Anda di halaman 1dari 3

TEKS BERCERITA BAHASA MELAYU

TAHAP 2

TAJUK:

“Tebusnya Lima Ratus Ringgit”

Tebusnya lima ratus ringgit mengisahkan sepasang suami isteri, Murad dan Maneh
merupakan orang kampung dan penoreh getah. Mereka berdepan dengan dugaan
hebat apabila anak tunggal mereka Sapie meninggal dunia kerana dilanggar lori yang
membawa muatan kayu getah sepulang dari sekolah.

“Maneh tau, Murad tau, akibat lori cabuk yang bermuat kayu-kayu getah itu. Kalau
langgar ayam, ayam akan jadi macam sotong kering. Kalau langgar kambing, segala
perut tahi bersepah di situ juga. Kalau rempuh kerbau, selalunya kerbau itu tidak
sempat disembelih. Jadi kalau anaknya Sapie, yang kurus macamnya, yang baru
berumur lapan tahun, yang masih rapuh tulang belulangnya, tentu jadi pipih macam
upih kering. Tentu pecah kepalanya. Tentu bersembur otaknya. Tentu remuk tulang
belulangnya. Dan akhir sekali tentu mati. Dan memang berita yang diberitahu oleh
Sudin, Sapie sudah mati.”

Berita kematian Sapie membuatkan Maneh dan Murad hilang kewarasan buat
seketika.

Murad dalam keadaan terlalu sakit dan derita emosi mencapai parang yang biasa
digunakan untuk berkebun.

Ayah mana yang dapat ditenangkan oleh jiran tetangga.

Orang kampung cuba meyakinkan Murad yang polis mengurus kejadian malang itu.

Malah Murad diingatkan bahawa dia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

Apatah lagi lori-lori itu milik Ng Poh.

Lori-lori ini dikhabarkan “tak ada lesen”, “tak ada cukai jalan”, dan “modelnya sudah
tidak dilulus oleh Pendaftar Kereta Motor”.

Namun, Murad tidak mengendahkan nasihat lantas berkejar ke tempat kejadian.

Niat Murad ialah untuk menetak pemandu lori.


Namun, oleh tidak kuatnya jiwa, Murad pengsan di tempat kejadian.

Kemalangan ngeri itu berlaku tidak jauh dari padang golf kepunyaan estet yang mana
orang-orang besar dan berpangkat selalu datang bermain.

Berdasarkan saksi dan laporan polis, “anaknya mungkin tidak salah, kerana Sapie
berjalan di tepi sewaktu lori itu merempuh. Lori itu terlampau banyak muatan, dan
ikatan itu terungkai. Drebar tidak dapat mengawal. Akhirnya terbabas dan merempuh
Sapie.”

Namun, Murad percaya “yang bersalah tetap dihukum” dan kelak “pengadilan akan
menentukannya.”

“Murad terbayang tentang perusahaan Tauke Ng Poh. Dia tahu cara perusahaan Ng
Poh, kerana dia tinggal di situ sudah bertahun-tahun. Enam biji lori kepunyaan Ng Poh
semuanya tidak berlesen. Tidak ada cukai jalan. Nombor lori semua serupa. Lori itu
kalau ikut undang-undang sudah tidak boleh dipakai lagi. Murad hairan, mengapa cara
perusahaan itu tidak membuka mata pihak berkenaan? Sana sini lori kepunyaan Ng
Poh. Bergolek, tidak ditahan. Kuli-kuli bekerja tanpa ada wang simpanan pekerja.
Semua itu tidak sampai ke pengetahuan pihak berkenaan. Bukan tak ada balai polis
di daerah itu. Bukan pihak polis tidak nampak lori kepunyaan Ng Poh bergolek tanpa
lesen. Bukan mereka tidak tahu muatan sehari-hari lebih dari hadnya. Tapi semua itu
macam tidak nampak.”

Ng Poh sering bersama orang besar, pegawai tinggi di padang golf. Sebulan sekali,
sebulan dua kali mereka datang ke rumah Ng Poh.

Tauke Ng Poh datang mengunjungi Murad di malam hari dan menyogokkan wang
berjumlah lima ratus ringgit.

Pada mulanya Murad mahu kekal bersikap.

Tetapi Ng Poh mengingatkan “kita selesai sama sendiri lebih senang. Kau fikir kalau
dibawa ke tengah kau akan menang bicara? Jangankan itu, duit nak buat belanja
tambang pun aku agak kau tak sanggup ke luar.”

Saat Murad mengejutkan isterinya dari tidur dan menunjukkan wang lima ratus ringgit
itu, Maneh amat bersyukur dan mengangankan untuk membesarkan dapur rumah
mereka.
Mendadak sedih Maneh surut. Malah kata Maneh, “Belas kasihan tauke. Sapie mati
kerana ajal dah sampai. Takdir takkan boleh dielak.”

Murad yang belum boleh menelan begitu sahaja, esoknya ke balai polis dan disambut
ketua balai dengan kata-kata, “tak usah panjang-panjang perkara ini. Budak tu dah
mati. Tak guna nak sibuk-sibuk. Saya fikir lima ratus ringgit cukup banyak sebagai
hadiah kepada anak awak.”

Murad tidak bertanyakan bagaimana polis tersebut mengetahui tauke memberinya


lima ratus ringgit.

Hari-hari kemudian, dia dapat tahu pegawai polis tersebut bermain golf dengan
Taukeh Ng Poh.

Akhirnya, pulanglah Murad dalam keadaan sayu dan mengerti bahawa duit boleh
mengubah segala-galanya. Sudah jadi lumrah mendengar hal rasuah, hal polis
mengambil dan sogok, sudah macam fitrah orang politik menyebelahi orang yang
berduit.

Moral dalam cerita ini ialah di hujung semua ketidakadilan ini, orang kampung yang
dibela beria-ia oleh kita akan memilih untuk pasrah dan menerima habuan kecil.

Begitu senang mereka dibeli.

Tetapi yang lebih sakit ialah apabila negara ini membenarkan manusia seperti Murad
dan Maneh yang sanggup menelan saja kematian anak mereka setelah disuguhkan
wang sebanyak 500 ringgit.

Terlalu murah nyawa dan jiwa raga dibeli untuk yang kayangan terus berkuasa.

Anda mungkin juga menyukai