Anda di halaman 1dari 25

CONTOH AYAT-AYAT DALAM PENDAHULUAN

Bahagian/Ayat
Struktur Contoh ayat


1 Penyataan Isu
Kita tidak dapat dinafikan bahawa kes kemalanagan jalan
raya sejak akhir-akhir ini semakin meningkat khususnya
pada musim perayaan.

2 Penjelasan isu
Kemalangan ini berlaku secara tidak sengeja dan
tidak
diduga.


Contoh
Misalnya kemalangan yang membabitkan sebuah bas
syarikat pengangkutan awam baru-baru ini bukanlah
sesuatu yang dingini oleh semua pihak.

3 Ulasan isu Namun begitu, kemalangan itu tetap berlaku dan
menyebabkan banyak nyawa yang terkorban. Hal
sedemikian pastinya menyebabkan kesedihan kepada
pelbagai pihak, terutamanya ibu bapa, adik-beradik dan
keluarga terdekat mangsa.

4 Ulasan isu

5 Ulasan isu

6
Kehendak
soalan
Oleh sebab itu, pihak bertanggungjawab perlu mengenal
pasti punca berlakunya kemalangan ini agar langkah
pencegahan dapat dilaksanakan.


SENARAI SEMAK STRUKTUR ISI SOKONGAN KARANGAN STPM

Bahagian/Ayat Struktur Contoh ayat


1 Ayat Judul
Salah satu faktor berlakunya kemalangan jalan raya ialah
kecuaian pemandu itu sendiri.
2
Ayat sokongan
1
Ada dalam kalangan pemandu yang tidak memberikan
tumpuan terhadap pemanduannya semasa berada di jalan
raya. Terdapat dalam kalangan mereka yang berbual-bual
dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Perkara
sedemikian menyebabkan mereka tidak dapat memberikan
perhatian terhadap keadaan jalan raya, isyarat lampu dan
sebagainya ketika memandu. Selain itu ada juga pemandu
yang memandu dalam keadaan mengantuk, mabuk dan
sebagainya. Walhal perkara seumpama ini perlu dielakkan
ketika memandu.

3 Ayat sokongan 1

4 Ayat sokongan 1

5 Ayat sokongan 1

6 Ayat sokongan 1

7 Kesimpulan
Jelaslah bahawa pemandu boleh menyebabkan
kemalangan jika mereka cuai dan tidak berhati-hati.
SENARAI SEMAK STRUKTUR KESIMPULAN KARANGAN STPM

Bahagian/Ayat Struktur Contoh ayat


1 Pernyataan isu
Kesimpulannya, kemalangan jalan raya kerap berlaku
sejak akhir-akhir ini dan merupakan punca kematian utama
di negara ini.

2 Kesan
Perkara ini menyebabkan kerugian dan kesedihan kepada
pelbagai pihak.
3 Pendapat
Oleh sebab itu, sudah sampai masanya semua pihak perlu
menggemblengkan tenaga dan usaha untuk mengekang
perkara ini.

4 Penilaian
Selama ini segala langkah dan peraturan yang
diperkenalkan gagal membendung kejadian yang tragis ini.
5 Cadangan
Ini bermakna sudah sampai masanya kerajaan mengambil
tiindakan yang tegas terhadap para pemandu yang cuai ini.
6 Harapan
Semoga tindakan tegas itu akan mengurangkan kematian
yang semakin meningkat setiap tahun.














Punca-Punca Pemanasan Global
Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang banyak berlaku pada masa ini.
Keadaan ini sudah berubah jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udaranya lebih
nyaman serta keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia
menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa kini yang
terlalu panas telah memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia dan juga alam
sekitar. Hal ini diibaratkan seperti manusia hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal
yang demikian, masyarakat seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan pemanasan
global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu
disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal di dunia ini. Hal ini demikian kerana,
perkara yang sering kita lihat yang melibatkan aktiviti manusia seperti penerokaan hutan dan
pertanian pindah. Mereka membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk
dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula pertanian baharu di kawasan lain
untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung
pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya
menyebabkan suhu semakin panas.
Selain itu, faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan
gas-gas yang berbahaya secara tidak terkawal. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia,
Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia
dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab
utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan
minyak petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal yang demikian, pihak yang terlibat secara
langsung dalam kes tersebut wajar melakukan anjakan paradigma dan menyembuhkan luka
yang dialami oleh bumi ini. Masyarakat juga harus mengatasi masalah ini sebelum nasi menjadi
bubur.
Di samping itu, kegiatan perindustrian turut menjadi faktor pemanasan global berlaku. Hal
ini demikian kerana, kegiatan perindustrian yang pesat membangun akan menghasilkan gas-gas
berbahaya seperti karbon monoksida. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan
bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun
2030. Oleh itu, masyarakat janganlah mengamalkan peribahasa Bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Oleh hal yang demikian, mereka seharusnya mencegah
perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras dengan pepatah, mencegah lebih baik
daripada mengubati.

