Anda di halaman 1dari 8

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/356632511

PENGGUNAAN APLIKASI SEMASA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


BAHASA MELAYU SECARA ATAS TALIAN DALAM KALANGAN GURU PELATIH
UPSI

Conference Paper · November 2021

CITATIONS READS

0 2,317

1 author:

Noor ZUHIDAYAH Muhd Zulkifli


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
15 PUBLICATIONS 6 CITATIONS

SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Noor ZUHIDAYAH Muhd Zulkifli on 30 November 2021.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


PENGGUNAAN APLIKASI SEMASA PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU SECARA ATAS TALIAN
DALAM KALANGAN GURU PELATIH UPSI

NOOR ZUHIDAYAH MUHD ZULKIPLI1*

MD. ZAHRIL NIZAM MD. YUSOFF2

MUHAMMAD FADZLLAH ZAINI3

zuhidayah@fbk.upsi.edu.my*

Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris1

ABSTRAK
Pandemik COVID-19 masih lagi berlarutan sehingga hari ini. Sektor pendidikan merupakan sektor yang turut
menerima impak kerana kesemua institusi Pendidikan tidak dibenarkan beroperasi secara bersemuka. Pengajaran
dan pembelajaran (PdP) mula dilaksanakan secara atas talian yang dikenali sebagai pengajaran dan pembelajaran
di rumah (PdPr). Pelaksanaan PdPr masih lagi baharu dan aplikasi yang sesuai masih lagi menjadi tanda tanya.
Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan mengkaji amalan PdP secara atas talian menurut perspektif guru
pelatih. Data kajian dipungut melalui analisis dokumen, iaitu menganalisis rancangan pengajaran harian yang
disediakan oleh guru pelatih. Hasil kajian mendapati pelbagai aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih untuk
menyampaikan pengajaran Bahasa Melayu. Antara aplikasi yang kerap digunakan adalah YouTube, Google Meet,
WhatsApp dan Wordwall. Berdasarkan jurnal refleksi guru pelatih berkenaan reaksi murid pula, didapati para murid
berminat dan menunjukkan reaksi positif dengan aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih UPSI. Keadaan ini
memberi kesan terhadap kehadiran dan pencapaian akademik murid. Oleh itu, guru perlu bijak memilih aplikasi
yang sesuai untuk menarik minat murid mengikuti kelas yang diadakan secara atas talian.

PENGENALAN
Sistem pendidikan pada hari telah berubah ekoran penularan Coronavirus (Covid-19) yang masih
berlarutan di Malaysia. Hal ini menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan
agar pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka ditangguhkan (Siti Azura Abu Hassan et al.
2021). Keadaan ini memaksa PdP diteruskan secara atas talian bagi memastikan murid tetap mendapat
pendidikan walaupun tidak dapat hadir ke sekolah. Hal ini selari dengan aspirasi KPM dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. KPM (2013) telah menetapkan akses kepada pendidikan
sebagai salah satu aspirasi. Aspirasi ini menegaskan bahawa setiap kanak-kanak di Malaysiaberhak
mendapat akses kepada pendidikan tanpa mengira taraf ekonomi, latar belakang atau etnik. Aspirasi ini
juga telah menyebabkan keperluan mengajar secara atas talian dilaksanakan.

Susulan itu, proses PdP tetap diteruskan dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di
Rumah atau PdPR sebagai alternatif pembelajaran dalam situasi pandemik Covid-19 ini. PdPR ini telah
mengimplikasikan pembelajaran atas talian dengan melibatkan pelbagai pelantar (platform) dan aplikasi.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin seperti dinyatakan Ugartini dan Zamri (2021), PdP
secara atas talian perlu diadaptasi oleh semua pihak terutamanya murid dan guru dalam usaha
memastikan murid mendapat pendidikan dan tidak ketinggalan. Keadaan ini telah menyebabkan guru
menggunakan pelbagai aplikasi untuk memastikan pengajaran dapat disampaikan kepada murid
walaupun secara tidak bersemuka.

