Anda di halaman 1dari 14

PEMBUDAYAAN SEKOLAH PENYAYANG

Dicatat oleh KEMBARA SUFI on Khamis, 29 Mei 2008


/ Comments: (3)
RINGKASAN EKSEKUTIF

Tugasan ini melaporkan berkaitan Konsep Sekolah Penyayang. Ianya membicarakan aktiviti secara
praktikal untuk menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Tugasan ini dimulai dengan pendahuluan yang
membicarakan senario pendidikan semasa yang menuntut kepentingan wujudnya Sekolah Penyayang
dan kaitan dengan polisi dan dasar kerajaan.

Di bahagian kedua tugasan ini, penulis membicarakan pula empat elemen iaitu pentadbiran, guru dan
kakitangan, komuniti dan pelajar yang dirasakan penting dalam menentukan jaya atau gagalnya
Sekolah Penyayang.

Di bahagian ketiga tugasan ini, penulis membincangkan pula Konsep Budaya Sekolah Penyayang.
Penekanan diberikan kepada unsur-unsur yang perlu dibudayakan di sekolah dan komuniti ke arah
menjaya dan melonjakkan Sekolah Penyayang di tengah-tengah masyarakat. Antara unsur yang penting
ialah kemesraan, sayang-menyayangi, ilmu, hormat-menghormati dan lain-lain.

Di bahagian keempat tugasan ini, penulis membincangkan pula program-program praktikal yang telah
berjalan dan boleh dijalankan untuk menjayakan Sekolah Penyayang.

Di bahagian empat pula, penulis membincangkan aktiviti yang praktikal yang sesuai dilakukan di sekolah
dan bersesuaian dengan persekitaran sekolah.

Di bahagian terakhir, penulis mengemukakan kesimpulan atau rumusan kepada keseluruhan Konsep
Sekolah Penyayang dan penekanan kepada kepentingannya dalam membina jati diri pelajar.


1.0 PENDAHULUAN

Konsep Sekolah Penyayang merupakan salah satu konsep yang penting dalam sistem pendidikan
Malaysia. Ianya mempunyai hubungan yang cukup erat dengan cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020,
iaitu masyarakat penyayang dan budaya penyayang. Konsep Sekolah Penyayang adalah konsep yang
mampu menyumbang ke arah melahirkan masyarakat penyayang. Sekolah Penyayang juga mampu
menjana para generasi pelajar yang seimbang dari segi emosi, rohani, intelek, jasmani dan mempunyai
disiplin diri yang tinggi.

Gejala vandalisme dan ponteng sekolah adalah fenomena yang agak kritikal di sekolah-sekolah pada
masa kini. Gejala ini dapat ditangani apabila wujudnya sekolah penyayang. Kerana itu, pihak
Kementerian menyarankan agar pihak sekolah menangani masalah ini, terutama ponteng sekolah
dengan merealisasikan Sekolah Penyayang supaya para pelajar dapat dibimbing dengan penuh kasih
sayang. Apabila wujud suasana kasih sayang dan bimbingan ini, pelajar akan terpikat, terpanggil dan
tergerak untuk ke sekolah. ( Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1995, Bahagian Sekolah, Kementerian
Pendidikan Malaysia, KP8591/Jld.VIII(9) bertarikh 5 September 1995 )

Sekolah Penyayang dirasakan adalah elemen penting dalam melahirkan warga negara Malaysia yang
mempunyai minda kelas pertama. Apabila sekolah menyediakan suasana yang kondusif dan baik, akan
menarik minat para pelajar untuk ke sekolah. Minda mereka akan dapat dibina dan diisi dengan unsur-
unsur yang boleh membangun jati diri sebagai warga Malaysia yang membesar dengan acuan kita
sendiri.

