Anda di halaman 1dari 15

Sistem pendidikan pondok di Tanah Melayu bermula sejak awal kurun ke 19 atau akhir kurun ke

18 dengan pengaruh yang dibawa dari Patani, Sumatera, Jawa dan Acheh. Kaedah pengajarannya
adalah mengikut kaedah yang dijalankan di Masjidil Haram di Mekah. Pengajian pondok lebih
jelas kelihatan jika ditinjau di negeri-negeri yang kuat ciri-ciri keagamaannya seperti Kedah,
Terengganu dan Kelantan. Kebanyakan daripada para ulama ini mendapat pendidikan tertinggi
mereka di Mekah. Sistem pendidikan pondok sebenarnya mementingkan keagamaan dalam
mengerjakan ibadat dan pembentukan akhlak yang sempurna. Dalam sejarah pendidikan pondok
yang terawal, pelajar-pelajarnya adalah terdiri daripada lelaki muda, dewasa dan separuh umur.
Untuk melicinkan pentadbiran pendidikan pondok, beberapa undang-undang atau disiplin
diadakan. Tujuannya adalah untuk menjamin kejayaan pondok supaya diterima oleh masyarakat
kampung. Nama baik sesebuah pondok mestilah dipelihara sesuai dengan tugas dan
tanggungjawabnya untuk mewujudkan insan yang benar-benar berilmu dan beriman kepada
Alllah.
Beberapa peraturan yang telah ditetapkan ialah :
1. Pelajar dikehendaki hadir pada setiap waktu pembelajaran
2. Pelajar mesti memakai baju kurung Melayu berwarna putih dan berkain sarung, di
samping memakai songkok putih atau serban. Rambut masing-masing diarahkan supaya
dicukur.
3. Pelajar dimestikan menghadirkan diri pada setiap kali sembahyang berjemaah.
4. Pelajar yang hendak keluar dari kawasan pondok akan disoal jawab terlebih dahulu.
Sekiranya tidak ada perkara yang mustahak, mereka tidak dibenarkan keluar. Keluar
masuk ke dalam kawasan pondok sentiasa dikawal.
5. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan membuat bising dan bertengkar di kawasan pondok.
6. Adalah menjadi satu kemestian dan tidak boleh sekali-kali diuzurkan diri sekiranya
mereka dijemput untuk menyembahyangkan jenazah.
7. Pergaulan di dalam kawasan pondok dan masyarakat mestilah dijaga dan dipelihara
dengan baik, saling hormat menghormati dan bekerjasama.
8. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan membuat sesuatu yang bercanggah atau melanggar
undang-undang syarak.
9. Segala peraturan dan percakapan guru mestilah dipatuhi oleh setiap orang pelajar.
10. Satu amalan baik yang digalakkan ialah menepati masa.
Kebiasaannya guru-guru akan menyampaikan pengajarannya dengan cara bersyarah mengenai
sesebuah kitab yang telah ditetapkan, manakala murid-muridnya akan duduk bersila mengelilingi
tuan guru semasa pengajaran disampaikan. Pada tahun pertama atau pada peringkat permulaan,
murid-murid diperkenalkan dengan sistem pengajaran yang bercorak hafalan atau menghafal. Di
peringkat permulaan ini pengajaran tentang Nahu dan Saraf Arab adalah penting. Pengetahuan
tentang bahasa Arab adalah perlu sekali kerana di pondok penggunaan kitabnya dan pengajaran
yang dijalankan adalah berlandaskan bahasa Arab.
Di peringkat awal pembelajaran, yang dipentingkan ialah pelajaran Fekah, Tauhid, Hadis dan Al-
Quran di samping pelajaran Nahu and Saraf Arab. Dari semasa ke semasa pelajaran di pondok
ikut bertambah seperti pelajaran Tafsir, Balaghah, Tarikh Islam, Tasauf, Akhlak dan lain-lain
lagi. Dalam mempelajari beberapa matapelajaran yang telah ditetapkan, pendidikan di pondok-
pondok baik di negeri Kedah mahupun di negeri-negeri lain di Tanah Melayu menggunakan
kitab-kitab yang hampir sama baik dari segi nama kitab tersebut dan pengarangnya. Pondok
mempunyai sistem jadual waktu dan jadual cuti penggal tersendiri. Cuti penggalnya mengambil
kira hal-hal seperti bulan puasa dan musim menuai padi. Ini bagi membolehkan penuntut-
penuntut membuat ibadah puasa dan mencari nafkah bekerja di musim tuai, sambil memungut
fitrah bagi pihak guru pondok.
