Anda di halaman 1dari 9

pelaksanaan Pendidikan Moral di sekolah

Isu pelaksanaan Pendidikan Moral di sekolah seperti: • Pengajaran dan pembelajaran

1.0 Pengenalan Pendidikan Moral

Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik pelajar supaya menjadi insan yang
bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral,
perasaan moral dan tingkah laku moral. Pendidikan Moral di sekolah memberi tumpuan
kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan pelajar melalui penghayatan
dan amalan nilai- nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan
adat resam pelbagai kaum di negara ini. Selain itu, Pendidikan Moral memfokuskan kepada
apakah sebenarnya yang dikatakan ‘insan bermoral’. Ini kerana apa pun pendekatan yang
akan digunakan mestilah berasaskan kepada kefahaman yang tepat dan jelas tentang insan
bermoral itu sendiri. Menurut John Wilson (1973), komponen yang perlu ada dalam diri
seorang insan bermoral dikategorikan sebagai konsep iaitu peraturan dan prinsip yang
difikirkan perlu digunakan dalam tindakan dan perasaan atau emosi yang akan menyokong
kepercayaan bahawa sesuatu konsep atau tindakan itu perlu dilakukan. Selain itu seorang
insan bermoral juga perlu mempunyai pengetahuan tentang keadaan persekitarannya, tahu
berinteraksi dengan orang sekelilingnya dan bertindak mengikut pertimbangan yang telah
difikirkan atau keputusan yang telah dibuat. Lickona (1991) pula menyatakan untuk menjadi
seorang yang bermoral, seseorang itu perlu mengetahui kebaikan, menginginkan kebaikan
dan melakukan kebaikan. Dengan itu pelajar dapat membina satu panduan hidup yang
membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka menjadi
individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan
yang dilakukan.

2.0 Permulaan tercetusnya pelaksanaan Pendidikan Moral di sekolah

Berdasarkan Penyata Razak 1956 sekolah vernakular telah digantikan dengan sistem
pendidikan kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan. Mata pelajaran Tatarakyat
mula Diperkenalkan untuk memupuk perpaduan di kalangan pelajar berbilang kaum yang
terpisah oleh sistem pendidikan vernakular. Semua pelajar diwajibkan mempelajari mata
pelajaran tersebut. Namun selepas merdeka, masalah perpaduan kaum tidak dapat
diselesaikan secara optimum. Kesan masalah hubungan kaum jelas kelihatan apabila
tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969. Cabaran ini menjadi tanggungjawab kerajaan untuk
mengatasinya. Melalui sekolah secara langsung khususnya dengan pelaksanaan mata
pelajaran Pendidikan Moral. Sekolah sebagai sebuah institusi sosial merupakan agen untuk
menyalurkan nilai-nilai kemanusiaan yang mulia, diterima dan diingini oleh masyarakat
Malaysia. Oleh itu, peluang menyedari dan mengamalkan nilai-nilai moral dapat dijalankan
secara langsung dan tidak langsung di sekolah (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1982).
Pendidikan Moral sekolah rendah yang mula dilaksanakan pada tahun 1982 mengandungi
12 nilai daripada 16 nilai murni yang menjadi teras KBSR dan 22 KBSM. Nilai-nilai ini adalah
berdasarkan agama, tradisi dan norma-norma masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
serta norma-norma kemanusiaan sejagat yang sesuai dengan prinsip-prinsip Rukun Negara
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 1982). Apabila Pendidikan Moral KBSM mula
dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 1989, kesemua 16 nilai murni dijadikan nilai utama
dan 62 pecahan nilai telah diajarkan. Peperiksaan untuk mata pelajaran Pendidikan Moral
(dikenali sebagai kertas Pengetahuan Moral) telah diadakan pertama kalinya pada tahun
1993 di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