2. ELEMEN-ELEMEN SEKOLAH PENYAYANG

Sekolah Penyayang adalah sekolah yang berperanan melahirkan pelajar-pelajar selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan melalui suasana ilmu dan kasih sayang. Menyentuh tentang Sekolah Penyayang,
di sana terdapat beberapa elemen penting dalam Sekolah Penyayang, iaitu :

2.1 Pentadbiran Sekolah
Pentadbiran sekolah yang dimaksudkan di sini ialah melibatkan Guru Besar atau Pengetua, Guru-Guru
Penolong Kanan dan Ketua-Ketua Bidang bagi sekolah menengah

2.2 Guru-guru dan kakitangan sekolah
Guru-guru dan kakitangan sekolah, termasuk kerani dan staf bukan akademik yang berada di sesebuah
sekolah

2.3 Komuniti
Komuniti yang dimaksudkan di sini ialah ibubapa dan penjaga murid serta institusi lain yang berada di
sekitar sekolah yang boleh memberi sumbangan kepada sekolah samada wang ringgit, tempat dan
kepakaran.

2.4 Pelajar
Pelajar merupakan elemen yang cukup penting kerana adanya mereka, maka adanya pekerjaan guru.
Dengan adanya pelajar, maka tugas mengajar yang merupakan core bussiness kita dapat dijalankan.

Keempat-empat elemen ini memerlukan tindakan seiring sejalan dalam melahirkan Sekolah Penyayang.
Kesedaran yang meluas perlu digerakkan kepada keempat-empat elemen tersebut untuk melihat
kepentingan Sekolah Penyayang. Semangat kolaboratif perlu ditekankan dalam menjayakan usaha
murni ini.


3. BUDAYA SEKOLAH PENYAYANG

Sekolah Penyayang merupakan institusi yang amat diperlukan oleh para pelajar kita dalam membina jati
diri dan bakat kepimpinan. Dengan segala macam salah laku yang berlaku dan dilakukan oleh para
pelajar kita, diharapkan dengan adanya Sekolah Penyayang ini menjadi tempat berteduh dan
menumpang kasih bagi para pelajar.

Namun begitu, penulis melihat budaya Sekolah Penyayang perlu terlebih dahulu wujud di kalangan
pentadbir sekolah, guru dan kakitangan, komuniti dan para pelajar sebagai satu pelincir ke arah
menjayakan konsep ini. Di antara budaya-budaya yang perlu diwujudkan terlebih dahulu ialah:

3.1 Kemesraan dan Sayang-Menyayangi

Budaya kemesraan dan sayang-menyayangi adalah dua teras utama yang perlu dalam menjayakan
Sekolah Penyayang. Hubungan yang mesra antara guru dan murid, guru dan ibubapa serta sayang-
menyayangi antara satu sama lain dalah mekanisme penting dalam Konsep Sekolah Penyayang. Dua
teras ini perlu dilihat secara bertanggungjawab dan serius, jika ingin melihat Sekolah Penyayang
menepati hasrat yang kita ingini.

3.2 Ilmu

Budaya ilmu ini perlu berlaku dalam sesebuah sekolah untuk melahirkan Sekolah Penyayang. Budaya
ilmu yang dimaksudkan di sini ialah setiap elemen tadi memahami dan menghayati peri pentingnya apa
yang dimaksudkan Sekolah Penyayang. Ilmu dan pemahaman tentang Sekolah Penyayang adalah asas
kepada kejayaan konsep tersebut. Semua yang terlibat perlu memahami Konsep Sekolah Penyayang
dan kepentingannya bagi pelajar.

3.3 Perkongsian

Budaya perkongsian adalah satu lagi aspek yang kadangkala dilupakan dalam menjayakan Konsep
Sekolah Penyayang. Seharusnya usaha-usaha menjayakan konsep sekolah ini dikongsikan bersama
antara guru, murid dan komuniti. Sekolah Penyayang sepatutnya dijadikan misi kepada sesebuah
sekolah untuk dikongsikan bersama terutama dengan murid dan komuniti.

3.4 Ambil Tahu

Ambil tahu merupakan satu lagi budaya yang perlu wujud untuk menjayakan Konsep Sekolah
Penyayang. Kadangkala berlaku ibubapa yang menyerahkan sepenuhnya anak kepada sekolah tanpa
mengambil tahu perkembangan akademik anak-anak mereka. Bagi mereka, apabila yuran sekolah telah
dibayar dan kelengkapan

persekolahan mencukupi, maka terlepaslah tugas menghantar anak ke sekolah. Kadangkala terdapat
juga ibubapa yang tidak mengetahui bilakah Mesyuarat Agung PIBG, Hari Anugerah, Hari Penyerahan
Rekod Prestasi anak-anak mereka. Budaya ambil tahu patut terus dipromosikan supaya hasrat untuk
menjayakan Sekolah Penyayang dapat dijayakan dengan cemerlang. Itulah sebabnya sekolah tempat
penulis bertugas mengadakan Hari Talian Kasih secara tahunan bagi semua tingkatan.