SISTEM PONDOK SEBAGAI INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM
1. Sistem pengajian Islam pondok dijalankan di sebuah perkampungan yang berpusatkan
sebuah bangunan (surau/masjid) yang bertindak sebagai sekolah dan tempat beribadat.
Tempat pengajian ini dikelilingi oleh rumah-rumah kecil yang dipanggil pondok
sebagai tempat kediaman pelajar. Dari sinilah timbulnya perkataan pengajian pondok.
2. Lokasi pondok selalunya berada di tempat pendalaman/desa, selalunya di sebuah
kawasan penanaman padi, yang berhimpunnya orang Melayu beragama Islam. Ini jelas
dengan banyaknya pengajian pondok di daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Yan kerana
kawasan ini merupakan jelapang padi bagi Kedah.
3. Sistem pengajian ini biasanya ditadbir secara bersendirian mengikut citarasa tuan guru
yang bertindak sebagai ketua. Beliau bertanggung jawab mengendalikan pengajian dan
atauran hidup di kawasan pondok. Kemajuan sesebuah pondok itu selalunya bergantung
kepada keilmuan dan daya kepimpinan yang ada pada tuan guru. Kebanyakkan pondok
terkenal dengan nama kepada pengasas atau tuan guru di situ dan tempat kewujudannya.
Sebagai contohnya, pondok Hj. Hussain Langgar, pondok Tok Syeikh Jarum Derga dan
pondok Syeikh Idris di Tajar.
4. Pelajar-pelajar tidak dibahagi mengikut umur, sebaliknya dibuka kepada umum dan
sesiapa sahaja boleh mengikuti pelajaran daripada tuan guru, selalunya selepas meminta
izin daripada beliau. Sistem pondok tidak mempunyai kelas, sebaliknya lebih berbentuk
halaqah bersama tuan guru.
5. Kebanyakkan sekolah pondok tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap.
Sebaliknya ia bergantung kepada derma orang ramai dan pelajar, terutama melalui
bayaran dalam sistem Islam seperti waqaf, zakat dan sedekah. Ini mungkin berkaitan
dengan lokasi pondok di kawasan penanaman padi melalui pemberian zakat padi.
6. Sistem pengajian di sini menggunakan kaedah pengajaran secara penyampaian oleh tuan
guru dan pelajar pula mengingatinya secara hafalan terhadap pelajaran atau matan yang
dipelajari. Kebanyakkan sekolah pondok mempunyai jadual pengajaran mengikut solat
lima waktu, seperti lepas subuh dan lepas maghrib.
7. Pengajian secara pondok tidak menggunakan sukatan pelajar yang tetap, sebaliknya
menggunakan kitab-kitab tertentu mengikut mata pelajaran yang diajar. Antara kitab-
kitab yang selalu diajar adalah dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu tulisan Jawi seperti
: Minhaj al-Abidin dan Ihya Ulumuddin (tasauf), Fath al-Muin (feqah), Tafsir
Jalalain (tafsir) dan sebagainya.
8. Antara pondok yang terawal di bina di Kedah adalah di Kampung Pulau Pisang, Tunjang,
Jitra oleh Tuan Haji Ishak Bin Muhammad Hashim.
SISTEM PONDOK MELALUI PEMBAHARUAN
Selepas Perang Dunia Kedua, sistem pendidikan pondok semakin beransur-ansur
mengalami perubahan. Ini termasuklah dalam kaedah pengajaran yang menekankan
aspek pemahaman, selain kemudahan persekolahan seperti buku teks, jadual waktu yang
tersusun dan sistem pentadbiran yang kemas.
Mengikut catatan sejarah, sistem pengajian agama moden yang dipanggil madrasah yang
awal wujud ialah Madrasah al-Hamidiah di Limbong Kapal, Alor Setar oleh Tuan Haji
Wan Sulaiman Bin Wan Sidek. Nama madrasah ini diambil sempena nama Sultan Abdul
Hamid Halim Shah Ibn Sultan Ahmad Tajuddin Mukarran Shah. Asalnya madrasah ini
merupakan tempat persinggahan bakal-bakal haji sebelum bertolak ke Pulau Pinang
untuk menuju ke Mekah. Sebelum bertolak mereka akan mempelajari rukun dan cara
mengerjakan haji terlebih dahulu.
Kemudian satu persatu sekolah pondok menjadi moden dengan dipanggil sebagai
madrasah. Ada pula sekolah pondok yang terus mati setelah tuan guru meninggal dunia
dan tiada tempat penganti.