Pembakaran terbuka juga menjadi punca berlakunya pemanasan global di muka bumi kita
ini. Banyak pembakaran terbuka yang telah dilakukan oleh individu yang tidak
bertanggungjawab. Kesan daripada kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon dioksida
terhasil serta terbebas di udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh hal yang demikian,
pihak kerajaan seharusnya memperketat undang-undang agar mereka tidak berani membuat
sebarang kesalahan di muka bumi ini. Rentetan daripada perkara itu, masalah jerebu yang
sering melanda dunia juga akan berkurangan. Kita seharusnya sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi kita ini menjadi lebih melarat lagi.
Namun begitu, masih terdapat faktor lain yang menjadi penyebab kepada pemanasan global
seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-
bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada
muka bumi kita ini. Hal ini demikian kerana, pantulan daripada matahari yang menembusi
cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera. Dengan cara ini,
masyarakat seharusnya janganlah mengambil mudah seperti melepaskan batuk di tangga,
dengan mengejar segala arus pembangunan tetapi menyebabkan kesan negatif kepada hidupan
lain. Maka, jelaslah bahawa ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi
merupakan faktor berlakunya pemanasan global.
Kesimpulannya, kemanusiaan yang semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini
merupakan faktor tercetusnya pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu,
setiap individu dan insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta akan alam sekitar agar
bumi yang sedang sakit ini dapat dipulihkan semula. Diharapkan agar fenomena pemanasan
global yang sedang melanda dunia sekarang ini akan berakhir dengan segera agar keselamatan
dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan. Pihak kerajaan pula perlulah
lebih peka terhadap masalah global yang semakin bernanah ini malah perlu menguatkuasakan
undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin dengan nasib bumi ini. Oleh itu,
Mahatma Gandhi pernah berkata, kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita,
tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita.






