Anda di halaman 1dari 15

Hari Doa Wanita Sedunia

5 Mac, 2022
Paket Sumber Khutbah

Berdoa di Akhir Zaman


Ditulis oleh Cindy Tutsch, DMin

Disediakan oleh Jabatan Pelayanan Wanita


Konferens Sedunia Seventh-day Adventists
12501 Old Columbia Pike, Silver Spring MD 20904-6600 USA
womensministries@gc.adventist.org
adventist.women.org
GENERAL CONFERENCE
WORLD HEADQUARTERS

WOMEN’S MINISTRIES

14 Disember, 2021

Para saudari yang dikasihi,

Salam kegembiraan. Kita hidup dalam masa yang tidak menentu, kesunyian dan ketakutan. Ke manakah
kita berpaling? Bagaimanakah kita mendapat kedamaian dan ketenangan dalam masa yang tidak
menentu ini? Paket Hari Doa kita akan menjawab soalan-soalan ini dan menunjukkan kita ke satu tempat
di mana ketenangan dan kedamaian boleh ditemui. Tempat itu adalah bersendirian dengan Tuhan dalam
doa.

Saudari-saudariku, kita mesti berhubung dengan sumber kekuatan, ketenangan dan kedamaian kita dan
hubungan itu datang apabila kita berdoa. Jika anda berasa kosong, kesepian, ketakutan, putus asa, maka
hentikan apa sahaja yang anda lakukan sekarang dan carilah Bapa dalam doa. Beritahu Dia perasaan
anda, mintalah Dia untuk memenuhi anda dengan kekuatan, keberanian, kegembiraan, dan ketenangan
fikiran. Dia akan menjawab. Dia selalu melakukannya.

Ingatlah kata-kata ini yang terdapat dalam 1 Tawarikh 16:10, 11 (LAI)


“Bermegahlah di dalam nama-Nya yang kudus,
biarlah bersukahati orang-orang yang mencari TUHAN!
Carilah TUHAN dan kekuatan-Nya,
carilah wajah-Nya selalu!”

Kegembiraan kepada anda

Heather-Dawn Small
Pengarah Pelayanan Wanita

12501 Old Columbia Pike, Silver Spring MD 20904-6600 USA • Office (301) 680 6608 • women.adventist.org
Kandungan
Mengenai Penulis .................................................................................................................. 4
Fokus Doa ............................................................................................................................. 5
Panduan Ibadah.................................................................................................................... 7
Khutbah ................................................................................................................................ 8
Mengenai Penulis
Cindy Tutsch, DMin., telah bekerja dan bersara sebagai Pengarah Bersekutu di Ellen G. White Estate
Konferens Sedunia Gereja Advent di Silver Spring, Maryland, Amerika Syarikat. Kedudukannya
termasuklah mempromosikan semangat dan pemahaman mengenai Ellen White silang generasi. Beliau
telah menjadi penceramah utama di universiti, konvokesyen, Minggu Doa, mesyuarat perkhemahan, dan
acara latihan pendeta-guru di 61 buah negara—mewakili 13 bahagian pentadbiran Gereja Advent.

Dr. Tutsch memperolehi ijazah sarjana muda (BA) dalam bidang keagamaan daripada Universiti
Andrews, ijazah (MA) dalam pastoral ministry daripada Universiti Indiana Wesleyan, dan Doctor in
Ministry dengan penekanan dalam kepimpinan daripada Seventh-day Adventist Theological Seminary,
Universiti Andrews. Dia telah terlibat dalam pelayanan belia, pengajaran, dan penginjilan selama 45
tahun, sebagai pendeta, guru Alkitab, penyelaras lay ministries, hos rancangan televisyen, pemimpin
penginjil literatur, dan pengarah belia konferens. Dia memulakan Youth Challenge di Amerika Utara,
sebuah jangkauan penginjilan yang menggunakan remaja untuk mengajar pelajaran Alkitab dan Seminar
Wahyu, melakukan projek perkhidmatan untuk masyarakat, dan mengedarkan bahan bacaan injil dari
pintu ke pintu. Beliau adalah penerima beberapa anugerah untuk kecemerlangan dalam pelayanan dan
pengajaran, dan merupakan alumni Universiti Andrews yang dihormati.

Beliau merupakan penulis empat buah buku, termasuklah Ellen White on Leadership: Guidance for those
who influence others, dan banyak lagi penerbitan Advent.

Dia dan suaminya, Ulrich, sangat menyukai aktiviti luaran dengan anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Terdapat banyak lagi di www.cindytutsch.com


Fokus Doa

Sebagai wanita kita dipanggil untuk berdoa, dan Ellen G. White, seorang wanita pendoa memberikan
kita nasihat:

 “Berdoalah, ya, berdoalah sebagaimana anda tidak pernah berdoa sebelumnya, agar anda tidak tertipu
oleh tipu muslihat Syaitan, agar anda tidak diserahkan kepada roh yang cuai, lalai, dan menjalankan
tugas keagamaan untuk menenangkan hati nuranimu sendiri” (Testimonies for the Church 2:144).
 “Idea bahawa doa tidak penting adalah salah satu daripada alat Syaitan untuk merosakkan jiwa-jiwa.
Berdoa adalah persekutuan dengan Tuhan, Mata air kebijaksanaan, Sumber kekuatan, dan kedamaian
dan kegembiraan” (Child Guidance, 518).
 “Kita tidak tahu betapa kuatnya konflik kita pada masa akan datang. Syaitan hidup, dan aktif, dan setiap
hari kita perlu berseru dengan sungguh-sungguh kepada Tuhan untuk pertolongan dan kekuatan untuk
menentang dia” (Testimonies for the Church 1:340).

