Anda di halaman 1dari 7

KARANGAN: KEMALANGAN JALAN RAYA

Kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini meningkat dari semasa ke semasa. Terdapat pelbagai
jenis kemalangan sama ada yang melibatkan pemandu kereta, lori, penunggang motosikal, atau pejalan
kaki dilaporkan oleh pihak berkuasa. Negara kita juga dikatakan sebagai sebuah negara yang
mempunyai kadar kemalangan jalan raya yang tertinggi. Antara faktor utama peningkatan kes
kemalangan di negara kita berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri.

Contoh kecuaian yang berlaku adalah seperti memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Akibat
hendak segera sampai ke destinasi yang dituju, mereka tidak menghiraukan keadaan mereka yang
keletihan. Akibatnya kenderaan dipandu dalam keadaan kurang tumpuan. Pemandu yang berada dalam
keadaan begini seharusnya berhenti seketika untuk menghilangkan rasa mengantuk dan letih supaya
dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan.

Kesalahan lain yang biasa dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah memandu melebihi had laju yang
ditetapkan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Walaupun banyak papan tanda had laju
diletakkan di sepanjang jalan raya dan kawalan lalu lintas oleh pihak berkuasa, namun mereka masih
berdegil dan memandu sesuka hati tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri dan orang lain. Malah,
ada juga yang berlumba secara haram menggunakan motosikal di atas jalan raya seperti yang biasa
dilakukan oleh golongan remaja.

Untuk mengelakkan kejadian kemalangan yang teruk meningkat, langkah-langkah yang praktikal perlu
diambil oleh semua pihak. Pihak kerajaan, swasta dan rakyat harus bekerjasama demi memastikan
keselamatan semua. Pihak kerajaan daripada pelbagai jabatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, polis
dan Jabatan Kerja Raya harus membuat pemantauan dari semua aspek untuk mendisiplinkan para
pemandu dan menyediakan laluan jalan raya yang selesa demi keselamatan pemandu. Penguatkuasaan
undang-undang, kempen kesedaran, dan pelaksanaan denda atau saman bagi kesalahan jalan raya
adalah antara langkah yang wajar diambil untuk menyedarkan pengguna jalan raya. Sektor swasta juga
memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini dengan menyiarkan iklan yang dapat
memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

Masyarakat harus sedar tentang peranan masing-masing di jalan raya. Mereka tidak harus
mementingkan diri sendiri sebaliknya perlu bertolak ansur dengan pengguna jalan raya yang lain.
Peraturan jalan raya haruslah dipatuhi untuk memastikan keselamatan semua pihak. Jangan gopoh
gapah semasa memandu kerana kecuaian menjadi punca nyawa sendiri dan orang lain yang tidak
bersalah turut terancam. Kenderaan perlulah diperiksa terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

Kesimpulannya, keselamatan di atas jalan raya merupakan tanggungjawab pengguna jalan raya sendiri.
Kecuaian merupakan punca utama kemalangan berlaku dan hal ini tidak harus dibiarkan berterusan
untuk menjamin keselamatan semua pihak. Manusia memang tidak dapat lari daripada melakukan
kesilapan tetapi kesilapan yang dapat menyebabkan nyawa orang lain juga turut melayang haruslah
dielakkan demi kesejahteraan bersama.
KARANGAN: KERACUNAN MAKANAN

Sejak akhir-akhir ini, kes keracunan makanan semakin kerap disiarkan oleh media massa. Keracunan
makanan bukan hanya berlaku di sekolah tetapi juga di rumah apabila makanan dicemari kuman. Oleh itu,
semua pihak perlulah bekerjasama untuk mengatasi masalah keracunan makanan.

Antara usaha mengatasi masalah keracunan makanan adalah mengamalkan kebersihan diri dan makanan
pada setiap masa. Amalan menjaga kebersihan diri dan makanan dapat mengelakkan kita terkena keracunan
makanan. Masak makanan yang hendak dimakan dengan sempurna bagi memastikan tiada kuman di
dalamnya. Sebagai contoh, buah-buahan dan sayur-sayuran perlulah dibasuh sehingga bersih sebelum
dimasak atau dimakan. Jelas bahawa dengan mengamalkan kebersihan pada setiap masa dapat mengelakan
kita terkena keracunan makanan bak kata pepatah kebersihan asas kesihatan.

Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk mengatasi masalah keracunan makanan. Ibu bapa perlu
mengelakkan mengajak anak-anak mereka makan di kedai ataupun warung yang kotor di tepi-tepi jalan.
Hal ini kerana kita tidak pasti tahap kebersihan makanan di situ kerana mungkin terdedah kepada
persekitaran yang tercemar. Sebagai contoh, makanan tersebut mungkin terdedah kepada kepada serangga
dan haiwan pembawa penyakit seperti lipas, lalat dan tikus. Untuk itu, amalkan budaya makan di rumah
bersama-sama keluarga bagi memastikan kebersihan tahap makanan.

Pengusaha makanan mesti memastikan makanan yang disediakan bebas daripada bakteria yang menjadi
punca keracunan makanan. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat terpaksa makan di luar rumah
akibat kesuntukan masa bekerja. Pengusaha makanan perlu membersihkan makanan sebelum dimasak serta
mengelakkan makanan yang dijual sentiasa terdedah. Sebagai contoh, peniaga kedai makanan perlu
memastikan makanan mereka tidak dihinggapi lalat. Jelas terbukti bahawa peranan pengusaha makan amat
penting bagi mengatasi masalah keracunan makanan.

Masyarakat juga perlu memberikan kerjasama dalam usaha mengatasi masalah keracunan makanan bak kata
pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Masyarakat harus mengambil
berat tentang kedai makan yang mengabaikan kebersihan. Masyarakat harus membuat aduan kepada pihak
berkuasa untuk diambil tindakan yang segera jika ada kedai makanan yang kotor. Mereka boleh melaporkan
masalah tersebut di pejabat kesihatan daerah.

Peranan kerajaan penting untuk mengatasi masalah keracunan makanan. Hal ini demikian kerana pihak
kerajaan mempunyai kuasa untuk menilai tahap kebersihan sesebuah kedai. Mereka perlu melakukan
pemeriksaan mengejut secara kerap di semua kedai makan tanpa perlu menunggu laporan yang dibuat.
Peniaga yang bersalah perlu dikenakan hukuman berat seperti dikenakan denda dan digantung lesen
perniagaan. Terbukti bahawa peranan kerajaan amat penting bagi mengatasi masalah keracunan makanan.

Kesimpulannya, isu keracunan makanan dapat diatasi jika semua pihak memainkan peranan yang
sewajarnya. Semua pihak mesti mengutamakan kebersihan dalam makanan dan minuman. Usaha-usaha
mengatasi masalah keracunan makanan perlu dilakukan bersungguh-sungguh agar masalah ini dapat diatasi
sepenuhnya.
KARANGAN: OBESITI

Obesiti atau kegemukan bermaksud berat badan yang melampau dan melebihi kadar berat unggul
(BMI). Obesiti berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak seimbang dan pengambilan makanan
berlemak serta berkolesterol secara berlebihan. Kebanyakan individu mengambil makanan dalam
kuantiti yang banyak berbanding dengan pekerjaan yang dilakukan. Lebihan makanan ini akan
membentuk lemak dan menyebabkan obesiti akhirnya. Sikap individu yang kurang bersenam dan
bersukan menjadi faktor utama lemak dan kolesterol ini tidak dapat disingkirkan dari dalam badan.

Kebanyakan rakyat di negara yang sedang membangun mengalami obesiti yang tinggi berbanding
dengan negara-negara maju. Fenomena ini berlaku mungkin disebabkan oleh kesibukan mereka
mengejar pembangunan dan kebendaan sehingga tiada masa untuk melakukan aktiviti riadah seperti
bersenam dan bersukan. Tambahan pula,pengetahuan tentang kesedaran menjaga kesihatan diri dalam
kalangan rakyat negara membangun masih rendah. Malahan, di negara membangun juga terdapat
lambakan sumber makanan, terutamanya yang berorientasikan makanan segera dan makanan ringan.
Negara ini menjadi pasaran makanan yang menjadi punca kegemukan dan penyebab kepada pelbagai
penyakit yang berbahaya.

