Anda di halaman 1dari 14

KEMAHIRAN-KEMAHIRAN BAHASA, PRINSIP-PRINSIP PENYEDIAAN DAN PENGGUNAAN BAHAN BANTU PENGAJARAN-PEMBELAJARAN DAN PENILAIAN BAHASA.

KEMAHIRAN-KEMAHIRAN BAHASA Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis adalah tiga kemahiran yang diberi tumpuan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Kemahiran bahasa ini membolehkan pelajar menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka secara berkesan dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seperti dalam perhubungan social seharian, pemerolehan ilmu dan bagi tujuan rekreasi.

KEMAHIRAN LISAN (KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR) Kemahiran yang pertama adalah Kemahiran Lisan iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah mendefinisikan kemahiran Mendengar dan Bertutur sebagai keupayaan pelajar memahami perkara yang didengar dan dituturkan dalam pelbagai situasi pengucapan sama ada perbualan harian atau situasi formal. Kemahiran mendengar-bertutur adalah asas kepada peningkatan penguasaan kepada semua pembelajaran dan kecekapan berbahasa.

Kaedah pengajaran yang sering digunakan dalam mengajarkan kemahiran mendengar-bertutur ini ialah kaedah oral-aural, kaedah penglibatan tindak balas fizikal (TPR) dan kaedah suggestopedia. Kaedah oral-aural menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti dengan ajukan. Kaedah ini dimulai dengan sebutan lisan dan dijalankan secara latih tubi mengikut intonasinya. Latih tubi dijalankan secara realistik dan sistem tatabahasa dikenalkan secara induktif yang berperingkat dan teratur. Tujuan utama kaedah ini ialah membolehkan perkembangan kemahiran bahasa pelajar secara menyeluruh.

Selain itu, kaedah penglibatan tindak balas fizikal (TPR) juga boleh digunakan dalam mengajarkan kemahiran mendengar-bertutur. Kaedah ini diperkenalkan oleh aliran behaviorisme yang menekankan tingkah laku pelajar sebagai cara pemerolehan
1

bahasa. Kaedah ini dikenali sebagai pendekatan pemahaman yang mementingkan pemahaman bahasa melalui pendengaran. Kaedah ini juga boleh dikaitkan dengan pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui pendengaran dan guru perlu mengajarkan kemahiran ini terlebih dahulu. Dalam TPR pemahaman bahasa ini dianggap penting dan arahan yang diberi boleh memberi ruang untuk penggunaan bahasa secara meluas seperti bertanya, meminta dan sebagainya.

Kaedah suggestopedia juga merupakan salah satu kaedah yang boleh digunakan dalam mengajarkan kemahiran mendengar-bertutur. Pembelajaran ini dianggap sebagai pembelajaran yang dramatik. Kaedah ini dapat menyimpan sebanyak 20 kali ganda ingatan daripada kaedah biasa. Kaedah ini membincangkan tentang penumpuan yang boleh mengoptimumkan pembelajaran dan ingatan. Beberapa pengkaji telah mengenal pasti tahap ingatan seseorang bagi memudahkan daya penghafalan dan daya ingatan. Teks seharusnya merupakan bahan yang ringan dan mempunyai pengaruh terhadap emosi.

Pendekatan komunikatif merupakan salah satu pendekatan yang sering digunakan dalam kemahiran ini. Tujuan utamanya ialah supaya pelajar dapat menggunakan bahasa yang bersesuaian untuk tujuan komunikasi. Pendekatan ini bermula daripada satu teori yang menganggap bahasa sebagai satu alat komunikasi. Pendekatan ini menyarankan supaya pelajar diberi peluang menggunakan bahasa dalam konteks dan situasi yang sesuai di dalam bilik darjah. Ciri-ciri pendekatan ini ialah makna adalah sangat penting, dialog lebih tertumpu kepada fungsi komunikatif dan bukan untuk dihafal. Selain itu, latihtubi juga boleh dilakukan tetapi tidak digalakkan.