Fokus doa kita pada tahun ini adalah “Berdoa di Akhir Zaman.” (petikan dicadangkan, penekanan di
berikan)

 “Jika orang Kristian bergaul bersama, bercakap dengan satu sama lain tentang kasih Tuhan dan
kebenaran penebusan yang berharga, hati mereka sendiri akan disegarkan dan mereka akan
menyegarkan satu sama lain. Kita mungkin belajar setiap hari tentang Bapa syurgawi kita, memperoleh
pengalaman baru tentang rahmat-Nya; maka kita berhasrat untuk bercakap mengenai kasih-Nya; dan
apabila kita melakukan ini, hati kita akan terharu dan terdorong. Jika kita berfikir dan bercakap lebih
banyak tentang Yesus, dan kurangkan mengenai diri sendiri, kita seharusnya banyak merasakan
kehadiran-Nya” (Steps to Christ, 101).
 “Sehingga konflik itu berakhir, akan ada orang yang meninggalkan Tuhan. Syaitan akan membentuk
keadaan-keadaan sehinggakan jika kita tidak dipelihara oleh kuasa ilahi, ia akan hampir melemahkan
benteng jiwa. Kita perlu bertanya pada setiap langkah, “Adakah ini jalan Tuhan?” Selagi hayat masih ada,
akan ada keperluan untuk menjaga kasih sayang dan keinginan dengan tujuan yang kukuh. Tidak ada
satu momen pun kita boleh selamat kecuali kita bergantung kepada Tuhan, kehidupan yang
tersembunyi dengan Kristus. Berjaga-jaga dan berdoa adalah pelindung kesucian” (Prophets and Kings,
83).
 “Doa yang sungguh-sungguh dari segelintir orang yang beriman tidak akan sia-sia. Apabila Tuhan datang
sebagai pembela, Dia juga akan datang sebagai pelindung kepada semua orang yang memelihara iman
dalam kemurniannya dan menjaga diri mereka dengan tidak dicemari oleh dunia. Pada masa inilah
Tuhan telah berjanji untuk membela umat pilihan-Nya yang siang dan malam berseru kepada-Nya,
walaupun Dia bersabar terhadap mereka” (Testimonies for the Church 5: 209,210).
 “Jika Syaitan melihat bahawa dia dalam bahaya kehilangan satu jiwa, dia akan berusaha sedaya
upaya untuk mempertahankan jiwa itu. Dan apabila individu itu menyedari terhadap bahayanya, dan
dengan kesusahan dan keterujaan, memandang Yesus untuk mendapatkan kekuatan, Syaitan takut
bahawa dia akan kehilangan seorang tawanan, dan dia memanggil bala malaikatnya sebagai sokongan
untuk memagari jiwa yang malang itu, dan membentuk dinding kegelapan di sekelilingnya, supaya
cahaya syurga tidak sampai kepadanya. Tetapi jika orang yang berada dalam bahaya bertahan, dan
dalam ketidakberdayaannya menyerahkan dirinya kepada jasa darah Kristus, Juruselamat kita
mendengarkan doa iman yang sungguh-sungguh, dan mengirimkan bantuan dari malaikat-malaikat
yang perkasa untuk membebaskan dia. Syaitan tidak dapat bertahan terhadap rayuan kepada
saingannya yang kuat, kerana dia takut dan gementar akan kekuatan dan keagungan-Nya. Dengan doa
yang khusyuk, seluruh tentera Syaitan gementar. Dia terus memanggil legion malaikat jahat untuk
mencapai tujuannya. Dan apabila malaikat-malaikat, yang berkuasa, berpakaian dengan persenjataan
syurga, datang untuk membantu jiwa yang diburu dan lemah, Syaitan dan bala tenteranya berundur,
dengan mengetahui bahawa mereka telah kalah dalam pertempuran. Subjek Syaitan adalah setia, aktif,
dan bersatu dengan satu objektif. Dan walaupun mereka benci dan berperang antara satu sama lain,
namun mereka memperbaiki setiap peluang untuk memajukan kepentingan bersama mereka. Tetapi
Panglima besar di syurga dan bumi telah mengehadkan kuasa Syaitan” (Testimonies for the Church 1:345,
346).

Apakah yang kita perlukan untuk akhir zaman? Berdasarkan kepada keperluan Yosua, doa kita harus
membawa kita untuk:

 Berharap untuk mendengar daripada Tuhan.


 Mengaku dosa kita.
 Ingat bagaimana Tuhan telah memimpin kita di masa lalu.
 Memohon keberanian dan iman.
 Mewujudkan hubungan dengan Tuhan.
 Memohon pengalaman Roh Kudus.
 Menjangkakan kuasa Hujan Akhir
 Bersedia untuk berperang dengan musuh.
 Mendengar perintah Tuhan.
 Mengenali suara Tuhan.

Sentiasa ingat 6 isu yang memberikan kesan kepada wanita di seluruh dunia dan pastikan mereka
sentiasa berdoa.

