Anda di halaman 1dari 4

CABARAN BAHASA MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI, MAKLUMAT DAN

KOMUNIKASI (TMK)

Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia
ini tentang isu pemerkasaan bahasa Melayu di Malaysia yang hari semakin mencabar. Menurut
Hashim Musa (2009), pemerkasaan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa yang hebat, terkenal, berdaulat dan menjadi dominan di seluruh dunia dari segi
kandungan ilmunya, keintelektualannya, dan keterbacaannya. Walaupun terdapat pihak yang
berusaha untuk memperkasakan kedudukan bahasa Melayu namun pada alaf yang baharu ini,
bahasa Melayu masih menghadapi cabaran disebabkan oleh perubahan arus perdana dunia
siber iaitu TMK yang mula bertapak di Malaysia sejak era 90-an. Oleh hal itu, terdapat pelbagai
cabaran terutama terhadap kedudukan bahasa Melayu di negara ini mahupun kedudukannya di
persada dunia. Persoalannya, apakah cabaran-cabaran bahasa Melayu dalam era TMK ini?

Bahasa Melayu telah menghadapi cabaran untuk menjadi bahasa ilmu apabila pada tahun
2003, subjek Sains dan Matematik dalam semua peringkat telah diajar dalam bahasa Inggeris.
Keadaan ini telah memberi kesan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di
negara ini. Menurut Asmah Omar (2003), pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris
sepatutnya dapat melahirkan rakyat Malaysia yang bangga dan hormat kepada bahasa
kebangsaannya sebagai simbol kedaulatan negara dan boleh menggunakan bahasa Inggeris
sebagai jendela kepada dunia yang luas. Dalam konteks ini, semua pihak perlu bekerjasama
bagi memastikan kehormatan bahasa Melayu dapat dilindungi bersama-sama di samping
menjaga keindahan bahasa Inggeris supaya masyarakat sejagat tidak meminggirkan bahasa
Melayu dalam kehidupan seharian walaupun masing-masing sudah mahir berbahasa inggeris.

Seterusnya, penggunaan “bahasa rojak” pada abad ke-22 kini sudah menjadi satu ikutan
kepada masyarakat terutamanya golongan remaja. Hal ini akan mengakibatkan kesan yang
sangat serius terhadap kedaulatan bahasa Melayu jika tidak ditangani dengan kadar yang
segera kerana sudah pasti keindahan bahasa Melayu akan musnah disebabkan sikap tidak
cakna seseorang individu terhadap penggunaan bahasa Melayu. Berdasarkan Su’ad Awad
(2007), beliau berpendapat bahawa “bahasa rojak menggambarkan penggunaan bahasa yang
sebenar di Malaysia”. Hal ini membawa maksud bahasa rojak akan terus diamalkan kerana
sikap pengguna suka menggunakan bahasa rojak. Maka, kita perlulah berganding bahu
melupuskan bahasa segera iaitu bahasa rojak ini agar keindahan bahasa Melayu di negara
kekal terpelihara.
Daripada perspekstif yang berbeza, penggunaan telefon bimbit menjadi salah satu cabaran
untuk menstabilkan kedudukan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Melalui blog di
laman sesawang yang ditulis oleh Abdul Hadi Abd Rashid (2017), Rohaidah Mashudi dan J.
Sham Wahid (2005) mengatakan bahawa kecanggihan dalam penggunaan telefon bimbit juga
sebenarnya mendatangkan kegoyahan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi
dalam dunia pendidikan. Sekali lagi kedudukan bahasa komunikasi ini disisihkan dan diubah
suai, terutama apabila mereka menggunakan sistem mesej singkat (sms). Misalnya, perkataan
seperti “dowang” yang bermaksud mereka. Implikasinya, perkara ini akan merosakkan maruah
dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang akan disisihkan oleh
pengguna.

