Anda di halaman 1dari 5

Soalan 3

Pada Pendapat Anda Bagaimana Kecelaruan Bahasa Dapat Diatasi Secara Berkesan Dalam
Masalah Penggunaan Bahasa Di Laman Sosial.(30 %)

Pada era globalisasi ini, bidang teknologi maklumat amat penting. Jadi, Malaysia telah mendapat
impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi maklumat iaitu dalam laman sosial
seperti facebook twitter messenger whatsapp dan sebagainya. Pencemaran bahasa dalam laman
sosial merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan
bahasa rojak dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi
ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang serong oleh masyarakat.
Bahasa yang dahulunya menjadi lingua franca kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya
yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu
bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai
inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Permasalahan ini secara langsung mempengaruhi dan
mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau Nusantara ini. Apatah lagi, negara
Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini. Adakah kita mampu
menghadapi cabaran ini dan menidakkan penggunaan teknologi maklumat dalam arus pembangunan
negara. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai
dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan.

Memang tidak dapat dinafikan, rakyat di negara kita mahir dalam dua bahasa iaitu bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris. Terdapat pelbagai bentuk dan cara dalam pertuturan mereka. Hal ini kerana
rakyat Malaysia sudah mencampuradukkan kedua-dua bahasa tersebut dalam pertuuturan mereka.
Mengikut Nik Safiah Karim, [2004], ada kalanya dua bahasa ini berselang-seli ,iaitu satu ayat dalam satu
bahasa diikuti oleh ayat dalam bahasa kedua. Sebagai contoh ialah How are you today..harap OKlah.
Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan mana-mana rancangan atau program televisyen mahupun radio
dalam abad ke-21 ini. Manakala dalam golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup
membahayakan dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan teknologi
maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit. Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan,
mereka menggunakan bahasa rojak dan berlakulah kerancuan bahasa. Mengikut Kamus Dewan Edisi
Keempat, kerancuan bahasa membawa maksud, keadaan penggunaan bahasa yang tidak teratur,
mencampuradukkan bahasa serta tidak mengikut peraturan bahasa sama ada dari segi sintaksis,
morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan
dari segi pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah.
Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), akum (assalamualaikum), wlam
(waalaikumsalam), diorang (mereka), tipon (telefon) dan pesal (mengapa). Pengubahsuaian juga telah
dibuat kepada kata gantinama seperti sayer (saya), dier (dia) dan nko (engkau). Begitu juga dengan kata
tanya telah diubah suai seperti biler (bila), camner (bagaimana) dan maner (mana). Kerancuan bahasa
Melayu abad ke-21 merupakan satu cabaran yang boleh merosakkan keteraturan,kehalusan dan
keintelektualan serta ketulenan bahasa Melayu, kerana menjejaskan sistem dan peraturan bahasa yang
menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya. Hal ini akan merosakkan martabat dan kewibawaan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi, yang akhirnya
akan menurunkan maruahnya dan disisihkan sedikit demi sedikit oleh pengguna bahasanya. Sekiranya
permasalahan ini tidak ditangani, sudah tentu ianya akan memberi impak atau cabaran yang besar
kepada kedudukan bahasa Melayu di negara ini.

Maka pada pendapat saya, masalah kecelaruan haruslah dibendung secepat mungkin kerana ia
akan menyukarkan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Semua pihak hendaklah
memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini. Salah satu langkah adalah peranan ibu
bapa.Pepatah melayu ada menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ini bermakna
mendidik anak-anak perlulah dari kecil kerana anak-anak yang dilahirkan umpama kain putih, ibu bapalah
yang berperanan untuk mewarnainya. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-
anak. Bagi menangani fenomema masalah penggunaan bahasa di lamn sosial, ibu bapa perlu
memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing anak-anak dalam membentuk cara
berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dengan betul semasa
berkomunikasi dengan anak-anak di rumah sejak anak-anak mereka kecil lagi. Dengan ini, apabila
mereka memasuki alam persekolahan, mereka sudah tahu berbahasa dengan betul apabila
berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Tabiat berbahasa dengan betul dan gramatis
ini akan sebati dalam diri mereka sehingga dewasa. Pepatah Melayu ada mengatakan, bagaimana
acuan begitulah kuihnya, yang amat sesuai untuk menggambarkan bahawa didikan ibu bapa terhadap
anak-anak sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam. Mereka juga perlu memantau aktiviti dan
cara pergaulan anak-anak mereka. Oleh sebab itu, jika ibu bapa mereka merupakan pencinta bahasa
Melayu yang sejati, tidak mustahil anak-anak mereka juga memiliki sifat yang sama.