Ceramah
Anda dikehendaki menulis ceramah yang bertajuk " Budaya Lepak Bertentangan Budaya
Tempatan" . Ceramah itu disampaikan sempena sambutan Hari Belia di tempat anda. Sediakan
teks ceramah tersebut selengkapnya.
Yang dihormati Tuan Pengerusi majlis, pemimpin-pemimpin belia daerah Tenom, tuan-tuan dan
puan-puan, serta para belia yang hadir pada hari ini. Sebelum saya meneruskan ceramah saya
ini, terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana
mengundang saya ke majlis ini untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Budaya Lepak
Bertentangan dengan Budaya Tempatan".
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Terlebih dahulu saya akan menjelaskan konsep budaya yang terdapat dalam masyarakat di
negara kita. Kita akan melihat bagaimana budaya lepak menimbulkan kesan negatif dalam
masyarakat kita. Budaya merupakan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakt.
Budaya merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah perlakuan, tutur kata, cara
berpakaian, ekonomi, politik dan sebagainya. Budaya lepak pula ialah budaya yang diamalkan
oleh generasi muda, terutama di bandar-bandar besar. Lepak bermakna membuang masa
tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat. Budaya ini diterima dari luar serta meninggalkan
kesan negatif kepada masyarakat dan juga negara kita, terutama dalam kalangan generasi
muda kita hari ini.
Budaya lepak memang budaya negatif dan bertentangan dengan budaya tempatan.
Mengapa saya mengatakan demikian? Hal ini demikian kerana budaya lepak mengajak remaja
membuang masa di pusat beli-belah atau di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai
tanpa arah dan tujuan. Dengan kata lain, budaya ini menganjurkan remaja kita membuang
masa daripada melakukan kerja-kerja yang berfaedah untuk diri sendiri, keluarga dan
masyarakat. Budaya masyarakat kita tidak pernah mengajar kita supaya membuang masa.;
sebaliknya budaya kita mengajar kita menghargai masa. dalam masyarakat Melayu ada
pepatah yang berbunyi 'masa itu emas". Peribahasa ini mengambarkan kepada kita bahawa
budaya kita menghendaki kita menghargai masa dan bukannya menghabiskan masa di tempat-
tempat tidak berfaedah. Oleh itu jelaslah bahawa budaya lepak ialah budaya negatif yang
memesongkan kita daripada budaya yang sebenarnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Budaya lepak yang diamalkan oleh remaja kita juga bertentangan dengan budaya
masyarakat negara kita. Dari segi pergaulan, budaya Timur atau budaya tempatan
mengehadkan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pendek kata tidak ada pergaulan bebas
yang dibenarkan dalam budaya tempatan untuk mengelakkan perkara-perkara sumbang
daripada berlaku dalam masyarakat. Dalam budaya lepak yang diamalkan hari ini pula,
pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan merupakan perkara yang menjadi amalan
para belia dewasa ini. Konflik ini menyebabkan remaja lebih gemarkan mengamalkan budaya
lepak kerana mereka memperoleh keseronokan sehingga melanggar batas sosial yang telah
ditetapkan dalam budaya kita. Kesannya, pasti negatif akibat pergaulan bebas yang diamalkan
oleh generasi muda hari ini. Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini banyak kes pembuangan
bayi berlaku akibat banyak remaja yang melakukan hubungan seks bebas dengan pasangan
masing-masing. Perkara ini berlaku kerana kesan budaya lepak terhadap para belia hari ini.
Sidang majlis yang dimuliakan,
Banyak remaja kini tidak menghormati orang-orang tua kerana mereka terpengaruh oleh
budaya lepak. Mereka lebih gemar menggunakan kata-kata yang kasar dan tidak menghormati
orang tua. Kata-kata kesat sering digunakan terhadap orang yang lebih tua daripada mereka.
Akibatnya, banyak remaja kini sudah tidak mengenali nilai-nilai murni yang terdapat dalam
budaya tempatan. Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa nilai kasar ini sebenarnya
tidak terdapat dalam budaya kita. Kesannya ialah remaja kita semakin kurang ajar, biadab dan
tidak mengamalkan nilai murni dan adab sopan dalam kehdiupan harian mereka. Perkara ini
berlaku akibat pengaruh budaya lepak yang bukan sahaja diamalkan dalam kehdiupan harian
mereka bahkan juga telah dijadikan sebagai pegangan hidup.
Sidang majlis yang saya hormati,
Budaya lepak juga menimbulkan kes jenayah dan kes maksiat. Banyak remaja dewasa ini
melepak tanpa arah dan tujuan. Sekiranya remaja ini melakukan kerja-kerja yang berfaedah,
sudah tentulah akan menguntungkan diri mereka sendiri, masyarakat dan juga negara. Akibat
melepak tanpa arah dan tujuan, banyak remaja kita hari ini terlibat dalam gejala-gejala negatif
seperti menghisap dadah, , mengedarkan dadah, , bohsia, memeras ugut, dan sebagainya.
Rokok sudah menjadi simbol kedewasaan golongan ini. Namun rokok juga membawa kepada
ketagihan dadah. Gadis remaja pula sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka begitu mudah
dibawa oleh kenalan baru sungguhpun tidak mengenali latar belakang teman baru dengan
mendalam. Oleh itu, terjadilah kes-kes hamil tanpa nikah, pembuangan bayi dan sebagainya.
Ketenteraman masyarakat kita semakin terancam oleh kes-kes ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Lepak juga merupakan kegiatan negatif yang membebankan keluarga remaja berkenaan. Ibu
bapa bersusah payah membesarkan anak-anak mereka dengan harapan agar anak-anak mereka
menjadi manusia yang berguna pada suatu hari kelak. Dengan ini, anak-anak diharapkan dapat
meringankan bebang orang tua mereka. Diharapkan juga anak itu dapat menanggung
kehidupan orang tuanya kelak. Malangnya yang dapat kita saksikan ialah golongan ini
menyebabkan ibu bapa risau akan mereka. Ibu bapa hampa dan kecewa apabila mendapati
naka-anak mereka runtuh akhlaknya.
Budaya lepak ini juga turut membebankan kerajaan. Operasi membanteras bohsia dan lepak
menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan wang pihak berkuasa seperti polis, Jabatan
Kebajikan Masyarakat dan sebagainya. Kerajaan juga membelanjaakan jutaan ringgit untuk
melancarkan Program Rakan Muda untuk membendung kegiatan ini. Alangkah baiknya
sekiranya peruntukan ini disalurkan untuk tujuan lain daripada membazirkan wang untuk
menangani gejala sosial ini. Lihat sahaja di sekeliling kita, baik di tapak pembinaan mahupun di
ladang-ladang,. pekerja di situ kebanyakannnya terdiri daripada warga asing. Kemasukan
pekerja asing ini menimbulkan pelbgai gejala sosial dan ekonomi. Tanpa budaya lepak, diyakini
kekurangan tenaga buruh sedikit sebanyak dapat diatasi.
Sidang hadirin sekalian,
Berdasarkan penerangan yang telah saya berikan tadi, jelaslah bahawa budaya lepak bersifat
negatif, tidak menguntungkan serta bertentangan dengan budaya tempatan. Oleh itu, sebagai
ibu bapa, kita tidak mahu unsur negatif ini menular dalam diri anak-anak kita kerana gejala ini
ibarat racun yang membunuh mangsanya tanpa disedari. Bagi para remaja pula, budaya ini
harus dikikis terus. Oleh yang demikian, langkah-langkah tegas perlu diambil untuk
menghapuskan budaya negatif ini daripada melanda masyarakat kita.
Tuan-tuan dan puan-puan, setakat ini sahaja ceramah saya untuk hari ini. Saya memohon
ribuan maaf sekiranya ada terkasar bahasa semasa saya menyampaikan ceramah tadi. Akhir
kata, selamat maju jaya kepada para belia di daerah ini. Sekian terim kasih.