3.5 Hormat-Menghormati

Budaya hormat-menghormati perlu tersemai sebagai langkah penting untuk menjayakan Sekolah
Penyayang. Budaya ini sepatutnya wujud antara guru, komuniti dan pelajar. Budaya ini merupakan
budaya positif yang telah dibicarakan dan diperkatakan sepanjang zaman. Namun begitu, masih lagi
terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan kurang mantapnya budaya ini.

3.6 Penglibatan Semua

Budaya menunding jari kepada orang lain apabila berlaku kelemahan akan dapat dikurangkan apabila
semua anggota komuniti dilibatkan dalam sesuatu program. Apabila semua golongan terlibat dalam
menyumbang idea, merancang dan melaksana, maka kuranglah rasa kurang senang antara satu sama
lain. Sebaliknya mereka akan berganding bahu, berat sama dipikul ringan sama dijinjing dalam
menggerakkan Sekolah Penyayang.


3.7 Pengukuhan Positif

Membudayakan kita dengan pengukuhan positif adalah satu lagi kekuatan kepada menjayakan Konsep
Sekolah Penyayang. Semua orang suka dipuji dan menerima hadiah. Oleh itu budaya pengukuhan positif
adalah resepi penting dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Namun begitu, kadangkala unsur yang
kecil ini menatijahkan kesan yang besar dalam membina Sekolah Penyayang.

3.8 Hubungan Sekolah dan Komuniti

Kewujudan hubungan erat antara sekolah dan komuniti merupakan salah satu unsur penting dalam
menjayakan Sekolah Penyayang. Komuniti mestilah dilibatkan dalam setiap program sekolah samada
besar maupun kecil. Ianya menjadikan sekolah adalah milik bersama. Jatuh bangun sekolah adalah juga
tanggungjawab komuniti. Hubungan erat ini biasanya akan memberikan kesan juga kepada peningkatan
pencapaian akademik sesebuah sekolah.

3.9 Budaya Kerja Berpasukan

Kerja berpasukan adalah satu budaya yang cukup penting dalam menjayakan Konsep Sekolah
Penyayang. Kerja yang besar dan murni ini tidak mampu digerakkan oleh seorang dua sahaja dalam
sebuah organisasi sekolah. Kerja berpasukan telah membuktikan kejayaan dalam semua organisasi
terutama organisasi korporat. Oleh itu, apa salahnya ia diterjemahkan dalam sebuah organisasi yang
bernama sekolah demi membina apa yang dinamakan Sekolah Penyayang. Kerja berpasukan inilah yang
telah menjadikan sekolah penulis memenangi Sekolah Harapan Negara dan Anugerah Kualiti Menteri
Pendidikan Tahun 1998.


4. PENGISIAN KONSEP SEKOLAH PENYAYANG

Teras kepada Konsep Sekolah Penyayang ialah sayang-menyayangi dan kemesraan. Tanpa dua teras ini,
Sekolah Penyayang tidak akan berperanan dengan baik. Jika ditinjau kepada pengisian kepada konsep
Sekolah Penyayang yang boleh dijalankan di sekolah-sekolah, kita boleh membicarakan pengisiannya
dalam tiga kelompok .

Tiga kelompok yang dimaksudkan ialah :

4.1 Kelompok Guru dan Murid

Di antara aktiviti-aktiviti yang praktikal yang boleh dijalankan untuk kelompok ini, antaranya:

i) Perjumpaan Pagi

Melalui perjumpaan ini yang mengambil masa 5 hingga 10 minit, guru boleh bertanya tentang masalah
pelajar samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam perjumpaan pagi ini, guru boleh menyelaraskan
banyak perkara dengan pelajar. Pelajar akan berasa dirinya dihargai dan disayangi apabila guru
mengambil berat tentang mereka.

