Anda di halaman 1dari 5

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

RAHSIA KEBERSIHAN JIWA DALAM ISRA’ MIKRAJ


(10 JULAI 2009 / 17 REJAB 1430)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan para jemaah sekalian, marilah
sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu
melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan
kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah
bertajuk: ’RAHSIA KEBERSIHAN JIWA DALAM ISRAK MIKRAJ’

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Menurut sebahagian ulama, Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27
Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah

1
perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT. Firman Allah
SWT dalam surah al-Israk, ayat 1:

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari
dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimana pun sebelum berlaku Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW menjalani


pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat Jibril untuk membersih hati daripada
ketulan hitam bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya dan
dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT mengatur program
kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj mengadap Allah SWT
dalam tempoh satu malam sahaja.

Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu
perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin,
Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah
lama meninggal dunia, dan mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima
perintah solat lima waktu secara berhadapan terus dengan Allah SWT.

Perjalanan yang melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam
Islam menjadi petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil
Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-rasul terdahulu menegakkan
syiar Islam. Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam
suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa para
Nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang
menyempurnakan syariat agama Allah SWT.

2
Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam
suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril, adalah pertemuan
kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad
SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Salah satu pengajaran penting dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah persediaan teliti
Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian kalbu ini akan
mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT, seseorang
dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji. Justeru dengan
jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk
berkomunikasi secara khusuk dengan Allah SWT dan membawa hasil yang
menguntungkan.

Kebersihan dan penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian


manusia. Pakaian yang bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita
pakai, maka semakin kotor pakaian kita. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya
jika pakaian itu tidak dibasuh. Demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari
semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak
mandi dan membersihkannya dengan sempurna.

Begitu jugalah hati atau kalbu kita atau kalbu manusia. Setiap manusia tanpa
mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah dalam keadaan
bersih. Sabda Rasulullah SAW, “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan
bersih, tetapi kedua ibubapanyalah yang akan menentukan nasib agama anaknya”.

Bagaimana pun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya. Manusia


menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan
kesenangan. Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia

3
kadangkala atau yang berat lagi bertabiat pula melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini
akan menjadi titik hitam dalam kalbunya. Semakin banyak kesalahan maka semakin
tebal titik hitam dalam kalbu manusia. Kelemahan dan kegagalan manusia
menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian kalbu telah menjerumuskan
individu atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT
dan hak asasi manusia.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan
meningkatkan prestasi kalbu kita supaya kalbu kita terus selari dengan akidah, akhlak
dan syariat Islam?. Mimbar ingin mengingatkan bahawa ketahuilah kalbu kita adalah
pusat kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan
pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat
apabila rata-rata manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih
bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.

Selari dengan sunnah Rasulullah SAW, maka dengan rasa tanggungjawab mimbar
menyeru wahai jemaah sekalian, walaupun dalam keadaan sibuk sekalipun dengan
urusan dunia, sediakanlah dalam masa-masa tertentu untuk menginsafi, bertaubat dan
meminta ampun kepada Allah SWT. Sediakan waktu-waktu tertentu untuk mengingati
Allah SWT memuji dan membesarkan Allah SWT, mensucikan Allah SWT agar kalbu
dan jiwa saudara dan jemaah sekalian menjadi kembali bersih.

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru marilah kita melipatgandakan penyucian


diri dan beribadahlah menyembah Allah SWT dengan penuh berkualiti dalam
menunaikan solat, berzakat, menunaikan puasa, hají, melaksanakan ibadah sunat yang
lain serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

4
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan
kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu
mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah
adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan
apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-‘Ankabut:45)