KESAN PEMANASAN GLOBAL
Bumi kini sedang mengalami demam panas akibat pemanasan global yang turut
membawa bersamanya iklim dunia yang semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang,
perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu ekonomi berbanding dengan
kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan
meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat
mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai
malang.
Tetapi, bagaimanakah pula bagi mereka yang terselamat? Adakah mereka bebas
daripada sebarang ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau
dehidrasi? Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di
seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah
kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah
berkenaan belum ditambah dengan 800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran
udara setiap tahun.
Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang meningkatkan jumlah
gas-gas karbon yang turut dikenali sebagai gas rumah hijau di dalam atmosfera bumi. Haba
matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa
lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya,
ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan
sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar.
Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan
membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk
teruk daripada biasa. Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam
gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000.
Gelombang kepanasan ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk di
Eropah kini jauh lebih tinggi daripada kebiasaannya.Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah
beriklim tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini, sementara negara seperti
Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribut taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada
tahun 2005. Pada tahun 2006, sepuluh negara yang paling teruk dilanda bencana alam ialah
Filipina, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam, Ethiopia, India, China, Afghanistan, Amerika
Syarikat dan Romania.

Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin teruk jika terus diabaikan
atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh
kerakusan generasi kini mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan
ekonomi. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk
kepada bayi, kanak-kanak dan warga emas yang sering dilihat menjadi mangsa pertama
kejadian bencana.Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi
dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah 'alah bisa
tegal biasa'.
Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak
dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok
haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku
kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit pneumonia atau radang paru-paru
yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan
cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain. Sesetengah kawasan turut berhadapan
dengan masalah dehidrasi yang teruk berikutan kemarau panjang yang berpunca daripada
gelombang panas dan peningkatan paras air laut yang mencemari sumber air tawar dengan air
masin dari laut.
Peningkatan suhu juga akan menggalakkan pembiakan vektor seperti tikus,
nyamuk,kutu dan pepijat. Penyebaran vektor seperti nyamuk menyebabkan penyakit seperti
malaria, denggi dan demam kuning yang mula dicatatkan di Eropah dan kawasan yang
dahulunya beriklim sejuk. Hal ini terbukti apabila negara beriklim sejuk seperti Nepal dan
Bhutan mencatatkan kes malaria pertama di kawasan-kawasan tanah tinggi dua negara
tersebut. Sementara itu, tikus juga dilihat dapat membiak dengan lebih mudah dalam cuaca
panas dan lembab ini. Haiwan ini mampu menyebarkan penyakit Leptopirosis dan Legionellosis
yang disebarkan melalui kuman yang ditinggalkan bersama urin atau najis tikus.
Ketika banjir, tahap kebersihan amat sukar untuk dijaga terutama kebersihan air.
Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang rami kepada air
yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar
digunakan segai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-
birit , disentri dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika
musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan kes bawaan nyamuk akibat
pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan
air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan
makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput.

Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan
beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini
semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai
bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau
beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon
monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung.
Tanggungjawab memulihara alam sekitar perlu dipikul oleh semua penduduk dunia dan
tidak sepatutnya dibiarkan kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata
bak kata pepatah 'yang ringan sama dijinjing yang berat sama dipikul'. Rakyat turut memainkan
peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya
mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan
dunia kerana 'sikap tamak membawa kerugian'. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil
seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan
bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal
pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian
kehidupan generasi akan datang.













Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara
kita
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa
ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing
sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada
pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk
mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata.
Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan
sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera
Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan
memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah
lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata
peribahasa Melayu, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sekiranya semangat patriotik
dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan
dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan
masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan
memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan
memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan
di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan
menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu.
Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam
peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian,
semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka
menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran
melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan
memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam
kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping
media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan
meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain,
televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan
semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara.
Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti Bukit Kepong,
Paloh, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang
bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat
agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan
juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada
peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan
Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik
dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh
masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut
bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan
antara kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-
pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka
yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan
menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan
titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh
hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan
dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah
pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi
makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah
dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting
untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang
berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat
patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar
mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju
yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah
mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh
itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar
semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.