Teknik latih tubi merupakan teknik pengajaran yang boleh digunakan dalam mengajarkan kemahiran mendengar-bertutur. Tujuan teknik ini ialah untuk mencapai tahap penguasaan kemahiran disamping menjamin kekekalannya. Melalui teknik ini pelajar akan mengalami proses mendengar, melihat, memikirkan maksud perkataanperkataan serta tugasnya dalam situasi yang menggunakan perkataan-perkataan itu. Terdapat 5 aspek kebolehan menggunakan bahasa iaitu:
2

I.

Sebutan - menyebut patah-patah perkataan atau suku kata dengan betul termasuk intonasi yang membawa makna dalam sesuatu situasi.

II.

Tatabahasa - penggunaan bahasa yang tepat mengikut hukum-hukum bahasa daripada semua aspek.

III.

Perbendaharaan kata - meluaskannya dengan penggunaan imbuhan yang sesuai mengikut konteksnya dalam situasi tertentu.

IV.

Kefasihan - menggunakan perkataan atau ayat dengan cara spontan tanpa memikirkan apakah maksudnya.

V.

Kefahaman - latihan memahami soalan dan memberikan jawapan yang wajar.

Teknik ini dikenali juga dengan teknik menghafal. Teknik ini amat berguna dan sesuai untuk isi kandungan pengajaran yang memerlukan ikutan dan ulangan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.

Teknik perbincangan pula dijalankan dengan cara mengulas pendapat mengenai sesuatu tajuk. Tujuannya adalah untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas. Teknik perbincangan adalah aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan dan dilakukan dalam kalangan pelajar dibawah penyeliaan seorang guru.

KEMAHIRAN MEMBACA Kemahiran yang kedua pula adalah Kemahiran Membaca. Kemahiran membaca dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah didefinisikan sebagai kebolehan pelajar membaca bahan sastera dan bukan sastera dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami bahan yang dibaca. Menurut Smith dan Johnson (1980) dalam Yahya Othman (2007), membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca.
3

Manakala kaedah yang boleh digunakan dalam mengajarkan kaedah membaca pula ialah kaedah abjad, kaedah fonik dan kaedah pandang dan sebut. Kaedah abjad merupakan kaedah yang sering digunakan untuk mengajar membaca pada peringkat permulaan. Dalam kaedah ini, pelajar akan disuruh menghafal setiap huruf mengikut urutan. Setelah mengenali semua huruf, pelajar akan diajar huruf konsonan dan vokal seterusnya membina suku kata menerusi penggabungjalinan bunyi-bunyi vokal dan bunyi-bunyi konsonan. Kaedah ini lebih mementingkan kaedah hafalan dan tidak pada makna.

Pengajaran berdasarkan kaedah fonik ini dilakukan dengan mengajar pelajarpelajar bunyi-bunyi huruf dan bukan lambang-lambang huruf. Menurut Sofiah Hamid (1985) dalam Zulkifley Hamid (1994), kaedah fonik berasaskan teori bahawa belajar membaca melibatkan kebolehan mengenal kod, hubungan antara bunyi dan lambang yang dilihat.

Kaedah Pandang dan Sebut juga merupakan kaedah mengajarkan kemahiran membaca. Menurut kaedah ini, guru perlu menggunakan perkataan dan ayat-ayat yang pendek yang ditulis pada kad imbasan. Pelajar-pelajar diminta menyebut perkataan itu beramai-ramai bersama-sama guru. Tiada sebarang cerakinan dibuat terhadap perkataan-perkataan yang telah dipelajari.

Menurut Kamarudin Hj Husin (1988), pendekatan yang digunakan dalam mengajarkan kemahiran membaca ialah pendekatan membina dan pendekatan cerakinan. Pendekatan membina ialah satu cara yang berdasarkan prinsip sintesis atau membina atau dengan lain perkataan menyusun bahagian-bahagian yang kecil menjadi satu benda yang besar. Contohnya dalam mengajarkan ayat ; Saya ada baju baru I. II. III. IV. V. Memperkenalkan huruf Memperkenalkan suku kata Memperkenalkan perkataan Memperkenalkan rangkai kata Memperkenalkan ayat - a,b,d, j, r,s,u - sa,ya,ba,ja,ba,ru - saya, ada, baju, baru - saya ada, baju baru - saya ada baju baru
4

Pada keseluruhannya, pendekatan ini menggunakan kaedah huruf, kaedah bunyi, dan kaedah suku kata.

Selain itu, pendekatan cerakinan juga boleh digunakan dalam mengajar kemahiran membaca. Pendekatan cerakinan ialah pendekatan pengajaran yang mendahulukan unsur-unsur yang besar, kemudian unsur-unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur yang kecil yang membentuk struktur yang besar itu. Contohnya: I. II. III. IV. V. Memperkenalkan ayat Memperkenalkan rangkai kata Memperkenalkan perkataan Memperkenalkan suku kata Memperkenalkan huruf - saya ada baju baru - saya ada, baju baru - saya, ada, baju, baru - sa,ya,ba,ju,ba,ru - a,b,d, j, r,s,u,

Pada keseluruhannya, cara ini menggunakan kaedah perkataan, kaedah rangkai kata, kaedah ayat yang kesemuanya digabungkan dalam kaedah pandang sebut.

Teknik membaca yang boleh digunakan dalam kemahiran membaca ini ialah teknik bacaan intensif, ekstensif, skimming dan scanning. Teknik bacaan intensif merupakan teknik yang digunakan untuk mendapatkan maklumat secara terperinci. Teknik ini memerlukan tumpuan, ketekunan dan masa yang panjang untuk mendapatkan maklumat atau makna. Teknik ini dilaksanakan untuk memperkembangkan kebolehan meneliti pembentukan dan penggunaan bahasa dalam konteks dan situasi yang berlainan. Selain itu, teknik ini juga bertujuan untuk mendapatkan semua maklumat dengan mendalam dan catatan perlu dibuat untuk mengumpulkan maklumat.

Teknik bacaan ekstensif pula merupakan teknik yang dilaksanakan di luar bilik darjah. Teknik ini menitikberatkan pengukuhan asas bacaan, menambah pemahaman dan meningkatkan kepantasan membaca. Melalui teknik ini, pelajar digalakkan untuk mencari isi-isi penting yang terdapat dalam bahan yang dibaca. Teknik ini juga dikenali sebagai bacaan luas.
5

Teknik Bacaan Skimming pula merupakan teknik yang digunakan untuk mendapatkan maklumat secara ringkas dan pantas mengenai sesuatu bahan atau maklumat. Teknik ini dilakukan bertujuan untuk mendapatkan maklumat ringkas tetapi menyeluruh mengenai sesuatu bahan atau dokumen. Teknik ini boleh dilaksanakan dengan cara membaca tajuk, pendahuluan dan rumusan bahan atau dokumen, membaca dengan menggunakan pergerakan mata yang cepat dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada bahan yang dibaca. Teknik ini juga dikenali sebagai teknik luncuran.

Teknik Bacaan Scanning merupakan teknik yang dilakukan secara imbasan dengan membaca pendahuluan dan rumusan teks secara mendalam. Teknik ini juga boleh dilakukan dengan cara membaca kandungan bab dengan pantas sambil mencatatkan kata kunci dan konsep yang dinyatakan. Selain itu, teknik ini juga boleh dilakukan dengan memerhatikan rajah atau grafik yang terdapat dalam bahan bacaan untuk mendapatkan maklumat. Tujuan teknik ini dilakukan adalah untuk mendapatkan maklumat tertentu sebagai jawapan kepada sesuatu persoalan.

KEMAHIRAN MENULIS Kemahiran yang ketiga pula adalah Kemahiran Menulis. Kemahiran menulis dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah didefinisikan sebagai keupayaan pelajar menulis perkataan dan membina ayat, serta dapat mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan. Menurut Kamarudin Hj Husin (1988) Tulisan ialah bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi. Jika tulisan itu dibunyikan semua ia dikatakan bahasa. Tulisan ialah alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan. Ia merupakan bahasa yang tersusun yang berupa rangkai-rangkai kata dan ayat-ayat.

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan dalam kemahiran menulis. Antaranya ialah kaedah terkawal yang terbahagi kepada dua kategori iaitu kaedah terkawal sepenuhnya dan kaedah separuh terkawal. Kaedah terkawal sepenuhnya merupakan penulisan karangan pada peringkat awal.Pengawalan sepenuhnya dilakukan bagi mengelakkan pelajar-pelajar melakukan kesilapan. Latihan yang
6

diberikan adalah berbentuk menyalin semula bahan yang diberikan. Latihan ini haruslah latihan yang pendek dan tujuan latihan ini adalah sebagai latihan mekanikal sahaja.

