersebut. Antara pantang
larang yang penting ialah anak gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan bernyanyi
di dapur. Selain itu, kita diajar tidak memakai kasut di dalam rumah dan bercakap sewaktu
menikmati hidangan. Jika dilihat dari sudut lain, pantang larang ini sebenarnya
mendisiplinkan diri kita selain dapat menglakkan anak gadis daripada terjerumus dalam
kebejatan sosial. Oleh sebab itu, warisan rakyat Malaysia yang juga amalan nenek moyang
harus dijadikan tunjang kehidupan agar kita berjati diri teguh untuk menangkis segala godaan
anasir yang jahat yang mampu menggadaikan maruah diri dan keluarga. Oleh itu, janganlah
kita menconteng arang di muka ibu bapa kita.

Warisan rakyat Malaysia memang luas. Antara warisan yang perlu dipertahankan ialah
busana. Pakaian tradisional kita melambangkan ketinggian nilai hidup serta kehalusan hasil
tangan masyarakat dahulu kala. Golongan pelajar seperti saya sewajarkan memainkan
peranan yang penting dengan mengetengahkan pakaian tradisional. Pemakaian busana klasik
ini bukan sahaja menutup aurat, malah dapat menonjolkan keistimewaan Malaysia kepada
jagatraya. Remaja seperti saya wajarlah memakai pakaian tradisional untuk menghadiri
majlis rasmi atau majlis tidak rasmi seperti jamuan. Pakaian tradisional seperti baju kurung
dan baju kebaya bukan sahaja menampilkan kecantikan diri seseorang gadis malah kemanisan
gadis yang memelihara adab pemakaian dan adab berjalan apabila berpakaian tradisional.
Mahukah kita melihat dengan bangganya busana tradisional kita dipakai oleh model terkenal
dunia lalu berjalan di pentas fesyen dunia. Kita harus mengorak langkah untuk
merealisasikannya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Apabila kita melangkah masuk ke dapur rumah, nescaya makanan yang disediakan oleh ibu
bapa kita adalah untuk melangsungkan kehidupan. Makanan merupakan keperluan hidup

6
manusia yang terpenting selain tempat tinggal. Oleh hal yang demikian, masyarakat yang
terdahulu banyak membuat kajian dan analisis tentang makanan. Golongan yang lebih banyak
makan garam ini telah mencipta makanan tradisisional yang berwarna warni untuk terus dapat
dinikmati oleh muda-mudi zaman globalisasi ini. Oleh hal yang demikian, kita sepatutnya
menunjukkan penghargaan kepada golongan tua dengan mempelajari cara penyediaann
makanan tradisional. Jika kita membuat anjakan paradigma ini, nenek atau datuk kita pasti
sejuk hati melihat kejayaan kita menyediakan makanan kegemaran mereka seperti petai,
jering, kuih-muih dan sebagainya. Makanan tradisional yang bebas daripada bahan kimia
bukan sahaja lebih sihat, malah dapat memperkukuh silaturahim dan ukhuwah antara
golongan tua dengan yang muda.

Peribahasa “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya” juga jelas menunjukkan kebijaksaan


golongan veteran menyamakan sikap ibu bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain,
golongan muda seperti saya sepatutnya memberikan teladan kepada adik-adik kita supaya
mengenali dan mengamalkan warisan rakyat Malaysia. Pada masa lapang, kita bolehlah
membawa adik kita bermain wau, congkak, mahupun menyertai pertandingan membuat wau.
Aktiviti seperti ini mampu mencambahkan minat anak-anak muda untuk terus berkecimpung
dalam bidang tugas yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Janganlah kita berasa malu
untuk menerima warisan yang sebenarnya milik kita bersama. Walaupun pemikiran orang
terdahulu sanggup mempertahankan prinsip biar mati anak, jangan mati adat; golongan
zaman ini boleh memperbaik keadaan dengan menghargai dan menjadikannya sebagai kayu
pengukur tahap pemerimaan kita terhadap nenek moyang kita dan betapa kita menghormati
dan menyanjungi mereka.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.
Oleh hal yang demikian, arus globalisasi yang mengalir deras dalam kehidupan kita tidak
wajar menghakiskan jati diri kita yang sebenar. Hakisan warisan rakyat Malaysia yang
semakin serius haruslah diselamatkan daripada terus melunturkan sinar dan kekilatan
warisan kita. Warisan kita tanggungjawab kita. Nenek moyang kita yang menciptanya, kita
yang harus mengekalkannya. Jika kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu warisan ini
tenggelam dalam arus perdana ini, ke mana akan kita gapai kehidupan sebenar? Apakah erti
sebenar kehidupan ini jika kita hanya mampu merosakkan yang baik dan membinasakan yang
murni? Ayuh rakyatku, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga demi memastikan
warisan kita terus berdiri teguh di belakang kita sebagai warisan yang tidak boleh dijual beli
oleh bangsa lain. Slogan Satu Malaysia harus dijadikan pegangan demi kehidupan yang lebih
bersatu dan padu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!

