Anda di halaman 1dari 4

SAJAK KEMERDEKAAN: DI PENTAS KEBEBASAN

Kamu membakar hutan bandar


kedai dan kereta disambar api kemarahan
semarak darah generasi abad dua
puluh satu
siapa yang ditentang juga jelas
menegakkan keadilan dengan tangan kasar
meja rundingan pun turut dibakar.
Seorang tua termanggu melihat kejadian
peristiwa yang tidak terlintas di fikiran
apakah yang dicari wahai anak muda?
Aku yang membina tiang kemerdekaan
kau bersorak bangga mematahkan.
Aku yang mengecat tugu sejarah
putih bersih sedap mata memandang
kau conteng dengan niat hitam.
Jari terketar tak mampu menampar
tangannya letih hendak menangani
mereka yang bingung di pentas kebebasan
tercari-cari nama negeri bumi yang dipijak
sedangkan ladang sudah dibajak
benih sudah dipilih untuk disemai.
Orang tua itu berbisik sedih
aku membina kamu meruntuhkan.

KHADIJAH HASHIM
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

SAJAK KEMERDEKAAN: 31 OGOS TIBA LAGI


Setiap kali tibamu Ogos
mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah
dalam matang akal fikir
semangat dan kudrat masih berbaki
merisik khabar pejuang yang jauh
dalam lipatan darmawisata merdeka
mahalnya nostalgia.
Manis dan comelmu Ogos ini tiba jua
menyentak lolong makrifat membiak musim
ceriteranya berderai plotnya berkecai
mengirai skrip duga yang tak sudah
atas aspal fatamorgana bumi bertuah.
Ogos yang sujud di kaki merdeka
tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang
tetap menyimpul senyum
meskipun termateri kenangan pahit
yang mahal dan cantik.
Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi
bersama gemersik angin di bumi bertuah
mendewasakan ukhuwah dan ummah
siap siaga warga berdaulat memahat sejarah
dalam tamadun bangsa yang gah.
Terima kasih pejuang tanah merdeka
terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!
WAN ZAHARI WAN ALI,
SMK Saujana, Setiu, Terengganu.

SAJAK KEMERDEKAAN: KETAATAN DAN KEBERANIAN


Berjanjilah kami demi keberanian
melalui suara-suara hijaz
putaran kemerdekaan
menyusur sungai-sungai mati
kepada insan seikat masyarakat
yang telah bebas.
Dalam sejarah kepahitanmu
terselit larian aku anak kecil
dibentuk dalam kelas-kelas rendah
hingga ke kamar dewasa
jiwa ini digantung loceng mongel
lalu direntap-rentap
terbawa-bawa.
Titisan darah ibuku
pada papan cendana pejal
masih melekat di situ
di perigi yang telah terkambus
hanyir masih terbau
tembuni dalam diam berubah fosil
atas tanah yang merdeka.
Seperti selalu
berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil
menyamai pemberian hadiah bapamu
kami menyebut MERDEKA!!!
MERDEKA!!! MERDEKA!!!!
NAFISA
Marang, Terengganu

SAJAK KEMERDEKAAN: POKOK BANGSA ITU ADALAH KITA


Anak merdeka alaf baru!
antara bunga mimpi dan tragedi
dalam membina generasi globalisasi
bukanlah semudah mencipta
cerita kosong di kedai kopi
atau membiarkan bangsa kita dijajah lagi.
Anak merdeka alaf baru!
tanamlah, semailah, bajailah
anak pribumi agar tumbuh menjulang tinggi
demi generasi dan agama
mentafsir wawasan membina jati diri
meraih akar dalam tunjang diri
menegak pepohon yang merendangkan
dedaun semangat.
Anak merdeka alaf baru
siramkanlah falsafah minda
jangan biarkan kering dan mati
kerana pokok bangsa itu adalah serumpun
kerana pokok bangsa itu
adalah kita yang merdeka.
AMYLIA HUSSAIN
Jambatan Merdeka, Sg. Petani

Anda mungkin juga menyukai