TOKOH DAN PENGHARGAAN
Haji Wan Ibrahim Bin Wan Abdul Kadir
Haji Wan Ibrahim lahir pada tahun 1894 di Bendang Daya, Patani. Beliau adalah adik
kepada Pak Da Ail Patani, guru di Mekah yang termasyhur. Oleh kerana abangnya
digelar Pak Da, maka beliau diberi gelaran Pak Cu Him. Sejak kecil, beliau dididik oleh
ayahnya mengikut cara Islam yang dipelajarinya. Kemudian, beliau dihantar belajar
agama di Bermin, Patani. Pada tahun 1912, beliau melanjutkan pelajaran di Mekah.
Setelah pulang ke tanahair, Pak Cu Him telah mengambil alih pondok mertuanya, Haji
Ismail Che Dol di Gajah Mati setelah berkahwin dengan anak gadisnya yang bernama
Hajah Zainab pada tahun 1926.
Pada 14 November 1931, Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Haji Wan Sulaiman Bin
Wan Sidek mengeluarkan tauliah kepada Pak Cu Him untuk mengajar agama dalam
negeri Kedah Darul Aman. Pondok Gajah Mati di bawah pimpinan beliau mendapat
sambutan ramai dan didatangi penuntut-penuntut dari Jambi, Mendiling, Patani,
Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan penuntut dari Kedah sendiri. Pada zaman
puncaknya, pondoknya pernah mencapai angka 500 orang penuntut.
Pak Cu Him juga sempat mengarang kitab "Fathul Jalil Wa Syifa Ghalil" yang siap pada
30 Jun 1966. Dalam karya ini beliau mengubah 51 bait syair Arab dan membuat ulasan
atau syarah kepada tiap-tiap bait itu dalam Bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan
antara lain tentang sifat mustahil Allah Taala iaitu qadim atau baharu. Selain karya yang
diterbitkan ini, banyak catatan Pak Cu Him di dalam Bahasa Melayu dan Arab mengenai
fatwa-fatwa agama dan juga khutbah-khutbah yang ditinggalkan tanpa dicetak. Sahibul
Fadzilah Haji Wan Ibrahim Bin Haji Wan Abdul Kadir menghembuskan nafasnya yang
terakhir pada 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari 1968 ketika berumur 75 tahun.
Jenazahnya diabadikan di perkuburan masjid lama Kampung Gajah Mati berhampiran
kubur Tok Ayah Haji Ismail Che Dol.
Dato' Haji Abdul Rahman Bin Haji Abdullah
Dato Haji Abdul Rahman Bin Haji Abdullah atau dikenali sebagai Haji Abdul Rahman
Merbok dilahirkan pada tahun 1899 di Tebengau, Kampung Alor Ibus, Alor Star, Kedah.
Beliau mendapat pendidikan awal (ilmu Al-Quran) daripada bapa beliau sendiri iaitu Haji
Abdullah dan kemudian berguru dengan Haji Muhammad Arif di Sungai Nonang.
Kemudian, pada tahun 1916, beliau meneruskan pelajaran menengahnya di Madrasah Al-
Masyhur, Pulau Pinang. Selepas itu, beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Tuan
Hussin Nasir, Teluk Nipah, Pantai Merdeka, Kedah selama tiga tahun.
Pada tahun 1918, Haji Abdul Rahman telah berangkat ke Mekah untuk menuntut ilmu di
sana. Di Mekah, beliau mendapat pendidikan secara umum dari beberapa tokoh guru
agama terkenal seperti Syeikh Othman Sarawak, Abdul Kadir Mendahiling, Sheikh Umar
Bajunid, Tuan Mufti Hambali, Sheikh Ali Maliki dan Sheikh Salleh Bikri. Selain itu,
beliau juga pernah menuntut daripada Tuan Guru Pak Da Ei (Pak Muda Ismail) dan Pak
Wan Daud yang mana kedua-duanya berasal dari Patani.