7
TEMA KARANGAN SPM 2009 (N)

Rakan guru dan pelajar perlu memberi perhatian terhadap tema karangan yang belum
dikemukakan dalam mana-mana peperiksaan SPM antara tahun 2004 hingga 2009 (J). Antara
tema tersebut ialah :

1. Pelaburan dan tabungan


2. Perpaduan antara kaum di Malaysia
3. Isu alam sekitar di Malaysia- tanah runtuh, hakisan tanah, banjir kilat, penebangan hutan
secara tidak terkawal
4. Isu kemelesetan ekonomi dunia - masalah pengangguran
Atasi dengan cara bekerja sendiri/ berniaga.
5. Memulihara warisan bangsa - bangunan bersejarah,
permainan tradisional
6. Kepentingan mempelajari bahasa asing seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan
sebagainya - persaingan di pasaran pekerjaan.
7. Sistem pengangkutan - kelemahan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya,
kepentingan pengangkutan moden, keperluan lebuh raya.
8. Amalan membaca - kepentingan, cara-cara menggalakkan
9. Kesan alat komunikasi - telefon bimbit, internet
10. Pemanasan global- kerjasama antarabangsa untuk mengatasi masalah tersebut.

8
KESALAHAN PEMBENTUKAN FRASA

Antara kesalahan dari segi frasa yang kerap dikemukakan ialah;


1) Frasa nama (kata nama jamak, kata majmuk, rangkai kata setara dan hukum
DM)
2) Frasa kerja pasif kata ganti diri pertama/kedua dan kata ganti diri ketiga
3) Frasa kerja transitif dan tak transitif
4) Frasa adjektif
5) Frasa sendi

1) Kesalahan Frasa Nama


Kesalahan yang kerap ialah kesalahan penggunaan bentuk jamak ataupun kata
bilangan, kata nama majmuk, rangkai kata setara dan hukum DM.

Kesalahan Contoh:
1. Kesemua peserta-peserta seminar itu dihadiahi cenderamata sebagai kenang-
kenangan.
2. Kami akan membincangkan lain-lain hal dalam mesyuarat tersebut.
3. Alat tulis-alat tulis itu kami beli dari kedai buku berhampiran.
4. Ibu-ibu bapa pelajar sekolah itu diwajibkan hadir ke majlis penyerahan
keputusan peperiksaan anak-anak mereka.
5. Para-para guru diseru oleh Menteri Pendidikan agar sentiasa peka dengan
perkembangan teknologi maklumat.

Ayat sepatutnya:
1. Kesemua peserta (atau: peserta-peserta) seminar itu ......
2. ...... membincangkan hal-hal lain dalam mesyuarat ......
3. Alat-alat tulis (atau: semua alat tulis) itu kami beli .......
4. Para ibu bapa pelajar sekolah itu ......
5. Para guru (atau: guru-guru) diseru .......

Ulasan ringkas:
1. Kata nama yang telah digandakan dan menunjukkan bilangan tidak boleh
menerima kata bilangan lagi. Namun kata nama yang digandakan tetapi tidak
menunjukkan bilangan perlu menerima kata bilangan seperti ‘semua kanak-
kanak’ atau ‘ semua rama-rama’.
2. Perkataan ‘hal’ harus mendahului perkataan ‘lain’ dan digandakan untuk
menunjukkan hal yang banyak, bukannya lain yang banyak.
3. Kata majmuk ‘alat tulis’ tidak boleh digandakan keseluruhannya, memadai

9
digandakan perkataan pertama sahaja atau menerima kata bilangan.
4. Perkataan ‘ibu bapa’ merupakan rangkai kata setara yang boleh diselitkan
perkataan ‘dan’ ataupun ‘atau’ dan tidak boleh digandakan langsung, sebaliknya
hanya menerima kata bilangan untuk menunjukkan jumlah.
5. Sama sebagaimana dalam ayat (1)

2) Kesalahan Frasa Kerja Pasif.


Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah pembentukan frasa kerja pasif kata
ganti diri pertama dan kedua yang tidak tepat atau menyisipkan apa-apa
perkataan sama ada kata bantu atau kata sendi antara pelaku dan kata kerja pasif
diri pertama dan kedua. Selain itu kesalahan pembentukan frasa kerja pasif kata
ganti diri ketiga yang tidak tepat iaitu mengikut bentuk ayat pasif kata ganti
nama diri pertama atau kata ganti nama diri kedua. Selain itu juga terdapat ayat
pasif kata ganti nama diri ketiga yang menerima keterangan selepas kata kerja
yang menggugurkan kata sendi nama ‘oleh’.

Kesalahan Contoh:
1. Bahan-bahan buangan itu mereka kumpulkan sebelum dilupuskan di tapak
pelupusan.
2. Bahan-bahan buangan itu dikumpulkan oleh kami sebelum dilupuskan di tapak
pelupusan.
3. Alat tulis itu kami akan beli pada minggu depan.
4. Alat tulis itu perlu kamu membeli dengan secepat mungkin.
5. Ceramah kerjaya itu akan disampaikan pada hari esok seorang pakar motivasi.

Ayat sepatutnya:
1. ....... dikumpulkan (oleh) mereka .....
2. ....... kami kumpulkan .......
3. ....... akan kami beli .......
4. ....... perlu kamu beli .......
5. ....... disampaikan pada hari esok oleh seorang pakar motivasi.

Ulasan ringkas:
Proses pembentukan ayat pasif perlu difahami sebelum pelajar dapat menguasai
apakah yang dikatakan ayat pasif. Ayat pasif merupakan ayat yang meletakkan
‘benda yang kena’ oleh perbuatan sebagai ‘subjek’ ayat. Dalam ayat 1 hingga 5
semua subjeknya ‘bahan buangan’, ‘alat tulis’ dan ‘ceramah’ merupakan benda
yang kena oleh perbuatan.
1. ‘Mereka’ merupakan kata ganti nama diri ketiga yang perlu mengikut bentuk
pasif yang betul iaitu didahului kata ganti nama diri baru kata kerja berimbuhan
‘di...kan’. Kata hubung ‘oleh’ merupakan unsur pilihan iaitu boleh wujud atau
tidak wujud kerana selepas kata kerja pasif ‘dikumpulkan’ tiada sebarang
keterangan.
2. Ayat (1), (2) dan (3) mengandungi kata ganti nama diri pertama (kami) dan

10
kata ganti nama diri kedua (kamu) yang meletakkan pelaku baru diikuti kata kerja
pasif tanpa imbuhan awalan. Antara pelaku dan kata kerja juga tidak boleh ada
kata bantu (akan, perlu). Kata bantu aspek atau kata bantu ragam perlu sebelum
pelaku.
3. Ayat (5) memerlukan kata hubung ‘oleh’ disebabkan selepas kata kerja pasif
‘disampaikan’ merupakan keterangan masa baru diikuti pelaku (pakar motivasi).
Tanpa kata hubung ‘oleh’ ayat tersebut merupakan ayat tergantung.

3) Kesalahan Frasa Kerja Transitif dan Tak Transitif.


Kesalahan yang kerap dikemukakan merupakan kesalahan pembentukan frasa
dan penggunaan imbuhan yang membentuk frasa kerja.

Kesalahan Contoh:
1. Kami akan menerangkan tentang perkara itu kepada mereka.
2. Aminah tidak mahu memulangkan semula buku itu kepada abangnya.
3. Mereka tidak dapat terima keputusan perlawanan itu lalu menarik diri daripada
pertandingan.
4. Badrul berharap Ahmad akan menghubunginya sebaik sahaja sampai di Pulau
Pinang.
5. Salleh berfikir kejadian itu tidak akan menjejaskan hubungannya dengan Kamil.

Ayat Sepatutnya:
1. .....akan menerangkan perkara itu ......
2. .....tidak mahu memulangkan buku itu semula .........
3. .....tidak dapat menerima keputusan ........
4. .....berharap agar Ahmad akan .........
5. .....berfikir bahawa kejadian itu ........

