Anda di halaman 1dari 1

SOALAN: Iklan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden.

Kerap
kali kita mendengar komen mengenai pengaruh iklan dalam masyarakat kita.
Pada pandangan anda, apakah pengaruh-pengaruh positif dan negatif yang
dibawa oleh iklan terhadap masyarakat.

Sememangnya iklan sudah menjadi sebahagian lumrah kehidupan manusia sejagat pada
era globalisasi ini. Iklan jelas terpampang di mana-mana seperti akhbar, poster, papan iklan
gergasi, dan radio. Situasi ini seolah-olah membuktikan betapa kuatnya pengaruh iklan dalam
kehidupan kita. Jadi, iklan memang membawa pengaruh-pengaruh positif dan negatif terhadap
kehidupan insan di dunia ini.

Pengaruh positif iklan ialah iklan menyebabkan pengguna mempunyai pilihan untuk
membuat pembeliannya. Kewujudan iklan menyebabkan pengguna mengetahui betapa
banyaknya produk yang sama tetapi berlainan jenama dihasilkan pada zaman ini. Pengguna akan
menggunakan semua maklumat yang ada di dalam iklan untuk membuat pilihan terbaik mereka.
Iklan memastikan pengguna membeli produk yang terbaik mengikut keperluan mereka.

Selain itu, iklan menyebabkan wujudnya persaingan yang sihat antara pengeluar sesuatu
produk itu. Kalau kita kaji, pengeluar sesuatu produk itu akan cuba menghasilkan iklan yang
terbaik mengikut kemampuan mereka untuk menarik minat pembeli. Keadaan ini menyebabkan
semua pihak cuba menonjolkan kelebihan produk mereka berbanding produk pesaing. Jelaslah,
iklan menyebabkan pengeluar memastikan produk mereka menepati mutu seperti yang tersiar di
dalam iklan mereka itu.

Namun begitu, iklan turut memiliki wajah negatifnya. Iklan sering mempergunakan wanita
terutama wanita seksi untuk melariskan jualan produk mereka. Malah, ada produk yang tidak
mempunyai kaitan dengan wanita tetapi menggunakan wajah wanita seksi untuk iklan tersebut.
Penggunaan model lelaki yang tampan dan sasa turut diekploitasikan oleh iklan. Keadaan ini
seolah-olah memberi makna palsu seperti penggunaan produk ini akan menghasilkan wajah
sebegitu atau penggunaan produk ini menyebabkan wanita sebegini akan tertarik kepada
seseorang. Bayangkan pengaruhnya kepada remaja kita?

Tambahan pula, kewujudan iklan menyebabkan harga barangan akan meningkat. Kos
untuk menghasilkan sesuatu iklan amat tinggi kerana penggunaan model, teknologi dan krew
penerbitan yang berpengalaman. Malah, iklan yang disiarkan di media massa terpaksa membayar
kos masa penyiaran yang terlalu mahal. Keadaan ini menyebabkan pengeluar akan meninggikan
harga produk mereka untuk memastikan iklan dapat dihasilkan.

Iklan turut menghasilkan satu kumpulan pengguna yang hanya mementingkan jenama.
Pegguna jenis ini sudah taksub dengan iklan jenama tertentu dan hanya membeli atau
menggunakan produk jenama tersebut tanpa memikirkan baik buruknya kepada diri mereka. Iklan
telah menghasilkan satu budaya pengguna yang mementingkan status diri mereka pada
pandangan masyarakat. Pengguna mahu diri mereka dipandang tinggi dan dihormati apabila
menggunakan sesuatu jenama itu.

Malahan, iklan turut menyebabkan pengguna memberi barangan yang tidak mereka
perlukan. Pembelian mereka semata-mata atas dasar melihat iklan yang menarik. Penayangan
iklan telah menyebabkan mereka tertarik dan membeli barangan itu walaupun barangan itu tidak
mereka perlukan untuk satu tempoh yang lama. Sikap ini menjurus ke arah pembaziran dan
pembelian yang boleh menyebabkan pengguna berhutang atau mengalami masalah kewangan.

Kesimpulannya, iklan mempunyai dua peranan. Satu untuk memberitahu dan satu lagi
untuk memusnahkan. Mungkin pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat penilaian rasional
selepas melihat sesuatu iklan. Pengguna tidak harus terburu-buru membeli selepas melihat iklan.
(452 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai