Anda di halaman 1dari 2

Jangan bangga bersahabat dengan golongan fasik

Nov 19, 2013


Tuan Ibrahim Tuan Man

Wahai anakku,
Janganlah engkau rasa hebat bersahabat dengan mereka yang mendurhakai Allah dan
menjauhkan manusia dari jalan-Nya. Kerana engkau akan menempah jalan yang dimurkai
Allah. Janganlah engkau kagum dengan seseorang yang memperolehi harta melalui jalan
yang diharamkan Allah, kerana setiap perbelanjaannya tidak diterima oleh Allah. Tindakan
kamu mendekati mereka dan bergaul mesra dengan mereka akan menjauhkan kamu dari
golongan yang dikasihi oleh Allah, dan mendekatkan kamu kepada kemurkaan Tuhanmu.
Wahai anakku,
Janganlah engkau pisahkan dirimu dari jamaah yang memperjuangkan Islam, walaupun
mereka kelihatan lemah, tiada permaidani merah yang menghampar mereka, namun mereka
dekat dengan Allah. Perhatikanlah pergaulanmu dengan semua sahabatmu, berjalanlah
bersama mereka, makanlah bersama mereka dan sembahyanglah bersama mereka; nescaya
engkau akan kenal siapa mereka.
Wahai anakku,
Janganlah engkau bangga bersahabat dengan golongan yang fasik, lalu kamu menjauhi
golongan bertaqwa. Engkau mengharapkan habuan dunia yang ada pada mereka, lalu mereka
menyesatkan kamu dan menjauhkan kamu dari Tuhanmu. Engkau akan mulai terpisah dengan
golongan yang menjaga iman mereka, kemudian kamu akan semakin jauh dari rumah Allah
dan kamu akan terus bergelumang dengan golongan yang lalai dengan Allah.
Wahai anakku,
Sahabat yang baik itu ialah sahabat yang bilamana kamu melupai kewajipanmu, ia akan
mengingatkan kamu. Bilamana kamu mendengar kata-katanya akan bertambah ilmumu, dan
bilamana kamu melihat amalan sehariannya, mengingatkan kamu pada hari akhirat.

Wahai anakku,

Aku sedar betapa payahnya kamu untuk mendapatkan sahabat yang baik, namun kebaikan
yang ada padamu akan mengundang kebaikan sahabat yang mendekatimu. Tidakkah bau
harum pada bebunga yang mekar menarik kedatangan lebah bagi menghisap madunya. Dan
tidakkah kamu perhati bau busuk dari seekor bangkai akan mengundang langau. Kamu
jangan mengharap kebaikan yang ada pada golongan yang lalai pada perintah Allah, atau
kamu kagum dengan satu dua kebaikan yang dilakukan di hadapanmu, lalu kamu sanggup
memejam mata terhadap rasuah, salahguna kuasa, kezaliman dan kemungkaran yang
dilakukannya. Lalu kamu war-war kebaikannya, dan kamu diam terhadap kemungkarannya.
Wahai anakku,
Janganlah kamu menjadi jurucakap kepada musuh bagi membenarkan keburukan
perbuatanmu, kerana ia tidak lebih menambahkan kebencian orang terhadapmu. Sebaliknya
perbaikilah kelemahan dirimu bersama jamaah, dengan mendekatkan dirimu kepada Allah
melalui amalan jamaahmu. Hiruplah keredhaan Allah dalam setiap patah zikirmu, dan titislah
airmata keinsafan di atas keterlanjuranmu kerana mengabaikan perintah Allah.
Wahai anakku,
Aku sedang berbicara denganmu, bukan orang lain kerana aku mengasihimu di dunia dan
akhirat. Demi Allah aku sanggup hilang seribu sahabat yang fasik, namun aku tidak sanggup
kehilangan seorang sahabat yang soleh.
Senyumlah semoga Allah mengasihimu.
Senyum

Anda mungkin juga menyukai