Ulasan ringkas:
1. Pembentukan frasa kerja transitif dalam ayat (1) dan (2) memerlukan kata
nama atau frasa nama sebagai pelengkap atau penyambut ataupun objek.
Perkataan ‘menerangkan’ dan ‘memulangkan’ merupakan kata kerja transitif yang
harus menerima ‘perkara itu’ dan ‘buku’ sebagai penyambut. Secara ringkas,
selepas kata kerja transitif diikuti ‘apakah’ benda yang kena oleh perbuatan.
2. Ayat 3 memerlukan imbuhan ‘MeN’ (me, men, meN..i, meN..kan, meng, meny,
menge) bagi membentuk frasa kerja transitif.
3. Ayat (4) dan ayat (5) membentuk frasa kerja tak transitif yang memerlukan
kata sendi nama ataupun kata hubung ‘agar’ dan ‘bahawa’ sebagai penyambung
kepada keterangan. Tanpa kata sendi nama ataupun kata hubung ayat tersebut
membentuk kesalahan frasa.

4) Kesalahan Frasa Adjektif.


Kesalahan yang kerap dikemukakan bagi kesalahan frasa adjektif ialah kesalahan
dari segi pembentukannya dan penggunaan kata penguat yang tidak tepat.

11
Kesalahan Contoh:
1. Harris merupakan pelajar yang terpintar sekali di dalam kelasnya.
2. Mereka berpakaian begitu kemas benar untuk ke majlis tersebut.
3. Cikgu Adnin sering menjadi guru yang paling terawal sampai di sekolah pada
setiap hari.
4. Pemuda itu menjadi begitu terkenal sekali setelah memenangi pingat emas di
peringkat Sukan Olimpik.
5. Bangunan itulah yang paling tinggi sekali di Kuala Lumpur.
6. Saya sungguh benci kelakuan buruknya.

Ayat sepatutnya:
1. ........pelajar yang terpintar di dalam kelasnya. (atau) ....... pintar sekali di dalam
kelasnya.
2. ........berpakaian begitu kemas untuk ......(atau) ........berpakaian kemas sekali
untuk .......
3. ........guru yang paling awal sampai.......(atau) ......guru yang terawal
sampai .........
4. ........menjadi begitu terkenal setelah .......(atau) .......menjadi terkenal sekali
setelah......
5. ........yang paling tinggi di Kuala Lumpur. (atau) ........yang tinggi sekali di Kuala
Lumpur.
6. .......sungguh benci akan kelakuan buruknya.

Ulasan ringkas:
Dua kata penguat dalam frasa adjektif tidak boleh digunakan dalam satu adjektif
kecuali KATA PENGUAT BEBAS (sungguh, sangat dan amat). Begitu juga dengan
imbuhan ‘ter’ yang mendukung maksud darjah penghabisan tidak boleh
menerima kata penguat kecuali kata kata penguat bebas. Selain itu kata adjektif
perasaan juga memerlukan kata sendi nama untuk dihubungkan dengan
keterangan (lihat ayat 6).
Contoh dua kata penguat yang BOLEH digunakan dalam frasa adjektif ialah:
1. amat cantik sekali
2. sungguh besar sekali.
3. sangat baik benar.
4. teramat pandai.
5. tersangat masyhur.
· Dua KATA PENGUAT BEBAS (sangat, sungguh dan amat) BOLEH digunakan
bersama atau digabungkan dengan satu lagi penguat ( biasanya kata penguat
‘sekali’) dalam satu adjektif seandainya salah satunya merupakan KATA PENGUAT
BEBAS.

5) Kesalahan Frasa Sendi


Kesalahan yang kerap dikemukakan ialah pengguguran frasa sendi antara kata

12
kerja intransitif dan kata nama. Selain itu penggunaan kata sendi nama yang
tidak tepat juga merupakan kesalahan lazim yang kerap dikemukakan dalam
peperiksaan.

Kesalahan Contoh:
1. Mereka berasal dari sebuah keluarga yang besar.
2. Kami tidak menyangka bahawa mereka akan keluar daripada hutan itu secepat
ini.
3. Mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kebakaran itu akan ditempatkan di
rumah panjang.
4. Dia melemparkan buku tersebut ke Azhar kerana terlalu marah.
5. Mereka memulakan kerja pembersihan itu daripada sudut kanan kawasan itu.

Ayat sepatutnya:
1. .......berasal daripada sebuah keluarga......
2. .......keluar dari hutan .........
3. .......yang terlibat dalam kebakaran..........
4. ........melemparkan buku tersebut kepada Azhar........
5. ........kerja pembersihan itu dari sudut kanan.......