ii) Memberi Salam, Kad dan Hadiah

Guru dan pelajar boleh berlumba-lumba memberi salam antara mereka. Kad dan hadiah juga adalah
unsur yang menunjukkan wujudnya kemesraan dan sayang-menyayangi antara guru dan pelajar. Kad
hari lahir, kad dan hadiah untuk kejayaan dalam ujian dan peperiksaan adalah satu bukti Konsep
Sekolah Penyayang.

iii) Menziarahi Murid dan Guru

Satu lagi cara membantu kejayaan Sekolah Penyayang ialah berlakunya amalan ziarah-menziarahi
apabila pelajar sakit. Biasanya guru hanya menerima sijil sakit sahaja dan rasanya tidak mengaibkan
jika seorang guru bertandang ke- rumah pelajarnya untuk menziarahinya yang sakit.

iv) Perkongsian Misi Sekolah

Misi sekolah mestilah memasukkan unsur-unsur pembinaan Sekolah Penyayang. Setelah itu, para
pelajar dikongsikan bersama dengan misi ini melalui ceramah, kuiz, pertandingan bahas, pertandingan
poster, pertandingan kebersihan kelas dan menghiasi sudut-sudut kelas, tingkatan maupun sudut- sudut
yang terdapat di sekitar sekolah. Pertandingan kelas terbersih terus dikekalkan. Ada baiknya jika pelajar
juga dikongsi bersama dalam menghasilkan misi sekolah untuk menimbulkan perasaan mereka sayang
kepada misi sekolah dan sekolah itu sendiri.

v. Kempen

Kempen Sayangi Sekolah Anda, Sekolah Kita Rumah Kita, Datang Jam 7.30 Pagi, Kutip Sehari Satu
Sampah dan lain lain lagi boleh dibuat untuk menanamkan bibit menyayangi sekolah. Kempen Memberi
Salam dan Senyum juga boleh dijalankan menjurus ke arah itu. Kempen ini perlu disusun dengan baik
supaya dapat memberi impak yang sebaiknya demi menjayakan Konsep Sekolah Penyayang.

vi. Sudut Kita

Para pelajar boleh dilantik sebagai bapa dan ibu angkat kepada sudut-sudut dan kawasan-kawasan
tertentu dalam kawasan sekolah. Mereka diberi tugas untuk mempastikan keceriaan sudut-sudut
tersebut di samping itu maklumat di sudut tersebut perlulah semasa dan sentiasa bertukarganti.

vii) Memuji dan Tidak Mencela

Satu lagi cara yang boleh membantu ke arah memartabatkan Sekolah Penyayang ialah membanyakkan
pujian kepada para pelajar di atas jasa dan kejayaan mereka. Kadangkala cara menepuk bahu pelajar
dengan sesuatu kebaikan yang dilakukan akan menimbulkan rasa seronok dan sayang mereka kepada
sekolah. Seharusnya mencela dan mengejek mereka di atas kesalahan yang dilakukan patut dielakkan.
Cuba terangkan kesalahan yang dilakukan dan kenapa patut dijauhi. Ini akan menjadikan mereka
mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara.

viii) Memaksimum Penglibatan Pelajar Dalam Pengurusan Kelas

Satu lagi langkah yang praktikal untuk membina Sekolah Penyayang ialah para pelajar perlu diberi
penglibatan yang maksimum dalam pengurusan kelas mereka. Biarkan mereka menguruskan kelas dan
tingkatan mereka mengikut citarasa mereka. Ini boleh meningkatkan rasa kasih dan sayang kepada
kelas dan merasai itu adalah hak mereka.
ix) Melibatkan Pelajar Dalam Perbincangan Aktiviti Penyayang

Para pelajar dilibatkan sejak awal lagi dalam perbincangan aktiviti untuk membina Sekolah Penyayang.
Mungkin ada idea yang baik dari mereka yang boleh diterima pakai untuk menjayakan konsep ini.
Apabila para pelajar dilibatkan sejak awal dalam memberikan idea dan merancang aktiviti, mereka akan
merasakan aktiviti itu milik mereka bersama. Mereka akan berusaha untuk menjayakan konsep
tersebut.



