Anda di halaman 1dari 2

Sikap masyarakat tak seiring status maju negara

SEJAK kebelakangan ini, kita sering dihamparkan dengan isu pencemaran alam
sekitar. Berita pencemaran yang memberi impak begitu besar terhadap masyarakat
menjadi tajuk utama di dada akhbar.

Bermula dengan tragedi pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada
Mac lalu akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk,
berlaku pula kejadian sesak nafas di kawasan sama tiga bulan kemudian akibat
pencemaran udara.

Puluhan pelajar dan guru di sekolah berdekatan mengalami rasa loya dan muntah,
sehingga menyebabkan berlaku penutupan sekolah bagi mengurangkan risiko dan
kejadian tidak diingini.
Terbaru, Sungai Selangor pula dicemari diesel, dipercayai akibat perbuatan khianat,
sehingga menyebabkan loji rawatan air terpaksa dihenti tugas. Ia menyebabkan
gangguan bekalan air terhadap lebih sejuta akaun pengguna di beberapa kawasan.
Itu kisah yang dilaporkan, yang mendapat liputan meluas dan perhatian masyarakat
umum kerana kesannya yang memudaratkan kesihatan. Namun, bagaimana pula
dengan kes pencemaran yang tidak dilaporkan?

Kes seperti ini kemungkinan berlaku di kawasan terpencil, jauh dari pemerhatian
manusia atau di kawasan yang tidak ramai penduduk. Kemungkinan jika disedari dan
mendatangkan kesan kepada kesihatan, barulah ia disedari dan mendapat
perhatian.

Itu bab pencemaran yang boleh disifatkan berskala besar. Bagaimana pula dengan
pencemaran yang kita lihat setiap hari, yang pada mata kita sudah kelihatan biasa?

Jika menonton perlawanan bola sepak di stadium, anda dapat melihat sampah
bertaburan di kawasan tempat duduk penonton. Jika ada sebarang acara besar di
dataran atau padang, datanglah keesokan harinya dan anda pasti dapat lihat
kawasan itu dipenuhi sampah sarap.

Selain itu, pernahkah ketika anda sedang memandu, kenderaan di hadapan tiba-tiba
membuang sampah melalui tingkap kenderaan? Daripada botol plastik, puntung
rokok, sehingga plastik gula-gula, semuanya dicampak keluar begitu saja.

Situasi begini mencerminkan bagaimana sikap dan ‘layanan’ masyarakat kita


terhadap alam sekitar. Tidak sayang, tidak hargai dan tidak peduli.

Keprihatinan untuk menjaga alam sekitar dan kawasan persekitaran masih di tahap
rendah. Pelbagai dasar dan kempen kesedaran dilaksanakan pihak kerajaan, swasta
dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memupuk kesedaran ini.

Namun, ia nampaknya belum mendatangkan hasil diharapkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sering kali mengingatkan rakyat


supaya mencontohi Jepun, tidak kira dari segi kemajuan, nilai diri dan sikap. Salah
satu sikap rakyat Jepun itu adalah sentiasa mengamalkan kebersihan.

Tidak begitu sukar sebenarnya untuk merealisasikan hasrat menjadi pembersih


seperti rakyat Jepun ini jika setiap orang berusaha memupuk diri membuat
perubahan.
Perubahan bukan hanya terhad kepada usaha untuk mengembangkan potensi diri
kita supaya mendapat pengiktirafan, tetapi juga perubahan sikap ke arah yang
positif, yang mungkin hanya kita yang tahu.

Jika anda makan di restoran makanan segera contohnya, bersihkan meja sendiri
selepas makan. Jangan mengharapkan pekerja yang datang membersihkannya
untuk anda.

Itu adalah budaya di kebanyakan negara Timur seperti Jepun dan Korea Selatan. Ia
mungkin langkah permulaan untuk kita mendisiplinkan diri dengan kebersihan
persekitaran kita.

Selain itu, biasakan diri untuk menyimpan sementara sampah seperti sampah
makanan di dalam kenderaan atau beg, sebelum dibuang kemudian ke dalam tong
sampah.

Perubahan sikap yang kecil seperti ini sebenarnya akan mendorong kita untuk lebih
prihatin terhadap kebersihan alam sekitar dan persekitaran kita.

Kesedaran seperti ini sudah tentu tidak akan menjadikan kita orang yang akan
sengaja mencemarkan alam sekitar.

Malaysia kini sedang menuju ke arah status negara maju dan berpendapatan tinggi.
Status maju itu bagaimanapun, biarlah seiring dengan sikap kita yang sentiasa mahu
membuat perubahan untuk menjadi yang lebih baik.

Anda mungkin juga menyukai