Anda di halaman 1dari 11

PENGENALAN

KONSEP INTERAKSI
Menurut kamus komunikasi (Effendy. 1989: 184) definisi interaksi adalah proses saling
mempengaruhi dalam bentuk perilaku atau kegiatan diantara anggota-anggota masyarakat.
Individu, emosi, perlakuan dan tindak balas dapat dianalisis melalui interaksi dengan individu
lain melalui proses interaksi dalam kehidupan sosial mereka. Individu-individu ini berinteraksi
menggunakan simbol-simbol iaitu mengandungi tanda-tanda, isyarat dan kata-kata.(Mead 1934).
Penubuhan sesebuah negara yang mengandungi pelbagai kumpulan etnik memerlukan satu
kesatuan dan kerjasama politik, ekonomi dan sosial yang kukuh dan sepadu. Kesatuan etnik
hanya dapat dicapai melalui interaksi. Lebih erat pola interaksi dibentuk antara etnik maka
semakin kukuh perpaduan serta persefahaman rakyat di negara itu. Interaksi dalam kalangan
penduduk dapat menentukan kestabilan politik, sosial, ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Interaksi merupakan satu aspek penting dalam pembinaan jati diri terutama dalam kalangan
masyarakat majmuk seperti Malaysia. Dalam kalangan negara-negara yang penduduknya terdiri
daripada pelbagai kumpulan etnik seperti Amerika Syarikat, England, Belanda, India, Indonesia,
dan Malaysia menghadapi pelbagai cabaran serta kesulitan dalam usaha mengintegrasikan
rakyatnya. Keadaan ini menjadi semakin sukar dan rumit jika setiap kumpulan etnik mahu
mengekalkan identiti masing-masing dan tidak mahu menerima satu identiti nasional yang dapat
mewujudkan perpaduan antara pelbagai kumpulan etnik. Secara amnya, dapat dijelaskan bahawa
interaksi memberikan kesan dan menjadi aspek penting dalam kehidupan pelbagai etnik, bangsa
dan kepercayaan.

INTERAKSI ANTARA ETNIK SEBELUM MERDEKA


Interaksi antara kaum di Malaysia iaitu sebelum mencapai kemerdekaan tidak begitu meluas dan
bermakna semasa zaman penjajahan. Interaksi antara etnik sebelum merdeka kita boleh lihat
pada era Kesultanan Melayu Melaka, era penjajahan British, era penjajahan Jepun, dan semasa
negara di ambang kemerdekaan.

ERA KESULTANAN MELAYU MELAKA


Sebelum kedatangan penjajah di Tanah Melayu, interaksi antara etnik sebenarnya sudah pun
wujud. Seperti yang kita tahu, Tanah Melayu khususnya empayar Melayu Melaka menjadi
tumpuan pedagang dari seluruh negara terutamanya pedagang dari China, India, dan Arab.
Bilangan masyarakat pendatang pada masa itu adalah dalam kuantiti yang sedikit dan ditambah
pula dengan sikap mereka yang mudah menerima dan mengikuti budaya orang Melayu.
Misalnya, masyarakat Baba dan Nyonya serta India Muslim. Dari sinilah wujudnya masyarakat
majmuk dan hubungan etnik yang unik di Tanah Melayu. Bahasa Melayu sebagai bahasa Lingua
Franca sebenarnya menjadi penghubung kepada interaksi antara kaum pada masa itu. Melalui
satu bahasa yang dituturkan dilihat ia berperanan sebagai agen perubahan pada masa itu. Alasan
yang kuat ialah Bahasa Melayu mempunyai nilai tambahan yang cukup banyak yang mana tidak
terdapat dalam bahasa-bahasa lain yang digunakan di negara ini. Di samping itu, hubungan
antara etnik dan antara bangsa-bangsa menjadi lebih rancak apabila pedagang-pedagang yang
beragama Islam turut menyebarkan agama Islam semasa berdagang. Melalui penggunaan Bahasa
Melayu serta penyebaran agama Islam dalam aktiviti seharian masyarakat membawa kepada
interaksi yang lebih berkesan dan berperanan sebagai agen perubahan yang positif di samping
sikap mereka saling menghormati dan mengiktiraf kewibawaan kerajaan dan budaya masing-
masing. Melalui dasar ekonomi yang dijalankan pada masa itu lah sebenarnya memberi peluang
kepada kewujudan interaksi antara kepelbagaian etnik ini.

ERA PENJAJAHAN BRITISH


Pada zaman pemerintahan British, penjajah telah mewujudkan kelompok-kelompok etnik
berdasarkan kegiatan ekonomi. Hal ini bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka agar tidak
terjejas dengan kewujudan perpaduan kaum kerana mereka mahu mengeksploitasi semaksimum
yang mungkin kekayaan semula jadi yang terdapat di Tanah Melayu pada masa itu. Oleh itu,
mereka telah menetapkan status dan peranan yang berbeza bagi setiap kaum. Misalnya, kaum
Melayu yang bertani digalakkan tinggal di kawasan luar bandar, buruh dari India yang
kebanyakannya penoreh getah tinggal di estet, dan imigran dan buruh dari China yang berniaga
dan bekerja di lombong tinggal di kawasan bandar. Dasar pecah dan perintah yang dijalankan
oleh British berjaya direalisasikan dan kesannya interaksi antara kaum menjadi terbatas hanya di
pejabat dan pasar sahaja. Pemisahan penempatan bukan sahaja boleh merenggangkan hubungan
dan interaksi pelbagai etnik, tetapi juga memperkuatkan lagi perasaan kekitaan dan
etnosentrisme dalam kalangan anggota yang seterusnya prasangka, streotaip dan mengekalkan
kejahilan dalam kalangan etnik yang lain. Keadaan ini menambahkan lagi kesukaran bagi
memupuk perpaduan kaum ekoran interaksi antara kaum yang sememangnya kurang pada masa
itu. Malah, sistem pendidikan yang diamalkan pada zaman penjajahan British secara tidak
langsung menjadi antara sebab lain interaksi antara etnik di Tanah Melayu pada masa itu terhad.
Sekolah vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda dalam
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P). Terdapat tiga jenis sekolah vernakular yang
ditubuhkan pada masa itu iaitu, sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Tamil, dan
sekolah vernakular Cina. Sekolah vernakular Melayu yang pertama sekali ditubuhkan ialah pada
tahun 1855, iaitu di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada tahun 1872, A.M. Skinner
memperkenalkan persekolahan dua sesi iaitu, pagi dan petang di mana sesi pagi mata pelajaran
yang diajar adalah Bahasa Melayu, Matematik, Ilmu Alam dan mata pelajaran vokasional.
Manakala, sesi petang pula pengajaran dan pembelajaran adalah berfokus kepada Bahasa Arab
dan al-Quran. Sekolah vernakular Cina ditubuhkan pada tahun 1815 oleh kumpulan pendakwah
baru Persatuan Pendakwah London. Terdapat juga sekolah Cina yang dibuka oleh orang
perseorangan. Sekolah Cina menggunakan bahasa Cina /Mandarin (Kuv Yu) sebagai bahasa
pengantar, manakala guru-guru dan buku teks diimpot dari Negara China. Contoh sekolah
vernalular Cina ialah SJK (C) Hua Lian, Tanjung Malim, Perak dan SJK (C) Chung Hwa, Kota
Bharu, Kelantan. Kelas Bahasa Cina diadakan di semua Free School, iaitu di Melaka, Pulau
Pinang dan Singapura, namun ia gagal dan telah dihentikan. Sekolah vernakular Tamil
menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Guru, kurikulum, dan buku teks diimpot
dari India. Contohnya, SJK (T) Manikavasagam, Tanjung Malim, Perak. Pada tahun 1925, Kod
Buruh berkuatkuasa, di mana semua estet vang mempunyai 10 orang kanak-kanak dalam umur
persekolahan diwajibkan menyediakan sekolah yang bertujuan membasmi buta huruf. Sekolah
Inggeris hanya terdapat di kawasan bandar dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar. Pendidikan bahasa Inggeris mula diperkenalkan dalam kalangan anak bangsawan
Melayu pada tahun 1905. Penang Free School (1816) merupakan sekolah Inggeris pertama yang
ditubuhkan. Guru-guru yang mengajar di sekolah Inggeris ini terdiri daripada paderi yang
mendapat pendidikan di Eropah. Pengasingan sistem pendidikan mengikut kaum menyebabkan
interaksi hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama sahaja. Walaupun pendidikan
disediakan oleh penjajah namun kesemuanya boleh dilihat lebih menjurus kepada kepentingan
mereka sendiri. Melalui sistem pendidikan yang dibentuk berorientasikan satu-satu kaum ini,
maka interaksi antara kaum diharapkan tidak berlaku kerana bimbang akan menggugat kuasa
mereka di Tanah Melayu yang sememangya menyimpan seribu satu manfaat. Oleh itu, amat
jelaslah bahawa semasa penjajahan British, hubungan antara etnik adalah lebih menjurus kepada
konsep segregasi iaitu hubungan yang bersifat pemisahan di antara etnik-etnik di Tanah Melayu,
yang mana pemisahan dari aspek tempat tinggal, pendidikan, pengangkutan dan kemudahan
awam yang seterusnya menyukarkan komunikasi antara mereka.

ERA PENJAJAHAN JEPUN


Pendudukan Jepun walaupun singkat namun ia juga memberi kesan kepada pembentukan
masyarakat Malaysia yang sedia wujud pada hari ini. Penjajahan Jepun mewujudkan kesan sosial
berkaitan dengan hubungan antara kaum dan juga keadaan masyarakat dari segi pendidikan serta
pentadbiran. Semasa Perang Dunia ke dua, terdapat dua bentuk hubungan kaum iaitu hubungan
kerjasama antara kaum menentang penjajah Jepun (MPAJA) dan juga hubungan tegang antara
etnik Melayu dan Cina ekoran dasar pilih kasih terhadap etnik Cina.
Ketegangan antara kaum Melayu dan Cina menjadi lebih buruk apabila Jepun menyerah kalah.
Kesempatan ini telah digunakan oleh orang Cina yang menganggotai MPAJA untuk membalas
dendam bukan sahaja kepada orang Melayu yang menganggotai tentera Jepun tetapi juga kepada
orang Melayu yang lain. Lantas hubungan kedua-dua kaum tersebut menjadi renggang dan
melebarkan lagi jurang perkauman antara etnik. Interaksi antara etnik pada masa tersebut lebih
bernada negatif ekoran dasar diskriminasi yang dijalankan oleh penjajah Jepun .

ERA AMBANG KEMERDEKAAN


Walaupun secara kasarnya dilihat interaksi antara etnik tidak begitu meluas namun ia tetap wujud
dan sememangnya memberi impak yang mendalam pada zaman tersebut. Dasar Persekutuan
British misalnya dijalankan bertujuan untuk menyatukan wilayah-wilayah di Tanah Melayu iaitu
Negeri-Negeri Selat (NNS), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB), dan Negeri-Negeri
Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB). Dasar Persekutuan ini sebenarnya menjadi ilham kepada
pemimpin negara untuk membentuk Kerajaan Campuran. Antara tiga parti politik di bawah satu
perikatan adalah UMNO yang mewakili orang Melayu, MIC mewakili orang India, dan MCA
adalah parti yang mewakili orang Cina. Melalui penggabungan ketiga-tiga parti ini, kita dapat
lihat interaksi antara kaum berlaku dengan rancakknya. Mereka bersatu hati untuk mendapatkan
kemerdekaan yang dikongsi bersama-sama. Segala masalah yang berlaku sebelum ini
diketepikan semata-mata demi ke arah berkerajaan sendiri.
Saya tidak akan berganjak sekalipun kerana saya cukup yakin dengan
kekuatan kita untuk mencapai kemerdekaan ....Saya telah masuk ke
gelanggang politik dengan azam hendak berkorban berhabis-habisan
kerana bangsa dan tanah air
(Sumber: Meniti Catatan Sejarah, 2005: 35)
Melalui ucapan yang diberikan oleh Tunku Abdul Rahman sebelum berlepas ke London untuk
rundingan kemerdekaan kita dapat lihat bahawa melalui penyatuan dan kerjasama menjadikan
kita lebih kuat dan stabil di negara sendiri. Begitu juga halnya kerjasama serta interaksi yang
terjalin dalam ketiga-tiga kaum utama di Tanah Melayu membawa kepada sesuatu dimensi baru
yang lebih bermakna. Melalui pakatan inilah kita berjaya memperoleh kemenangan menerusi
Pilihan Raya yang pertama pada tahun 1955. Walaupun begitu, interaksi yang betul-betul
berkesan sebenarnya belum dicapai seratus peratus. Hal ini dibuktikan melalui peristiwa
berdarah 13 Mei 1969.

INTERAKSI ETNIK, BANGSA DAN KEPERCAYAAN SELEPAS MERDEKA


Interaksi antara setiap masyarakat Malaysia yang pelbagai etnik, bangsa dan kepercayaan ini
sememangnya telah wujud sejak dulu lagi tetapi interaksi yang wujud adalah mempunyai
peringkat yang berbeza. Peringkat interaksi yang berbeza ini dipengaruhi oleh persekitaran yang
berbeza. Di Malaysia terutamanya di Semenanjung Malaysia kita boleh melihat peringkat-
peringkat interaksi ini berdasarkan dua peringkat yang utama iaitu sebelum peristiwa 13 Mei
1969 dan selepas peristiwa tersebut hingga ke hari ini. Jika kita perhatikan interaksi yang berlaku
dalam dua peringkat tersebut berlaku perbezaan yang ketara.

SEBELUM PERISTIWA 13 MEI 1969


Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957. Pada ketika ini masyarakat Tanah Melayu
terdiri daripada tiga kelompok etnik yang besar iaitu Melayu, Cina dan India disamping beberapa
etnik minoriti seperti Orang Asli dan masyarakat peranakan. Namun, interaksi yang berlaku di
antara tiga etnik terbesar tersebut memberikan kesan yang besar kepada situasi yang berlaku
dalam negara. Pada peringkat awal kemerdekaan Tanah Melayu, interaksi yang berlaku dalam
kalangan etnik Melayu yang merupakan peribumi dan orang India dan Cina yang dikenali
sebagai masyarakat pendatang berada dalam peringkat yang sangat minimum. Interaksi yang
boleh nampak jelas ialah interaksi yang berlaku dalam kalangan para pemimpin berikutan
daripada gabungan ketika menuntut kemerdekaan namun bagi golongan rakyat, interaksi itu
masih minimum. Interaksi diantara pemimpin yang pelbagai kaum tersebut boleh dikategorikan
sebagai interaksi kerjasama di mana mereka bekerjasama, saling bantu-membantu untuk
mencapai tujuan yang sama iaitu kebebasan dari penjajah. Perhubungan yang berlaku dalam
kalangan rakyat pula hanya bila orang Melayu ke bandar untuk mendapatkan barangan keperluan
ataupun orang Cina ke kampung untuk mendapatkan barangan dagangan. Selesai urusan tersebut
mereka akan kembali semula kepada kelompok etnik masing-masing. Interaksi yang berlaku
hanyalah interaksi antara individu-individu yang berada dalam kelompok etnik yang sama.
Kemudiannya pada 16 September 1963, Malaysia ditubuhkan dengan kemasukkan Sarawak,
Sabah dan Singapura. Jumlah penduduk dan keluasan kawasan pemerintahan telah bertambah.
Selain itu, Sabah dan Sarawak mempunyai kepelbagaian etnik yang lebih rumit berbanding
Tanah Melayu manakala Singapura pula majoriti penduduknya adalah kaum Cina. Sarawak dan
Sabah mempunyai lebih kurang 60 etnik. Maka, interaksi etnik yang berlaku lebih kompleks.
Namun, interaksi etnik yang berlaku di Sabah dan Sarawak lebih natural dan unik berbanding di
Semenanjung Malaysia ketika itu.
Interaksi etnik yang berlaku di kedua negeri Borneo dan Semenanjung Malaysia adalah berbeza.
Walaupun etnik yang wujud di negeri Borneo lebih kompleks tetapi interaksi antara mereka tidak
serumit interaksi yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Sehingga hari ini, tidak timbul isu-isu
perkauman yang serius di kedua negeri tersebut. Hal ini, kita boleh lihat dengan jelas ketika
peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa berdarah tersebut hanya melibatkan orang Melayu dan Cina di
Semenanjung Malaysia tetapi tidak melibatkan kedua negeri tersebut biarpun Melayu dan Cina
juga ramai di negeri tersebut. Walaupun seringkali diperkatakan bahawa peristiwa berdarah itu
berlaku akibat ketidakseimbangan ekonomi iaitu monopoli ekonomi oleh orang Cina dan
keterpinggiran orang Melayu tetapi kurang interaksi juga merupakan penyumbang kepada
peristiwa tersebut. Jika wujud interaksi atau komunikasi yang baik dan erat dalam kalangan
orang Cina dan Melayu ketika itu, peristiwa tersebut dapat dielakkan kerana interaksi
membolehkan kita memahami antara satu sama lain. Apabila wujud persefahaman kita akan cuba
bertoleransi antara satu sama lain dan setiap masalah boleh diselesaikan dengan aman.

SELEPAS PERISTIWA 13 MEI 1969

Selepas peristiwa 13 Mei pelbagai usaha telah diwujudkan oleh kerajaan untuk mengelakkan
peristiwa seperti itu berulang. Salah satu usaha kerajaan yang sering diperkatakan ialah Dasar
Ekonomi Baru (DEB). Secara umumnya, DEB ini bertujuan merapatkan jurang ekonomi yang
wujud antara kaum namun dan menyusun semula masyarakat. Hal ini kerana, jurang ekonomi
yang wujud turut mewujudkan jurang sosial. Masyarakat Cina yang menguasai perdagangan
tinggal di bandar-bandar dan hidup mewah sedangkan orang Melayu masih lagi dengan amalan
ekonomi tradisional, tinggal di kampung dan hidup miskin. Secara tidak langsung, orang Melayu
akan merasa rendah diri dan orang Cina pula merasakan mereka lebih hebat. Apabila wujud
keadaan seperti ini maka masalah interaksi akan terjadi dan masing-masing akan mempunyai
pandangan yang stereotaip yang kebiasaannya bersifat negatif terhadap sesuatu kaum. Inilah
keadaan yang cuba dihapuskan oleh kerajaan dalam perlaksanaan DEB. Proses interaksi sosial
boleh kita lihat dalam dua iaitu interaksi yang membawa kepada penyatuan dan perpecahan.
Interaksi yang membawa kepada penyatuan ialah interaksi secara kerjasama, akomodasi dan
asimilasi manakala interaksi yang membawa kepada perpecahan ialah persaingan, kontravensi
dan pertentangan. Kerajaan cuba mewujudkan interaksi yang membawa kepada penyatuan dan
mengelakkan interaksi yang ke arah perpecahan melalui DEB.
Selain itu, Rukun Negara telah digubal sebagai garis panduan rakyat negara ini tanpa mengira
perbezaan etnik, kebudayaan dan kepercayaan supaya perpaduan boleh diwujudkan. Lima
prinsip Rukun Negara menggariskan prinsip-prinsip yang harus diikuti dan diamalkan oleh
rakyat. Dalam prinsip yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, kita boleh melihat istilah
Tuhan digunakan bukannya istilah Allah. Ini kerana perkataan Tuhan adalah lebih umum dan
boleh digunakan oleh semua rakyat di Malaysia tanpa mengira apa jua agamanya. Selain itu,
prinsip yang pertama ini juga membawa rakyat Malaysia kembali kepada agama masing-masing
kerana tiada agama yang mengajarkan kejahatan melainkan kebaikan kepada umatnya. Apabila
manusia kembali kepada ajaran agamanya maka manusia tersebut akan menjauhi kejahatan dan
perkara-perkara yang negatif seperti persengketaan. Prinsip yang kedua pula ialah Kesetiaan
kepada Raja dan Negara. Kesetiaan kepada raja dan juga negara akan menghalang individu
daripada melakukan sesuatu tindakan yang boleh memurkakan raja dan memusnahkan
negaranya. Prinsip yang ketiga pula ialah Keluhuran Perlembagaan, dimana perlembagaan
negara merupakan tunjang utama negara. Jika semua rakyat Malaysia berpegang pada
Perlembagaan maka peristiwa 13 Mei tidak akan berulang lagi. Seterusnya prinsip yang keempat
iaitu Kedaulatan Undang-undang. Undang-undang merupakan satu sistem peraturan atau norma
yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Jika masyarakat mematuhi undang-undang, maka
masalah dapat dielakkan. Prinsip terakhir iaitu Kesopanan dan Kesusilaan merupakan prinsip
yang amat penting dalam perhubungan sosial masyarakat Malaysia. Sikap sopan dan
bertatasusila mampu mengelakkan konflik antara individu kerana setiap individu mampu
berinteraksi dan berkomunikasi dengan penuh kesopanan dan tertib dalam setiap tingkah
lakunya. Setiap prinsip dalam Rukun Negara mempunyai makna dan nilai yang tersirat yang
menjurus kepada melahirkan warganegara yang berperibadi mulia dan seterusnya boleh
mewujudkan interaksi yang positif sesama masyarakatnya. Dasar Pendidikan Negara juga
merupakan langkah yang dilakukan kerajaan untuk mewujudkan interaksi yang erat antara kaum
di Malaysia agar perpaduan dan keharonian dapat dicapai. Objektifnya boleh ditafsirkan sebagai
menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja untuk
keperluan ekonomi. Kerajaan melihat bahawa kanak-kanak merupakan golongan yang amat
sesuai dalam mewujudkan perhubungan yang harmoni antara pebagai kaum kerana dalam usia
kanak-kanak golongan ini mudah menerima nilai-nilai yang ingin diterapkan. Lagipun interaksi
yang baik diantara kaum harus dipupuk sejak dari kecil agar mereka mudah menerima dan
memahami serta bertoleransi dengan setiap perbezaan yang wujud di antara mereka. Pemahaman
perbezaan tentang budaya dan kepercayaan sejak kecil akan mengelakkan pandangan stereotaip
yang seringkali melumpuhkan komunikasi antara individu atau masyarakat. Dalam sekolah ini
juga interaksi berbentuk kerjasama, akomodasi ataupun penyesuaian dan asimilasi boleh
diwujudkan. Interaksi berbentuk kerjasama boleh diwujudkan di sekolah dengan aktiviti-aktiviti
kerja berpasukan seperti melakukan gotong-royong membersihkan sekolah. Interaksi berbentuk
akomodasi atau berbentuk penyesuaian boleh berlaku apabila pelajar yang pelbagai latar
belakang ekonomi, agama dan etnik berada dalam satu kelas yang sama dan cuba menerima dan
memahami antara satu sama lain. Asimilasi boleh diwujudkan dengan sikap toleransi antara
pelajar, sikap terbuka, persamaan dari aspek budaya dan sikap menghargai antara satu sama lain.
Interaksi-interaksi seperti ini mudah dilahirkan dalam kalangan kanak-kanak kerana seperti
peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Kepelbagaian etnik yang wujud di Malaysia membawa kepada kepelbagaian kebudayaan.
Kerajaan telah melihat betapa pentingnya peranan kebudayaan dalam membentuk perpaduan.
Salah faham dan pandangan stereotaip yang wujud adalah kerana kurangnya pemahaman dan
pengetahuan tentang kebudayaan sesuatu kaum. Perlaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan
adalah berdasarkan kepada keadaan tersebut. Kerajaan cuba mewujudkan hubungan dalam
kalangan rakyat melalui kebudayaan. Dalam dasar ini kerajaan melakukan pemulihan,
pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan setiap kaum yang ada di Malaysia. Dengan langkah
tersebut, setiap kebudayaan etnik yang wujud di Malaysia dapat diangkat dan ditonjolkan. Dalam
aspek ini, interaksi secara asimilasi dapat berlaku hal ini kerana, kebudayaan etnik-etnik di
Malaysia mempunyai persamaan. Misalnya, budaya kunjung-mengunjung di musim perayaan.
Kesemua kaum di Malaysia mempunyai budaya tersebut pada musim perayaan kaum mereka dan
kini budaya ini telah menjadi satu budaya yang wajib di Malaysia. Dasar ini bukan sahaja boleh
mewujudkan hubungan yang lebih baik antara kaum tetapi juga meningkatkan martabat budaya
Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa.

PERANAN INTERAKSI SEBAGAI AGEN PERUBAHAN.


Bagi sesebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti negara kita Malaysia,
interaksi antara pelbagai etnik, bangsa dan kepercayaan memainkan peranan yang sangat
penting. Oleh demikian, peranan interaksi sebagai agensi perubahan sememangnya tidak dapat
dinafikan lagi. Kerajaan telah mewujudkan beberapa dasar-dasar yang dapat mengeratkan lagi
hubungan perpaduan antara pelbagai kaum, etnik, bangsa, budaya dan kepercayaan di negara
kita. Tujuan utama dasar- dasar tersebut digubal adalah untuk memupuk semangat perpaduan
dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum di negara kita. Dasar-dasar yang digubal
sememangnya agen perubahan yang sangat berkesan sekali kerana ia membawa implikasi positif
terhadap hubungan pelbagai kaum di negara kita.

PERLEMBAGAAN.
Salah satu dasar yang telah digubal oleh kerajaan yang memainkan peranan sebagai agen
perubahan adalah melalui Perlembagaan negara kita. Perlembagaan merupakan undang-undang
tertinggi di negara kita, segala perundangan yang bercanggah dengan perlembagaan secara
automatiknya akan terbatal setakat yang bercanggah. Di dalam perlembagaan Malaysia bahagian
satu, perkara 3 (1) ada menyatakan bahawa agama Islam merupakan agama persekutuan iaitu
agama rasmi negara. Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang agama lain diamalkan di negara
kita. Sebagai contoh, kaum India, Cina, bebas untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing
tanpa sebarang halangan. Hal ini membuktikan bahawa menerusi perlembagaan setiap etnik,
bangsa dan ras sebenarnya dapat memupuk perpaduan dengan berkongsi kepelbagaian budaya
yang dimiliki oleh kita. Contohnya, melalui perayaan yang disambut setiap tahun seperti Hari
Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan krismas ikatan silaturahim sesama masyarakat
dapat dieratkan. walaupun mempunyai agama yang berbeza namun kepelbagaian budaya yang
dimiliki menjadikan interaksi antara kaum dapat berjalan dengan baik. Bahkan perbezaan
kebudayaan yang dimiliki juga menjadikan negara kita unik sekali di mata dunia.

DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN.


Selain itu, kerajaan juga telah mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang turut bertindak
sebagai agen perubahan dalam interaksi antara kaum. Objektif utama dasar ini ditubuhkan
adalah untuk mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan
memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan,
memperkaya dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan di samping menjana
kerohaniaan yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi. Kebudayaan merupakan
keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara di
Malaysia kerana ia mencerminkan keperibadian negara kita. Dasar ini sebenarnya dapat
memupuk semangat kerjasama khususnya dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah
meningkatkan pembangunan sosioekonomi.Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan
penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.Oleh itu, dasar ini
merupakan agen perubahan yang berkesan sekali. Bagi sebuah negara yang mempunyai
masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional
memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan masyarakat yang bersatu
padu walaupun mempunyai latar belakang budaya yang berbeza.
Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi
pembinaan bangsa dan ketahanan negara. Justeru itu, atas sebab tersebut kerajaan telah
menggubal dasar ini bagi menyatupadukan kebudayaan yang pelbagai di negara kita. Melalui
Dasar Kebudayaan ini setiap etnik dapat berhubung dengan baik. Penggubalan dan pelaksanaan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara kita yang tergolong dalam kalangan
negara sedang membangun kerana mempunyai penduduk berbilang kaum dan mengamalkan
budaya yang berbeza. Justeru itu, dapatlah dibuktikan bahawa dasar ini dapat dijadikan garis
panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta dapat
mengekalkan identiti negara.

KONSEP 1 MALAYSIA.
Bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran
yang dibawa oleh arus globalisasi, termasuk dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, maka
Perdana Menteri Dato Sri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan Konsep 1Malaysia yang
berpaksikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Konsep ini bertepatan
dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara. Konsep 1Malaysia bertujuan
memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai
senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang bertujuan menggugat
kesejahteraan hidup mereka. Konsep ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak,
mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, stabil dan maju dalam segenap
bidang serta disegani oleh seluruh dunia. Gagasan 1Malaysia menghargai dan menghormati
prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia,
dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. Gagasan
1Malaysia juga menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana
sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam
keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. 1Malaysia bermatlamat
untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi
kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik
kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Perpaduan sememangnya telah membentuk teras
utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai.
Justeru itu, 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan
di kalangan rakyat Malaysia.