4.2 Kelompok Murid Dengan Murid

Murid dengan murid ini juga merupakan satu lagi kelompok penting dalam menjayakan Konsep Sekolah
Penyayang. Di antara aktiviti yang boleh dijayakan oleh kelompok ini ialah :

i) Mesyuarat Kelas

Para pelajar diberikan peluang untuk mengadakan mesyuarat kelas atau tingkatan mereka sendiri.
Ianya bermula dengan melantik ketua tingkatan dan ahli jawatankuasanya, membincangkan aktiviti
sehinggalah penetapan yuran kelas.

ii) Mentor-mantee

Pelajar yang terkedepan bidang akademiknya boleh dipilih untuk menjadi mentor manakala yang kurang
akan menjadi manteenya. Mereka diberikan tugasan untuk membimbing rakan-rakan mereka untuk
berjaya. Semangat berlumba-lumba akan berlaku dan mantee akan menyayangi mentornya yang telah
bertungkus lumus mengajar dan membantunya berjaya dalam sesuatu mata pelajaran. Dalam setengah
situasi, pelajar lebih mudah menguasai sesuatu kemahiran melalui rakan sebaya berbanding dengan
gurunya. Program ini bukan sahaja melibatkan kelas-kelas peperiksaan seperti PMR dan SPM, tetapi
juga kelas-kelas lain.

iii) Menggerakkan Badan Pengawas

Badan Pengawas sekolah juga boleh digerakkan untuk merealisasikan Konsep Sekolah Penyayang.
Mereka lebih hampir kepada para pelajar. Pengaruh mereka selaku pengawas dan rakan sebaya amat
berkesan jika dapat dimanfaatkan. Kempen dan program yang digerakkan oleh mereka akan dapat
melahirkan rasa kasih sayang para pelajar lain kepada sekolah. Badan pengawas boleh
menganjurkanKempen Minggu Sayangi Sekolah, Seorang Pelajar Sebuah Pasu, Seorang Pelajar
Sepokok Bunga, Kempen Kebersihan Perdana dan lain-lain.

iv) Rakan Islah

Islah membawa maksud pembaikan. Para pelajar yang kurang sensitif menghayati Konsep Sekolah
Penyayang dapat diislahkan dengan menjadikan mereka murid angkat kepada seorang pelajar lain.
Abang atau kawan angkat mereka akan mempastikan dalam tempoh-tempoh masa tertentu, berlaku
perubahan kepada akhlak dan perasaan sayang kepada sekolah dapat dijelmakan atau ditingkatkan.
Rakan Islah ini akan sentiasa bertemu dan berbincang apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang
pelajar kepada sekolahnya. Perbincangan yang berterusan dan melibatkan mereka dalam aktiviti yang
menanamkan kasih sayang akan membentuk pelajar yang dapat menjayakan Konsep Sekolah
Penyayang.

v Melebarkan Salam

Budaya memberi salam antara sesama pelajar juga adalah salah satu cara untuk menjayakan Konsep
Sekolah Penyayang. Ucapan kesejahteraan yang diberikan oleh para pelajar sesama mereka akan
menumbuhkan bibit-bibit kasih sayang antara mereka. Apabila kasih sayang antara mereka tersemai,
mereka akan tertarik untuk datang ke sekolah dan mengasihi sekolah.

4.3 Kelompok Warga Sekolah Dengan Ibu Bapa

Ibu bapa yang dimaksudkan dalam konteks Sekolah Penyayang ini merujuk kepada ibu bapa yang
mempunyai anak yang belajar, institusi yang terdapat di sekitar sekolah samada kilang, KEMAS, masjid,
balai raya dan lain-lain yang boleh membantu menjayakan Konsep Sekolah Penyayang. Warga sekolah
boleh memanfaatkan institusi ini semaksimum mungkin. Di antara aktiviti yang boleh melibatkan ibu
bapa dan institusi yang terdapat di sekitar sekolah ialah:

i) Kelas Angkat

Ibubapa boleh dilibatkan sepenuhnya dalam merealisasikan Konsep Sekolah Penyayang. Ibubapa boleh
dilibatkan dengan menjadikan mereka ibu dan bapa angkat kepada kelas-kelas tertentu. Mereka akan
ditugaskan untuk menerapkan budaya Sekolah Penyayang kepada setiap kelas yang menjadi anak
angkat mereka. Ibubapa boleh berkongsi dengan pelajar kelas tersebut bagaimana Sekolah Penyayang
boleh dilahirkan melalui penglibatan kelas masing-masing dan membina motto kelas yang bertemakan
Sekolah Penyayang. Apabila wujud para pelajar yang penyayang, maka akan lahirkan kelas penyayang
dan akhirnya akan membantu melahirkan Sekolah Penyayang. Kempen Sayangi Rakan, Sayangi
Kelas, Kelas Ceria Kami Gembira dan lain-lain boleh diadakan dari semasa ke semasa.