Sebagai seorang yang mendapat pendidikan sekolah pondok, Dato Mursyid DiRaja Haji
Abdul Rahman banyak menyumbang dalam usaha membangunkan sekolah di negeri
Kedah. Beliau pernah menjadi guru di sekolah pondok serta madrasah. Selain itu, beliau
juga telah mendirikan Madrasah Kota Kuala Muda ketika berusia 27 tahun iaitu sekitar
tahun 1926. Pada tahun 1927, beliau membuka Madrasah Saadatul-Daroin, Merbok,
Kedah. Pada peringkat awal, bilangan penuntut madrasah ini hanyalah seramai 25 orang
tetapi ia semakin bertambah dari tahun ke setahun dan ia menjadi terkenal bukan sahaja
di negeri Kedah tetapi ke beberapa negeri lain di Semenanjung dan beberapa bahagian
tertentu di Sumatera dan Riau. Bagi mengenangkan jasa dan sumbangannya, beliau telah
dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Kedah bagi tahun 1982.
Sheikh Ismail Bin Haji Muhammad Salleh
Sheikh Ismail dilahirkan pada 17 Syaaban 1311 H. Beliau merupakan anak kepada Haji
Muhammad Salleh Bin Haji Hashim juga cicit kepada Haji Ishak, pengasas pondok Pulau
Pisang dan Kadi Besar Negeri Kubang Pasu semasa pemerintahan Tunku Anom.
Beliau mendapat pendidikan awal daripada bapanya di Pondok Pulau Pisang. Pada tahun
1330H, beliau berangkat ke Mekah bersama ayahnya untuk menyambung pelajaran di
Masjidilharam. Setelah tamat, beliau menyambung lagi pengajiannya di Universiti Al-
Azhar, Mesir selama lima tahun mulai 1346H hingga 1351H dan berjaya mendapat ijazah
Aliahtul Qarbak. Beliau banyak menghasilkan kitab berkaitan dengan sistem dan
peraturan persekolahan agama waktu itu. Malangnya, kebanyakan kitab yang berguna itu
hilang dan hanya dua buah sahaja yang ditemui iaitu Hidayat-An-Nufus dan Tarbiyat-Ul-
Auladiyah.
Walaupun sibuk dengan jawatan itu, beliau masih sempat melawat dan mengajar di
pondok Pulau Pisang yang sedang ditadbir oleh bapanya, Haji Muhammad Salleh. Beliau
turut memberi sumbangan fikiran, tenaga dan modal untuk meningkatkan taraf pondok
itu sebagai pusat pendidikan. Sheikh Ismail bertanggungjawab memberi nama kepada
pondok itu sebagai Madrasah Ishakiah dan serentak dengan itu kaedah pendidikan
tradisional dikemaskinikan mengikut sistem pengajaran moden ketika itu.
Sheikh Ismail meninggal dunia pada 23 Syawal 1364H dalam usia 53 tahun iaitu setahun
selepas Haji Muhammad Salleh meninggal. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan
Masjid Pulau Pisang berhampiran kubur ayah dan nendanya. Setelah beliau pulang ke
rahmatullah, nadi keunggulan pondok itu sebagai pusat ilmiah Islam diteruskan oleh
adiknya, Tuan Haji Kassim.
Muhammad Salleh Bin Haji Hashim
Haji Muhammad Salleh dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra pada
tahun 1864. Pendidikan awal yang diterima beliau ialah menerusi pondok Kampung
Pulau Pisang yang ditadbir oleh datuknya. Haji Muhammad Salleh adalah cucu kepada
Haji Ishak Bin Muhammad Hashim, pengasas pusat pendidikan pondok Kampung Pulau
Pisang dan Kadi Besar di negeri Kubang Pasu Darulqiyam yang diperintah oleh Tunku
Anom dari tahun 1841 sehingga tahun 1853. Beliau telah dihantar ke Mekah untuk
memperluaskan lagi pengetahuan keagamaan pada tahun 1879 dan berada di sana selama
15 tahun.
Pusat pendidikan pondok di Pulau Pisang terus mendapat perhatian setelah kematian Haji
Ishak kerana Haji Muhammad Salleh telah meningkatkan kegemilangan pondok tersebut
di mana terdapat pertambahan jumlah murid iaitu di antara 800 hingga 1,000 orang.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang ke arah perkembangan dan kemajuan pusat
pendidikan pondok di Kampung Pulau Pisang semasa pentadbirannya. Pertamanya, dari
segi sejarah, Pulau Pisang telah mencapai taraf bandar dan menjadi ibu negeri Kubang
Pasu sewaktu pemerintahan Tunku Anom. Keduanya, Haji Ishak yang telah menjadi Kadi
Besar berjaya meletakkan asas ajaran Islam yang kukuh. Ketiganya, kewibawaan Haji
Muhammad Salleh sendiri sebagai ulama yang gigih meninggikan syiar Islam dan
keempatnya, kesedaran masyarakat untuk mendapat ilmu akhirat di samping menjauhi
kejahilan.