3.0 Kepentingan Pendidikan Moral

Dalam sistem pendidikan di negara kita penumpuan terhadap dasar pendidikan untuk
melahirkan insan yang baik, menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek adalah jelas berdasarkan apa yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Elemen akhlak, moral dan nilai-nilai mumi merupakan salah satu unsur yang
penting dalam memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini tercapai. lni jelas
termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu: Pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara. Satu daripada aspek penting yang jelas dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan itu ialah pembentukan insan berakhlak mulia. Justeru kepentingan
penghayatan nilai mumi dalam kalangan manusia amat penting, kerana nilai mumi yang
dihayati itu akan menentukan jenis manusia yang diingini. Sejajar dengan itu, subjek
Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam telah diajar di sekolah-sekolah untuk membentuk
generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.
Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk memastikan wujudnya
nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Nilai-nilai murni penting dalam kehidupan
untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut
dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk
insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kini, bilangan pelajar di
negara kita semakin bertambah, jika tidak diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak di
bangku sekolah maka mereka akan menjadi generasi yang akan merugikan negara pada
masa kelak. Hal ini kerana, nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang
harmoni di Malaysia. Di peringkat sekolah pula, didikan moral yang positif dan nilai murni
yang diterapkan oleh guru, akan dapat mengelakkan diri pelajar daripada terjebak dalam
pelbagai pengaruh negatif luar yang tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Bekas
Perdana Menteri, Tun Sri Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan subjek Pendidikan Moral
di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah adalah bertujuan memupuk nilai-nilai
murni remaja sejak di bangku sekolah. Hal ini demikian kerana negara memerlukan
generasi yang berpengetahuan, berwibawa dan berwawasan, berdisiplin, hemah tinggi,
dedikasi, berfikiran luas serta positif. Guru-guru dan keadaan sekolah yang kondusif boleh
membantu para pelajar untuk mewujudkan nilai murni dalam diri mereka. Kewujudan nilai-
nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang
akademik, tetapi juga bidang kokurikulum. Sebagai contohnya, guru-guru yang
menunjukkan sikap positif boleh menjadi role model kepada para pelajar. Tambahan pula,
keadaan sekolah yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan pembelajaran dapat
memudahkan para pelajar belajar dan seterusnya dapat memupuk sikap pasif dalam diri
mereka. Begitulah caranya sekolah dapat membantu para pelajarnya menjadi seorang yang
memiliki nila-nilai murni dalam diri mereka. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada
hari ini terlalu materialistik dan mementingkan kemewahan. Oleh itu, tanggapan sesetengah
pihak yang menganggap kononnya nilai kasih sayang yang boleh ditukar ganti dengan harta
benda merupakan satu kesilapan besar. Sebenarnya, gejala sosial yang semakin berleluasa
ini berpunca daripada kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa terlalu
sibuk dan tiada masa untuk menerapkan nilai-nilai murni kekeluargaan seperti kesopanan,
adab dan kelakuan yang baik kepada anak-anak. Oleh itu, dalam usaha memupuk nilai
murni dalam diri anak-anak, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin terhadap anak mereka
bagi membina sebuah keluarga yang harmoni. Kesimpulannya, semua masyarakat di
negara ini perlulah tahu dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing. Hal ini
demikian kerana, terdapat banyak kepentingan bagi nilai-nilai murni yang wujud dalam diri
kita. Selain itu, terdapat banyak juga langkah untuk mewujudkan nilai-nilai murni ini. Sebagai
hasilnya, negara akan memiliki rakyat yang produktif dan berkualiti.
4.0 Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral

Pendidikan Moral ialah mata pelajaran teras atau wajib untuk semua murid yang tidak
mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam di dalam semua peringkat persekolahan iaitu
dari pra-sekolah sehingga ke Tingkatan 5 (Akta Pendidikan 1996). Pendidikan Moral ini
merupakan satu sukatan pelajaran yang asas dan bersifat am untuk membolehkan guru-
guru bertindak balas terhadap perkembangan baru berkaitan dengan kandungan dan bentuk
atau kaedah pendidikan moral, terutama perkembangan yang boleh membawa kepada hasil
pendidikan moral yang diingini. Sukatan pelajaran ringkas yang dicadang terdiri daripada
pernyataan objektif pendidikan Moral bagi tiga lingkungan umur (rendah 6 – 11 tahun,
menengah rendah 12 – 14 tahun dan menengah atas 15-16 tahun). Objektif-objektif ini
diambil daripada atau dipengaruhi oleh kelima-lima matlamat moral.