Kaedah separuh terkawal pula merupakan peringkat pelajar-pelajar diberi peluang untuk menggunakan sedikit daya pemikiran mereka untuk memilih perkataan dan menyesuaikannya dengan bahan pengajaran dan pembelajaran. Antara latihan yang bersesuaian dengan penulisan peringkat ini ialah latihan menggantikan beberapa perkataan yang telah dipadankan dengan perkataan lain yang disediakan.

Kemahiran menulis menggunakan pendekatan proses. Pendekatan proses menekankan proses penulisan karangan tersebut. Biasanya pelajar-pelajar akan diminta menulis draf karangan terlebih dahulu. Kemudian menulis karangan dan yang terakhir menyemak karangan tersebut berulang kali.

Penyemakan boleh dilakukan oleh pelajar itu sendiri atau meminta orang lain melakukan penyemakan. Penulisan karangan lebih bertumpu kepada proses memperbaiki kesilapan dan menyusun semula isi mengikut keutamaaan. Penulisan draf yang pertama akan disemak untuk melihat kesilapan-kesilapan yang dilakukan sama ada dari segi tatabahasa atau keutamaaan susunan isi karangan. Guru atau rakan yang membuat penyemakan tidak akan membetulkan kesilapan-kesilapan yang dilakukan tetapi memberikan cadangan-cadangan yang harus dipertimbangkan oleh penulis semasa memperbaiki penulisan karangan mereka. Penyemakan berulang kali secara tidak langsung menyedarkan pelajar-pelajar bahawa proses penyemakan yang berterusan akan menghasilkan suatu penulisan karangan yang lebih sempurna.

Selain itu, pendekatan metafizika juga digunakan dalam kemahiran menulis. Pendekatan ini melibatkan jalinan dan penghayatan antara aspek-aspek dalaman seperti aspek psikologi, kerohanian seperti perasaan dan jiwa dengan hubungan jasmani. Oleh itu, pendekatan ini berhubung dengan perasaan, emosi dan sikap pelajar tersebut semasa proses penulisan. Penghargaan merupakan aspek yang penting dalam pengajaran yang bercirikan metafizika ini. Selain itu, pendekatan ini juga dapat
7

membentuk pelajar supaya lebih menghargai pengajaran yang hendak disampaikan oleh guru. Perlakuan pelajar akan mencerminkan satu kesedaran atau perhatian terhadap ransangan, peristiwa atau persekitaran yang berhubung dengan bidang afektif. Oleh itu, guru haruslah membangkitkan pengalaman sedia ada pelajar atau menggunakan teknik-teknik pengajaran yang dapat menimbulkan pengalaman yang bermakna terhadap mereka. Di samping itu, guru juga boleh memberi peluang kepada pelajar untuk mengungkapkan pemikiran, perasaan dan khayalan mereka supaya pelajar dapat bersedia menghadapi aktiviti dalam pengajaran penulisan.

Teknik yang digunakan dalam mengajarkan kemahiran menulis pula ialah teknik latih tubi bagi meningkatkan penguasaan kemahiran menulis mereka dalam aspek memegang alat tulis, membentuk garisan dan lenggokan huruf dengan betul serta mengekalkan jarak dan bentuk huruf dengan sempurna. Guru boleh memberi latih tubi kepada pelajar yang menghadapi masalah tulisan yang terlalu sesak atau jarang dengan menggalakkan pelajar menulis huruf mengikut jarak hujung jari atau batang mancis.

Selain itu, guru juga boleh menggunakan teknik stalistik atau dikenali sebagai gaya bahasa dalam kemahiran menulis. Guru biasanya menggunakan teknik ini semasa mengajar pelajar-pelajar menulis karangan dalam aspek membuat perenggan, bilangan perkataan dalam sesebuah ayat dan struktur ayat. Kemahiran menulis yang baik melibatkan kecekapan menggunakan pelbagai bentuk struktur ayat untuk menyampaikan maklumat dengan jelas dan memberi kepuasan membaca melalui gaya bahasa penulisan yang menarik. Oleh itu, penulisan yang baik terdiri daripada ayat yang pelbagai jenis seperti ayat dasar, ayat majmuk dan ayat aktif serta mempunyai kepanjangan ayat yang berbeza-beza.