Ulasan ringkas:
Pembentukan frasa sendi perlu mengikut tujuan pembentukannnya yang tepat.
Sesuatu kata sendi yang membentuk frasa sendi tidak boleh digunakan
sewenang-wenangnya walaupun dalam keadaan biasa diterima dan difahami
maksud fras berkenaan. Misalnya kata sendi ‘dari’ perlu digunakan untuk
menunjukkan ARAH, TEMPAT dan MASA. Dalam ayat (3) frasa ‘di dalam
kebakaran’ tidak boleh diterima sebagai betul kerana ‘kebakaran’ tidak
menunjukkan maksud tempat sebaliknya bermaksud keadaan sesuatu atau hal.
Maka kata sendi nama ‘di’ perlu digugurkan dan hanya menggunakan ‘dalam’.
Dalam ayat (4) ‘Azhar’ menunjukkan maksud ‘manusia’ yang perlu menggunakan
kata sendi nama ‘kepada’ bagi membentuk hukum penggunaan kata sendi nama
yang betul. Ayat (5) ‘sudut kanan’ bermaksud tempat, maka kata sendi nama
‘dari’ perlu digunakan untuk membentuk frasa sendi yang betul.

13
LAMBAIAN MALAR HIJAU

Contoh soalan KBKK.

1. Apakah kepentingan hutan ?


- habitat flora dan fauna
- kawasan tadahan hujan
- sumber perubatan tradisional
- kepentingan ekonomi
- imbangan suhu bumi/ ekosistem

2. Apakah cara-cara memulihara hutan ?


- Pendidikan alam sekitar
- Media massa elektronik dan bercetak
- Kempen yang berterusan
- Penanaman semula hutan secara mandatori
- penguatkuasaan undang-undang perhutanan

3. Apakah punca orang asli kurang menitikberatkan pendidikan ?


- Pendidikan tidak menjamin masa depan orang asli
- kemiskinan masyarakat- tidak mampu membiayai kos pendidikan

14
- kurang kesedaran tentang kepentingan pendidikan
- Obligasi/ tanggungjawab untuk membantu keluarga
- Kurang mengamalkan pemakanan seimbang/ berzat - kesan terhadap IQ

4. Apakah alasan Daneng tidak meneruskan pelajarannya ?


- Dia lebih mencintai kehidupan di hutan/ kampung halaman
- Tiada kebebasan bergerak dan bertindak di bandar
- Dia anak harapan keluarga di kampung
- Dia tidak dikaunseling/ diberi penerangan jelas tentang kepentingan
belajar
sehingga ke peringkat yang tinggi.
- Mata pencarian daripada hutan mampu menyara keluarganya.

5. Apakah cara terbaik menasihati pelajar yang tidak bermotivasi


untuk belajar ?
- Mengenal pasti latar belakang keluarganya- sosio ekonomi keluarga.
- Selalu berbual-bual dan berbincang hal-hal yang berfaedah dengan
pelajar tersebut.
- Sediakan kelas tuisyen khas untuk membantu mereka
- Dampingkan mereka dengan seorang Pembimbing Rakan Sebaya yang
berkebolehan
- Sediakan keperluan pembelajaran mereka- buku latihan yang sesuai
- Nasihati dan sentiasa mengingatkan kepentingan pelajaran pada masa
hadapan.

Untuk menghadapi SPM 2009, menurut Cikgu Haji Abdul Samat, antara penekanan yang
harus diberikan pada soalan genre novel sama ada peringkat soalan umum mahupun
aspek KOMSAS termasuklah:

(a) peristiwa yang membawa kejutan kepada pembaca


(b) peristiwa yang menimbulkan tanda tanya kepada pembaca
(c) bahagian cerita yang memperlihatkan peristiwa yang terdahulu semula (imbas
kembali)
(d) peristiwa yang menimbulkan cabaran kepada watak sampingan
(e) peristiwa yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan (seperti tanggungjawab,
keberanian, ketabahan, kebijaksanaan, dan lain-lain lagi)
(f) peristiwa yang menggambarkan kepincangan masyarakat dalam novel
(g) peristiwa yang berkait dengan pelbagai persoalan (seperti persoalan semangat
kerjasama, persoalan tanggungjawab, persoalan kasih sayang, dan sebagainya).
(h) perbandingan watak utama atau kelebihan watak utama
(i) perbandingan watak utama dengan watak sampingan
(j) perbandingan antara watak sampingan

15
(k) perbandingan klimaks dalam novel dan
(l) perbandingan kesudahan cerita dalam novel.

16