Beliau tidak hanya melibatkan diri dalam bidang keagamaan sahaja, di mana beliau
bertanggungjawab menyediakan kemudahan sosial seperti membina jalan besar iaitu
sebatang jalan besar yang menghubungi Kampung Pulau Pisang dengan Pekan Tunjang.
Selain itu, beliau telah mengemaskini Masjid Ishaqiah dan mengasaskan more dan
kenduri berbuka puasa sepanjang bulan Ramadhan. Setelah berbakti selama 50 tahun
mengembangkan ajaran Islam di pondok Pulau Pisang, beliau meninggal dunia pada
tahun 1944.
Tuan Hussain Mohd Nasir Al-Mas'udi Al-Banjari (Tuan Hussin Kedah)
Tuan Hussain lahir pada 2 November 1863 bersamaan 20 Jamadil Awal 1280 H di Titi
Gajah, Alor Star, Kedah. Beliau yang lebih dikenali sebagai Tuan Hussain Kedah telah
mendapat didikan agama dan pelajaran bahasa Arab dari datuknya, Tuan Haji
Muhammad Taib Bin Haji Mas ud sejak kecil lagi. Pada tahun 1881 ketika beliau berusia
18 tahun, Tuan Hussain telah dihantar untuk belajar di pondok Tuan Samela di Patani
selama setahun. Pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu
Wan Khadijah Binti Wan Yusof untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan
agamanya. Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896, beliau
meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau
ditawarkan untuk membuka pondok di Kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang
berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar di sana selama tiga tahun.
Pada tahun 1900, beliau berpindah ke Bohor dan membuka pondoknya di sana. Pelajar-
pelajar lelaki dan perempuan di pondok Bohor berumur antara 15 hingga 60 tahun.
Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok Dalam di mana disediakan untuk orang
yang sudah berkeluarga dan Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussain
mengendalikan pondoknya di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan
panggilan "Tuan Hussain Bohor". Pada tahun 1912, Tuan Hussain berpindah pula ke
Bagan Ulu dan membuka pondok di situ. Tempat ini sekarang dikenali sebagai Pantai
Merdeka. Pelajar-pelajarnya berjumlah lebih 400 orang. Antara pelajar-pelajarnya yang
terkenal ialah Dato Haji Abdul Rahman Bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai
Haji Abdul Rahman Merbok. Tuan Hussain mentadbir pondok Bagan Ulu selama 8 tahun
sebelum membuka pondok baru di Selengkoh, Mukim Sungai Limau. Kepulangannya
dari Mekah pada tahun 1924 telah memberi ilham kepada Tuan Hussain untuk membuka
pondok baru pula di Padang Lumat. Pada 10 Februari 1936, dengan kehendak Allah,
Tuan Hussain pulang ke rahmatullah setelah jatuh sakit di pondoknya di Pokok Sena,
Seberang Perai. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Titi Gajah.
Haji Hussain Che Dol
Haji Hussain Che Dol dilahirkan di Kampung Gajah Mati, Pendang, Kedah pada tahun
1904. Beliau datang dari keluarga pondok di mana bapanya, Ismail Che Dol merupakan
tokoh ulama terkenal di Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal daripada bapanya
selaku gurunya. Selepas itu, beliau mendalami pengajian di selatan Siam dan telah
berguru dengan Haji Abdullah Chauk, Patani. Selepas empat tahun mendalami ilmu di
Siam, beliau pergi ke Mekah. Semasa di Mekah, beliau telah jatuh sakit dan disebabkan
keuzuran itu, beliau kembali ke tanahair lalu menyambung pengajian di Pondok Chauk,
Patani.
Haji Hussain Che Dol pernah membuka pondok sendiri di Guar Cempedak, Kedah dan
memimpin pelajar yang datang dari pelbagai tempat di seluruh Tanah Melayu. Beliau
meneruskan kerjayanya sebagai guru di pondok bapanya iaitu di Gajah Mati. Selepas itu,
beliau berhijrah ke Kampung Paklat, Bangkok sambil berdakwah kepada masyarakat
Islam di sekitar Bangkok selama tiga tahun. Kemudiannya, beliau kembali ke Gajah Mati
untuk mengembangkan syiar Islam. Pada tahun1930-an, beliau dikenali sebagai qari
terkemuka di Kedah. Beliau juga merupakan seorang pemidato yang baik, terutamanya
dalam menyampaikan ceramah agama. Beliau telah membuka pondok sendiri yang diberi
nama Madrasah Al-Akhlak Al-Islamiah di Guar Cempedak.