517
Selain itu, pemilihan pelantar yang bersesuaian sangat penting untuk melaksanakan PdPR. Hal
ini bagi mengelakkan berlakunya lag atau screen freeze yang mengganggu fokus pelajar sekiranya PdPR
dilakukan secara bersemuka atas talian (Tamilmullai & Salini Baloh 2021). Menurut Siti Balqis Muniroh
(2020), pelbagai perkara yang perlu dititikberatkan terutamanya capaian internet. Guru perlu mengenal
pasti tahap capaian internet sebelum memilih pelantar pengajaran yang sesuai untuk melaksanakan
PdPR. Jelas Tamilmullai dan Salini (2021), pemilihan dan penggunaan pelantar dan aplikasi yang sesuai
dapat membantu memudahkan proses PdP dan memastikan kelancarannya. Menurut Abdillah dan Musa
2021), norma baharu PdP dilaksanakan menerusi pelbagai pelantar seperti Google Classroom, Google
Meet, Zoom, Telegram, WhatsApp dan sebagainya untuk meneruskan aktiviti PdP dan memastikan
pelajar tidak ketinggalan. Guru perlu bijak memilih pelantar dan aplikasi yang sesuai dengan capaian
Internet murid bagi memastikan penyampaian pengajaran yang berkesan.

Oleh yang demikian, kajian ini memfokuskan penggunaan aplikasi semasa PdP bahasa Melayu
secara atas talian. Penelitian ini dilakukan untuk mendapatkan gambaran dan maklumat yang lebih tepat
tentang penggunaan aplikasi semasa PdP bahasa Melayu khususnya dalam kalangan guru pelatih
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kajian ini juga meneliti reaksi murid terhadap aplikasi yang
digunakan oleh guru pelatih UPSI. Hal ini dapat memperlihatkan penerimaan murid terhadap aplikasi
yang digunakan semasa PdP bahasa Melayu.

PERNYATAAN MASALAH
Pembelajaran atas talian bukanlah perkara asing dalam sistem pendidikan di Malaysia khususnya di
peringkat institusi pengajian tinggi (IPT). Namun, bagi peringkat sekolah sama ada sekolah menengah
mahupun sekolah rendah pembelajaran secara atas talian adalah perkara baharu atau norma baharu.
Keadaan ini menimbulkan kegusaran dan cabaran bagi para guru dan murid dalam melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Hal ini kerana berlaku perubahan yang ketara terhadap
proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) daripada pertemuan bersemuka, iaitu berhadapan antara
murid dan guru secara fizikal kepada pertemuan secara alam maya sama ada atas talian mahupun di luar
talian.

Selain itu, mantan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi Utusan Malaysia,
menyatakan terdapat lima cabaran melaksanakan PdP secara atas talian, iaitu ketiadaan peranti dan
jaringan internet yang sempurna, persekitaran hidup murid yang kurang kondusif, penguasaan guru
terhadap pedagogi digital, mentaliti murid, ibu bapa dan guru dan tahap keberkesanan PdP. Nur Hazirah
dan Masayu (2020) turut menyatakan guru mempunyai cabaran yang sangat besar dalam memastikan
kelancaran proses PdP. Usaha guru turut berlipat ganda kerana PdPR secara atas talian bagi peringkat
sekolah masih lagi baharu dan memerlukan penelitian yang mendalam. Guru perlu mengenal pasti
pendekatan yang sesuai untuk menjalankan PdPR dengan efektif.

Sehubungan dengan itu, terdapat pelbagai pendekatan yang dilakukan untuk melaksanakan
PdPR antaranya, adalah menggunakan aplikasi semasa menjalankan PdP secara atas talian. Menurut
Ugartini dan Zamri (2021), terdapat pelbagai pelantar atau aplikasi yang boleh digunakan mengikut
kesesuaian para guru bagi meneruskan aktiviti PdP secara atas talian dalam norma baharu hari ini.
Namun, guru perlu bijak memilih aplikasi yang sesuai dengan tahap capaian Internet di kawasan
pengajaran kerana masih terdapat beberapa kawasan yang masih tidak mempunyai capaian Internet yang
laju dan konsisten khususnya kawasan luar bandar. Keadaan ini menyukarkan guru untuk melakukan
pengajaran secara atas talian. Tamilmullai dan Salini (2021) turut menjelaskan cabaran yang perlu
ditempuh oleh guru semasa melaksanakan PdPR, adalah memastikan kelancaran proses PdP kerana
kekangan capaian Internet.