KES PENYELUDUPAN MANUSIA
Fokus : Kesan kepada negara dan langkah-langkah untuk mengatasi.
Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat
penjuru negara kita tentang kes penyeludupan manusia Oleh itu, sebagai warganegara yang
berwawasan dan berpandangan jauh ke hadapan, kita hendaklah prihatin dengan isu yang
semakin hangat dibincangkan ini. Secara konseptualnya, kes penyeludupan manusia merupakan
satu kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan juga integriti
kedaulatan negara ini. Kes penyeludupan manusia ini tidak wajar berlaku kerana jenayah
sebegini adalah melanggar hak asasi manusia ke atas individu yang diperdagangkan. Oleh itu,
kesan-kesan kes penyeludupan manusia kepada negara dan langkah-langkah untuk mengatasi
jenayah ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Pada pendapat saya, kes-kes penyeludupan manusia ke negara ini atau ke luar dari
negara ini jika tidak dibendung dengan segera akan menyebabkan integriti keselamatan negara
dipertikaikan oleh pelbagai pihak. Dunia antarabangsa akan melihat aspek keselamatan negara
kita begitu lemah. Masyarakat negara ini pula akan mula hilang kepercayaan dengan keupayaan
pasukan-pasukan penguatkuasaan untuk membenteras kegiatan penyeludupan manusia ini
daripada terus berleluasa. Golongan yang berkepentingan mengaut keuntungan daripada
kegiatan jenayah ini juga akan meremehkan tindakan penguat kuasa kerana menyedari
tindakan mereka sukar untuk dikesan. Jelaslah bahawa kewibawaan negara akan dipersoalkan
oleh banyak pihak jika kita gagal mengekang jenayah penyeludupan manusia di negara kita.
Secara tidak langsung, imej negara juga turut terjejas di peringkat antarabangsa.
Di samping itu, kegiatan penyeludupan manusia juga akan meningkatkan masalah sosial
dalam negara kita. Sebagai contohnya, kegiatan pelacuran melibatkan warga asing yang
diseludup masuk akan meningkat. Tambahan lagi, kes-kes orang hilang juga akan meningkat,
terutamanya melibatkan kanak-kanak atau golongan remaja untuk dieksploitasi oleh golongan
yang cuba mengaut keuntungan. Kegiatan jenayah terancang juga boleh bertambah jika
manusia yang diseludup masuk merupakan penjenayah-penjenayah yang bermatlamat untuk
mengembangkan kegiatan haram mereka. Keadaan ini menyebabkan penduduk tempatan akan
berasa keselamatan mereka tidak terjamin. Mereka seolah-olah menjadi tebusan atau tawanan
hidup di negara sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, jenayah penyeludupan manusia
menyebabkan masalah sosial di negara kita semakin berleluasa.
Kes penyeludupan manusia hendaklah dibendung kerana banyak membawa implikasi
buruk kepada rakyat dan negara kita. Bagi membendung masalah ini, pihak Pertubuhan Bukan
Kerajaan (NGO) perlulah bersama-sama memainkan peranan. Ahli-ahli pertubuhan sukarela ini
boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang menjadi
tumpuan tenaga buruh atau manusia yang diseludup masuk ke negara ini. Mereka juga boleh
menggembleng tenaga untuk melancarkan kempen-kempen yang melibatkan majikan di
seluruh negara bagi memberikan kesedaran agar tidak bersaubahat dengan penyeludup
manusia dengan menggaji orang yang diseludup sebagai pekerja. Memang tidak dapat
dinafikan penglibatan aktif NGO dalam mengatasi masalah ini amatlah dituntut kerana
golongan ini sentiasa mendekati masyarakat setempat melalui pelbagai program yang
dirancang.
Langkah lain yang tidak boleh dikesampingkan dalam usaha mengatasi masalah ini ialah
penguatkuasaan pencegahan perlulah dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa.
Serbuan-serbuan di pusat-pusat hiburan, kawasan perladangan, dan sektor-sektor industri
perlu dilakukan secara kerap untuk mengesan buruh-buruh yang digaji secara tidak sah. Di
samping itu, kawalan sempadan juga perlu dipertingkatkan dan laluan hijau di sempadan dan
semua pintu masuk perlu dimansuhkan jika kemudahan ini didapati sebagai penyumbang
kepada peningkatan kegiatan penyeludupan manusia. Dalam pada itu, akta dan undang-undang
yang berkaitan dengan kes penyeludupan manusia hendaklah dikaji semula. Pihak yang
ditangkap dan disabitkan dengan kesalahan kes penyeludupan orang hendaklah didakwa dan
dikenakan hukuman yang setimpal untuk memberikan amaran kepada orang lain supaya tidak
terlibat dengan jenayah sebegini.
Selanjutnya, peranan media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik
perlulah diperhebat dalam mengatasi masalah ini. Media elektronik seperti televisyen, radio
dan internet perlu menyalurkan maklumat mengenai kes penyeludupan manusia secara
berterusan untuk memberikan kesedaran kepada penduduk di negara ini mengenai bahaya
jenayah sebegini. Dengan adanya peringatan yang berterusan sebegini, mereka akan sentiasa
mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mudah terperdaya dengan penipuan yang dilakukan
oleh penjenayah yang terlibat dengan kes penyeludupan manusia. Dokumentari dan filem
berkaitan dengan kes penyeludupan manusia hendaklah ditayangkan kepada orang awam
supaya mereka melihat kesan-kesan dan cara-cara untuk menghindari diri daripada menjadi
mangsa kes penyeludupan manusia. Dengan adanya pengetahuan yang mencukupi, masyarakat
dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.
Kesimpulannya, kes penyeludupan manusia merupakan jenayah terancang yang memerlukan
komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Untuk keselamatan negara dan keharmonian negara,
jenayah penyeludupan manusia ini perlulah dicegah dengan perundangan dan ketegasan. Dalam pada
itu, masyarakat kita hendaklah mempunyai kesedaran untuk membantu pihak berkuasa untuk
mengatasi masalah ini dengan melaporkan kes penyeludupan manusia yang berlaku dan tidak
bersaubahat dengan penjenayah. Jika semua pihak bersatu padu, kes penyeludupan manusia tidak akan
berlaku di negara kita. Mudah-mudahan, negara yang kita cintai ini akan bebas daripada kes
penyeludupan manusia yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia ini.
JENAYAH PERDAGANGAN MANUSIA (PUNCA, KESAN & LANGKAH)
PENDAHULUAN:
merupakan antara jenayah tertua
dianggap sebagai suatu industri universal
tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi
Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat
menganggarkan, kegiatan perdagangan manusia di negara itu melibatkan
keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion (RM3. 5 bilion hingga RM10.5
bilion) setahun.
Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket
perdagangan manusia dengan sekitar 14,500 hingga 17, 500 daripadanya
diperdagangkan di AS setahun
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan
Jenayah (UNODC) menganggap perdagangan manusia sebagai industri jenayah
yang menjana keuntungan sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion (RM17.5 bilion
hingga RM31.5 bilion) setahun
Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam
kebanyakan negara termasuk Malaysia
Perangkaan rasmi memperlihatkan kira-kira 2.7 juta manusia diseludup di
seluruh dunia setiap tahun dengan 80 peratus daripadanya membabitkan wanita
dan kanak-kanak yang diperalatkan bagi tujuan tertentu termasuk pelacuran dan
sebagainya.
PUNCA :
Kemiskinan/ kesempitan hidup
Terpengaruh tawaran kerja
Kurang didikan moral/agama
Materialistik
Penguatkuasaan undang-undang yang lemah
Taraf pendidikan mangsa