1. Penderaan
2. Kemiskinan
3. Kesihatan
4. Buta huruf
5. Beban kerja
6. Peluang kepimpinan
Panduan Ibadah

Panggilan Ibadah
Ayat Alkitab: Yosua 1:7 - 9
7
Hendaklah engkau yakin dan berani, dan pastikanlah supaya engkau mentaati seluruh Taurat yang
diberikan oleh hamba-Ku, Musa kepadamu. Jangan lalaikan mana-mana bahagian Taurat itu, supaya
engkau berjaya ke mana pun engkau pergi. 8 Pastikanlah supaya Kitab Taurat sentiasa dibacakan kepada
umat-Ku semasa kamu beribadat. Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau
mentaati segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya.
9
Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Jangan takut ataupun tawar hati,
kerana Aku, TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.” (Alkitab Berita Baik -
ABB)

Lagu Pembuka: #710, Seventh-day Adventist Hymnal


“Bow Down Your Ear, O Lord, Hear Me”
From Psalm 86, NKJV

atau lain-lain lagu yang bersesuaian yang terdapat dalam LPMI


Doa Kependetaan:
Cerita Kanak-kanak:
Kami mengesyorkan anda memilih seseorang untuk mengongsikan pengalaman peribadi mengenai doa
yang dijawab.

Panggilan persembahan:
Musik atau Lagu Istimewa:
Khutbah: “Berdoa di Akhir Zaman”
Lagu penutup: #485, Seventh-day Adventist Hymnal
“I Must Tell Jesus”
atau lain-lain lagu yang bersesuaian yang terdapat dalam LPMI
Khutbah
Berdoa di Akhir Zaman
Oleh Cindy Tutsch, D.Min.

Yosua 5:13-15, (ABB)

13
Ketika Yosua berada dekat kota Yerikho, tiba-tiba dia nampak seorang lelaki dengan pedang terhunus,
berdiri di hadapannya. Yosua menghampiri dia dan bertanya, “Adakah kamu ini salah seorang askar kami
atau seorang musuh?”
14
Orang itu menjawab, “Aku bukan askar kamu dan bukan musuh. Aku panglima tentera TUHAN.” Yosua
sujud menyembah dan berkata, “Saya hamba tuan. Apakah perintah tuan kepada saya?”
15
Panglima tentera TUHAN berkata, “Tanggalkanlah kasutmu, kerana tempat engkau berdiri itu suci.”
Lalu Yosua menanggalkan kasutnya.

Bayangkanlah ketegangannya! Musa telah meninggal dunia, Yosua kini menjadi pemimpin baru Israel,
dan akhirnya tibalah masanya untuk memasuki Kanaan. Tetapi air Sungai Jordan mengalir dengan deras
di antara tebing timur, di mana di seberangnya terdapat padang gurun gersang yang luas, dan bukit-
bukit subur Kanaan di sebelah barat. Bagaimanakah Yosua dapat membawa lebih sejuta orang untuk
menyeberangi Sungai Jordan yang besar dalam keadaannya yang banjir?

NARATIF ALKITABIAH DITULIS UNTUK MENJADI AMARAN BAGI KITA

Paulus memberitahu kita bahawa naratif alkitabiah “ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita
sekarang hidup pada akhir zaman” (1 Korintus 10:11, ABB). Dalam erti kata lain, cerita-cerita Alkitab
boleh memberikan asas-asas yang boleh membantu kita kekal kuat menghadapi hari-hari yang sangat
huru-hara dalam kehidupan kita sekarang! Apakah asas-asas yang boleh kita pelajari mengenai doa di
akhir zaman daripada naratif ini?

 Yosua mengingati apa yang Tuhan telah lakukan di masa lalu, apabila air Laut Merah terbelah.
 Yosua mengharapkan untuk mendengar daripada Tuhan sebelum dia mengatur
penyeberangan itu.
 Yosua memimpin jemaah yang besar dalam pengakuan dan penyerahan sebagai persediaan
untuk memasuki tanah perjanjian.
 Yosua tidak tergesa-gesa untuk berperang bersama-sama orang-orangnya. Dia menunggu
Tuhan menunjukkan rancangan-Nya untuk menakluki Kanaan.

Berdoa seperti Yosua akan menyediakan kita untuk masa kesukaran apabila Yesus membawa kita
menyeberangi laut yang dalam dan memimpin kita ke tanah perjanjian yang dijanjikan di syurga. Tetapi
sebelum kita mengupas empat pelajaran dalam naratif yang penting kepada kita di akhir zaman, mari
kita semak semula cerita ini dengan cepat. Soalannya adalah, Bagaimanakah Yosua akan memimpin
umat Tuhan untuk menyeberangi sungai dalam keadaannya yang banjir? Kita akan mengetahui bahawa
dalam krisis ini Yosua berdoa, orang-orang berdoa, dan para imam pun mematuhinya.
Yosua berdoa—Mengharapkan untuk Mendengar daripada Tuhan

Apakah yang Yosua lakukan dalam krisis ini kerana tidak mempunyai pengangkutan untuk
menyeberangi sungai itu? Tentu saja! Dia mencari Tuhan dalam doa. Tetapi bagi Yosua, doa bukanlah
bacaan pasif tentang keinginannya atau keperluannya untuk bimbingan, walaupun ianya begitu penting.
Yosua terbiasa memasuki hadirat Tuhan dalam doa sebagai pendengar yang aktif, mengharapkan
sepenuhnya untuk mendengar daripada Tuhan. Dan pada saat Yosua sangat memerlukan, Tuhan
mengucapkan kata-kata dorongan: “Hendaklah kamu bersiap sedia, engkau dan semua umat Israel.
Seberangilah Sungai Yordan dan pergilah ke tanah yang hendak Aku berikan kepada mereka . . . .
Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Jangan takut ataupun tawar hati,
kerana Aku, TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.” (Yosua 1:2, 9, ABB).

