Anda di halaman 1dari 2

Destinasi pelancongan bersejarah

Format karangan: Surat kiriman tidak rasmi


7, Jalan Nirvana,
Taman Nirvana,
71000 Melaka.
18 JULAI 2010.
Menemui sahabatku Dayang yang kini berada di Burnei, semoga sihat sentiasa. Saya sekeluarga
di sini berada dalam keadaan sihat wal afiat.
Saudari,
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana sudi menulis surat
kepada saya tempoh hari. Saya kagum akan keistimewaan negara saudari. Dalam warkah saudari
yang lepas, saudari ingin mengetahui keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Dalam
warkah saya ini, saya akan menceritakan sebuah destinasi pelancongan yang kaya dengan nilai
sejarah.
Salah sebuah destinasi pelancongan yang terkenal sebagai tempat bersejarah ialah negeri Melaka.
Dengan kata lain, bagi mereka yang ingin menghayati tempat-tempat yang penuh dengan nilai
sejarah, Melaka merupakan destinasi yang paling ideal. Selain sebagai tempat yang bersejarah,
Melaka juga tersohor sebagai negeri yang kaya dengan tempat pelancongan, pusat beli-belah,
dan rekreasi.
Saudari,
Melaka sememangnya kaya dengan kesan sejarahnya yang ditinggalkan oleh penjajah sejak 5
kurun yang lalu bermula dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda, dan era
Kolonial Inggeris. Berhampiran dengan muara Sungai Melaka, medan bandar yang indah dengan
bangunan-bangunan peninggalan Belanda yang berwarna merah dapat kita lihat. Di sini terdapat
sebuah bangunan yang dahulunya pernah didiami oleh Gabenor Belanda, iaitu bangunan
Stadhuys, yang telah dibina pada tahun 1650. Tidak jauh dari situ, kita akan melihat sebuah
gereja yang besar, iaitu Christ Church, yang telah dibina pada tahun 1793. Gereja ini merupakan
sebuah gereja Protestan yang tertua di Malaysia. Di kawasan medan ini juga, para pelancong
dapat melihat sebuah menara jam yang bersejarah pada abad yang ke-19 dan sebuah Pancutan
Air Ratu Victoria yang menarik ciptaannya.
Selain Gereja Christ Church, terdapat sebuah gereja lagi di Jalan Laksamana, iaitu Gereja St.
Francis Xavier yang telah dibina pada tahun 1849. Manakala di atas Bukit St.Paul pula tersergam
indah Gereja St. Paul. Di pekarangan gereja ini, para pengunjung dapat melihat sebuah boneka
untuk memperingati St. Xavier dan kuburnya yang kosong. Di kaki bukit ini jelas dapat dilihat

peninggalan pintu gerbang terakhir kubu Portugis yang kuat, iaitu A Famosa yang telah dibina
pada pertengahan abad ke-16. Tidak jauh dari pintu gerbang ini, sebuah istana lama telah dibina
semula berdasarkan istana Sultan Mansor Shah. Berhampiran dengan istana ini juga tersergam
indah sebuah bangunan lama yang dinamakan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang
dijadikan sebuah muzium untuk memperingati sejarah perjuangan kemerdekaan negara.
Saudari,
Untuk pengetahuan saudari, tempat-tempat pelancongan yang lain yang mesti dikunjungi para
pelancong termasuklah Bukit China, Dataran Belanda, Jonker Street, Melaka Street, Muzium
Maritim Melaka, Taman Mini Malaysia, Masjid Pulau Melaka, Seri Malaysia Melaka, dan
sebagainya. Di samping itu, negeri Melaka kaya dengan makanan tradisional, kebudayaan, dan
perayaan keagamaan.
Jadi, saya berharap bahawa jika saudari ingin menghayati keisitimewaan destinasi pelancongan
ini, bolehlah datang sendiri ke negeri ini. Sebagai sahabat yang setia, saya mengalu-alukan
kedatangan saudari dengan tangan terbuka. Luangkanlah sedikit masa dan kunjungilah negeri
Melaka Bandar Bersejarah ini. Kata orang tua-tua, Jauh perjalanan luas pemandangan!.
Sampai di sini sahaja coretan saya buat saudari di sana. Dalam warkah ini, telah saya sertakan
beberapa keping gambar tempat-tempat bersejarah. Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam
lembaran yang akan datang.
Sahabatmu,
Wahida

Anda mungkin juga menyukai