KESAN :
Imej negara terjejas
Masalah sosial meningkat
Penyakit berjangkit
Penindasan
LANGKAH:
1. memperketat pelbagai aspek termasuk dari segi kemasukan pelancong asing serta mengawal
semua 262 pintu masuk ke sempadan negara yang dipercayai juga boleh menyumbang kepada
jenayah perdagangan manusia - kementerian berkenaan mengadakan kerjasama dengan badan
antarabangsa seperti melatih anggota keselamatan untuk menangani pelbagai kemungkinan
kemasukan warga asing bagi tujuan tertent melatih penguat kuasa, pendakwa raya, hakim dan
majistret mengenai pelbagai perkara termasuk Akta Antipemerdagangan Orang 2007 supaya
mereka bersiap sedia berdepan isu terbabit - menyelaraskan sistem data maklumat kemasukan
mengemaskinikan rekod keluar masuk di pintu sempadan terutama di lapangan terbang,
pelabuhan, dan pintu sempadan antara sangat diperlukan bagi menggembleng usaha
membasmi jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.
2. menjalinkan kerjasama dengan negara jiran- Malaysia dan Australia baru-baru ini juga telah
bersepakat untuk meningkatkan kerjasama bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia
melalui kaedah diplomatik dan operasi yang lebih berkesan- negara-negara jiran seperti
Singapura, Indonesia, Thailand dan lain-lain juga wajar mewujudkan kerjasama serantau,
perkongsian bijak terutamanya kekuatan teknologi, komunikasi dan jaringan keselamatan -
kerjasama menerusi pertukaran maklumat dalam usaha menangani isu ini terutama dari aspek
bentuk serta kaedah penyeludupan dan negara mana yang dijadikan tempat transit utama
penyeludupan manusia - Kerjasama di peringkat sempadan perairan negara - menjalankan
operasi rondaan secara berjadual dan intensif oleh pasukan keselamatan Malaysia dengan
negara-negara jiran berkongsi maklumat tentang taktik, lokasi, dan negara pembekal
berusaha mengenal pasti lubang-lubang tikus
3. Kempen kesedaran untuk membasmi jenayah perdagangan manusia di kalangan masyarakat
juga dipergiatkan
4. Membanteras gejala rasuah yang masih menghantui badan-badan penguat kuasa setiap
negara jabatan-jabatan yang masih menjadi kambing hitam seperti imigresen, kastam, polis
marin, RELA dan organisasi yang sama di negara-negara jiran amalan rasuah merupakan
tindakan duri dalam daging terhadap keselamatan sesebuah negara.

PENUTUP :
Ditelan mati emak, diluah mati bapa, demikianlah suasana kehidupan berjiran. Sebarang
masalah yang dihadapi yang berkaitan dengan hubungan jiran memerlukan tindakan yang teliti
dan bijaksana. Biarlah segala tindakan bersama menatijahkan situasi menang-menang bagi
kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi dalam isu pemerdagangan manusia ini, pihak negara berjiran
terpaksa berurusan pula dengan pihak ketiga iaitu negara pembekal dan negara penerima. Oleh
itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan agar segala penyelesaian dapat diambil secara
bijaksana.


















