Anda di halaman 1dari 3

Mesir Ibu Dunia

Melangkah ke bumi seribu menara, muzium raksasa ini


pastinya mengundang seribu satu macam keanehan dan ketakjuban,
lebih lebih lagilah mereka yang pertama kalinya menjejakkan kakinya
le bumi kinanah ini. Dengan peradabannya yang telah dimulai sejak
sekitar 7000 tahun yang lampau Mesir masih gah menyenaraikan
dirinya dalam senarai dunia sebagai sebuah negara yang pernah
mencatatkan tamadunnya yang agung. Contohnya Pyramid dan
Sphinx yang telah menjangkau usia berabad lamanya, namun masih
berdiri kukuh dan masih dapat dilihat dengan jelas hingga ke hari ini.

Tidak hairanlah, setiap langkah yang kita susuri di bumi


Anbiyak ini pernah mencatatkan cerita dan nostalgia yang masih
terukir sehingga ke hari ini. Kalau kita ada kelapangan untuk
berjalan dan menggelilingi sekitar bumi Mesir ini, kita dapat melihat
dengan jelas, rata-rata bangunannya sangat usang dan dindingnya
yang bertampal, serta atapnya yang berdebu tebal, dinding yang
lusuh, dan kebanyakan bangunannya berwarna kelabu. Mungkin
kerana bumi ini yang sentiasa berdebu, di kelilingi oleh padang pasir
dan sering dilanda ribut pasir, justeru memilih warna kelabu adalah
pilihan yang paling selamat, untuk mengelakkan pencemaran dinding
bangunan untuk jangka panjang. Di dalam bangunan usang itu
jugalah pelbagai generasi silih berganti meneruskan kehidupan
berabad - abad lamanya.

Bercakap tentang sosio budaya masyarakat, rata-rata secara


umum, Islam tidaklah sepenuhnya dimenifestasikan dalam
kehidupan rakyatnya, dan kekuatan beragama pada aspek tertentu
kelihatan semakin luntur. Untunglah fenomena Arab Islam dalam
sosial budaya masyarakat Mesir masih sangat menonjol. Kalaulah
bukan peranan dan perjuangan ulama' Islam sudah pastilah telah
lama bangsa Arab ini melepaskan ikatan Islam di dalam kehidupan
mereka secara total.

Meskipun rakyat Mesir terpaksa 'berkerat rotan berpatah


arang', menyaring budaya kuning yang saban hari menujah
pemikiran anak bangsa mereka, sama ada melalui media cetak,
telivisyen atau pelancongan, kehidupan beragama masih dapat kita
perhatikan di mana-mana. Alunan bacaan al-quran masih dapat kita
dengari sama ada di kedai-kedai Arab, mahu pun dalam kenderaan,
yang adakalanya terpaksa bersaing dengan lagu pop yang menjadi
kegemaran anak muda Arab, seperti Amru Diab, Majdah Rumi, Diana
Haddad, Hisyam Abbas dan lain-lain lagi. Tulisan bertulis ayat al-
quran juga masih banyak kelihatan di dinding bangunan, pintu-pintu
rumah, malah kalau kita perhatikan di tembok tembok tapak
bangunan yang belum dibina kita dapat perhatikan 'kalamullah'
adakalanya dipaparkan dengan tulisan tangan dengan nyata.

Tentang kehidupan umum masyarakat Mesir, kita menyaksikan


budaya masyarakat kaya yang gemarkan kereta mewah sementara di
aspek lain lain kita juga dapat menyaksikan orang miskin yang
mengenderai haiwan kaldai sebagai tunggangan, sumber untuk
mendapatkan sesuap rezeki menyambung kehidupan. Walaupun
masyarakat Mesir terkenal dengan kekerasan mereka, namun pada
beberapa aspek lain juga, kita boleh katakan bangsa Mesir ini sangat
beradab sopan dan tinggi budi pekertinya, contohnya mereka suka
tolong - menolong dan membantu orang orang tua. Hinggakan
adakalanya kita terlihat penumpang teksi yang membantu pemandu
menolak kenderaan mereka yang rosak. Fenomena begini tentulah
sukar dilihat di negara kita sendiri. Di dalam bas juga kaum wanita
sering mendapat priority untuk duduk. Anak - anak muda dan kaum
lelaki sering mendahulukan orang tua dan kaum wanita mereka
untuk duduk di dalam kenderaan awam. Di samping itu kita tidak
nafikan sifat negatif seperti pembengis, suka marah, mencela, sikap
puas, bangga dan memuja keadaan yang sedia ada sehingga muncul
ungkapan memuja tanah air mereka sepeti 'Misr Ummud Dunya'
(Mesir Ibu Dunia), 'Misr Ahsan Fil Alam' (Mesir Negara Terbaik di
dunia) dan lain lain lagi.

