Anda di halaman 1dari 11

---------------------------

Ngeli

Sinar

mentari menyelinap menembusi celahan dedaun pokok lalu

menerjah ke permukaan bumi. Sang semut mempercepatkan langkah menyusuri akar dan banir pokok meranti lalu lenyap dalam timbunan busut yang membukit. Mungkin sang semut terasa akan bahang mentari yang kian memijar. Sekumpulan kera pula bergayutan keriangan sambil memerhati beberapa jenis unggas yang hinggap pada dahan pokok Keruin. Pelanduk dan anak rusa berebutan makanan. Babi hutan pula sibuk menyondol tanah mencari cacing yang bersembunyi. Sang rerama dan lebah berebut menghirup madu bunga pokok engkabang. Ngeli tersenyum melihat kepelbagaian ragam penghuni rimbanya yang kekadang mencuit hati dan kekadang menyakitkan hatinya pula apabila berlaku pergaduhan sengit sesama mereka. Mereka hilang pertimbangan apabila tiada kompromi atau dihambat kelaparan. Haiwan yang kuat menunjukkan kuasa manakala haiwan yang lemah pula terpaksa bersaing demi kelangsungan hidup. Mentari menyimbahkan cahayanya menerangi rimba di puncak gunung. Embun sudah kering dihirup panas mentari. Bahang mula menggigit. Mujurlah anakanak sungai yang mengalir masih mampu menyejukkan. Nyaman dan damai meskipun awan yang menyelimuti puncak gunung telah berterbangan dipuput pawana pagi.

Suara unggas dan ungka bersahutan mendendangkan irama rimba memecah kesepian suasana. Alam rimba seperti kembali hidup setelah semalaman lena didakap dingin malam. Dari kejauhan kedengaran suara gauman ganjil tenggelam-timbul dibawa pawana. Ngeli kehairanan. Apa yang berlaku? Suara ganjil itu makin lantang didengarinya saban hari. Ngeli melontarkan pandangan dikejauhan yang berbalam-balam. Pohon meranti, keruin, ramin, jongkong, petualang, resak dan merbau bukit kelihatan semakin berkurangan. Satu persatu rebah menyembah bumi rencam. Anak sungai yang airnya jernih mengalir deras dari puncak gunung ke sebatang lagi sungai yang melingkari kaki gunung sehingga menjalar ke tengah belantara dara dan terjun ke sungai Batang Sadong yang berpuluh batu jauhnya. Pepohon balau, resak, nyatoh, meranti, keruin, penyauk, petualang, selan dan engkabang bukit masih berdiri gagah menjajari dari kaki hingga ke puncak gunung. Pepohon resam berduri, pokok tapok, paku gajah dan pokok nibong memayungi sisi gunung. Tumbuh berjajaran melanskapkan alam ciptaan-Nya. Sesekali meliuk dipapas pawana yang berlalu bersama gumpalan awan nipis. Bunyi deruman makin jelas kedengaran tenggelam-timbul bersama kuangan katak gunung yang seakan-akan meraung membelah belantara. Pelik...apa yang telah berlaku di sana?, getus hati kecil Ngeli. Mentari yang memanjat hari, rakus merejamkan bahangnya tepat di kepala Ngeli. Ngeli terasa sedikit kekalutan, rimas dan kepanasan. Sekawanan sang keriang berterbangan tidak diendahkan. Bari-bari dan pepatung hilang arah dek silau mentari. Rama-rama galak mengepak sayap nipisnya memikat sang

bunga untuk menghirup madu cair. Sekumpulan periuk kera tersenyum puas apabila berjaya memperdaya sang serangga masuk kedalam kantungnya yang berisi air separa. Serangga mati dicerna cecair ajaibnya. Ngeli turut tersenyum dan kagum. Bunga-bunga kelaso yang berwarna kemerahan mulai kembang. Galak sang kumbang dan bingit sang lebah menghampiri kelopak yang menggoda pandang itu. Madu cair kelihatan melelah dari celahan kelopak bunga itu. Akarakar kelait yang berlingkaran umpama ular saling belit-membelit. Suatu ketika dahulu, Ngeli pernah melihat Ungai, Libau, Janang dan ramai lagi tetamu hutan memotong akar kelait itu sepanjang setengah depa, kemudian mengangkatnya ke udara dan daripada hunjung bawah akar kelait itu akan menitis air jernih yang akan diminum buat membasah tekak. Itulah hukum alam yang saling

bergantungan sesama spesies dan memberi manfaat kepada spesies lainnya. Tanda kebesaran tuhan untuk kita syukuri... Ngeli mengeluh sendirian. Matanya melilau memerhati sekeliling. Lengang. Fauna rimba mungkin telah menuruni gunung menuju ke kawasan paya untuk mencari rezeki. Hanya landak bukit, pelandok pisang (sejenis pelandok bukit yang berbadan kecil) dan kucing hutan yang masih menyusuri akar-akar kelait yang berjuntaian dan berselerak itu. Tikus bulan berbulu putih atau tikus mondok akan menjadi mangsa si kucing hutan. Sementara peladok pisang dan landak mencari buah-buah ara atau buah kelampu yang jatuh bertaburan di atas tanah. Biasanya sang kelawar akan menjatuhkan buahbuahan itu ketika mereka hinggap untuk makan buah-buahan itu pada sebelah

malamnya. Tetapi sejak akhir-akhir ini jarang benar kelibat gerombolan sang kelawar bertandang. Mungkin terasa terganggu oleh suara deruman ganjil di kejauhan itu atau migrasi ke hutan malar hijau lain yang menghidangkan lebih banyak buah-buahan enak atau mungkin persekitarannya lebih aman dan selamat. Patutlah Libau dan Janang tidak lagi berburu kelawar di baruh

sana. Suatu waktu dahulu bukan sahaja si Libau dan si Janang yang gemar meredah gunung berburu kelawar, pelanduk, landak dan kucing hutan, malah hampir separuh lelaki perkasa dari rumah panjang yang terletak hanya satu kilometer dari situ akan berburu di kaki gunung dan kawasan hutan malar hijau di sepanjang tebingan sungai itu. Selin dan suaminya Ungai pun jarang-jarang memasang jaring di muara. Selin dan Ungai hanya menahan bubu kecil di hulu sungai. Sudah pastilah mereka kempunan meratah baung dan betutu. Hanya keli dan haruan yang tertarik dengan umpan buah kelapa sawit yang tergantung dalam bubunya. Baung dan betutu hanya dapat dijaring. Air sungai yang berlari rakus kelihatan jernih dari dada gunung hingga ke kaki gunung sahaja tetapi makin lesu di pertengahan hutan itu. Air sungai kelihatan kekuningan dari pertengahan sungai hingga ke muara. Ranting kayu berceracak bergelimpangan dibibir sungai. Malah ada yang terunjam didalam sungai. Aliran air sedikit terhadang, sang sungai kelemasan. Ganjil, dulu aku dapat melihat anak sebarau dan seluang meranduk arus air yang jernih bak cermin, getus hati kecil Ngeli. Ke mana mereka menghilang?, fikirnya lagi. Cepu mindanya sarat diisi persoalan yang berserabut. Ngeli juga mulai berasa rimas dengan perubahan yang dilihatnya.

Sejak kehadiran bunyi deruman ganjil itu empat bulan lalu, badannya mula terasa sakit-sakit. Bahagian belakangnya terasa perit bukan dipanah mentari tetapi terasa seperti ada cecair yang bergenang didalamnya menyebabkan kawasan yang sakit itu kemerahan, terasa lembut dan membusung bengkak. Seakan-akan bila-bila masa sahaja kawasan yang sakit itu akan pecah dan cairan kekuningan yang melekit akan meleleh keluar. Berbahaya, Ngeli merungut dalam hati. Mungkinkah suara ganjil itu pembawa malapetaka atau pembawa penyakit? Ngeli berfikir sendirian seraya matanya melilau memerhati hutan malar hijau di sekelilingnya. hadapannya. Dari jauh jelas kelihatan tompokan botak di mana-mana. Beberapa batang pokok kekuningan daunnya dan di beberapa tempat lapang yang lain kelihatan batang-batang pokok yang telah dipotong tersusun di pinggir hutan. Dari mana datangnya batang-batang kayu itu?. Persoalan itu sekali lagi menerjah dinding fikir Ngeli. Peluh lesu menuruni alur-alur kedut di kulitnya lalu lesap di kaki. Ngeli merejam pandangannya ke kaki. Landasan rel keretapi seakan berlingkaran hampir mengenai kakinya. Anak-anak Balau, Meranti dan apa-apa sahaja spesies pokok di laluan dan di kiri kanan landasan itu dimusnahkan. Hanya kelihatan tanah paya yang berlopak air hitam dan dahan-dahan pokok yang bergelimpangan ranap di kiri kanan landasan itu. Di bahagian hujung landasan itu kelihatan beberapa orang manusia melakukan kerja penambahan landasan. Landasan menjalar semakin panjang merayap di tengah-tengah hutan Pekan Simunjan kelihatan berbalam-balam di

dara. Di sebalah kiri gunung pula kelihatan pohon kelapa sawit tersusun rapi saujana mata memandang. Kelapa sawit telah menguasai keseluruhan kawasan itu sehingga tiada sebatang pun lagi pokok meranti, ramin, sepetir dan mengilas. Semuanya telah ditebang dan digantikan dengan tanaman kelapa sawit. Malang sungguh nasib pokok-pokok yang ditebang itu. Air mata Ngeli hampir melimpah tetapi mampu disekat. Esakannya kecil hanya kedengaran didalam dadanya. Jika Ngeli meraung dan meratap sekali pun, kemungkinan penghuni di beberapa buah rumah di kaki gunung itu tidak akan dapat mendengarnya kerana bunyi deruman ganjil itu lagi lantang.

***** ( ii ) *****

Seperti tahun-tahun sebelumnya, penduduk kampung akan membersih kawasan kaki gunung apabila musim menanam padi tiba. Kemeriahan itu dapat digambarkan dengan suara riuh oleh gurau-senda para petani. Pokok-pokok kecil ditebang. Rumput dan semak-samun dibersihkan. Asap berkepul ke udara apabila timbunan rumput dan semak-samun itu dibakar. Ngeli menutup mata kepedihan. Perit dan sakit akibat asap itu seperti akan membutakan mata Ngeli. Kemarahannya ditahan kerana mengenangkan para petani itu berbudi kepada tanah dan berusaha mengais rezeki buat kelangsungan hidup. Beberapa minggu kemudian, kawasan yang diluaskan itu akan kembali hijau dengan pohon-pohon padi yang merimbun. Di kiri kanan huma kelihatan sayuran seperti labu, petola dan lembu (labu air) tumbuh subur menghijau.

Di sebelah kanan gunung sebatang jalan raya berturap kelihatan seperti seekor ular hitam menjalar dari simpang jalan utama Serian-Sri Aman terus melalui Bukit Punda dan berakhir di bandar Simunjan sepanjang 55 kilometer. Jalan itu lah menjadi nadi utama penduduk di kawasan kaki gunung itu untuk berulang-alik ke bandar Simunjan atau ke Kuching untuk menjual hasil hutan dan hasil pertanian mereka. Ngeli masih ingat kira-kira 20 tahun dahulu, penduduk kampung terpaksa menghilir sungai Batang Kiba dan Batang Kanan untuk ke bandar Simunjan atau ke pekan Balai Ringin di Serian untuk menjual hasil tanaman mereka. Jika air sungai cetek, mereka terpaksa bermalam di pinggir sungai. Meriah juga suasana ketika itu. Manusia seakan-akan akrab benar dengan alam rimba. Namun kini semuanya berubah. Malah ada segelintir manusia yang seolah-olah mahu memusnahkan alam rimba. Bukit ditarah. Pokok ditebang. Sungai dibiarkan tercemar. Mungkin cinta itu hanya sementara atau manusia mudah alpa apabila dibuai kemewahan dan kemudahan yang lebih selesa. Di dada gunung kelihatan pokok lada hitam tumbuh subur dalam susunan yang indah mata memandang. Ketika proses penanaman, dada gunung akan dibersihkan, ditarah sedikit dan dipacakkan dengan ratusan batang kayu yang disebut tuat lada untuk menyokong pokok lada hitam yang akan menjalar memanjat tiang tuat itu. Biasanya manusia terlupa akan kesan buruk yang mungkin berlaku apabila dada gunung dibersihkan dan ditarah semberono tanpa memikirkan faktor keselamatan mereka. Tanah yang telanjang itu bukan sahaja licin apabila hujan, malahan juga mungkin menyebabkan struktur tanah itu

menjadi lemah dan mudah bersepai. Runtuhan tanah boleh berlaku. Namun, desakan naluri manusia untuk melakukan apa sahaja untuk mencari sumber rezeki telah menafikan semuanya. Kini, kelihatan jajaran pokok lada hitam itu seakan-akan perhiasan yang menambahkan lagi keindahan gunung.

Pemandangan beberapa buah rumah yang didirikan di bahagian kaki gunung berlanskapkan jajaran pokok lada hitam di atasnya, seakan-akan satu pemandangan pada sebuah lukisan kanvas yang besar dan sangat indah. Apatah lagi tatkala kabus menyelimuti gunung pada waktu pagi dan tatkala lewat senja, dedaun pokok lada hitam itu akan kelihatan bertafakur tatkala mentari merah menyinarinya. Di tepi jalan raya, beberapa buah rumah tersusun kemas jika dilihat dari udara. Bagi yang berkemampuan, mereka akan mendirikan rumah konkrit. Bagi yang kurang berkemampuan, mereka masih mengekalkan rumah tradisional yang dibina daripada kayu beratap nipah dan berdinding kulit meranti atau buluh betong. Setiap kali perayaan gawai tiba, Ngeli dapat melihat kemeriahan dan keharmonian para penghuni kampung itu. Hal demikian dapat digambarkan melalui tingkah paluan gong dan gendang berselang-seli dengan suara keriuhan sebagai tanda kesyukuran memperoleh hasil tanaman yang baik pada tahun itu. Di pinggiran gunung, Ngeli masih memerhati gelagat landak bukit dan pelandok pisang menikmati beberapa biji buah kelampu yang masak ranum yang jatuh bertaburan di atas tanah itu. Bunyi deruman suara ganjil makin jelas kedengaran. Bunyi itu bukan bunyi deruman enjin kenderaan yang lalu lalang di atas jalan raya di kaki gunung itu. Ngeli telah biasa mendengar bunyi deruman

enjin kenderaan itu. Bunyi yang didengarinya kali ini agak keterlaluan. Derumannya lebih kuat dan bising sehingga menggannggu penghuni gunung. Banyak penghuni gunung telah bertindak meninggalkan gunung itu untuk mencari tempat lain yang lebih selesa.

*****( iii )*****

Musim menuai padi bukit sudah selesai. Apa yang tinggal hanyalah tunggul rumpun padi yang telah disabit. Pokok labu, petola dan lembu menjalar tidak terkawal. Namun ada rahmat buat sang babi hutan. Buah labu menjadi habuan. Tikus bulan pun berkampung di situ sehinggalah musim menanam padi datang kembali tahun hadapan. Langit saban hari kian sarat bunting awan hitam. Tandanya musim hujan bakal bertandang. Air sungai semakin keruh di muara apabila hujan turun di kawasan hutan itu. Ngeli berasa tidak selesa. Badannya terasa lenguh dan sakit hampir diseluruh anggota. Matanya mula berair. Mengalir perlahan titis demi titis. Ngeli kesakitan. Dada Ngeli yang seakan membengkak dan sarat mengandung air pekat itu terasa tidak tertahan lagi hendak tersembur keluar. Bila-blia masa sahaja akan berlaku. Malam kian merangkak ke subuh. Di kaki gunung, penduduk kampung sedang lena dibuai mimpi setelah seharian membanting tulang di kebun lada dan dusun buah-buahan. Jimbau, Tubin, Asok, Munan, Suli dan puluhan lagi penghuni kaki gunung tidak mengetahui penderitaan dan kesakitan yang dialami oleh Ngeli kerana seperti hari-hari semalamnya Ngeli

kelihatan seperti biasa dan nampak gagah. Malah telah bertahun-tahun Ngeli tidak pernah sakit atau menyusahkan penduduk kampung. Namun sebenarnya Ngeli telah lama menyimpan rahsia tentang penderitaannya itu daripada pengetahuan penduduk kampung. Air mata Ngeli gagal ditahannya. Terus mengalir dari tengah malam hingga ke subuh. Akar keruin dan akar jelungan tidak mampu lagi membantu Ngeli. Akar kelait yang berselirat juga gagal membantu. Ngeli merintih kesakitan dalam kegelapan dan kebeningan subuh. Ketika Ngeli sedaya-upaya menahan kesakitan itu, tiba-tiba satu deruman yang maha kuat terdengar. Ngeli terkejut. Pandangannya kelam dan kemudian gelap. Dari sisi gunung menghadap ke jalan raya, batu-batu besar menggelongsor laju menuruni gunung bersama puluhan batang pokok balak yang tercabut bersama akarnya. Tanah basah melekit meluru bak peluru menuju ke kaki gunung lalu menerjah beberapa buah rumah penduduk yang mendiami kaki gunung itu. Jalan raya di kaki gunung itu ditimbuni longgokan tanah bercampur batu dan pokok. Suasana kembali sunyi sepi. Hanya siulan pawana memapas kedinginan subuh. Sepi... Salam sejahtera.... Satu kejadian tanah runtuh telah berlaku subuh tadi di gunung Ngeli di daerah Simunjan. Bencana alam itu telah mengorbankan beberapa orang penduduk Kampung Ruan Changkul yang terletak kira-kira 40 km dari bandar Simunjan. Inilah tragedi fenomena alam terburuk pada tahun ini....... Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Simunjan dan Serian sedang berusaha mengesan dan mengeluarkan mangsa daripada kawasan runtuhan..... Setakat berita ini dilaporkan, seorang mangsa yang telah terkorban berjaya

10

dikeluarkan.... Sekian, laporan langsung dari kawasan runtuhan untuk Buletin Utama.

-Tamat-

Nukilan Mykad Telefon Alamat

: Cikgu Ahmad Zaidi bin Nordin @ Jobit : 681124-13-5115 (K 0348351) : 014-6811680 : d/a: Dayang Huzemah Awang Bujang, Aras 6, Unit Pungutan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Wisma Hasil, No.1, Jalan Padungan, 93100 Kuching.

Perakuan

: Saya mengaku bahawa cerita di atas hanyalah rekaan semata-mata dan terilham daripada tragedi sebenar kejadian tanah runtuh di gunung Ngeli berhampiran Kampung Ruan Changkul dalam daerah Simunjan pada 2006.. Saya mengaku bahawa karya tersebut adalah hasil karya saya sendiri. Semua nama (watak) adalah rekaan semata-mata dan tiada kena-mengena dengan mereka yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia khasnya mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi tanah runtuh itu.

11

Anda mungkin juga menyukai