PEMBUANGAN BAYI
Kes pembuangan bayi yang berlaku dianggap angkara orang yang tidak
bertanggungjawab. Kes pembuangan bayi kerap berlaku dalam kalangan masyarakat yang tidak
mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Anggaran kes pembuangan bayi yang dilaporkan di
televisyen,kira-kira 7 kes dalam sehari. Mayat-mayat bayi yang dibuang kerap ditemui di tong
sampah , stesen bas dan teksi , serta di tepi-tepi longkang.Masalah ini kian membimbangkan
masyarakat.Masyarakat perlu mengenalpasti punca-punca berlakunya kes pembuangan bayi.
Oleh sebab itu , langkah-langkah untuk menangani masalah pembuangan bayi perlu diambil
oleh semua pihak.(81 p.p )
Remaja sering menyalahgunakan kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa. Para remaja
cuba mengambil kesempatan atas sikap keterbukaan yang diamalkan oleh ibu bapa. Remaja
menyalahgunakan kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa dengan bergaul bebas antara lelaki
dan perempuan.Remaja melakukan perkara negatif seperti hubungan seks luar nikah sehingga
menyebabkan mereka hamil.Buktinya,pengalaman seorang pelajar institusi pengajian tinggi
yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian menunjukkan kebebasan tanpa pengawasan ibu
bapa menyebabkan mereka bebas melakukan aktiviti negatif. Di samping tinggal di luar kampus
mereka bebas melakukan apa apa sahaja tanpa pengawasan ibu bapa. Kesan daripada
kehamilan luar nikah menyebabkan pembuangan bayi berlaku. kebebasan yang diberikan oleh
ibu bapa sememangnya menjadi sebab peningkatan pembuangan bayi.
Pembuangan bayi berpunca daripada sikap masyarakat yang kurang mengamalkan
ajaran agama. Para remaja yang tidak mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan
menyebabkan mereka terlibat dengan kes pembuangan bayi. Statistik menunjukkan majoriti
pesalah pembuangan bayi melibatkan remaja kaum melayu berbanding dengan kaum lain. Para
remaja kurang memahami konsep dosa dan pahala sehingga mereka sanggup terlibat dengan
kes pembuangan bayi.Konsep agama sebagai pendinding gejala sosial seperti kes pembuangan
bayi kurang diamalkan dalam kehidupan seharian mereka.Amalan agama seperti membaca Al-
Quran,solat dan puasa dapat menghalang seseorang daripada melakukan maksiat. Namun
demikian, kehidupan para remaja yang berlandaskan nafsu dan mementingkan keseronokan,
sehingga menyebabkan mereka kurang mengamalkan ajaran agama.Para remaja yang kurang
mempraktikkan amalan agama dalam kehidupan akan mengambil tindakan yang salah sehingga
sanggup membuang bayi mereka.
Sikap masyarakat yang gemar memandang serong terhadap golongan remaja yang
terlanjur menjadi alasan gadis yang terlanjur membuang bayi. Sememangnya masyarakat akan
memandang sinis terhadap mereka kerana mereka telah melakukan perkara yang terkutuk di
sisi agama dan norma masyarakat. Keluarga gadis yang hamil akan disisihkan dan dimalukan
apabila anak gadis mereka menconteng arang di muka mereka. Ibu bapa yang tidak memahami
masalah yang ditanggung oleh gadis tersebut menyebabkan gadis tersebut tertekan dan
bertindak di luar kewarasan dengan membuang bayinya.
Mata pelajaran sains dan biologi boleh dijadikan fokus untuk menyampaikan
pendidikan tentang seks. Pembelajaran tentang pembiakan biologi , psikologi dan seksologi
dapat memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kesan melakukan seks sebelum
kahwin ataupun selepas kahwin. Pengetahuan tentang seks amat penting bagi membendung
masalah keterlanjuran dalam kalangan masyarakat. Oleh itu , masyarakat akan lebih
mengetahui tentang kesan melakukan seks bebas terhadap diri sendiri. Hal ini akan
menyebabkan mereka lebih prihatin untuk menjaga maruah diri sendiri terutamanya wanita.
Kempen secara besar-besaran juga harus diadakan. Kempen yang dijalankan oleh
badan-badan kerajaan dan juga bukan kerajaan dapat menjadikan masyarakat lebih prihatin
tentang persekitaraan mereka. Kempen ini bertujuan untuk memupuk sikap saling tegur-
menegur dalam kalangan masyarakat tidak kira bangsa mahupun agama. Masyarakat harus
menegur sesiapa sahaja apabila melihat pasangan berdua-duaan , bercumbuan , dan
berpelukan di khalayak ramai. Talian Nur merupakan salah satu langkah oleh Kementerian
Pembanguna Wanita dan keluarga untuk membendung masalah ini. Oleh itu , pihak terbabit
haruslah memainkan peranan masing-masing untuk memastikan masalah ini dapat dibendung.
Ibu bapa harus mengambil berat tentang anak-anak mereka. Pada masa ini , terdapat
ramai ibu bapa yang mementingkan soal kerja daripada anak-anak mereka. Ibu bapa
berpendapat bahawa kebendaan boleh membahagiakan keluarga tanpa perhatian dan juga
kasih sayang. Namun , anak-anak akan berasakan bahawa ibu bapa tidak menyayangi mereka
dan mengambil kesempatan untuk mencuri keseronokan di luar rumah. Hal ini akan
mendatangkan masalah apabila anak-anak salah mencari keseronokan di luar yang boleh
mendatangkan kesan negatif. Anak-anak akan berjumpa dengan rakan sebaya dan terjebak
dengan pergaulan bebas.
Kesimpulannya , kes pembuangan bayi ini harus dibendung dengan segera agar tidak
menjadi barah kepada masyarakat. Para remaja merupakan asset negara kerana mereka
merupakan pelapis pemimpin untuk memimpin negara. Kementerian Pembangunan Wanita
dan Keluarga telah berusaha membendung gejala ini melalui kewujudan Talian Nur. Kes
pembuangan bayi yang tidak terkawal boleh menyebabkan individu tersebut akan dipandang
serong oleh masyarakat. Oleh itu , semua pihak haruslah bersama-sama berganding bahu bagi
memastikan negara Malaysia bebas daripada masalah kes pembuangan bayi ini.