Seseorang yang mengalami obesiti mudah diserang pelbagai penyakit yang berbahaya. Pengumpulan
lemak dan kolesterol menyebabkan saluran darah tersumbat dan berlakulah penyakit seperti serangan
jantung, strok dan membawa maut akhirnya. Selain itu, obesiti juga memberikan kesan kepada
pergerakan seseorang seperti mudah letih, pergerakan terbatas dan tidak mampu melakukan kerja-kerja
yang berat atau lasak. Seseorang yang mengalami obesiti dianggap sukar melakukan kerja-kerja dengan
pantas dan keadaan ini menyebabkan mereka sukar untuk mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Di samping itu, personaliti yang tidak menarik menyebabkan seseorang itu hilang keyakinan diri lantas
mengasingkan diri.

Masalah obesiti bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang dewasa, malahan kanak-kanak turut
mengalami tumbesaran yang tidak seimbang dan menyebabkan badan mereka menjadi gemuk.
Pelbagai langkah perlu diambil untuk mengatasi masalah obesiti ini seperti melakukan senaman atau
bersukan. Hal ini demikian kerana bersenam dan bersukan mampu mengatasi pengumpulan lemak di
dalam badan. Selain itu, pemilihan makanan yang sesuai juga perlu diamalkan seperti mengambil
makanan yang kurang lemak dan protein serta banyak memakan buah-buahan dan sayur-sayuran
berbanding dengan daging atau makanan berkolesterol tinggi.

Di samping itu, diet yang seimbang dapat mengelakkan tubuh badan menjadi gemuk. Orang dewasa
mahupun kanak-kanak disarankan tidak mengambil makanan segera atau makanan ringan dengan kerap.
Pengambilan makanan seharian hendaklah mengikut jadual khusus dan jangan sekali-kali makan
mengikut nafsu. Kurangkan tabiat makan pada waktu malam dan amalkan mengambil makanan pada
waktu pagi atau tengah hari. Seseorang yang mempunyai berat badan yang berlebihan hendaklah segera
berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat bagi mengatasi berat badan mereka. Pengambilan
ubat-ubatan untuk menguruskan badan perlu mendapat nasihat pakar perubatan terlebih dahulu kerana
kebanyakan pil pelangsingan badan banyak terdapat di pasaran kini mendatangkan kesan sampingan
yang memudaratkan pengguna.

Konklusinya, setiap individu perlu menjaga kesihatan diri sendiri dengan melakukan senaman dan
mengamalkan pemakanan seimbang. Kata-kata hikmat mencegah sesuatu penyakit itu adalah lebih
baik daripada merawatnya perlulah dijadikan pedoman dan amalan. Saya berharap masalah ini
dapat memberikan kesedaran kepada mereka tentang pentingnya menjaga kesihatan diri.
KARANGAN: BAHAYA ROKOK

Amalan merokok merupakan perbuatan sia-sia yang boleh mendatangkan penyakit berbahaya seperti
kanser paru-paru, strok, serangan jantung dan darah tinggi. Di dalam rokok terkandung pelbagai bahan
kimia yang beracun dan berbahaya seperti tar, narkotin, arsenik, aerosol dan sebagainya. Bahan-bahan
kimia ini akan memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan dan menimbulkan ketagihan kepada
perokok. Ketagihan menyebabkan pergantungan seseorang kepada rokok secara berterusan. Badan
mereka akan menggigil dan kurang selesa jika tidak merokok. Perokok biasanya mengalami kesukaran
untuk berhenti merokok walaupun mereka mempunyai niat untuk berhenti terus daripada mengamalkan
tabiat yang buruk ini. Kebanyakan penyakit kronik dihidapi oleh seseorang yang mempunyai latar
belakang pernah menghisap rokok berbanding dengan mereka yang tidak merokok.

Ketagihan merokok bukan sahaja berlaku di kalangan lelaki, malahan terdapat segelintir golongan
wanita yang merokok. Ibu-ibu mengandung yang merokok akan memberikan kesan buruk kepada bayi
dalam kandungan mereka. Bayi tersebut kemungkinan akan mengalami kecacatan sama ada dari fizikal
atau mental. Malahan, terdapat juga beberapa kes bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan dan bayi mati
dalam kandungan.

Penyakit berbahaya ini bukan sahaja dihidapi oleh perokok aktif, tetapi juga perokok pasif.perokok
aktif merujuk kepada orang yang menghisap rokok, manakala perokok pasif ialah orang yang tidak
merokok tetapi menyedut asap rokok yang dihembuskan oleh perokok aktif. Ibu bapa yang merokok
di dalam rumah akan menyebabkan asap rokok tersebut disedut oleh anak-anak secara tidak disedarinya.
Tindakan ibu atau bapa ini menyumbang ke arah anak-anak yang tidak sihat. Tabiat yang buruk ini
perlu dihindari agar sebuah keluarga yang sejahtera dan bebas daripada sebarang penyakit dapat
diwujudkan.