Oleh yang demikian, biarpun terdapat pelbagai aplikasi sedia ada dan bersifat interaktif, namun
penggunaan aplikasi yang sesuai perlu menjadi keutamaan para guru. Guru perlu bijak memilih dan

518
menggunakan aplikasi yang sesuai demi memastikan pengajaran dapat disampaikan dengan baik dan
menyeluruh kepada para murid. Hal ini dapat membantu murid untuk lebih mudah mengikut PdP dan
tidak ketinggalan dalam menuntut ilmu.

OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini memfokuskan aplikasi yang digunakan oleh guru dalam menyampaikan pengajaran bahasa
Melayu secara atas talian.

i. Meneliti aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih UPSI semasa PdP bahasa Melayu secara
atas talian.
ii. Meneliti reaksi murid terhadap aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih UPSI semasa PdP
bahasa Melayu secara atas talian.

METODOLOGI
Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kes, iaitu menumpukan kepada sesuatu fenomena atau entiti
dengan matlamat meneroka, membuat interpretasi dan mendapat pemahaman tentang sesuatu kes
(Othman Lebar 2017). Hal ini selari dengan objektif kajian ini yang meneliti penggunaan aplikasi dalam
konteks pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa Melayu secara atas talian. Reka bentuk ini
menggunakan pendekatan kualitatif digunakan dengan melakukan pengumpulan data menerusi kaedah
analisis dokumen. Analisis dokumen ini dilakukan terhadap rancangan pengajaran harian (RPH) yang
ditulis oleh guru pelatih Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebanyak 137 dokumen RPH
dianalisis daripada 137 orang pelajar semester lapan program Bahasa Melayu UPSI. Pelajar ini
merupakan guru pelatih UPSI yang menjalani latihan mengajar selama lapan minggu semasa pandemik
Covid-19. Analisis dokumen yang dilakukan hanya meneliti aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih
semasa PdP bahasa Melayu secara atas talian. Selain itu, kajian ini turut meneliti jurnal refleksi guru
pelatih UPSI berkenaan reaksi murid terhadap aplikasi yang digunakan semasa PdP bahasa Melayu. Data
ini dapat memperlihatkan penerimaan murid terhadap aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih UPSI.

DAPATAN
Analisis dokumen ini dilakukan terhadap 137 RPH yang disediakan oleh 137 orang guru pelatih UPSI.
Hasil analisis mendapati majoriti 83 orang guru pelatih UPSI yang mewakili 60.6 peratus menggunakan
aplikasi semasa PdP bahasa Melayu secara atas talian, manakala 54 orang guru lagi, iaitu 39.4 peratus
tidak menggunakan sebarang aplikasi. Dapatan ini jelas menunjukkan masih terdapat guru pelatih UPSI
yang tidak menggunakan aplikasi untuk menyampaikan pengajaran bahasa Melayu secara atas talian.
Rajah 1 menunjukkan analisis penggunaan aplikasi semasa PdP bahasa Melayu secara atas talian.

Penggunaan aplikasi

39.40%
60.60%

Menggunakan aplikasi Tidak menggunakan aplikasi

Rajah 1 Peratusan penggunaan aplikasi dalam kalangan guru pelatih UPSI

519
i. Aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih UPSI semasa PdP bahasa Melayu secara atas
talian

Analisis berkaitan aplikasi digunakan oleh guru pelatih UPSI semasa PdP bahasa Melayu secara atas
talian dilakukan berdasarkan RPH yang ditulis oleh guru pelatih UPSI. Penelitian dilakukan dengan
memfokuskan aplikasi yang ditulis oleh guru pelatih dalam RPH. Setiap aplikasi yang ditulis oleh guru
pelatih dicatat dalam satu dokumen untuk meneliti kekerapan dan peratusan. Kekerapan ini dapat
menunjukkan aplikasi yang sering digunakan dalam kalangan guru pelatih UPSI.

