Anda di halaman 1dari 4

TAJUK PIDATO: CABARAN BAHASA MELAYU MENGHADAPI DUNIA TANPA

SEMPADAN ALAF INI

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan selamat sejahtera kepada hadirin


hadirat yang dirahmati sekalian. Terima kasih yang arif lagi bijaksana, tetamu
kehormat, tenaga pengajar dan rakan-rakan pelajar kerana memberi peluang untuk
saya mengupas sedikit-sebanyak tentang isu yang wajar diberi perhatian pada abad
ini.

Tampilnya saya di sini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk “Cabaran
Bahasa Melayu menghadapi dunia tanpa sempadan pada alaf ini”.

Setiap penyakit ada penawarnya, dan setiap yang kusut bisa dileraikan. Andai setiap
insan mampu memacu gabungan sinergi yang mapan dalam mendepani cabaran
hidup tanpa sempadan. Pada era globalisasi ini, kita sering disajikan dengan polemik
bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu yang kian pudar ditelan zaman. Isu ini
sedang hangat dibincangkan oleh mujtamak sama ada di parlimen, di warung-warung
kopi mahu pun di institusi pengajian tinggi. Persoalannya, siapakah yang akan
melangkah ke hadapan andai segala kemelut ini berada di puncak? Tuntasnya, persis
adiwira yang berakauntabiliti, kita harus menganalisis cabaran bahasa Melayu
menghadapi dunia tanpa sempadan pada alaf ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,


Tidak hairanlah kita mendengar rakyat Malaysia fasih dalam pelbagai bahasa kerana
Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Oleh
itu, kerajaan telah mengambil inisiatif seperti yang telah termaktub dalam Perkara 152,
Perlembagaan Malaysia, jelaslah bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan
Malaysia agar rakyat dapat memupuk sifat bersatu teguh bercerai roboh.

Namun demikian, sudah pasti terdapat kekangan untuk bahasa Melayu pada era
globalisasi ini. Salah satu daripada kekangan yang paling dominan ialah berlakunya
percampuran bahasa iaitu penggunaan “bahasa rojak”. “Bahasa rojak” ini menjadi
suatu budaya dalam masyarakat Malaysia kerana bahasa ini yang digunakan dalam
komunikasi seharian mereka. Sebagai contoh, masyarakat cina akan berbahasa
Melayu dengan telor bahasa Cina, begitu juga masyarakat India dan juga masyarakat
Melayu yang sering mencampur-adukkan bahasa kebangsaan kita dengan bahasa
Inggeris. Sebahagian masyarakat merasakan bahawa percampuran bahasa ini adalah
suatu kebanggan lebih-lebih lagi apabila mereka menggunakan bahasa Inggeris.
Namun begitu, perkara ini adalah suatu perkara yang memalukan kerana masyarakat
kita sendiri yang mencemarkan bahasa kebangsaan Malaysia, bahasa Melayu.
Percampuran bahasa ini sering berlaku dikatakan kerana, rakyat pelbagai kaum telah
menyerap budaya antara satu sama lain dalam kehidupan seharian mereka.Kesannya,
mereka sering mencampur-adukkan bahasa dalam perbualan seharian dengan niat
untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Bukan itu sahaja, bahasa Melayu baku juga
semakin hari semakin dilupakan kerana masyarakat sudah terbiasa dengan “bahasa
rojak” seperti “Ah Seng, lu mau pergi mana?” atau “Hi, harini birthday I tau”. Dengan
ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa salah satu cabaran bahasa Melayu dalam
menghapi dunia tanpa sempadan pada alaf ini adalah dengan berlakunya
percampuran bahasa yang dikenali sebagai “bahasa rojak” yang disebabkan oleh
masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum.

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian,


Cabaran bahasa Melayu dalam menghadapi dunia tanpa sempadan pada alaf ini
bukanlah dek kerana percampuran bahasa semata-mata tetapi kedatangan bahasa
asing seperti bahasa Inggeris juga merupakan satu cabaran konkrit pada era
globalisasi ini. Seperti semua sedia maklum, kedatangan bahasa Inggeris ke dalam
negara kita telah berdekad-dekad lamanya sejak negara kita, Malaysia dijajah oleh
British yang lalu. Hal ini menyebabkan, bahasa Inggeris semakin lama menjadi suatu
bahasa yang wajib difahami dan diketahui serta sedikit sebanyak mengambil-alih
peranan bahasa Melayu dalam masyarakat kita. Hal ini dibuktikan apabila, bahasa
Inggeris merupakan aspek utama yang diperlukan sekiranya seseorang individu itu
ingin melepasi sesi temuduga pekerjaan. Sistem pekerjaan di negara kita amat
menitik-beratkan bahasa Inggeris kerana sudah terang lagi bersuluh apabila calon
temuduga berbahasa Inggeris dengan fasih, peluangnya untuk lulus temuduga
tersebut lebih cerah berbanding dengan calon yang berbahasa Melayu. Hal ini
dikatakan sedemikian kerana, bahasa Inggeris lebih luas untuk berkomunikasi dengan
masyarakat lain seperti warga asing. Bahasa Inggeris juga memudahkan negara kita
untuk menjalankan hubungan diplomatik bersama negara-negara luar kerana ia
dikenali sebagai bahasa antarabangsa. Meskipun, bahasa Melayu merupakan bahasa
rasmi, tetapi ia hanya diaplikasikan di Malaysia kerana pabila negara kita ingin
berkomunikasi dengan negara luar, kita tetap menggunakan bahasa kedua iaitu
bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Oleh itu, ini menjadi suatu cabaran
kepada bahasa Melayu untuk menghadapi dunia tanpa sempadan pada alaf ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,