Haji Hussain merupakan seorang ulama yang mahir dalam ilmu Fiqh serta mahir
bercakap Bahasa Inggeris. Beliau mempelajari Bahasa Inggeris daripada seorang guru
iaitu Che Maidin yang berasal dari Perak. Beliau merupakan seorang ulama dan
pemimpin ulung yang bukan sahaja berjuang menegakkan keagungan dan kesucian Islam
malahan turut membangunkan kesedaran umat dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Pada 12 Mei 1967, Warta Negara melaporkan mengenai pemergian Haji Hussain Che
Dol ke rahmatullah di rumah kediamannya di Guar Cempedak kerana penyakit darah
tinggi.
Haji Wan Sulaiman Bin Wan Sidek
Haji Wan Sulaiman Bin Wan Sidek dilahirkan pada tahun 1874 di sebuah desa
pedalaman iaitu Kampung Pulau Tengah dalam Mukim Padang Kerbau, Daerah Kota
Star. Haji Wan Sulaiman bertolak ke Mekah dengan dibiayai oleh ibu dan saudara-
saudaranya pada tahun 1887. Selama 17 tahun berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman
berjaya menguasai pelbagai ilmu agama Islam termasuklah bahasa Arab, Nahu, Saraf,
Hadis, pembacaan dan pengkajian Al-Quran dan ilmu Falakiah.
Madrasah Al-Hamidiah yang lebih dikenali sebagai Madrasah Pak Wan Sulaiman atau
Sekolah Arab Limbong Kapal itu telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang
berkelulusan dalam pelbagai bidang seperti menjadi pentadbir, kadi, guru dan pemimpin
masyarakat. Antara tokoh-tokoh terkenal termasuklah Dato Sheikh Abdul Majid Bin
Mohd. Noor iaitu bekas Pengetua Maktab Mahmud dan Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal
Islam Kedah; Allahyarham Sheikh Saad Bin Said, Pengasas Sekolah Attarbiatul-Islamiah
dan bekas Kadi Besar Kedah dan Allahyarham Sheikh Salleh Bin Shamsuddin, Guru
Maktab Mahmud. Haji Wan Sulaiman bersama dengan Tunku Mahmud kemudiannya
merancang untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah agama yang lebih tinggi
pengajiannya. "Al-Ma hadil Mahmud" atau Maktab Mahmud yang terletak di Simpang
Kuala, Alor Star telah dibina pada 16 Jun 1936 iaitu setelah setahun kematian Haji Wan
Sulaiman. Maktab ini mengambil sempena nama Tunku Mahmud.
Haji Wan Sulaiman meninggal secara mengejut di rumahnya di Limbong Kapal pada 28
Muharam 1354 bersamaan 2 Mei 1935 iaitu dalam usia 61 tahun. Bagi mengenangkan
sumbangan Haji Wan Sulaiman yang amat bernilai itu, Kerajaan Kedah telah
memberikan sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepadanya dengan mengizinkan
jenazahnya dikebumikan di Makam Diraja. Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kanchut di
bandar Alor Star telah diabadikan dengan nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan Wan
Sulaiman Sidek yang didirikan pada 1 Mac 1985.
KESIMPULAN
Sesekali apabila menulis artikel berbentuk sejarah ini, mampu menaikkan
kembali semangat kita untuk menghargai betapa bertuahnya kita yang di
lahirkan selepas mereka. Betapa susahnya untuk mendapat peluang belajar
pada zaman dahulu kala jika hendak di bandingkan dengan zaman kita
sekarang. Tapi yang peliknya, apabila semakin mudah cara untuk kita
mendapatkan ilmu semakin malaslah pula sesetengah dari kita untuk belajar
bersungguh-sungguh.
Bahan Rujukan
Tajuddin Saman, Tokoh Ulama Nusantara. Kuala Lumpur : Berita Pub., 1993.
Dokumentari Konvensyen Sejarah Kedah Darul Aman Kedua : Islam Di kedah Darul
Aman, Alor Star : Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, 1998.
Biografi Ulama Kedah Darul Aman. Alor Setar : Lembaga Muzium Negeri Kedah,
1996.
Ismail Mat, Ulama Silam Dalam Kenangan. Bangi : UKM, 1993.
Zaharah L.Abdullah, Pendidikan Pondok di Kalangan Masyarakat Islam di Kedah
1840an Sehingga 1957. Bangi : UKM, 1.

Anda mungkin juga menyukai