Apabila Yosua berdoa, dia tidak tahu bagaimana Tuhan akan membuat laluan menyeberangi Sungai
Jordan menjadi kenyataan. Namun begitu, dengan iman bahawa Tuhan akan memberikan jalan kepada
umat-Nya, Yosua mula bersiap untuk penyeberangan dengan menghantar dua orang pengintip dari
perkhemahan Israel ke kota Yerikho, kubu kuat tentera Kanaan.

Orang-orang Israel Berdoa—Mengakui dan Menyerah

Setelah mendapat laporan positif daripada pengintip-pengintip setia itu, Yosua mengarahkan orang
ramai untuk menyucikan diri mereka sebagai persediaan untuk mukjizat yang Tuhan akan lakukan untuk
mereka (Yosua 3:5). Dengan kata lain, persediaan mereka adalah dengan mengakui dosa mereka kepada
satu sama lain dan kepada Tuhan. Mereka harus mencari wajah Tuhan secara individu dan sebagai satu
badan, tidak membenarkan apa-apa yang menghalangi mereka dan Tuhan yang mereka percaya akan
melakukan perkara-perkara besar nanti.

Betapa berharganya masa persekutuan, doa, pengakuan, dan nyanyian yang orang-orang Israel telah
miliki! Pertemuan doa pada petang itu pastinya dicirikan dengan air mata pertaubatan dan air mata
kegembiraan ketika orang-orang itu memohon dan mendapat keampunan daripada orang-orang yang
mereka telah sakiti dan daripada Tuhan.

Kehidupan Yosua yang aktif berdoa dan bersekutu dengan Tuhan menyemarakkan iman umat Tuhan
yang penat! Mereka menyatakan kesanggupan mereka untuk mematuhi perintah Tuhan: “Kami akan
melakukan segala yang tuan katakan, dan pergi ke mana sahaja tuan suruh kami pergi” (Yosua 1:16 ABB).

Para Imam Mematuhi—Bertindak atas Iman

Pada waktu pagi, diarahkan oleh Tuhan, Yosua mengarahkan imam-imam untuk membawa tabut
perjanjian ke tebing sungai yang deras dan berjalan ke dalam sungai. Orang ramai menyaksikannya.

Apabila kaki semua imam pembawa tabut menyentuh air, air sungai di satu sisi tiba-tiba berhenti
mengalir. Apabila arus mengalir ke arah seberang, dasar sungai menjadi kosong dan kering. Para imam
maju dengan sungguh-sungguh ke tengah-tengah dasar sungai dan tetap berdiri di sana dengan tabut
perjanjian, sehingga semua umat yang melebihi sejuta orang berjalan ke sebelah barat. Yosua
mengarahkan dua belas orang yang mewakili suku-suku untuk mengambil sebuah batu seorang dari
tengah-tengah sungai. Kemudian dia memerintahkan imam-imam yang membawa tabut perjanjian
untuk keluar dari sungai. Sebaik sahaja mereka sampai ke tebing sungai, apabila tabut perjanjian selamat
menyeberangi sungai, air sungai mengalir lagi dan banjir seperti semula. “Selama umat Israel berjalan di
atas dasar sungai yang kering, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian berdiri di tengah-tengah
dasar sungai yang kering itu, sehingga semua umat tiba di seberang” (Yosua 3:17, ABB).

PELAJARAN SATU: DOA MEMBUKA HATI KEPADA TUHAN

Doa bukanlah satu kewajipan, satu ritual, atau satu tugas bagi Yosua. Yesus adalah sahabatnya, dan
Yosua kerap bercakap dengan-Nya, membuka hatinya kepada Tuhan untuk bimbingan, perubahan, dan
persekutuan. Apakah yang boleh kita pelajari daripada kisah Yosua? Dia memilih untuk bersandar kepada
arahan Tuhan. Dia percaya kepada janji (Yosua 1:7) bahawa melalui kekuatan Tuhan dia boleh menjadi
kuat, berani, dan setia mematuhi hukum-Nya. Dia bertindak menurut Firman Tuhan. Kemudian Yosua
belajar melalui peristiwa dengan orang Gibeon yang menipu Yosua bahawa pengabaian mencari
kehendak Tuhan dalam setiap keadaan boleh membawa akibat yang dahsyat dan sangat besar (Yosua
9).

Sesungguhnya satu contoh untuk kita! Alkitab penuh dengan janji-janji Tuhan! Dia rindu untuk kita
memegang janji-janji ini, percaya bahawa ia ditujukan kepada kita dan juga kepada pendengar asal, dan
benar-benar mengharapkan perkara besar daripada Tuhan. Kita boleh berdoa untuk janji-janji daripada
Tuhan yang penuh belas kasihan. Tetapi sebaliknya, kita bergelut sendirian dengan dilema kita. Apabila
kita pada akhirnya memberikan beban itu kepada Yesus, mengakui dengan iman bahawa Dia maha
berkuasa, maha mengetahui, maha penyayang, kita boleh menang ke atas perasaan kita yang gelap. Ia
adalah kemenangan besar apabila kita pada akhirnya membenarkan Yesus menjadi Tuhan, bukan sahaja
dalam kehidupan kita, tetapi juga dalam pemikiran kita!