ii) Penglibatan Swasta Dengan Sekolah

Pihak swasta boleh dilibatkan dengan program Sekolah Penyayang kerana mereka mempunyai banyak
infrastruktur yang boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah. Pihak swasta dan korporat biasanya
mempunyai peruntukan kewangan mereka untuk program pendidikan dan kebajikan, di samping
kepakaran dalam motivasi dan pengurusan yang semestinya boleh digunakan untuk menjana semangat
penyayang di sekolah. Program motivasi kemahiran belajar, TOT penyayang untuk pengawas sekolah
boleh diadakan dengan bantuan pihak swasta dan sumbangan kewangan untuk program Sekolah
Penyayang seperti pengindahan sekolah, peningkatan akademik dan pemurnian akhlak.

iii) Persatuan Alumni Sekolah

Persatuan Murid Tua atau alumni sekolah boleh digandingkan dengan warga sekolah dalam merancang
dan melaksanakan program Sekolah Penyayang. Apabila alumni sekolah boleh digerakkan seaktif
mungkin dalam penumpuan kepada Sekolah Penyayang, tenaga warga sekolah yang lain, khususnya
para pendidik boleh menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran. Persatuan Alumni ini juga
boleh menaja poster, banting dan banner yang mengandungi perkataan-perkataan yang merangsang
rasa kasih dan sayang pelajar kepada sekolah, misalnya, Selamat Datang Pelajar Yang Disayangi,
Sayangilah Sekolah Anda, Nescaya Allah Menyayangi Anda, Marilah Kita Berkasih Sayang Untuk
Kecemerlangan Sekolah.

iv) Perkongsian Pintar (Smart Partnership)

Membina Sekolah Penyayang merupakan satu tugas yang amat berat, lebih-lebih lagi cabaran yang
bertali arus. Perkongsian pintar yang dilakukan antara warga sekolah dengan badan-badan kerajaan,
badan bukan kerajaan (NGO) akan memudahkan hasrat ke arah mewujudkan Sekolah Penyayang.
Dalam setengah perkara, pihak-pihak luar boleh memainkan peranan untuk menjayakan hasrat sekolah.

Jika sekiranya pihak sekolah ingin mengindahkan landskap persekitaran sekolah untuk melahirkan rasa
selesa, kondusif dan menanamkan rasa sayang pelajar kepada sekolah dengan persekitaran
keindahannya, Majlis Perbandaran dan Jabatan Pertanian boleh memberikan khidmat nasihat mereka.
Pihak masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah pula boleh menurunkan ilmu dan pengalaman tentang
kepentingan Konsep Sekolah Penyayang dalam konteks perkembangan pelajar sebagai hamba dan
khalifah Allah di atas muka bumi ini. Organisasi ini boleh dilibatkan dalam menjayakan misi dan visi
sekolah. Untuk menangani masalah dadah pula, pihak PEMADAM dan AADK boleh dilibatkan untuk majlis
penerangan dan aktiviti-aktiviti yang dapat menjauhi para pelajar dari gejala ini.

v) Banyakkan Aktiviti Bersama

Salah satu faktor yang membantu perhubungan yang erat antara warga sekolah dan ibubapa atau
komuniti ialah apabila kekerapan aktiviti bersama itu dijalankan. Kadangkala program yang tidak formal
seperti majlis as-syura, perarakan keputeraan Rasulullah peringkat sekolah dan program-program lain
yang melibatkan warga sekolah, para pelajar dan pihak ibubapa akan mewujudkan perasaan
kebersamaan dan kasih sayang. Apabila kebersamaan yang didasarkan atas hormat menghormati dan
kasih sayang ini diikat erat, maka mudahlah Konsep Sekolah Penyayang ini dilakukan kerana mendapat
sokongan dan dokongan padu dari semua pihak. Pihak Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) atau
Rukun Tetangga boleh dilibatkan untuk menjayakan hasrat murni ini. Sepatutnya warga pendidik dapat
berusaha supaya Konsep Sekolah Penyayang ini menjadi milik semua ahli yang berada dalam komuniti
tersebut.