KOSA KATA YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MENULIS KARANGAN
01. absurd = mustahil, tidak masuk akal
02. ketidakacuhan = sikap tidak memperdulikan sesuatu
03. beradaptasi = membuat penyesuaian
04. adiwangsa = bangsa utama (mulia)
05. adiwarna = amat indah, amat bagus
06. akademikus = orang yang berpendidikan / lepasan universiti
07. aktual = yang sebenarnya
08. mengakulturasi = menyerapan budaya ke sesuatu budaya yang lain
09. alhasil = akhirnya, kesudahannya
10. seantero = seluruh
11. apologetik = menyesali sesuatu perbuatan yang sudah terlanjur
12. apresiasi = penghargaan terhadap sumbangan atau jasa seseorang
13. asimilasi = berpadu menjadi satu
14. pengasimilasian = proses mengasimilasikan sesuatu
15. pembabibutaan = melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang
16. membahalakan = memuja, mendewa-dewakan
17. memperbonekakan = mempermainkan
18. bobrok = rosak, binasa
19. membobrokkan = merosakkan, membinasakan
20. cemerkap = tidak cermat melakukan sesuatu
21. kecemerkapan = kelalaian
22. mendampilkan = merapatkan
23. darulfana = dunia yang tidak kekal abadi
24. de facto = pada hakikatnya, sebenarnya
25. de jure = menurut undang-undang
26. memperdekap = menjadikan lebih dekat
27. kedekadenan = kemerosotan (nilai, kualiti dan lain-lain)
28. mendugalkan = memuakkan, meloyakan
29. keefisienan = kecekapan
30. egosentrik = mementingkan keperluan diri dan tidak peduli orang lain
31. egotisme = mementingkan diri sendiri
32. eksistensi = kewujudan
33. evasif = mengelak diri daripada sesuatu tanggungjawab
34. memfaalkan = meramalkan
35. memfadihatkan = memalukan seseorang, mengaibkan
36. fanatisisme = keyakinan yang amat kuat terhadap sesuatu
37. berfantasi = berangan-angan, berkhayal
38. memfantasikan = mengkhayalkan, mengangan-angankan
39. fundamental = sangat penting
40. secara generalisasinya = kesimpulannya
41. menggeneralisasikan = membuat kesimpulan tentang sesuatu perkara
42. kehakikiannya = keadaan yang sebenarnya
43. hipokrasi = perbuatan berpura-pura baik
44. mengimplementasikan = melaksanakan
45. mengintegrasikan = menyatupadukan (kaum)
46. inteligensia = orang bijak pandai
47. mengisbatkan = menentukan, menetapkan
48. mengalicaukan = mengelakkan
49. ketidakkeruanan =keadaan tidak tentu arah
50. kekhilafan = kesalahan kerana kurang teliti atau kurang pengalaman
51. terkhilaf = tersalah, terkeliru
52. khisit = iri hati, cemburu
53. mengomidikan = memperdayakan, mempermainkan, menipu
54. kolaborasi = berkerjasama dengan pihak musuh
55. kolaboratif = kerjasama antara dua pihak
56. melemahlesukan = menjadikan lemah, tidak bermaya
57. maslahat = berfaedah, berguna
58. kemaslahatan = faedah, kegunaan
59. musyawarah = perundingan antara kedua-dua belah pihak
60. bermusyawarah = berunding, berbincang, bermesyuarat
61. mengqadimkan = meramalkan
62. memperyahudikan = memandang hina
63. seyogia = sepatutnya
64. yuda = peperangan
65. mentarbiahkan = mendidik, mengasuh






Penanda Wacana
i) Penanda permulaan karangan
a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

ii) Penanda memulakan isi baharu
a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

iii) Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala

iv) Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti


v) Penanda menghuraikan contoh
a) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

vi) Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala (Huraian
1)_(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)

a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan
i) malar-malar

viii) Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,

ix) Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

x) Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........
q) Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa ..........

Anda mungkin juga menyukai