Sikap suka merokok juga menyumbang kepada gejala sosial yang serius. Biasanya remaja yang
merokok akan berkumpul dan melepak di pusat beli-belah sambil melakukan aktiviti yang tidak
berfaedah. Perbuatan merokok juga menjadi faktor remaja terlibat dalam kegiatan jenayah seperti ragut
dan mencuri untuk mendapatkan wang bagi membeli rokok.

Tabiat merokok merupakan amalan yang merugikan dan membazirkan wang. Orang yang merokok akan
memperlihatkan personaliti yang tidak menarik kerana nafas dan badan mereka berbau busuk. Gigi dan
kuku akan berwarna kuning serta dikelilingi oleh rakan-rakan yang kurang bijak. Memandangkan tabiat
merokok ini mendatangkan keburukan, kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha untuk mengatasi
masalah ini seperti mengadakan kempen antimerokok, menaikkan harga rokok dan mengharamkan
sebarang iklan rokok disiarkan di media massa. Namun, bilangan perokok yang semakin bertambah
membuktikan bahawa sambutan rakyat terhadap kempen kerajaan ini dingin dan masih pada tahap
yang rendah.

Oleh hal yang demikian, para perokok hendaklah berhenti daripada tabiat ini. Mereka perlu menanamkan
azam yang kuat untuk berhenti merokok walaupun sukar. Kesungguhan dan keazaman yang kuat sahaja
yang mampu mengatasi masalah ketagihan merokok. Saya mengesyorkan para pelajar yang merokok
agar mendapatkan nasihat doktor dan mengurangkan tabiat merokok hari demi sehari sehingga tabiat
yang buruk ini dapat dikikis.
KARANGAN: MASALAH DISIPLIN DI SEKOLAH

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan murid di sekolah untuk mematuhi peraturan yang
telah ditetapkan. Salah laku yang sering dilakukan oleh murid termasuklah ponteng, melawan guru,
vandalisme, kekemasan diri, buli dan sebagainya. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk
mengurangkan masalah tersebut.

Ibu bapa perlu bijak dalam membahagikan masa dengan anak-anak. Hal ini demikian, antara faktor
yang mendorong kepada masalah disiplin ini ialah berpunca daripada ibu bapa yang sibuk mencari
nafkah sehinggakan anak-anak terabai. Kita perlu sedar, institusi keluarga merupakan faktor penting
dalam pembentukan disiplin di sekolah kerana di sinilah asas disiplin diperoleh sebelum murid
menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Kasih sayang yang mereka peroleh akan menimbulkan
kesedaran dan tanggungjawab sebagai anak dan murid.

Selain itu, media massa turut memainkan peranan untuk mengatasi masalah disiplin murid. Media
massa, khususnya televisyen tidak seharusnya terlalu mementingkan keuntungan, sebaliknya harus
berperanan membentuk, mendidik dan menanamkan kesedaran kepada penonton. Program-program
yang bercirikan keganasan dan seks patut dihentikan terus penayangannya kerana dikhuatiri akan
mendatangkan kesan negatif kepada murid-murid.

Seterusnya, kita perlulah bijak memilih rakan sebaya. Murid sering menganggap rakan sebaya mereka
sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding
ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang positif akan
memastikan disiplin murid itu terjamin.

Di samping itu, pihak pentadbir sekolah juga boleh menangani masalah disiplin murid dengan cara
memperketat pelaksanaan peraturan sekolah, mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang
terlibat supaya menjadi teladan kepada murid yang lain. Guru-guru juga perlu diberi kuasa sepenuhnya
untuk melaksanakan peraturan sekolah selain tanggungjawab yang dipikul oleh guru disiplin. Persatuan
ibu bapa dan Guru (PIBG) juga mesti memainkan peranan untuk menangani masalah disiplin
murid-murid.