5.0 FAKTOR KEJAYAAN KONSEP SEKOLAH PENYAYANG

Semua yang terlibat dengan menjayakan Konsep Sekolah Penyayang ini mengharapkan natijah yang
positif hasil daripada pengorbanan mereka. Tidak ada satu kerja yang dilakukan tanpa mengharapkan
kesan dan hasil yang baik. Sekolah Penyayang sudah pasti diharapkan dapat dijelmakan untuk
memberikan impak kepada pendidikan di negara kita. Namun begitu, penulis melihat terdapat beberapa
perkara yang kecil, jika diabaikan akan menggagalkan proses ini. Antara perkara-perkara berikut ialah
:-


5.1 Komited dan Tanggungjawab

Dua unsur ini amat perlu dalam menjayakan Sekolah Penyayang. Komited dan rasa bertanggungjawab
yang tinggi jika ada para warga sekolah, pelajar , ibubapa dan komuniti dalam menjayakan hasrat ini,
tidak mustahil sekolah penyayang akan hidup subur di arena pendidikan tanah air kita. Sifat enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dihumbankan sejauh-jauhnya dari kamus kehidupan
kita demi melihat kejayaan apa yang kita sama-sama perjuangkan.

5.2 Kenali Siapa Sekeliling Kita

Membina hubungan dengan semua individu dan kelompok yang ada di sekeliling kita tanpa mengira
fahaman politik, agama dan kenegerian adalah faktor penting dalam menjayakan hasrat murni ini.
Hasrat murni ini perlu dikongsikan bersama oleh semua ahli masyarakat. Jika warga sekolah hanya
memikirkan sekolah sahaja tanpa terlibat dan bergaul dengan masyarakat, hasrat yang mulia ini akan
menjadi angan-angan kosong kerana kurangnya pendokong. Memahami budaya komuniti dan prihatin
dengan apa yang berlaku di dalamnya amat perlu dikuasai oleh warga sekolah.
5.3 Doa Mendoakan

Konsep Sekolah Penyayang adalah hasil dokongan manusia yang sentiasa berhubung antara satu sama
lain. Kita menyedari bahawa manusia ini terdiri daripada intelek, jasmani, emosi dan rohaninya.
Hubungan spiritual antara penggerak Sekolah Penyayang adalah perlu. Oleh itu amalan doa mendoakan
antara satu sama lain dan sentiasa memohon agar segala usaha murni ini diberkati dan berjaya adalah
satu amalan yang baik.

Kadangkala kita memberikan penumpuan yang lebih dari aspek jasmani dan mengabaikan aspek rohani.
Apabila aspek ini diabaikan, maka ramailah yang mudah kecewa, merajuk, tidak dapat bersabar dengan
kerenah dan kepayahan sewaktu menjayakannya. Sesungguhnya tanggungjawab kita adalah merancang
dan berusaha menjayakannya, tetapi Allahlah yang menentukan segala-galanya.

5.4 Menjadi Pendengar Yang Baik

Penulis melihat Sekolah Penyayang akan dapat berjaya apabila ianya dirancang dengan teliti dan
dijayakan sepenuh hati. Perancangan ini mestilah melalui beberapa siri perbincangan dan
brainstorming. Sesi ini memerlukan kita menyuarakan pandangan dan mendengar pandangan orang
lain. Banyak kegagalan berlaku disebabkan kita lebih suka menjadi pencadang daripada tidak pendengar
yang baik.

Sebenarnya pendengar yang baik adalah kunci kepada perpaduan dan kemantapan tindakan yang
diambil. Semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Sekolah Penyayang perlulah membuka dada dan
pemikiran mereka untuk menerima cadangan dan saranan daripada orang lain. Semua cadangan adalah
baik dan kita memilih hanya yang terbaik untuk dilaksanakan. Berdasarkan pengalaman penulis, ramai
yang sanggup memberi cadangan yang bernas dan sedikit yang sanggup melaksanakan cadangan itu
sebaik mungkin.