Berdasarkan analisis tersebut, didapati terdapat 26 aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih
UPSI semasa PdP bahasa Melayu dijalankan secara atas talian. Hal ini menunjukkan guru pelatih UPSI
menggunakan pelbagai aplikasi semasa PdP bahasa Melayu secara atas talian. Penelitian terhadap RPH
juga mendapati penggunaan aplikasi semasa PdP bahasa Melayu mempunyai pelbagai tujuan. Antara
tujuan tersebut, adalah memulakan pengajaran sebagai set induksi, melaksana dan mengembangkan
pengajaran, melakukan pentaksiran seperti latihan dan kuiz serta menjalankan pembelajaran abad ke-21
(PAK21). Hal ini menunjukkan bahawa aplikasi yang digunakan semasa PdP bahasa Melayu tidak
tertumpu pada pengjaran sahaja, tetapi aktiviti PdP yang lain. Jadual 1 menunjukkan analisis kekerapan
dan peratusan penggunaan aplikasi semasa PdP bahasa Melayu berdasarkan RPH guru pelatih UPSI.

Jadual 1 Analisis kekerapan dan peratusan penggunaan aplikasi semasa PdP bahasa Melayu berdasarkan RPH guru pelatih
UPSI

Bil. Aplikasi Kekerapan Peratus (%)

1. Youtube 37 24

2. Google Meet 27 17.4

3. Whatsapp 19 12.3

4. Wordwall 15 9.7

5. Quizizz 11 7.1

6. Wheel Of Names 7 4.5

7. Padlet 5 3.2

8. Telegram 5 3.2

9. Kahoot 4 2.6

10. Random Name Picker 3 2

11. Flipbook 3 2

12. Google Form 3 2

13. Classtool 2 1.3

14. Tik Tok 2 1.3

15. Eclipsecrossword 1 0.6

16. Google Classroom 1 0.6

17. Google Doc 1 0.6

18. Google Jamboard 1 0.6

19. Instagram 1 0.6

520
20. Jigsaw Puzzle 1 0.6

21. Liveworksheets 1 0.6

22. Plickers 1 0.6

23. Quizlet 1 0.6

24. Wheel Picker 1 0.6

25. Whiteboard.Fi 1 0.6

26. Zoom 1 0.6

Total 155 100

Berdasarkan Jadual 1 menunjukkan hasil analisis terhadap 137 dokumen RPH, didapati aplikasi
Youtube merupakan aplikasi yang sering digunakan oleh guru pelatih UPSI, iaitu sebanyak 37 (24%).
Analisis dokumen menunjukkan guru pelatih UPSI menggunakan aplikasi ini untuk memuat naik video
pengajaran serta menggunakan video sedia ada yang berkaitan dengan pengajaran seperti lagu dan sajak.
Analisis juga mendapati terdapat aplikasi lain yang turut kerap digunakan oleh guru pelatih UPSI, iaitu
Google Meet (17.4%), WhatsApp (12.3%) dan Wordwall (9.7%).

Selain itu, analisis mendapati terdapat beberapa aplikasi yang kurang digunakan dalam kalangan
guru pelatih UPSI. Antaranya, Random Name Picker, Flipbook, Google Form dengan masing-masing
3%, Classtool dan Tik Tok (2%), manakala aplikasi yang lain seperti Eclipsecrossword, Google
Classroom, Google Doc, Google Jamboard, Instagram dan Jigsaw Puzzle hanya 1% sahaja. Hal ini
menunjukkan aplikasi ini kurang popular dalam kalangan guru pelatih UPSI yang menyebabkan
kekurangan penggunaan aplikasi-aplikasi tersebut. Dapatan ini juga menjelaskan bahawa aplikasi ini
kurang menjadi pilihan guru pelatih UPSI semasa PdP bahasa Melayu atas talian.

Di samping itu, walaupun hasil analisis dokumen RPH menunjukkan terdapat 26 aplikasi,
namun seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1, tidak semua guru pelatih menggunakan aplikasi semasa
PdP bahasa Melayu. Hal ini dapat dikaitkan dengan capaian Internet yang rendah khususnya bagi guru
pelatih UPSI yang mengajar di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak. Guru pelatih
UPSI bagi kawasan ini lebih kerap menggunakan modul bercetak yang diserahkan kepada murid. Oleh
itu, terdapat guru pelatih UPSI yang tidak menggunakan aplikasi dalam melaksanakan PdPR.