PRINSIP-PRINSIP PENYEDIAAN DAN PENGGUNAAN BAHAN BANTU PENGAJARAN-PEMBELAJARAN Dalam pemilihan sesuatu bahan pengajaran, guru perlu sentiasa merancang bahan yang sesuai untuk digunakan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Pengalaman pengajaran dan pengalaman pembelajaran dapat
8

diperkaya bukan sahaja melalui penggunaan buku-buku seperti P&P konvensional tetapi juga penggunaan radio, televisyen, pita video, filem slaid dan lain-lain. Hal ini selaras dengan kemajuan sains dan teknologi, bidang pendidikan mengalami perkembangan kemodenan sekaligus menjadikannya semakin canggih. Sebagaimana yang kita dapat lihat, proses P&P masa kini menjadi lebih mencabar berbanding dengan proses P&P konvensional. Bagi menjadikan proses P&P menjadi lebih berkesan dan menarik, prinsip-prinsip penyediaan dan penggunaan bahan bantu pengajaranpembelajaran perlulah dititikberatkan dan diberi perhatian.

Terdapat beberapa prinsip yang boleh digunapakai dalam pemilihan dan penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi kemahiran bahasa. Antaranya ialah pertama, bahan dipilih dan digunakan mestilah bersesuaian. Pemilihan bahan yang digunakan amat perlu dititikberatkan dalam menyediakan bahan pembelajaran dan pengajaran. Bahan tersebut hendaklah bersesuaian dengan objektif dan matlamat pengajaran bahasa pada hari itu.Ia juga perlu sesuai dengan pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan serta sesuai dengan keadaan dan selamat digunakan. Suasana dan kecenderungan pembelajaran pelajar juga perlu dilihat untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

Kedua, pemilihan bahan yang digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran mestilah menepati objektif pengajaran. Hal ini bermaksud dalam menyediakan bahan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlulah memilih bahan yang menepati dengan isi pelajaran seperti mengandungi maklumat yang hendak disampaikan serta mengarah kepada objektif yang hendak dicapai. Selain itu,. Urutan susunan juga perlu lebih teratur untuk memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan lebih berkesan.

Ketiga, bahan yang dipilih mesti mencabar. Semasa menyediakan bahan pembelajaran dan pengajaran ini, guru perlulah mematuhi prinsip-prinsip yang berikut: I. II. III. Bahan yang mudah kepada kompleks. Bahan yang konkrit kepada abstrak. Bahan yang khusus kepada bahan yang umum.
9

IV. V.

Bahan yang umum kepada bahan teori. Bahan yang mempunyai fakta terasing dengan bahan yang mengandungi fakta bersepadu.

Tiga perkara penting dalam proses pengajaran, iaitu aspek rangsangan, pemikiran dan tingkah laku. Dalam hal ini, aspek rangsangan akan menggerakkan akal pemikiran, kemudiannya mempengaruhi tindakan tingkah laku seseorang. Sehubungan dengan itu, bahan yang pilih dalam proses P & P perlu memiliki ciri-ciri tersendiri yang boleh mencabar minda dan mendorong minat pelajar-pelajar untuk belajar.

Keempat, bahan yang dipilih mesti dapat menarik minat murid. Hal ini demikian kerana pengajaran dan pembelajaran yang menarik dapat menarik minat murid dalam memberi penumpuan terhadap P&P yang disampaikan oleh guru. Antara perkara yang dapat menjadikan bahan tersebut menjadi lebih menarik ialah reka letak, saiz, ilustrasi dan grafik bahan yang sesuai dan menarik. kualiti kulit dan cara buku itu dijilid juga mampu menarik minat murid. Selain itu bahan bantu mengajar berkenaan mengandungi arahan yang jelas supaya murid memahami dan membuat perkaitan dengan P&P yang disampaikan oleh guru.