Menjadi pendengar yang baik tidak menghalang kita memberi cadangan yang dirasakan bernas. Apabila
cadangan-cadangan itu dilihat dari segi keutamaan dan kesan maksimum ke atas matlamat yang
hendak dicapai, kemungkinan ada cadangan kita yang disisihkan. Seharusnya, ia tidak sedikit pun
mengguris perasaan kita tetapi kita menyatukan hati kita untuk melaksanakan apa yang terbaik yang
telah dipilih itu.
5.5 Seronok Dengan Tugas

Seronok dengan tugas dan amanah yang diberikan dan melakukannya dengan sebaik mungkin adalah
faktor kejayaan sesuatu kerja yang dilakukan. Ini tidak terkecuali kepada Sekolah Penyayang. Semua
yang terlibat dengan Sekolah Penyayang perlu berasa seronok dengan tugas mereka demi mencapai
hasrat yang telah disepakati dan didokongi bersama. Keseronokan itu lebih terasa apabila kita melihat
riak-riak kejayaan kepada apa yang kita perjuangkan. Mengharapkan ganjaran pahala dan kebaikan
daripada Allah juga menjadikan kita seronok dengan tugas kita. Walaupun tugas yang kecil dan senang
seperti penulis banner, pengerusi majlis, pencatat minit, hanya membawa beberapa biji pasu bunga,
membeli beberapa tin cat, namun kita seronok dengannya kerana itulah sumbangan kita dalam
menjayakan hasrat murni iaitu membina sebuah sekolah yang diisikan di dalamnya dengan perasaan
kasih sayang dan sayang menyayangi antara satu sama lain.


6.0 KESIMPULAN

Sekolah Penyayang adalah institusi yang indah dan murni. Keindahan dan kemurniannya perlukan
kepada pengorbanan masa, tenaga,wang ringgit dan keringat warga pendidik, pelajar, ibubapa dan
komuniti setempat.

Hasrat murni Sekolah Penyayang yang digagaskan berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan
Wawasan 2020 serta diperincikan melalui surat-surat pekeliling ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia
akan berjaya apabila ianya dikongsikan bersama.

Penulis melihat, inilah masanya untuk kita membina pelajar yang cemerlang akademik dan seimbang
perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, serta mempunyai disiplin diri yang
tinggi, berketrampilan, patriotik, tidak bersikap individualistik sebaliknya mempunyai semangat
kerjasama berpasukan serta mampu memain peranan dalam masyarakat (Rujukan: Perutusan Tahun
Baru 2006, YB Menteri Pelajaran Malaysia) seperti hasrat YB Menteri Pelajaran melalui wasilah
pendidikan dan wadah Sekolah Penyayang.

SENARAI RUJUKAN

1. Abdul Aziz bin Azimullah,Dr (1998). Rahsia Kejayaan Dan Kecemerlangan Diri. Kuala Lumpur:
Institut Bina Usahawan.

2. Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa (1995). Falsafah Dan Konsep Pendidikan Edisi Kedua. Shah
Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

3. Ahmad Fadzli Yusof dan Abid Abdullah (2005). Resipi Kejayaan Untuk Presiden Persatuan. Bentong:
PTS Millennia Sdn. Bhd.

4. Arieff Salleh Rosman dan Wardah Mokhtar (2005). Remaja Sukses. Bentong: PTS Millennia Sdn.
Bhd.

5. Md. Taib Mat (2003). Anda Berhak Hebat!. Kuala Lumpur: Pustaka Cipta Sdn Bhd dan Bintang
Generasi (M) Sdn. Bhd.

6. Yaakub Isa (1994). Guru Yang Efektif. Kuantan: Jawatankuasa Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri
Pahang.

7. Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (1998). Pentadbiran Pendidikan. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

8. Jejak-Jejak Kecemerlangan Dalam Pengurusan Pendidikan Sekolah (2002). Genting Highlands:
Institut Aminuddin Baki.

Anda mungkin juga menyukai