Jika ditinjau dari aspek semangat kesetiaan, sikap penutur atau masyarakat amat penting
dalam penggunaan bahasa Melayu. Nik Safiah Karim (2004) memperkatakan bahawa bahasa
Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya.
Sekiranya penutur tiada mempunyai semangat kesetiaan dalam menggunakan bahasa ibunda
iaitu bahasa Melayu, sudah pasti sikap cinta akan bahasa ibunda akan dihakis begitu sahaja.
Malah, mereka menganggap bahasa Melayu tidak setanding dengan bahasa Inggeris dan
akhirnya mula meminggirkan bahasa Melayu secara perlahan-lahan. Justeru, penekanan
terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul harus diutamakan agar bahasa Melayu akan
mendapat tempat yang sewajarnya dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). 

Selain itu, kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat kesan positif yang dibawa oleh arus
kemajuan TMK pada hari ini. Berdasarkan penulisan daipada Abdul hadi Abd Rashid (2017)
menerusi laman blognya, S. Nathesan (2005) menjelaskan, namun begitu, banyak perkara
yang berlaku dalam masyarakat, bahasa tersebut mula diancam. Hal ini kerana terdapat
golongan yang tidak bertanggungjawab yang acap kali menggunakan bahasa melayu secara
tidak sopan atau bahasa lucah khususnya di dalam sosial media. Contohnya seperti perkataan
“bodoh”, “gila”, dan “bengap”. Bukan sahaja medium TMK sahaja tidak mementingkan budaya
kesantunan berbahasa malah media khususnya radio masih menampakkan kegagalan untuk
mempraktikkan unsur kesopanan berbahasa dengan baik bagi melambangkan itulah budaya
dan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia. Bak kata pepatah, budi bahasa budaya kita.
Seterusnya, bahasa Melayu menghadapi cabaran dari segi penggunaan di majlis tidak rasmi.
Kebanyakan pengacara di majlis atau televisyen apabila mengendalikan sesuatu acara, sudah
menjadi kewajiban mereka mencampuradukkan bahasa apabila mengendalikan program,
pengacara pada peringkat awalnya menggunakan bahasa Melayu namun, pengacara akan
mencampuradukkan penyampaian bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seperti mengakhiri
program dengan ucapan “thank you” berbanding ucapan terima kasih. Menurut Nik Safiah
Karim (2020) dalam buku Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf,
memperkatakan, bahawa bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang
dipegang oleh penuturnya. Oleh itu, semua penutur bahasa Melayu, tidak kisahlah pengacara
majlis mahupun orang awam, tidak mengambil mudah tentang hal yang serius ini

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak
untuk mendalami bahasa Melayu adalah cabaran bahasa Melalyu dalam bidang TMK.
Sesetengah ibu bapa kurang cakna terhadap perkembangan anak-anak sejak kecil lagi tentang
penggunaan bahasa Melayu. Contohnya, ibu bapa memberikan permainan gadget kepada
anak-anak tetapi tidak menetapkan bahasa utama untuk permainan tersebut dalam bahasa
Melayu. Implikasinya, anak-anak akan mula menyingkirkan penggunaan bahasa Melayu kerana
sudah terbiasa dengan bahasa asing. Menerusi blog Abdul Hadi Abd Rashid (2017), Noriah
Mohamed (2005) berkata, dianggarkan bahawa 80 tapak jejaring yang kini adalah dalam
bahasa Inggeris berbanding bahasa lain. Oleh itu, ibu bapa wajarlah memainkan peranan
masing-masing.

Jelaslah bahawa cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu untuk menjadi bahasa
rasmi negara bukanlah suatu cabaran yang mudah dalam bidang teknologi, maklumat dan
komunikasi (TMK). Semua cabaran tersebut perlulah ditangani bersama-sama oleh masyarakat
Malaysia. Hal ini kerana tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang utuh,
sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan supaya masalah ini boleh dibasmi
hingga ke akar umbi. Menurut Zulkifley Hamid (2012), biasanya sesuatu kelompok akan
sentiasa sensitif terhadap cabaran, persaingan dan kelunturan yang mungkin dihadapi oleh
bahasa dan budaya mereka. Sesuatu kelompok akan menjadikan pemuliharaan bahasa dan
budaya sebagai satu agenda bersama, dan aspek inilah yang menyebabkan mereka berasa
bersatu padu.

Anda mungkin juga menyukai