Kita Berdoa—Mewujudkan Hubungan dengan Tuhan

Komunikasi adalah penting dalam sebarang hubungan dan, terutamanya, dalam hubungan dengan
Tuhan di syurga dan di bumi. Ya, Dia tahu apa yang kita fikirkan, tetapi, Dia rindu untuk kita memberitahu
Dia secara langsung apa yang kita rasakan.

Apabila orang Israel dikalahkan di Ai, Yosua sujud dengan mukanya ke tanah di hadapan Tuhan.
Perhatikan respon Tuhan: “Mengapakah engkau sujud demikian?” (Yosua 7:10, ABB). Dengan
mengajukan soalan itu, Tuhan menjemput Yosua untuk berkongsi dengan Dia apa yang ada dalam
hatinya. Jemputan untuk berkongsi ini tidak memerlukan kita menyampaikan khutbah kepada Tuhan
sebagai respon kita! Kadang-kadang hati yang insaf hanya mampu mengatakan “Selamatkan saya,
Tuhan, atau saya binasa!” Doa yang seperti itu akan selalu didengar oleh Tuhan Yesus yang berjanji, “Aku
tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku” (Yohanes 6:37, ABB).

Pernahkah anda merasa sedih apabila kurangnya komunikasi dalam perhubungan yang rapat? Ia boleh
menyakitkan. Oleh kerana lelaki dan wanita diciptakan menurut gambar Tuhan (Kejadian 1:27), Tuhan
juga turut merasa sakit hati apabila kita lalai untuk bercakap dengan-Nya, apabila kita enggan untuk
mempercayai janji-Nya untuk kita. Adakah anda tahu bahawa Tuhan meminta kita untuk
membincangkan segala-galanya tentang kehidupan kita dengan-Nya? Pemazmur menggambarkannya
seperti ini:
Hatiku mengikuti firman-Mu:, “Carilah wajah-Ku”;
maka wajah-Mu kucari, ya TUHAN.
—Mazmur 27:8, Lembaga Alkitab Indonesia (LAI)

Fikirkan Yesus sebagai penghubung antara anda dan Tuhan Bapa. Bayangkan Yesus memeluk anda
dengan satu lengan, sementara dia memegang takhta Tuhan Yang Abadi dengan lengan yang satu lagi.
Sesungguhnya satu gambaran yang intim dan menghiburkan tentang Kristus yang bertindak balas
semasa kita berdoa.

Anda mungkin tidak serta-merta dapat melihat bukti luaran tentang jawapan kepada doa anda, tetapi
anda boleh yakin bahawa apa yang dijanjikan Tuhan akan direalisasikan ketika anda amat
memerlukannya. Apabila anda datang kepada-Nya dalam doa, Dia boleh menyelesaikan cabaran anda
pada masa yang tepat dan dengan cara yang betul untuk kebaikan anda. Dia boleh dipercayai! Mereka
yang benar-benar berkomunikasi dengan Tuhan dan mendengar suara-Nya, tidak akan tergesa-gesa
dengan doa rutin mereka sementara tangan mereka yang satu lagi di tombol pintu kehidupan mereka
yang sibuk. Mereka mengambil masa untuk berada di hadapan-Nya!

Dunia kita hari ini menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Satu lagu lama yang
bermula dengan, “Jika kita memerlukan Tuhan sebelum ini, kita pasti memerlukan Dia sekarang!”
Keluarga kita, gereja kita, dan negara kita sedang menghadapi polarisasi dan perpecahan. Peristiwa yang
menyakitkan mempengaruhi cara kita melayani, cara kita bersaksi, dan menginjil. Namun, apabila kita
mencari Tuhan, Dia akan membantu kita mengetahui apa yang perlu dilakukan semasa bencana,
kesusahan dan tuntutan berkonflik. Bagaimana kita “dengarkan apa yang dikatakan oleh Roh Allah
kepada jemaah?” (Wahyu 2:29, ABB). Kita mencari kehendak-Nya dan kebijaksanaan melalui doa, tidak
tergesa-gesa, tidak terganggu, dan doa yang tetap.

Yesus Berdoa—Bersedia untuk Melawan Musuh

Injil Markus menerangkan mengenai tabiat berdoa Yesus: “Esok paginya, ketika masih subuh, Yesus
bangun lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke luar kota, ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa”
(Markus 1:35, ABB). Bukan sahaja Yesus bangun pada waktu awal pagi untuk berdoa, kadang-kadang Dia
berdoa sepanjang malam. Lukas memberitahu kita: “Pada masa itu Yesus naik ke sebuah bukit untuk
berdoa. Di situ Dia berdoa kepada Allah semalam-malaman” (Lukas 6:12, ABB). Keutamaan harian-Nya
adalah, sebelum menghadapi ujian dan cabaran, Yesus berdoa. Jika Yesus mendapati bahawa perlu
untuk berdoa secara berterusan sebagai persediaan untuk melawan Syaitan dan godaan untuk berbuat
dosa, bayangkan bagaimana kita perlu lebih berdoa, orang yang berdosa, pemarah, cemburu, dan
manusia yang sukar diramalkan!