Media massa merupakan medium yang paling sesuai untuk memain peranan dalam menangani
fenomena kecelaruan bahasa di laman sosial ini. Ini adalah kerana media massa merupakan ejen
penyampai yang paling berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai. Antara
peranan yang boleh dimainkan oleh media elektronik khasnya seperti televisyen, radio dan seumpamanya
ialah dengan menyiarkan rancangan-rancangan yang menggunakan bahasa-bahasa yang baik dan
sopan. Pihak penerbit juga boleh menyediakan rencana-rencana, iklan-iklan atau slot-slot khas yang
memaparkan tentang nilai-nilai kesantunan dalam berbahasa. Pihak penerbit juga perlu mengawal dan
memastikan rancangan-rancangan yang disiarkan mematuhi syarat-syarat penyiaran yang telah
ditetapkan terutama dalam penggunaan bahasa yang betul . Selain itu, media cetak juga perlu
memainkan peranan yang serupa dalam membenteras isu ini. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus
Dewan, akhbar-akhbar dan majalah perlu lebih aktif mengeluarkan bahan-bahan untuk panduan
dan rujukan orang ramai tentang tatacara penggunaan bahasa yang betul.

Seterusnya ialah pihak sekolah dan guru. Peranan guru adalah untuk melahirkan insan yang
seimbang dari emosi, jasmani, fizikal dan rohani. Justeru dalam usaha membendung gejala kecelaruan
bahasa dalam laman sosial ini, peranan guru khasnya guru bahasa Melayu perlu memberi penekanan
dalam aspek kemahiran lisan dalam kemahiran berbahasa. Penekanan harus diberikan tentang aspek-
aspek pertuturan yang bertatasusila, lengkap dan tersusun. Guru perlulah mahir dalam bidang ilmu
lingustik selain daripada moforlogi serta fonetik dan fonologi. Guru perlulah bertindak sebagai role model
kepada murid-muridnya dalam penggunaan bahasa yang betul. Apabila para pelajar melakukan
kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan
mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi. Selain
itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Sebagai
contohnya, pihak sekolah mengadakan bulan bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan
seperti pidato, syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang sesuai. Dengan penyertaan oleh para pelajar,
secara tidak langsung mereka belajar tentang bahasa yang betul.

Kerajaan merupakan jentera paling penting dalam sesebuah negara. Dalam menangani
fenomena kecelaruan bahasa dalam laman sosial, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk
mengatasi masalah ini. Contohnya, mengadakan kempen-kempen untuk meningkatkan kesedaran orang
ramai tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Pihak Kementerian
Penerangan Komunikasi Kesenian dan Kebudayaan telah pun melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan
pada setiap tahun. Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis
di samping mengembalikan martabat bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di
Malaysia. Kempen ini boleh dilancarkan melalui media massa kerana media massa merupakan satu
komponen yang paling mudah untuk menyebarkan informasi. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) dan badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat dijalankan dengan lancar. Dengan
kewujudan kempen ini, diharapkan masalah pencemaran bahasa kalangan masyarakat dapat dielakkan.