Kelima, bahan yang dipilih perlulah jimat dan murah.Perkara penting perlu diberi pertimbangan adalah kewajaran kosnya. Bahan bantu mengajar mestilah tidak terlalu mahal serta sesuai dengan penggunaannya. Jika bahan tersebut dibina oleh guru, ia juga tidak perlu terlalu rumit serta pembikinannya tidak memakan masa yang lama untuk menyiapkannya. Adalah lebih baik sekiranya bahan yang digunakan dalam pembikinan bahan adalah daripada bahan terbuang atau kitar semula.

Keenam, bahan yang dipilih mestilah yang praktikal. Pemilihan bahan yang akan digunakan perlulah difikirkan cara penggunaan. Bahan tersebut perlulah sentiasa berfungsi dan mudah digunakan. Bentuk dan saiznya tidak boleh terlalu besar, sederhana menjadikannya mudah dibawa kemana-mana, mudah diambil dan disimpan. Bentuk bahasa yang digunakan mesti berdasarkan situasi sebenar dan boleh digunakan oleh mata pelajaran lain. Faktor ketahanan seperti boleh digunakan berulang
10

kali dan tahan lasak perlu difikirkan bagi menjadikan bahan yang digunakan lebih praktikal dan efisien.

Dan yang terakhir, bahan yang dipilih dan digunakan perlulah yang bersifat luwes. Bahan tersebut mestilah bahan yang boleh ubah dan cenderung untuk diguna pakai dalam kalangan dan di antara mata pelajaran, kelas dan antara sekolah dan wilayah.

PENILAIAN BAHASA KEMAHIRAN LISAN (KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR) Penilaian kemahiran mendengar dan bertutur lazimnya dijalankan dalam kalangan pelajar-pelajar pada peringkat awal pembelajaran, khususnya kepada pelajar yang belum boleh bertutur dalam bahasa yang mereka pelajari. Misalnya, dalam kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu. Mereka masih memperlihatkan pengaruh bahasa ibunda yang kuat sehingga menyebabkan bahasa Melayu yang mereka gunakan itu mengalami gangguan.

Walau bagaimanapun pelajar Melayu juga mengalami gangguan daripada dialek daerah. Selain itu, penilaian sebutan ini perlu juga dilakukan dalam kalangan pelajar yang sukar membunyikan sesuatu lambang atau huruf atau bunyi daripada bunyi-bunyi pinjaman seperti kh, gh, sy, z, v, s dan f. Penilaian dan pengujian kemahiran menyebut merangkumi penyebutan fonem, suku kata, frasa dan ayat-ayat. Ini secara langsung melibatkan pula unsur-unsur tekanan, hentian dan intonasi.

Kemahiran ini memerlukan seseorang itu berfikir dan menghasilkan ayat-ayat secara spontan dan bertepatan dengan maksud yang hendak disampaikan. Contohnya: Bertutur berdasarkan gambar-guru boleh mengemukakan beberapa soalan mudah berdasarkan gambar yang ditunjukkan. Contohnya: I. II. III. Siapa yang dapat kamu lihat dalam gambar ini? Apa yang sedang mereka lakukan? Pada pendapat kamu apakah yang sedang dilakukan oleh orang itu?
11

KEMAHIRAN MEMBACA Penilaian kemahiran membaca pula kebiasaannya diajar secara berperingkatperingkat iaitu bermula dari peringkat kesediaan membaca, peringkat mendirikan asas, peringkat mencapai kemahiran membaca, peringkat melatih membaca untuk rekreasi dan keilmuan dan peringkat membina dan mengukuhkan sikap gemar membaca.

Penilaian membaca boleh dilakukan untuk menguji kefahaman pelajar dengan memberikan penyoalan secara terbuka dan ujian kloz. Penyoalan secara terbuka diberikan kepada pelajar-pelajar selepas membaca teks yang diberikan. Pelajar-pelajar diminta menjawab soalan dengan menggunakan ayat sendiri dengan sebutan dan perbendaharaan kata yang bersesuaian. Manakala ujian kloz pula dilakukan dengan meminta pelajar-pelajar mengisikan tempat yang telah dikosongkan oleh guru dalam sesuatu keratan bacaan. Pada mulanya, pelajar diminta membaca secara keseluruhan teks. Kemudian, berasaskan kefahaman mereka ke atas teks itu, mereka akan mencuba mengisi tempat yang dikosongakn dengan perkataan yang bersesuaian.