4.1 Pendidikan Moral di Sekolah Rendah

Pendidikan Moral yang dilaksanakan di sekolah dirujuk melalui Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) Pendidikan Moral bagi menggantikan KBSR. Kurikulum Standard
Pendidikan Moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan
kerohanian dan moraliti murid melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni universal
yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Dengan itu
murid dapat satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral.
Ini membolehkan mereka menjadi individu yang berintegriti moral dan sosial terhadap
segala keputusan dan tindakan yang dilakukan. Beberapa prinsip utama telah dikenal pasti
sebagai panduan dalam melahirkan insan yang menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi
dan sosial.Prinsip-prinsip itu adalah: • Bertanggungjawab pada diri, keluarga dan orang lain;
• Berpegang teguh pada ajaran agama; • Prihatin kepada alam sekitar; • Mengekalkan
keamanan dan keharmonian hidup; • Bersemangat patriotik; • Menghormati hak asasi
manusia; dan • Mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan. Pemilihan prinsip-prinsip
di atas dilakukan untuk merealisasikan semangat dan hasrat yang terkandung dalam Rukun
Negara,Wawasan 2020, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan(PIPP). Sebagai sebuah negarayang sedang melangkah ke arah status negara
maju, kita perlu membina masyarakat yang bermoral dan beretika, iaitu sebuah masyarakat
bersatu padu yang mempunyai nilai keagamaan dan keharmonian yang kukuh.
4.2 Pendidikan Moral di Sekolah Menengah

Matlamat am Pendidikan Moral Sekolah Menengah ialah untuk membentuk individu yang
berperibadi mulia melalui pemupukan, penghayatan dan mengamalkan nilai-nilai murni
(Falsafah Pendidikan Negara, 1979, Sukatan Pelajaran 1988). Fokus pengajaran dan
pembelajaran Pendidikan Moral adalah ke arah mempelbagaikan kegunaan isu dan situasi
dalam pembelajaran Pendidikan Moral agar pelajar-pelajar bersedia menghadapi konflik
moral dan menyelesaikannya berasaskan kepada nilai dan prinsip moral (Sukatan Pelajaran
1988). Pendidikan Moral di sekolah menengah memberi tumpuan kepada usaha memupuk
kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni
masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di
negara ini. Dengan itu, murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan
mereka menjadi insan yang bermoral. Hal ini membolehkan mereka menjadi individu yang
bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang
dilakukan. (Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral, 2000). Secara amnya, Sukatan Pelajaran
Pendidikan Moral untuk Sekolah Menengah (1988) mempunyai beberapa objektif bagi mata
pelajaran ini. Tujuannya untuk membolehkan pelajar: 1. Memperkukuh dan
mempertingkatkan amalan, tabiat dan tingkah laku yang selaras dengan sikap dan nilai
moral yang diperolehi pada peringkat sekolah rendah. 2. Menyedari, memahami dan
menghayati norma dan nilai murni masyarakat Malaysia. 3. Membentuk pemikiran yang
rasional berasaskan prinsip-prinsip moral. 4. Memberi sebab-sebab yang munasabah
berdasarkan pertimbangan moral dalam membuat sesuatu keputusan. 5. Menggunakan
pertimbangan yang berlandaskan prinsip-prinsip moral sebagai panduan dalam amalan
kehidupan sehari-hari. Ini selaras dengan matlamat Pendidikan Moral yang merupakan satu
program untuk mendidik murid supaya menjadi seorang insan yang bermoral atau berakhlak
mulia dengan menekankan perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah
laku moral. (Sukatan pelajaran Pendidikan Moral, 2000).