Pihak kementerian yang berkaitan juga boleh menubuhkan sebuah lembaga penapisan yang
bertujuan menapis bahan-bahan untuk tayangan stesen-stesen radio dan televisyen bagi memastikan
rancangan-rancangan yang ingin ditayangkan menepati syarat-syarat wajib tayang serta mematuhi nilai-
nilai budaya dan kesantunan bahasa Melayu. Contoh yang sedia ada ialah FINAS (Lembaga Penapisan
Filem Negara) yang berperanan menapis filem-filem yang ingin ditayangkan di negara ini agar menepati
syarat wajib tayang yang telah ditetapkan.

Pihak kerajaan juga boleh menguatkuasakan undang-undang dengan mengadakan satu akta
tentang penggunaan bahasa yang betul di khalayak umum. Pihak kerajaan juga perlu mewajibkan semua
pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi
organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai penggunaan
bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai
dan kakitangan kerajaanakan menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat
ataupun melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan. Dengan cara ini,
masalah pencemaran bahasa dalam lamn sosial dapat diminimumkan.

Setiap masalah yang ada pasti ada jalan penyelesaiannya. Hanya kita yang perlu berusaha bagi
memastikan jalan penyelesaian tersebut dapat dijalankan. Antara langkah yang paling berkesan yang
dapat kita laksanakan bagi mengatasi kecelaruan bahasa dalam media sosial terletak pada diri kita
sendiri. Tepuk dada, tanyalah pada diri kita sendiri tentang langkah yang perlu kita laksanakan. Bahasa
Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa rasmi negara kita. Disini jelas menunjukkan
bahawa sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk memartabatkan penggunaan
bahasa Melayu serta menangani kecelaruan bahasa di laman sosial. Langkah yang perlu dilaksanakan
oleh setiap rakyat Malaysia ialah dengan mengubah persepsi masing-masing yang menganggap bahasa
Melayu merupakan bahasa yang kolot dan tidak mempunyai standard yang tersendiri kepada bahasa
yang perlu dibanggakan dan unik. Mengubah persepsi terhadap bahasa melayu bermaksud kita juga
perlu berhijrah daripada menggunakan bahasa rojak di laman sosial kepada bahasa melayu. Langkah ini
merupakan langkah asas untuk mengatasi kecelaruan bahasa dalam laman sosial. Walaupun langkah ini
nampak mudah, realitinya inilah langkah yang paling susah untuk dilaksanakan sekiranya rakyat Malaysia
masih tidak sedar akan kebenaran yang mereka terpaksa hadapi sekiranya bahasa rojak dibiarkan terus
menular.

Bahasa merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Tanpa bahasa,
manusia adalah bisu dan hanya boleh berinteraksi melalui bahasa isyarat atau bahasa badan. Bahasa
juga melambangkan identiti masyarakat sesebuah negara. Bahasa Melayu merupakan bahasa
kebangsaan negara kita. Berbagai-bagai usaha telah dijalankan bagi menjamin kedaulatan serta
memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia. Namun begitu, kita juga tidak terlepas daripada
menghadapi rintangan dalam mengekalkan usaha-usaha tersebut. Antara rintangan tersebut ialah
kecelaruan bahasa dalam laman sosial yang semakin menular umpama satu wabak yang amat
merbahaya. Fenomena kecelaruan bahasa dalam laman sosial merupakan satu gejala alaf baru yang
bakal menggugat kedaulatan bangsa dan menghakis nilai-nilai kasantunan bahasa Melayu sekiranya
tidak di bendung dengan sewajarnya.

Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan perlu bekerjasama untuk menjalankan
langkah yang pragmatik bagi menangani masalah kecelaruan bahasa dalam sosial ini . Usaha yang
berterusan dan efisien akan menyebabkan bahasa yang telah diangkat martabatnya sebagai bahasa
kebangsaan ini semakin dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Jika tiada
maka pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa. Langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu ini
dilakukan agar generasi akan datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan bahasa ibunda mereka
yang selama ini diperjuangkan.

Anda mungkin juga menyukai