Pernahkah anda kadang-kadang terfikir apakah yang anda akan katakan kepada Tuhan apabila anda
berdoa sepanjang malam? Seorang penulis kebaktian yang terkenal menjawab soalan itu dengan cara
ini:

Katakanlah keinginan anda, kegembiraan anda, kesedihan anda, kebimbangan anda, dan
ketakutan anda di hadapan Tuhan. Anda tidak akan membebankan Dia; anda tidak akan
meletihkan Dia. . . Hati-Nya yang kasih tersentuh dengan kesedihan kita dan juga oleh lafaz kita
tentangnya. Bawalah kepada-Nya segala yang membingungkan fikiran. Tiada yang terlalu besar
untuk ditanggung oleh-Nya, kerana Dia memegang dunia. Dia berkuasa ke atas seluruh alam
semesta. Tidak ada apa-apa yang berkaitan dengan kedamaian kita adalah terlalu kecil untuk Dia
perhatikan. Tidak ada bab dalam pengalaman kita yang terlalu gelap untuk dibaca-Nya; tidak
ada kebingungan yang terlalu sukar untuk dirungkai-Nya. Tiada malapetaka yang boleh
menimpa anak-anak-Nya, tiada kebimbangan yang menganggu jiwa, tiada sorakan
kegembiraan, tiada doa yang tulus terluput dari bibir, yang tidak diperhatikan oleh Bapa
Syurgawi, atau yang tidak menarik perhatian-Nya dengan segera. ‘Dia menyembuhkan orang
yang hancur hati, dan membalut luka mereka.’ Mazmur 147:3. Hubungan antara Tuhan dan
setiap jiwa adalah jelas dan penuh seolah-olah tidak ada jiwa lain di bumi ini yang berkongsi
penjagaan-Nya, bukan jiwa lain di mana Dia memberikan Anak-Nya yang dikasihi (Ellen G.
White, Steps to Christ, ms 100).

Paulus mengingatkan kita: “Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah
kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap
syukur. Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati
dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.” (Filipi 4:6 ,7, ABB).

PELAJARAN DUA: DOA MEMBAWA KEPADA PENGAKUAN DAN PENYERAHAN

Sebahagian daripada persediaan untuk pencurahan kuasa Tuhan di Yerikho dan Roh Tuhan semasa
Pentakosta termasuklah pertaubatan, pengakuan, dan penyerahan—kepada Tuhan dan kepada sesama
sendiri. Kita juga boleh merayu kepada Tuhan agar Dia Sendiri akan menyelidiki hati kita dan
menunjukkan kepada kita jika ada sesuatu yang menyinggung perasaan Tuhan berlegar-legar dalam
pemikiran dan tindakan kita.

Selidikilah aku ya Allah, dan selamilah hatiku;


ujilah aku dan ketahuilah fikiranku.
Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku,
dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi.
—Mazmur 139:23, 24, ABB

Kita boleh berdoa sebagai perantara untuk keluarga kita, gereja kita, kerajaan kita. Tetapi mungkin
permintaan paling penting yang kita boleh kemukakan kepada Tuhan adalah bukan sahaja pemberian
berkat tetapi merayu untuk pencurahan istimewa Roh Kudus, yang dikenali sebagai Hujan Akhir, untuk
zaman kita. Hosea menerangkan ini:

Marilah berusaha untuk mengenal TUHAN.


Dia pasti akan datang kepada kita
seperti fajar menyinsing, dan
seperti hujan yang membasahi bumi
pada musim bunga.
—Hosea 6:3, ABB

Hosea menggunakan contoh agraria hujan untuk menggambarkan pekerjaan Roh Kudus di akhir zaman.
Seperti embun dan hujan menyebabkan benih petani bercambah, begitu juga hujan menyediakan
tanaman untuk dituai.
Berdoa—Memohon untuk Pengalaman dengan Roh Kudus

Walaupun tiada gunanya pengalaman Kristian kita apabila kita boleh mengetepikan bantuan Roh Tuhan,
penyempurnaan pekerjaaan rahmat Tuhan dalam jiwa kita hanya bergantung sepenuhnya kepada
pencurahan istimewa Roh Kudus. Roh Kuduslah yang akan sepenuhnya mengubah kita menjadi serupa
dengan tabiat Kristus.

Kita boleh membandingkan hujan awal dengan pencurahan Roh Kudus pada zaman rasul-rasul semasa
Pentakosa (Kisah Rasul-Rasul 2). Apabila para lelaki dan wanita berdoa bersama-sama di satu tempat,
sesuatu dari langit yang menyerupai lidah api menghinggapi setiap orang di situ dan membolehkan
mereka mula memberitakan dan mengajar Khabar Baik itu dengan hebat hingga ke pelosok dunia pada
waktu itu.

Tetapi peristiwa itu didahului dengan banyak doa! Sejurus selepas Kristus naik ke syurga, Lukas
mencatatkan bahawa para murid “sentiasa di Rumah Tuhan dan memuji Allah” (Lukas 24:53, ABB). Lima
puluh hari selepas kenaikan ke syurga itu, Lukas berkata bahawa: “Semua orang yang percaya kepada
Kristus berkumpul di satu tempat” (Kisah Rasul-Rasul 2:1, ABB).