ii. Reaksi murid terhadap aplikasi yang digunakanoleh guru pelatih UPSI semasa PdP bahasa
Melayu secara atas talian

Seterusnya, penelitian terhadap reaksi murid menunjukkan reaksi yang positif terhadap aplikasi yang
digunakan oleh guru pelatih UPSI semasa PdP bahasa Melayu. Analisis yang dilakukan terhadap jurnal
refleksi mendapati penerimaan murid terhadap aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih adalah seperti
berikut,

Bagi penerimaan murid terhadap aplikasi yang digunakan seperti YouTube dan Google Meet, boleh
dikatakan hampir semua murid memberikan reaksi yang positif dengan kehadiran yang agak
memberangsangkan. (GP1)

Bagi penerimaan murid, boleh dikatakan majoriti murid memberikan respons yang positif dengan
kehadiran yang agak memberangsangkan. Hal ini membuktikan aplikasi yang digunakan menarik
perhatian murid sekali gus menyebabkan murid berminat untuk hadir ke kelas. (GP2)
Aktiviti kuiz melalui Quizizz memberikan respons yang begitu memberangsangkan apabila
hampir semua murid yang terlibat dengan Quizizz tersebut. (GP3)

521
Saya mengedarkan bahan melalui Google Form dan pautan video pengajaran dari YouTube.
Penerimaanmurid terhadap kaedah ini sangat memberangsangkan. Murid sangat seronok untuk belajar
dan menjawab latihan yang diberikan. (GP4)

Penerimaan murid terhadap amalan yang saya terapkan ini adalah sangat baik lebih-lebih lagi
apabila saya menggunakan aplikasi permainan. Hal ini demikian kerana penyertaan murid semakin
meningkat daripada biasa dan mereka juga menunjukkan rasa teruja sekali gus mewujudkan
komunikasi dua hala.(GP5)

Penerimaan murid-murid sangat baik apabila saya melaksanakan pembelajaran


menggunakan
WhatsApp. (GP6)

Murid menunjukkan minat yang memberangsangkan ketika saya menggunakan Quizizz. Mereka
lebih seronok membuat latihan yang diberikan. (GP7)

Penerimaan pelajar saya terhadap aplikasi yang saya gunakan untuk PdP adalah sangat
menggalakkan. Penyertaan murid adalah tinggi bagi setiap aktiviti dilakukan menerusi Kahoot dan
Quizizz (PGP8)

Berdasarkan kesemua refleksi guru pelatih berkenaan reaksi pelajar, didapati kesemua murid
menerima dan memberikan reaksi yang positif. Penyertaan murid terhadap proses PdP dan aktiviti yang
dijalankan melalui aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih UPSI adalah sangat menggalakkan.
Analisis ini juga menunjukkan penyertaan dan kehadiran murid yang baik dan memberangsangkan.
Murid menjadi lebih berminat dan seronok dengan aktiviti yang dijalankan menerusi aplikasi. Hal ini
jelas menunjukkan penggunaan aplikasi semasa PdP bahasa Melayu secara atas talian dalam kalangan
guru pelatih UPSI diterima baik oleh para murid.

PERBINCANGAN
Pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa Melayu secara atas talian telah dilaksanakan berikutan
pandemik Covid-19 yang masih berlarutan. Walaupun guru dan murid tidak bertemu secara nyata di
bilik darjah, namun PdP tetap dilaksanakan secara atas talian demi memastikan setiap murid memperoleh
pendidikan.

Berdasarkan kajian ini, analisis menunjukkan terdapat 26 aplikasi yang digunakan oleh guru
pelatih UPSI semasa PdP bahasa Melayu secara atas talian. Guru pelatih UPSI didapati lebih gemar
menggunakan YouTube untuk menyampaikan pengajaran sama ada video yang dimuat naik atau video
sedia ada seperti sajak dan lagu. Guru pelatih UPSI juga didapati gemar menggunakan aplikasi lain
seperti Google Meet, WhatsApp dan Quizizz. Penggunaan aplikasi ini bertujuan memulakan pengajaran
(set induksi), melaksana dan mengembangkan pengajaran, pentaksiran serta pembelajaran abad ke-21
(PAK21). Hal ini menjelaskan bahawa aplikasi yang digunakan bukanlah semata-mata berfungsi untuk
pengajaran tetapi pelbagai aktiviti PdP yang boleh dilaksanakan.