Bangsa Mesir merupakan bangsa yang memiliki citra dan


wawasan yang tersendiri. Di tengah-tengah desakan hidup dan
kepayahan yang bertumpang tindih dalam kehidupan mereka, kita
melihat bangsa ini masih mampu tersenyum dalam kesukaran dan
kepayahan mereka meneruskan hidup, dalam keadaan rakyat
peribumi mereka hidup dengan serba kepayahan dan bersesak-sesak
di mana-mana, kerana kepadatan penduduk. Masyarakat Mesir
memang satu bangsa yang tidak kenal erti rendah diri atau 'inferiority
complex', baik orang miskin mahupun orang kaya. Keramahan
mereka yang luar biasa juga adakalanya amat merimaskan,
terutamanya bagi orang Malaysia seperti kita yang tidak gemar
begurau keterlaluan atau 'over acting'. Lebih lebih lagi bila diajukan
pertanyaan yang adakalanya langsung tidak munasabah dan lojik,
lebih layak dikatakan soalan bodoh. Bagi mereka, orang Malaysia
yang belajar di sini sama saja, jika pada pandangan mereka kita telah
melakukan suatu yang menyalahi, lantas ditengking sesuka hati
tanpa teragak-agak, tak kira siapa, ustaz ke..., orang tua ke..., atau
orang perempuan, bagi mereka semuanya sama saja.

Meminum 'syai' (teh) merupakan satu kegemaran yang tak


asing lagi pada bangsa ini, bahkan merupakan satu kebanggaan dan
tanda penghormatan kepada para tetamu yang berkunjung. Kalau
anda sedang berehat, tiba - tiba dikejutkan dengan sorakan, anda
jangan terperanjat kerana itu adalah sorakan penonton perlawanan
bola yang merupakan satu permainan yang paling digemari oleh
bangsa ini.

Bangsa Mesir juga dikenal sebagai bangsa yang mempunyai


ikatan kekeluargaan yang erat. Rata-rata kita dapat lihat, anak-anak
berjalan berdampingan dengan ayah dan ibu mereka, berpegang-
pegangan tangan, berbual rancak dan mesra, tak kering idea.
Kadang-kadang kita merasa sangsi adakah mereka berbual sesama
anak-beranak atau dengan orang lain yang baru mereka kenal. Ini
kerana pemandangan begini sukar dilihat pada bangsa kita sendiri.
Mereka sering berjalan berpegang -pegangan tangan. Demikian juga
dengan pasangan suami isteri, meskipun usia perkahwinan
menjangkau separuh abad, namun keintiman dan sifat romantik
masih jelas dapat kita saksikan. Mereka masih boleh berbicara
panjang lebar dan berbual mesra. Mereka berjalan seiring dan saling
berpimpinan tangan, melambangkan bangsa ini sangat memelihara
hubungan kekeluargaan dan ikatan sesama mereka. Seorang Jerman
menyuarakan komentarnya: Saya sangat kagum bagaimana bangsa
ini dapat meneruskan hidup di tengah - tengah kesesakan dan
kepadatan penduduk, kecelaruan yang menyakitkan kepala dan
penempatan yang tidak sistematik. Kalau bangsa lain menghadapi
keadaan sebegini rupa, nescaya timbul pelbagai krisis yang tidak
diduga.." ujarnya.

Seorang wartawan Cina pernah menyuarakan: Yang menjadi


perhatian saya terhadap bangsa ini adalah sikap puas, merasa
cukup dan berpada dengan apa yang ada, ini kerana dorongan
spritual dalam kehidupan mereka" Beliau menjelaskan lagi: Saya
sering memerhatikan 'bawwab' (penjaga pintu rumah) di hadapan
rumah saya yang hidup seadanya, hanya dengan ruang rumah di
tingkat 'ardhiyyah' ( ground floor) yang kecil dan satu kamar mandi,
sudah cukup untuk menaungi kehidupan mereka sekeluarga.
Meskipun begitu, saya tidak pernah mendengar mereka mengeluh
dengan kehidupan mereka, bahkan mereka masih mampu tersenyum
dan bergurau senda.

Orang orang cacat juga masih mendapat tempat di dalam


kehidupan sosial, masih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran
sehingga ke peringkat universiti. Dengan bantuan rakan-rakan
seperjuangan yang sanggup berkorban memikul rakannya yang cacat
menaiki bas dan memanjat tangga bangunan, mereka dapat
meneruskan kehidupan seperti orang lain yang sempurna.
Demikianlan tabahnya bangsa ini dan sikap tolong-menolong, serta
pengorbanan yang bukan kepalang dan begitu sukar untuk kita
saksikan di dalam masyarakat kita sendiri.

Itulah Mesir yang mengundang jutaan pengalaman kepada para


pengunjungnya.

Anda mungkin juga menyukai