5.0 Perlaksanaan Pendidikan Moral di Sekolah.

Dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Moral terdapat pelbagai
pendekatan yang digunakan. Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif adalah berasaskan
kepada teori perkembangan moral Kohlberg (1962) yang memberi fokus kepada
merangsang perkembangan moral para remaja (pelajar). Pedekatan ini banyak membantu
membina kebolehan menaakul golongan remaja di peringkat yang lebih tinggi. Bailey (1979)
dalam (Chang Lee Hoon, 2005) turut menyatakan bahawa perkembangan moral pada
peringkat ini lebih tertumpu kepada perkembangan karakter atau ciri-ciri moral, sikap
terhadap peraturan moral dan membuat pertimbangan moral. Di samping itu juga, istilah
‘perkembangan’ memberi satu gambaran yang menunjukkan satu perubahan yang progresif
ke tahap yang lebih kompleks yang tidak boleh diterbalikkan, maka perkembangan moral
membayangkan andaian mengenai apakah yang dianggap matang dari segi moral (Downey
& Kelly (1978) dalam Chang Lee Hoon (2005). Terdapat beberapa perspektif atau teori
perkembangan moral yang membawa implikasi terhadap pendidikan moral, khususnya
dalam kebanyakan gejala sosial yang berlaku kini. Penaakulan moral yang matang adalah
penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran dan penerapan nilai-
nilai murni dalam kalangan remaja (Loganathan, 1995). Stoll & Beller dalam Loganathan
(1995) turut melaporkan bahawa sekolah-sekolah kini sedar bahawa sesuatu harus
dilakukan untuk mengajar nilai-nilai murni dan yang lebih penting lagi adalah mengajar
pelajar cara menaakul tentang sesuatu nilai. Namun, Wilson (1973) memang telah
menjelaskan bahawa penaakulan moral merupakan suatu kemahiran yang boleh diajar dan
dipelajari. Guru Pendidikan Moral juga harus sedar bahawa di sekolah sendiri merupakan
sumber pembelajaran moral secara tidak langsung. Suasana sosial di sekolah, cara sekolah
itu ditadbir dan bagaimana guru-guru bertingkah laku akan memberikan pengaruh secara
tidak langsung kepada pembelajaran moral para pelajar di sekolah. T. Mariuthu (1980)
dalam Rosiadi (2008) menjelaskan bahawa remaja menghabiskan hampir seluruh masanya
di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding dengan keluarga.
Organisasi dan struktur belajar di sekolah seperti pengagihan pelajar mengikut pencapaian,
pihak berkuasa yang menekankan peperiksaan, bentuk, struktur ganjaran dan hukuman,
sikap dan harapan guru, kesemuanya menggalakkan masalah disiplin dalam kalangan
pelajar yang lemah dari segi akademik. Keadaan ini sudah tentu berbeza jika pelajar yang
belajar di sekolah yang ternama dan tinggi penghayatan moralnya sudah tentu lebih
beruntung dan mudah proses pemupukan nilai dilakukan berbanding dengan sekolah yang
sebaliknya. Dengan cara ini, Guru Pendidikan Moral di sekolah terbabit berperanan
mengembangkan moral kognitif pelajar yang bermasalah. Menyentuh peranan guru dalam
menangani masalah vandalisme di sekolah, ia perlu dilihat dari sudut sikap guru itu di mana
beliau hampir dengan pelajar selepas ibu bapa (Abdullah, 2005). Sudah tentu usaha ini
akan memberi kesan kepada masalah pelajar kerana tanggungjawab mendisiplinkan pelajar
terletak di bahu guru di sekolah. Selaras dengan kepentingan Perkembangan Moral
mengikut skema Kohlberg (1975) mengatakan bahawa penaakulan moral bukan sahaja
merupakan salah satu faktor yang menggerakkan tingkah laku moral tetapi penaakulan
moral juga adalah faktor paling penting yang pernah dikaji dan terbukti dapat menggerakkan
tingkah laku moral. Kohlberg membicarakan bahawa bagaimana individu boleh bertingkah
laku moral jika dia tidak faham dan tidak berfikir tenang sebab kenapa dia patut bertingkah
laku sebegini. Justeru, Guru Pendidikan Moral harus bersedia mengajar nilai-nilai moral
sekaligus memperkembangkan pengetahuan moral pelajar agar mencapai matlamat untuk
melahirkan individu yang bermoral tinggi. Tambahan Loganathan (1995) penaakulan moral
yang matang adalah penting kerana pemikiran yang rasional memudahkan pembelajaran
dan penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan remaja di sekolah. Selain itu, Guru
Pendidikan Moral haruslah bertanggungjawab menyalurkan objektif-objektif seiring dengan
penerapan nilai-nilai murni Pendidikan Moral dalam kalangan pelajar. Di bawah rancangan
KSSR dan KSSM, nilai-nilai murni diterapkan bukan sahaja dalam mata pelajaran
Pendidikan Moral tetapi juga dalam semua mata pelajaran yang lain. Selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, KSSR dan KSSM digubal berdasarkan kepada prinsip
kesepaduan unsur-unsur yang membolehkan potensi individu berkembang secara
menyeluruh dan seimbang. Justeru itu, bagi mencapai matlamat Pendidikan Kebangsaan,
pelajar-pelajar sekolah akan diberi peluang menghayati nilai-nilai murni serta
mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Keadaan ini sejajar dengan
perkembangan moral kognitif pelajar berkenaan dengan ‘pertimbangan moral’ (moral
judgement) Kohlberg (1987) dalam Chang Lee Hoon (2005) yang mengklasifikasikan
terdapatnya tiga ciri pertimbangan moral bagi golongan pelajar iaitu : (i) pertimbangan
tentang nilai bukan fakta (ii) pertimbangan sosial yang melibatkan pertimbangan tentang
manusia (iii) pertimbangan normatif atau preskriptif, pertimbangan tentang patut, hak dan
tanggungjawab dan bukan pertimbangan nilai tentang kecenderungan sendiri. Sejajar
dengan tanggungjawab besar para guru seperti yang terkandung dalam Etika Profesion
Perguruan (EPP), Guru Pendidikan Moral juga tidak lepas daripada tanggungjawab ini. Ikrar
dalam EPP, ‘.... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak
muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima
tatasusila berikut sebagai panduan’ (Yahya Buntat, et.al, 2003). Dengan menjalankan tugas
penuh dedikasi sebagai seorang pendidik, adalah diharapkan bahawa matlamat pendidikan
kebangsaan dapat dicapai bagi menghasilkan pelajar-pelajar yang bertanggungjawab dan
mempunyai akhlak yang bermoral tinggi serta mulia. Adalah diharapkan juga para pelajar
menolak sikap devian mereka agar tidak terlibat dalam gejala vandalisme di tempat awam
ataupun sekolah. Antara lain, kekuatan moral bakal melahirkan masyarakat “berminda kelas
pertama” adalah masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja
cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral. Masyarakat tersebut juga tahu
menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa
dan agamanya. Identiti nasionalnya kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh
dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi. Prinsip-prinsip kepercayaan kepada
Tuhan dan kesetiaan kepada Raja dan negara senantiasa dijunjung. Semangat Islam
Hadhari yang menekankan kepada pegangan prinsip-prinsip berasaskan nilai-nilai universal
yang luhur, akan diterapkan. Menyentuh tentang konsep ‘Guru Pendidikan Moral dan
Aspirasi Negara’ di mana telah meletakkan satu tanggungjawab penting kepada semua
guru. Selain Kod Etika Profesion Perguruan (EPP), aspirasi negara disandarkan kepada
tanggungjawab untuk membangunkan negara. Guru berkenaan harus menjadi teladan (role
model) dalam mempraktikkan prinsip yang positif di samping menyebarkan mesej yang
diingini kepada para pelajar. Dalam isu ini, mesej untuk menolak sebarang perbuatan yang
bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-undang negara wajar ditonjolkan dalam
kalangan pelajar melalui penggemblengan usaha bersama agar imej institusi pendidikan
dapat dipelihara sepenuhnya sekaligus membentuk generasi Malaysia yang
bertanggungjawab dan berwawasan.