Selain itu, analisis juga menunjukkan reaksi dan penerimaan yang positif daripada murid. Murid
menunjukkan minat dan penyertaan yang memberangsangkan bagi kelas dan aktiviti yang diadakan
secara atas talian. Keadaan ini dapat membantu murid untuk memahami dan terus mengikuti PdP
walaupun diadakan secara atas talian. Penyertaan dan penglibatan murid yang menggalakkan bagi
aktiviti yang dijalankan secara atas talian juga menunjukkan penerimaan murid terhadap aplikasi yang
digunakan oleh guru pelatih UPSI.

Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati guru pelatih UPSI menggunakan aplikasi semasa
PdP bahasa Melayu secara atas talian. Guru pelatih UPSI juga didapati menggunakan pelbagai aplikasi
yang berbeza untuk melaksanakan PdP. Hal ini menunjukkan guru pelatih UPSI bersedia melaksanakan
PdP secara atas talian dengan penggunaan aplikasi. Murid juga didapati memberikan reaksi yang positif
terhadap aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih UPSI dengan penyertaan dan penglibatan yang
menggalakkan dalam aktiviti PdP. Justeru, penggunaan aplikasi semasa PdP bahasa Melayu secara atas

522
talian dalam kalangan guru pelatih UPSI adalah baik dan memuaskan.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, didapati guru pelatih UPSI menggunakan pelbagai aplikasi bagi menjalankan PdP
bahasa Melayu secara atas talian. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh guru pelatih UPSI demi
memastikan murid-murid memperoleh ilmu pengetahuan. Guru pelatih UPSI juga menggunakan aplikasi
yang mengikut perkembangan teknologi. Hal ini menerima reaksi positif daripada murid-muridmelalui
penyertaan dan penglibatan murid terhadap proses PdP dan aktiviti yang dilaksanakan. Analisiskajian ini
yang memperlihatkan 26 aplikasi yang digunakan oleh guru pelatih UPSI dapat dijadikan sumber kepada
guru lain dalam melaksanakan PdP semasa pandemik Covid-19. Guru boleh mencuba dan
mempelbagaikan aplikasi bersesuaian dengan capaian internet dan penerimaan murid. Guru juga perlu
bijak memilih aplikasi yang dapat membantu menyampaikan pengajaran kepada murid. Hal ini demi
memastikan PdP dapat berlangsung dengan baik dan efektif.

RUJUKAN
Abdillah, N. A. & Musa, M. 2021. Kesediaan pelajar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (PdP)
norma baru di Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK), Politeknik Sultan Mizan
Zainal Abidin (PSMZA). International Journal of Modern Education 3(8): 114–124.
doi:10.35631/ijmoe.380010

Nur Hazirah Hairia’an & Masayu Dzainudin. 2020. Pengajaran dan pembelajaran dalam talian semasa
perintah kawalan pergerakan. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan (Special Issue)
9(September): 18–28.

Othman Lebar. 2017. Penyelidikan kualitatif: Pengenalan kepada teori dan metode. Tanjong Malim,
Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Siti Azura Abu Hassan, Suzana Zainol Abidin & Zulkurnain Hassan. 2021. Keberkesanan pembelajaran
dan pengajaran dalam talian (e- pembelajaran) terhadap pembelajaran pelajar di Kolej Komuniti
Hulu Langat. International Journal of Humanities Technology and Civilization (IJHTC) 2(10): 1–
14.

Siti Balqis Mahlan & Muniroh Hamat. 2020. Pengajaran dan pembelajaran dalamtalian semasa perintah
kawalan pergerakan. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan (Special Issue)
9(September): 14–22.

Tamilmullai, T. & Salini Baloh. 2021. Cabaran PdPR bahasa Tamil di sekolah luar bandar. Muallim
Journal of Social Science and Humanities 5(2): 150–158. doi:10.33306/mjssh/147

Ugartini, M. & Zamri Mahamod. 2021. Aplikasi Google Meet sebagai medium pembelajaran bahasa
melayu secara dalam talian di kalangan pelajar sekolah menengah. International Conference on
Business Studies and Education (ICBE) (June): 30–43.

523

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai