Anda di halaman 1dari 7

KISAH HELANG YANG SETIA

Melati kuntum tumbuh melata,


Sayang merbah di pohon cemara,
Salam sejahtera mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Terima kasih pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif dan bijaksana, guru-guru dan kawan-
kawan yang manis. Marilah hayati cerita saya yang bertajuk Kisah Helang Yang Setia.

Al-kisah terdapat seorang pemburu mempunyai seekor burung helang yang sangat bijak. Setiap kali
dia pergi berburu, pemburu itu mesti membawa helang itu bersama.

Pada suatu hari, pemburu itu masuk ke dalam hutan untuk memburu dengan helang kesayangannya.
Sebaik tiba di dalam hutan, burung helang pun terbang sambil melihat ke bawah mencari binatang
yang diburu oleh tuannya.

Tiba-tiba burung helang terbang dengan pantas ke satu tempat. Melihat reaksi helangnya, pemburu
tahulah bahawa burung helang nampak binatang yang diburu. Apabila tiba ke tempat itu, pemburu
nampak seekor pelanduk yang sedang enak memakan buah-buahan hutan di situ. Tanpa disangka
pemburu, si pelanduk sedar akan kedatangan pemburu itu lalu menyelamatkan dirinya.

Kawan-kawan,

Pemburu dan helangnya pun mengejar pelanduk itu yang lari naik bukit dan turun bukit
menyelamatkan dirinya daripada diburu. Pelanduk itu berlari dan terus berlari sehingga tiba di tepi
sungai ia pun berhenti. Pelanduk itu mula resah kerana ia tidak boleh menyeberang sungai. Akhirnya
pemburu pun berjaya menangkap pelanduk itu setelah penat mengejarnya tadi.

Selepas penat pemburu mengejar pelanduk itu, pemburu mula rasa sangat dahaga dan dia pergi ke tepi
sungai untuk mencedok air sungai itu dengan tangan.

Apabila pemburu itu hendak meminum air sungai itu dengan tangan, tiba helangnya menepis air di
tangan pemburu. Pemburu itu mencedok air sungai sekali lagi, burung helang menepis tangan tuannya
sekali lagi.

Akibatnya pemburu itu sangat marah lalu memanah ke arah burung helang kesayangan yang sedang
terbang itu. Burung helang itu pun jatuh menyembah bumi di tepian hulu sungai.

Pemburu itu berlari untuk mendapatkan burung helangnya dan mendapati helangnya telah mati
dengan matanya yang terbuka, seolah-olah berkata, “Tuan, kenapa tuan memanah saya? Apa salah
saya?”. Tidak jauh dari tempat burung helang itu jatuh, pemburu itu ternampak seekor ular berbisa
yang telah mati. Racun daripada ular meleleh masuk ke dalam sungai.

Maka pemburu itu sedar mengapa helangnya itu menepis tangannya setiap kali dia hendak mencedok
air sungai tersebut. Sesiapa yang meminum air sungai itu pasti akan jatuh sakit kelak.
Rasa kesal memanah helangnya pun membuak dalam hati pemburu itu. “Sungguh setia helang aku,
maafkan aku helang” kata pemburu itu pada helangnya yang mati itu.

Hadirin Sekalian,

Maka dengan itu, kita janganlah sombong dan sentiasa menerima teguran kerana teguran itu
membawa kepada kebaikan.

Sekian terima kasih.

1. SI PEMOTONG KAYU YANG JUJUR

Asslammualaikum W.B.T dan Salam Negaraku Malaysia.


Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbak di pohon cemara,
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Terima kasih pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif dan bijaksana, guru-guru dan kawan-
kawan yang manis. Marilah hayati cerita saya yang bertajuk Si Pemotong Kayu Yang Jujur.

Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin.
Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya
untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.

Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi, pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang
pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si
suami kerana sakit.

Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api.
Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya.
Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.

Kawan-kawan,
Tiba-tiba genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu termasuk
kedalam sungai yang dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca
rezeki. Hendak terjun mencari takut disambar arus, merataplah ia mengenangkan nasib.

Maka bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut lalu turunlah ia bertanya,
"Wahai orang tua. Kenapa bersedih hati?"

Dengan nada perasaan takut dan terkejut, orang tua tersebut menceritakan apa yang berlaku.

"Baiklah, akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam." Lalu dengan serta merta terjunlah si
pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul lah kembali si pari-pari sambil mebawa
kapak emas lalu dihulur kepada situa. Dengan sedih, jawab situa, "Bukan. Ini bukan kepunyaan
hamba. Tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini."

Hadirin Sekalian,
Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak
jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula
kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi
yang uzur.

Maka apabila terpandang akan kapak itu, giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-
pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujurannya kapak emas, perak dan
gangsa turut dihadiahkan.

Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya
apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.

Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat.

Maka dengan itu, hadirin sekalian


Kita hendaklah sentiasa bersikap jujur dalam kehidupan seharian sepaya kehidupan kita lebih
harmoni.

Sekian, Wabillahi……………….
2. KISAH SEEKOR BURUNG PIPIT

Asslammualaikum W.B.T dan Salam Negaraku Malaysia.

Terima kasih pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif dan bijaksana, guru-guru dan kawan-
kawan yang manis. Marilah hayati cerita saya yang bertajuk Kisah Seekor Burung Pipit.

            Apabila datang musim kemarau, seekor Burung Pipit mula merasakan tubuhnya kepanasan,
lalu mengeluh pada persekitarannya yang dikatakan tidak bersahabat.
            Ia pun memutuskan untuk meninggalkan tempat yang sejak dahulu menjadi habitatnya,
terbang jauh ke utara yang kononnya, udaranya sentiasa dingin dan sejuk. Ia pun terbang ke daerah
utara. Benar, perlahan-lahan ia mula merasakan kesejukan udara, makin ke utara makin sejuk. Ia
semakin bersemangat terbang ke arah utara lagi.

Kawan-kawan,        
Kerana teruja, burung pipit itu tidak merasakan sayapnya yang mula bersalut salji, semakin
lama semakin tebal, dan akhirnya ia jatuh ke tanah kerana tubuhnya terbungkus salji. Sampai ke
tanah, salji yang menempel di sayapnya bertambah tebal. Si burung pipit tidak mampu berbuat apa-
apa, dan berasakan riwayatnya telah tamat. Ia merintih menyesali nasibnya.
            Mendengar suara rintihan, seekor Kerbau yang kebetulan melalui kawasan itu datang
menghampirinya. Namun si Burung kecewa kerana yang datang hanyalah seekor Kerbau. Ia
mengherdik si Kerbau agar menjauhinya dan mengatakan bahawa makhluk yang tolol tidak mungkin
mampu berbuat apa-apa untuk membantunya.

Hadirin Sekalian,
            Si Kerbau tidak banyak bicara, dia hanya berdiri, kemudian kencing tepat di atas burung
tersebut. Si Burung Pipit semakin marah dan memaki hamun si Kerbau. Si Kerbau hanya berdiam
diri, maju satu langkah lagi, dan mengeluarkan kotoran ke atas tubuh si burung. Langsung si Burung
tidak mampu berkata-kata lagi kerana dirinya sudah tertimbun kotoran si kerbau. Si Burung pipit mula
menganggap ajalnya semakin hampir dan ia akan mati tidak lama lagi kerana tidak mampu bernafas.
            Namun perlahan-lahan, ia berasakan kehangatan. Salji yang membeku pada bulunya mulai cair
disebabkan hangatnya tahi kerbau itu. Ia kembali dapat bernafas dengan lega dan melihat langit yang
cerah. Si Burung Pipit berteriak kegirangan, bernyanyi-nyanyi keriangan.

Kawan-kawan,          

Mendengar ada suara burung bernyanyi, seekor anak kucing menghampirinya, menghulurkan
tangannya, mengais tubuh si burung dan kemudian menimang-nimang, menjilati, mengelus dan
membersihkan sisa-sisa salji yang masih menempel pada bulu si burung. Apabila bulunya bersih, Si
Burung bernyanyi dan menari kegirangan, dia menganggap telah mendapat teman yang ramah dan
baik hati. Namun keriangannya tidak lama...dunianya kemudian terasa gelap gelita ditelan oleh si
Kucing. Maka tamatlah riwayat si Burung Pipit.

Oleh itu kawan-kawan pengajaran kisah seekor burung pipit ialah kita mestilah sentiasa menepati janji
supaya orang lain lebih mempercayai kita.

Sekian, Wabillah….
3. KISAH PERANGKAP TIKUS

Asslammualaikum W.B.T dan Salam Negaraku Malaysia.

Terima kasih pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif dan bijaksana, guru-guru dan kawan-
kawan yang manis. Marilah hayati cerita saya yang bertajuk Kisah Perangkap Tikus.

Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja. Ketika mereka membuka barang
belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam, “hmmm… makanan apa lagi
yang dibawa mereka dari pasar agaknya?”
Ternyata, yang dibeli oleh petani hari itu adalah perangkap tikus. Sang tikus naik panik bukan
kepalang.
Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, “Ada perangkap tikus di rumah! Di rumah sekarang ada
perangkap tikus!!”
Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, “Ada perangkat tikus!” Sang Ayam berkata, ” Tuan
Tikus, Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku.”
Sang Tikus lalu pergi menemui seekor kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun
jawab selamba, “aku pun turut bersimpati, tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada
kena-mengena dengan aku.”
Tikus lalu menemui lembu. Ia mendapat jawapan sama. “Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak
berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus?”
Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui ular. Sang ular berkata, “Eleh engkau ni.
Perangkap tikus yang sekecil itu takkanlah nak membahayakan aku.”

Kawan-kawan,

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi
bahaya seorang diri. Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap
tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena. Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata
seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Buntut ular yang terperangkap membuatkan ular itu semakin
ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.
Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan. Si
suami pun membawa isterinya ke klinik berhampiran. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh
pulang namun tetap sahaja demam.
Isterinya lalu minta dibuatkan sup kaki ayam oleh suaminya kerana percaya sup kaki ayam boleh
mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya
untuk dapatkan kaki buat sup.

Sidang Hadirin,

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan untuk makan hati
kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya. Masih juga isterinya tidak
sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia.
Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak
sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa. Tanpa berfikir panjang dia pun
menyembelih lembunya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan, Sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan. Beberapa hari kemudian ia melihat
perangkap tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.
Begitulah kisahnya.

Jadi pengajarannya kawan-kawan, jika suatu hari, anda mendengar seseorang dalam kesusahan dan
anda pula mengira itu bukan urusan anda, fikirkanlah sekali lagi.

Sekian, Wabillah………………….

Anda mungkin juga menyukai