Anda di halaman 1dari 1

Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang amat mengejutkan

buat masyarakat kita. Kekerapan jenayah ini membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak
betul dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa menghuraikan pelbagai faktor yang
mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut
terus meningkat saban tahun. Oleh itu, apakah punca-punca jenayah ini menular dengan
begitu cepat?

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri
yang tidak memberi perhatian berat tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak
individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau
tas tangan mereka dan ini menjadI sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal
mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan di
lorong yang gelap, atau mudah percaya akan orang asing menjadikan kita sasaran mudah
peragut. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan ragut
semakin menjadi satu kebiasaan di negara ini pula.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang
mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini
yang terpaksa membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka
dengan drastik. Ketidakupayaan pekerja yang dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain
dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila
memikirkan makan minum anak isteri pula. Oleh itu, kes ragut meningkat kerana banyak
pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan
masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa mengambil
langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan
berisiko tinggi menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih
banyak kamera seperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Oleh
itu, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di
kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut ditimbulkan akibat kekurangan didikan keagamaan terutama terhadap
generasi muda kita. Amalan agama sudah makin dilupakan berdasarkan semakin moden
sesebuah masyarakat itu. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya ketahanan diri
seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Sudah hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika
melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa
akan agama mereka.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini
tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus
mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk
memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu
menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk
baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu
berlaku.

Anda mungkin juga menyukai