Kita Berdoa—Menjangkakan Kuasa Hujan Akhir

Hari ini, semasa kita tidak sabar-sabar menjangkakan kedatangan Roh dalam kuasa Hujan Akhir, kita
juga akan mengenepikan semua perbezaan, semua keinginan untuk “tempat pertama” dan berdoa
bersama-sama dalam kesatuan dan kasih. Kemudian Hujan Akhir Roh Kudus akan melakukan untuk kita
seperti yang Dia lakukan semasa Pentakosta, dan lebih banyak lagi! Kelimpahan rahmat rohani yang
istimewa ini akan menyediakan kita untuk menghadapi keadaan yang mencabar di masa hadapan.
Bukan sahaja hujan akhir akan memperkasakan kesaksian kita, tetapi ia juga akan menguatkan kita
untuk masa yang lebih sukar yang menanti umat Tuhan sebelum Yesus datang.

PELAJARAN TIGA: DOA MEMBINA INGATAN

Selepas orang Israel menyeberangi Sungai Jordan, dengan para imam masih tinggal di tenggah-tengah
sungai yang terbelah itu, jemaah orang yang besar menyaksikan dua belas orang lelaki, seorang dari
setiap suku Israel, dan setiap lelaki membawa sebuah batu besar dari dasar sungai ke tebing sungai.

Dua belas buah batu didirikan sebagai monumen untuk memperingati mukjizat Tuhan yang
menakjubkan. Ibubapa dikehendaki untuk mengulangi kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka kisah
menakjubkan tentang pekerjaan besar yang Tuhan lakukan untuk umat-Nya. Setiap kali cerita itu
diulangi, keimanan anak-anak dan ibubapa akan dikuatkan.

“Jika anak-anak-mu bertanya di kemudian hari: Apakah artinya batu-batu ini bagi kamu?
maka haruslah kamu katakan kepada mereka: Bahwa air sungai Yordan terputus di depan
tabut perjanjian TUHAN; ketika tabut itu menyeberangi sungai Yordan, air sungai
Yordan itu terputus. Sebab itu batu-batu ini akan menjadi peringatan bagi orang Israel
untuk selama-lamanya.”
(Yosua 4:6, 7, LAI).
Kita Berdoa—Mengingati Bagaimana Tuhan telah Memimpin Kita

Bagaimanakah ia akan mempengaruhi kehidupan anda jika anda mengambil masa selama satu atau dua
jam untuk mula membina mezbah peringatan anda? Bagaimana jika anda menulis sebanyak dua belas
kali apabila Tuhan telah melakukan perkara hebat untuk anda dan mengongsikan cerita-cerita ini kepada
keluarga dan rakan anda? Seperti dengan umat Israel, kita boleh mendirikan batu-batu kesaksian—
kenangan—dalam fikiran kita, dan menulis di dalam hati kita kisah-kisah berharga tentang apa yang
Tuhan lakukan bagi pihak kita. Semasa kita mengkaji semula urusan-Nya dengan kita dalam perjalanan
musafir kita sendiri, kita boleh menyatakan isi hati kita dengan rasa syukur, “Apakah yang dapat aku
persembahkan kepada TUHAN untuk segala kebaikan-Nya terhadap aku?” (Mazmur 116:12, ABB).

Ujian hidup akan menguji iman anda—kadang-kadang dengan terlalu teruk. Pada hari-hari itu—apabila
anda di penuhi dengan cabaran, halangan, sakit hati, dan juga tragedi, lihat kembali memorial yang anda
telah bina utuk mengenang kesetiaan Tuhan kepada anda. Dalam fikiran anda, ulangi kepada diri anda
sendiri bagaimana Tuhan telah memimpin anda sejauh ini—dan pujilah Dia untuk setiap batu. Biarkan
batu-batu di dalam kotak ingatan itu mengingatkan anda bahawa Tuhan telah menyelamatkan hidup
anda untuk selama-lamanya. Kerana Dia telah setia kepada janji-janji-Nya dalam kehidupan ini, anda
boleh benar-benar yakin bahawa Dia akan menepati janji-Nya untuk kembali lalu membawa anda ke
tempat-Nya, supaya anda tinggal di tempat Dia tinggal (Yohanes 14:3, ABB).

PELAJARAN EMPAT: BERDOA MEMBUATKAN TUHAN MENYATAKAN RANCANGAN-NYA

Kisah kepimpinan Yosua selepas menyeberangi Sungai Jordan terus mengajar kita tentang doa. Orang
Israel telah memasuki Kanaan di tempat yang kering, melalui air sungai yang terbelah, tetapi mereka
belum menaklukinya lagi. Mereka mengetahui sedikit mengenai peperangan. Sebaliknya, Kanaan
didiami oleh pahlawan-pahlawan yang berkuasa yang mengenali negara mereka dengan baik dan tidak
sabar-sabar untuk mempertahankannya dengan sekuat tenaga dan dengan kereta kuda besi.

Ulangan 9:1 (ABB) menyatakan bahawa “kota-kota mereka besar, dan tembok kota-kota itu menjulang
sampai ke langit.” Kubu-kubu yang menggentarkan bertujuan untuk menakutkan mana-mana
penceroboh. Pelbagai suku Kanaan bersatu untuk tujuan yang sama—untuk mengalahkan orang Ibrani
yang jelas berniat untuk memiliki tanah itu.