KEMAHIRAN MENULIS Penilaian kemahiran menulis harus dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian dilakukan bagi menguji penguasan kemahiran bahasa seseorang pelajar di sekolah. Guru boleh menggunakan beberapa ujian penilaian kemahiran menulis seperti ujian membina ayat, ujian menulis secara terkawal dan ujian menulis secara terpimpin.

Ujian membina ayat ini bercorak formatif dan dapat menguji kebolehan pelajar membina ayat yang sempurna dan lengkap serta betul dari segi struktur dan tatabahasa. Ayat-ayat yang ditulis boleh menjadi selapis, berlapis atau berkait. Kemahiran menulis pada peringkat ayat merupakan kemahiran asas bagi penulisan peringkat wacana penulisan yang lebih panjang seperti karangan. Bagi menguji kemahiran menulis ayat, gambar foto atau gambar lukisan bersiri boleh digunakan sebagai stimulus bagi pelajar mengarang ayat.

12

Ujian menulis secara terkawal ini bercorak formatif dan sesuai diaplikasikan kepada pelajar sekolah rendah. Tujuan ujian ini dijalankan kepada pelajar adalah untuk menilai sama ada pelajar boleh menulis dan mengarang dalam keadaan yang sebahagian besar daripada isi atau bentuk karangan telah disediakan oleh guru. Kebebasan dalam memilih, menyusun dan mengeluarkan idea dengan menggunakan ayat sendiri adalah terhad kerana banyak perkara diberikan atau dikawal oleh guru. Satu teknik yang boleh digunakan oleh guru bagi menguji kemahiran menulis secara terkawal ialah dengan memberikan pelajar satu rangka isi perkara atau tajuk yang perlu dituliskannya.

Ujian menulis secara terpimpin sebenarnya lanjutan daripada ujian jenis terkawal. Isi atau bentuk karangan yang perlu dihasilkan oleh pelajar kurang dikawal. Misalnya, pelajar hanya akan diberikan sedkit panduan dalam tugas mengarang. Panduan atau pimpinan itu boleh merupakan ayat pertama, ayat terakhir, rangka karangan, gambar bersiri atau gambar komposisi sebagai stimulus dan panduan bagi menulis dan mengarang. Dalam ujian ini, pelajar dikehendaki mengarang dengan berpandukan jalan cerita dalam gambar menurut sirinya yang digunakan sebagai bahan ransangan dan tema karangan. Satu lagi pilihan teknik ialah satu rangka karangan diberikan kepada pelajar-pelajar dan mereka dikehendaki mengarang berpandukan rangka tersebut.

Disediakan oleh, Nama : Mohd Hamdi Bin Abdul Rahim Kelas: Sce A Kohort 2, Ambilan Februari 2012.

13

RUJUKAN

Buku Abdul Aziz Abdul Talib (1993). Menguji Kemahiran Bahasa: prinsip, teknik dan contoh . Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Kamarudin Hj. Husin (1988). Pedagogi Bahasa. Sri Pendidikan Logman: Kuala Lumpur.

Pusat Perkembangan Kurikulum (2001). Belajar Cara Belajar. Kementerian Pendidikan Malaysia: Kuala Lumpur.

Zulkifley Hamid (1994). Pembelajaran dan pengajaran bahasa.Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka:Selangor.

Internet Kemahiran-kemahiran Bahasa (5 Oktober 2009), Diakses pada 28 Februari 2014 daripada Dinamika Bahasa Melayu : http://amymelakarockers.blogspot.com/ 2009/10/kemahiran-kemahiran-bahasa.html

Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Diakses pada 27 Februari 2014 daripada: http://www.scribd.com/doc/26242082/Kemahiran-Mendengar-Dan-Bertutur

Modul BMM3104 Kemahiran Mendengar Bertutur Membaca Menulis, Diakses pada 27 Februari 2014 daripada: http://www.scribd.com/doc/28427497/MODUL-BMM3104-KEMAHIRAN-MENDENGAR-BERTUTUR-MEMBACA-MENULIS

Prinsip-Prinsip Pembinaan Bahan Bantu Mengajar (10 Mei 2010), Diakses pada 27 Februari 2014 daripada Literasi Bahasa : http://literasibahasa.webnode.com/ news/website-launched/
14

Anda mungkin juga menyukai