Pada zaman yang serba moden ini, bidang teknologi maklumat amat diutamakan
dalam kehidupan kita. Jadi, sedikit sebanyak ia memberi impak yang besar kepada
Malaysia lebih-lebih lagi daripada aspek penggunaan teknologi maklumat. Setiap
individu sedia maklum bahawa bahasa teknologi maklumat yang paling dominan
adalah bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana, istilah bahasa Inggeris yang mudah
difahami dan diguna pakai oleh seluruh pelosok dunia. Namun begitu, hal ini memberi
kesan yang mendalam terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam aspek teknologi
maklumat kerana masyarakat kita sendiri tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa teknologi maklumat. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, sebahagian
masyarakat tidak mempunyai perbendaharaan kata bahasa Melayu yang banyak
berkenaan dengan teknologi maklumat yang menyebabkan mereka tidak memahami
istilah teknologi maklumat dalam bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, penggunaan
bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi maklumat bukanlah suatu perkara yang
mustahil untuk direalisasikan. Hal ini dapat dibuktikan apabila wujudnya negara yang
tetap maju dalam teknologi maklumat dengan menggunakan bahasa ibunda mereka
sendiri. Menurut Kamal Shukri Abdullah Sani (2007), bahawa negara Jepun sangat
memartabatkan bahasa kebangsaan mereka dan Jepun merupakan negara yang amat
maju dalam bidang teknologi maklumat tetapi tetap memastikan bahasa ibundanya
terjaga dan terpelihara. Tidak dinafikan bahawa negara kita juga meninggikan taraf
bahasa Melayu, namun boleh dibuktikan pada hari ini bahawa sebahagian besar
masyarakat kita lebih memandang tinggi terhadap penggunaan bahasa Inggeris
berbanding bahasa Melayu terutama apabila bahasa Inggeris lebih banyak digunakan
dalam aktiviti seharian seperti sebagai bahasa teknologi maklumat. Oleh itu, perkara ini
menjadi suatu cabaran besar terhadap bahasa Melayu dalam menghadapi dunia tanpa
sempadan pada alaf ini.

Hadirin hadirat yang dikasihi,


Jika ini sebuah cerita kita telah sampai ke pengakhirannya dan jika ini sebuah
perjalanan kita telah sampai ke destinasinya dan begitu juga dengan ucapan pidato
saya pada hari ini, kita telah sampai ke penamatnya. Oleh itu, sekian sahaja pidato
saya pada hari ini. Sekalung ucapan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak
yang terlibat terutama kepada para hadirin sekalian yang meminjamkan mata dan
telinga kerana fokus dalam mendengar ucapan pidato saya pada hari ini yang bertajuk
“Cabaran Bahasa Melayu dalam menghadapi dunia tanpa sempadan alaf ini”. Saya
berharap segala apa yang disampaikan pada hari ini memberi faedah dan kesedaran
kepada hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian. Tepuk dada, tanyalah minda dan
tepuk dahi fikirlah sendiri. Sekian, wabillah hi taufik wal hidayah, assalamualaikum
warahmatullah wabarakatuh. Pemidato bestari mohon permisi.
RUJUKAN:
1. Mohamad, K., Alias, M., & Hj. Shamsudin, F. (2012). Bahasa Melayu
Komunikatif . Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
2. Ibrahim Majdi Mohamad Kamil & Maliati Mohamad. (31 OKTOBER 2020).
Cabaran Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Usaha Mencapai Negara
Bangsa di Malaysia. Asian People Journal 2020.
file:///C:/Users/Hp/Downloads/152-Article%20Text-818-1-10-20201031.pdf
3. Elysiana Jemaslin. N.d. Cabaran Bahasa Melayu dalam Menghadapi Abad ke –
21. Rozali bin Rajab. Academia EDU.
https://www.academia.edu/12021766/CABARAN_BAHASA_MELAYU
4. Afiq Ekie. N.d. Topik 5: Masa Depan dan Cabaran Bahasa Melayu. Word Press.
https://afiqekie.files.wordpress.com/2012/12/modul-bmm3112-topik-5-
iankaka.pdf

Anda mungkin juga menyukai