Yosua memerlukan bantuan dan dia tahu di mana untuk mencarinya. Dengan meninggalkan
perkhemahan, dia pergi kepada Tuhan untuk berdoa. Tiba-tiba, seorang Pahlawan yang gagah perkasa,
tinggi, bersenjata, berperilaku memerintah, muncul di hadapan Yosua. Terkejut, Yosua mencabar,
“Adakah kamu ini salah seorang askar kami, atau seorang musuh?” Yang menariknya, Pahlawan itu yang
ternyata adalah Tuhan Sendiri, tidak mengenal pasti mana-mana kumpulan, tetapi meletakkan diri-Nya
di atas semua penduduk bumi dengan hanya menyatakan, “Aku panglima tentera Tuhan” (Yosua 5:14).
Tuhan mengingatkan Yosua, seperti yang Dia telah lakukan bertahun-tahun sebelumnya dengan Musa,
bahawa tanah tempat Yosua berdiri sekarang adalah suci. Terkejut, Yosua tersungkur dan menyembah.

Yosua Berdoa—Mendengar Perintah Tuhan

Yosua tidak datang kepada Tuhan dengan rancangan untuk menawan Yerikho. Dia tidak meminta
kelulusan dengan setem getah. Dia hanya ingin mengetahui kehendak Tuhan. “Yosua bersujud
menyembah dan berkata ‘Saya hamba tuan. Apakah perintah tuan kepada saya?’” (Yosua 5:14b, ABB).
Betapa kerapnya kita datang kepada Tuhan dengan rancangan yang telah ditetapkan, dengan senarai
permintaan, atau idea bagaimana untuk mencapai misi yang kita harapkan Tuhan akan perkenankan!
Namun jarang sekali untuk sujud di hadapan Tuhan dengan penuh rasa hormat dan tunduk kepada apa
sahaja yang Dia perintahkan.

Tetapi ceritanya menjadi lebih luar biasa. Tuhan menggariskan strategi yang membingungkan manusia.
Yosua dan semua askarnya diarahkan untuk berarak secara senyap mengelilingi kota Yerikho sekali
sehari selama enam hari, dan selepas setiap perarakan tunggal, para askar hanya perlu kembali ke
perkhemahan.

Semasa Yosua terus mendengar Tuhan, arahan untuk Hari Ketujuh pasti kedengaran lebih pelik. “Engkau
dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, sementara imam-imam
meniup trompet. Selepas itu mereka harus meniup trompet dengan bunyi yang panjang, dan sebaik
sahaja kamu mendengarnya, semua orang harus berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu akan roboh.
Pada saat itu seluruh tenteramu harus terus memasuki kota itu” (diadaptasikan daripada Yosua 6:4, 5,
ABB).

Bagaimanakah anda mungkin bertindak balas terhadap arahan tersebut? Adakah anda akan tergagap-
gagap berkata, “Ini adalah satu keadaan yang memalukan! Saya tidak akan sekali-kali menyakinkan
orang-orang saya untuk melakukan perkara sedemikian!” Alkitab memberitahu kita secara ringkas
bagaimana Yosua bertindak balas, “Dan Yosua berbuat demikian” (Yosua 5:15b, LAI).

Kesudahannya, sudah tentu, adalah seperti yang Tuhan ramalkan. Tembok kota Yerikho runtuh,
kemudian seluruh angkatan tentera Israel terus memasuki ke kota itu, dan membunuh setiap orang
penduduknya. Firman Tuhan menjadi kenyataan. Keimanan dan ketaatan Yosua mendapat ganjaran.

Kita Berdoa—Membantu Kita Mengenali Suara Tuhan

Beginilah sepatutnya doa kita dalam ketidakpastian dan cabaran zaman akhir sejarah manusia. Kita
harus mempunyai pengalaman yang mendalam dan hidup dengan Tuhan yang membolehkan kita
mendengar dan mengenali suara-Nya dan melaksanakan perintah-Nya, tidak kira betapa di luar
jangkaan arahan itu terhadap cara biasa kita menyelesaikan masalah.

Doa adalah rancangan syurga untuk berjaya! Doa kita yang tulus ikhlas dan iman mengerakkan Tuhan
untuk bertindak! Mari belajar untuk berdoa. Marilah kita berdoa lebih banyak daripada yang kita lakukan
pada masa lalu. Marilah mengharapkan perkara-perkara besar daripada Tuhan yang penuh belas kasihan
dan simpati. Marilah berdoa dalam iman dan menyerahkan keputusannya kepadaTuhan.

Tidak lama lagi, doa kita kepada Tuhan yang hanya kita lihat melalui mata iman akan menjadi pujian
kepada Tuhan yang akan kita lihat bersemuka, untuk selama-lamanya.

“Sesungguhnya, TUHAN, Allah kita, telah memperlihatkan kepada kita kemuliaan dan kebesaran-Nya,
dan suara-Nya telah kita dengar dari tengah-tengah api. Pada hari ini telah kami lihat, bahwa Allah
berbicara dengan manusia dan manusia itu tetap hidup.” (Ulangan 5:24, LAI).

--Khutbah Tamat--

Anda mungkin juga menyukai