6.0 Kesimpulan

Perkembangan pendidikan di Malaysia ternyata mengalami banyak perubahan, terutama


sejak zaman penjajahan hinggalah zaman selepas merdeka. Perubahan dalam sektor
pendidikan menjadi intipati penting dalam pengukuhan perpaduan negara ke arah yang
lebih baik kerana pendidikan menjadi peneraju pembentukan masyarakat. Aspek-aspek
murni amat ditekankan dalam pendidikan kerana sebagai sebuah masyarakat majmuk, nilai-
nilai murni perlu ada dalam diri setiap masyarakat. Namun, walaupun banyak perubahan
yang telah dilakukan, kelemahan-kelemahan masih lagi wujud dan perlu diambil serius oleh
pihak kerajaan untuk menyelesaikannya dengan segera. Kelemahan yang wujud umpama
barah yang akan merebak menjadi semakin besar, malah boleh menyebabkan perpecahan
dalam masyarakat. Masalah-masalah yang melibatkan isu-isu antara kaum perlu
diselesaikan segera, bukan dibiarkan senyap begitu sahaja. Oleh itu, untuk mencapai
matlamat perpaduan negara yang kukuh, seluruh masyarakat perlu berganding bahu,
seiring dengan usaha murni kerajaan melalui dasar-dasar dan rancangan baru. Mutu
pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi tunggak
kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan dapat merealisasikan
Wawasan 2020.
Bibliografi Chang Lee Hoon (2002). Perkembangan domain moral dalam pengajaran dan
pembelajaran sains sosial. Kertas yang dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pengajaran
dan Pembelajaran Sains Sosial, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya pada 19 Januari,
2002. Kementerian Pendidikan Malaysia (1982). Matlamat, bentuk dan bidang pelajaran.
Dalam Ibrahim Saad (Ed.), Dari pedagogi ke politik. Kuala Lumpur: Utusan Pub. Lickona,T.
(1991). Educating For Character : How Our Schools Can Teach Respect And Responsibility.
New York: Bantam. Wilson, John. (1973). A Teacher’s Guide To Moral Education. London:
Geoffrey Chapman.

Anda mungkin juga menyukai