Kesimpulannya, salah laku dan kemerosotan disiplin murid akan berterusan sekiranya pihak yang
terlibat enggan berganding bahu untuk mengorak langkah bersama-sama menangani masalah ini. Jika
dibiarkan berterusan , keadaan yang sedia ada boleh mengugat perkembangan murid dan sistem
pendidikan di negara ini. Keperihatinan masyarakat bermaksud memberi kerjasama sepenuhnya
kepada pihak berkuasa, khususnya pihak polis dalam menyampaikan maklumat serta membantu
melaksanakan peraturan sedia ada.
KARANGAN: PENYALAHGUNAAN DADAH

Pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara merupakan kata-kata yang sering dilaung
laungkan. Malangnya remaja yang dianggap tunggak negara ini dilanda masalah penyalahgunaan
dadah.Walaupun telah banyak usaha-usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak, namun usaha ini tidak
langsung memberikan kesedaran terhadap para remaja tentang bahayanya penyalahgunaan dadah. Pada
pendapat anda,apakah faktor yang menyebabkan berlakunya gejala ini? Jelaskan langkah-langkah
untuk mengatasinya.

Salah satu faktor yang menyebabkan remaja terjebak dalam penyalahgunaan dadah ialah ibu bapa yang
lalai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Ibu bapa yang sibuk bekerja sehingga lupa ntuk
memberikan kasih sayang sepenuhnya terhadap anak-anak yang kini meningkat remaja. Mereka hanya
mementingkan materialistik semata-mata sehingga tiada langsung masa untuk diluangkan mengetahui
aktiviti semasa mereka. Ini akan menyebabkan mereka rasa dipinggirkan atau tidak disayangi lalu
melakukan sesuatu yang tidak diduga. Pepatah melayu ada menyebut melentur buluh biar dari
rebungnya, ibu bapa seharusnya membimbing atau membentuk anak mereka dari sejak kecil dengan
memberikan didikan yang sempurna.

Selain itu juga, kurangnya didikan agama oleh ibu bapa menjadi salah satu faktor remaja ini terjebak
dengan dadah. Kurangnya kekuatan iman menyebabkan mereka ini mudah terpengaruh atau tergoda
dengan godaan syaitan. Ibu bapa seharusnya memberikan mereka didikan agama yang sempurna dan
cukup untuk mereka membawa diri masing-masing. Seperti mana yang kita lihat di televisyen dan
dengar dari corong-corong radio bahawa banyaknya remaja kita terlibat dalam penyalahgunaan dadah
adalah akibat pegangan agama yang rapuh. Tambahan pula, remaja sekarang sudah berani mencuba
sesuatu yang belum pernah dirasainya lagi.

Justeru, kurangnya pemerhatian ibu bapa terhadap anak-anak dan membiarkan mereka ini bebas di
dunia luar sana menyebabkan mereka rasa tidak lagi disayangi. Oleh itu,mereka lebih banyak
meluangkan masa bersama kawan-kawan dan mereka inilah yang akan mempengaruhi remaja itu
melakukan sesuatu diluar jangkaan. Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di ibu kota lebih mudah
terjebak dengan aktiviti sosial secara tidak langsung mereka juga akan lebih mudah terpengaruh
dengan dadah.

Tambahan pula, bagi anak-anak yang meningkat remaja atau sudah pun bergelar remaja, mereka ini
mempunyai satu sikap iaitu sikap yang ingin cuba sesuatu perkara. Ia menyebabkan mereka juga
terjebak dalam salah laku ini. Jadi, seterusnya disini, pihak-pihak kerajaan mahupun pihak yang
bertanggungjawab seharusnya menganggap ini satu kes yang amat serius. Mereka sepatutnya
mengadakan kempen bahayanya penyalahgunaan dadah kepada remaja-remaja ini. Pihak polis
seharusnya membanteras kes ini dengan secepat mungkin sebelum ia merebak seperti api dalam
belukar. Dengan mengadakan kempen-kempen ataupun ceramah dan motivasi, mungkin
penyalahgunaan dadah ini dapat dikurangkan secara tidak langsung.

Konklusinya, dengan kerjasama pelbagai pihak, kes penyalahgunaan dadah ini mungkin akan
berkurangan. Jadi disini, ibu bapa, pihak kerajaan, pihak polis dan mana-mana pihak yang
bertanggungjawab untuk menangani masalah ini, supaya suatu hari nanti negara kita akan bersih
daripada najis dadah yang membawa padah ini. Dengan itu slogan Pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara dapat diteruskan dan diterapkan kepada semua remaja di negara ini.

Anda mungkin juga menyukai