Anda di halaman 1dari 5

Sekali peristiwa, dua ekor katak bersuka ria setelah lama

menanti hujan.

Kemarau memanjang menyebabkan kedua-dua ekor katak


menunggu-nunggu hujan turun. Oleh sebab terlalu gembira, kedua-
dua ekor katak melompat-lompat dan terjatuh ke dalam telaga
buruk.

Peristiwa malang itu disedari oleh katak-katak lain yang


melihat kemalangan itu. Namun, mereka tidak dapat berbuat apa-
apa. Malah, ada yang berkata, "Dalamnya perigi itu! Tentulah
mustahil kedua-dua ekor katak akan berjaya naik semula ke atas!"

Perkataan itu melemahkan salah seekor katak itu. Namun,


katak yang seekor lagi terus melompat dan mencuba.

Dari atas perigi itu, banyaklah sorakan dan pekikan memberi


semangat. Terdengar pula, seekor katak antara yang banyak itu
berkata, "Aku rasa kedua-duanya akan mati di dalam perigi buta itu
kerana perigi itu amat dalam!"
Mendengar pendapat itu, katak yang sudah lemah semangat tadi
hampir berputus asa pula. Katak itu tidak ingin mencuba lagi.
Segala-galanya dirasakannya sia-sia sahaja.

Ketika itu pula, katak itu terdengar pendapat yang lain,


"Bagaimana daya seekor katak ingin melepasi perigi yang sebegitu
dalam dan licin pula?"

Mendengar pendapat itu, katak yang sudah lemah semangat itu


menyerahkan dirinya pada takdir. Katak itu merasakan sudah sampai
masanya akan mati.

Namun, katak yang seekor lagi itu, melompat dan mencuba.


Walaupun terasa keletihan, namun katak itu tetap bulatkan hati dan
terus mencuba.

Entah kali keberapa, katak itu tidak pernah menghitung. Katak


itu hanya tahu keadaannya amat bahaya. Katak itu tidak mahu mati
kebuluran di dalam perigi buta tersebut.

Itulah yang ditumpukan tanpa berfikir yang bukan-bukan.


Kegigihan katak itu menyebabkan katak-katak di atas perigi berasa
takjub dan hairan. Semangatnya yang begitu tinggi amat dikagumi.

Katak itu melompat lagi. Gagal. Katak itu melompat dan melekat di
tebing licin dan jatuh. Gagal lagi! Katak itu menghimpunkan tenaga
dan melompat.

Katak itu memegang tebing perigi dan melompat sekuat hati.


Katak itu dapat mencapai tebing dan terus keluar. Semua katak
yang datang ke tempat itu memberi pujian.

Beberapa ketika, barulah katak-katak itu menyedari rupa-


rupanya katak tersebut pekak dan tidak mendengar apa-apa yang
mereka katakan. Barulah mereka tahu bahawa katak itu hanya
melompat dan melompat, tanpa menghiraukan apa yang diperkatakan
oleh mereka semua.

Manakala katak yang tidak pekak masih berada di dalam perigi


itu. Oleh yang demikian, masih belum diketahui lagi nasibnya.

Di bawah perigi sana, katak itu sudah tidak berbuat apa-apa


lagi. Katak itu telah banyak mendengar kata-kata katak lain. Katak
itu percaya pada kata-kata bahawa ia akan gagal, walaupun mencuba
kerana sememangnya telaga itu dalam dan sukar untuk dilepasi.

Kawan-kawan, sesungguhnya kejayaaan datang daripada usaha yang


tidak putus-putus dan tidak lemah semangat dengan kata-kata orang
di sekeliling kita. Katak itu mendapat tuah kerana pekak dan tidak
mendengar ucapan yang melemahkan semangat ketika cuba melompat
untuk menyelamatkan dirinya.

Ambillah iktibar daripada cerita katak yang pekak ini.


Pernahkah Kawan-kawan dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang tidak
memberikan semangat?

Mereka mengatakan pelajaran itu susah dan pelajaran ini sukar


untuk difahami. Kalau kita turut mendengar dan terpengaruh, jadilah
kita seperti seekor katak yang berputus asa di dalam perigi itu.

Sebaliknya, kadang-kadang kita harus pekak seperti katak


yang pekak itu. Jangan pedulikan kata-kata yang tidak memberikan
semangat dan tidak pula memberikan perangsang. Dengan
memekakkan telinga dan terus belajar, lambat-laun kita akan
berjaya juga.

Begitulah yang dimaksudkan dengan pekak yang membawa tuah.


Jangan pula disalahfahamkan sebagai tidak mendengar nasihat. Kita
ibaratkan masa belajar adalah seperti suasana getir kedua-dua ekor
katak di dalam perigi buta tersebut.

Sekiranya ketika menghadapi kesusahan belajar, datang pula


pengaruh yang tidak baik dan melemahkan semangat, kita haruslah
menjadikan diri seperti katak yang pekak. Teruskan usaha tanpa
mempedulikan ejekan dan hasutan.
Sekiranya kita dapat memekakkan telinga dan secara
berterusan berusaha belajar, akhirnya kita akan mencapai kejayaan
yang dikehendaki. Itulah perumpamaan yang setepatnya. Begitulah
yang dimaksudkan pekak membawa tuah.

Anda mungkin juga menyukai