RUKUN NEGARA.
Di samping itu, setiap warganegara Malaysia juga hendaklah menjadikan Rukun Negara sebagai
teras dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini. Rukun Negara diwujudkan untuk
menyemai nilai-nilai murni seperti nilai keagamaan, kesetiaan kepada raja dan negara, kepatuhan
kepada perlembagaan, kedaulatan undangundang serta membentuk masyarakat yang
mengamalkan nilai kesopanan dan kesusilaan. Rukun Negara juga menjadi pedoman kepada
seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum ke arah pembentukan perpaduan nasional dan
menjamin kesejahteraan masyarakat. Seterusnya melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia
yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan saintifik tanpa mengira keturunan dan
kepercayaan. Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara adalah jelas merupakan
kunci kepada masyarakat majmuk negara ini untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian
dan perpaduan kaum demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Perpaduan dan
penyatuan rakyat amat penting dalam usaha kerajaan membangunkan negara dan rakyat.
Melalui Rukun Negara, semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dapat berpegang
kepada satu ideologi yang dapat dijadikan sebagai amalan dan etika kehidupan seharian
mereka. Rukun Negara amalan hidup rakyat Malaysia.
Rukun Negara digariskan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam melahirkan
rakyat yang hidup aman dan damai walaupun berbeza bangsa dan agama. Masyarakat yang adil
dalam pengagihan kekayaan dan kemakmuran negara. Masyarakat yang progesif dalam
mewujudkan warganegara yang berbudaya ilmu demi mewujudkan rakyat yang cukup
pengetahuan untuk membangunkan negara. Masyarakat yang liberal yang diberikan kebebasan
mengamalkan budaya kaum serta memelihara budaya kebangsaan.
DASAR INTEGRASI NASIONAL.
Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yang
mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik. Persoalan hubungan etnik,
perpaduan dan integrasi amat penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya
pembangunan negara berjalan rancak tanpa sebarang gangguan. Perpaduan dan Integrasi penting
supaya tenaga negara dapat disalurkan kepada memajukan negara. Hubungan etnik yang mantap
sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara mempunyai kepelbagaian dari segi agama,
bahasa, budaya dan etnik.
Agen hubungan etnik mempunyai tahap- tahap fungsi hubungan etnik yang pelbagai iaitu pada
peringkat diri sendiri, keluarga, jiran, masyarakat dan negara. Melalui agen hubungan etnik ini
budaya yang mencetuskan perpaduan boleh dibentuk, budaya yang berpaksikan kepada
wawasan yang boleh dikongsi bersama, disokong oleh media yang positif dan dasar-dasar
kesederhanaan yang membawa kepada keseimbangan. Hal ini sangat perlu kerana sebarang
aspek budaya yang diekstrimkan tanpa berpandu kepada kontrak sosial akan membawa
keretakan integrasi nasional.

DASAR PENDIDIKAN NEGARA.


Selain itu, kerajaan juga turut melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang secara lansung
dapat merapatkan hubungan antara pelbagai kaum. Contohnya melalui penubuhan sekolah
kebangsaan. Jika diteliti,dasar ini sebenarnya turut memainkan peranan yang penting dalam
mewujudkan interaksi antara pelbagai etnik, bangsa, budaya mahupun kepercayaan. Dalam kata
lain, dasar ini sebenarnya agen perubahan yang dapat menggalakkan lagi perpaduan masyarakat
majmuk di negara kita. Melalui dasar pendidikan sesebuah negara dapat maju dan berkembang
pesat. Justeru itu, semua dasar pelajaran seperti Penyata Barnes, Penyata Fenn-Wu, Undang-
undang Pelajaran 1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, dan Dasar Pendidikan
Kebangsaan sebenarnya bertujuan untuk memupuk perpaduan. Ia bagi memastikan pengasingan
pendidikan yang wujud sebelum ini dimansuhkan dan digantikan dengan sistem yang lebih
seragam dan menyeluruh. Keseragaman tersebut bertujuan untuk memantapkan lagi ikatan
perpaduan yang wujud selama ini.

BAHASA MELAYU SEBAGAI ALAT PERPADUAN.


Seperti yang kita ketahui, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara kita.. Dalam
Perkara 152 perlembagaan ada menyatakan kedudukan Bahasa Melayu.Hal ini bermaksud
bahasa melayu telah berubah tarafnya daripada bahasa kebangsaan bangsa melayu kepada bahasa
kebangsaan negara Malaysia. Perubahan taraf ini sebenarnya memberikan implikasi yang sangat
luas. Salah satu implikasi tersebut adalah sebagai agen perubahan yang berfungsi sebagai alat
perpaduan utama masyarakat majmuk di negara kita. Penggunaan bahasa melayu dalam interaksi
seharian antara pelbagai kaum sebenarnya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan ini
secara langsung dapat memupuk semangat perpaduan antara pelbagai etnik. Contohnya, apabila
orang cina, India dan melayu ingin berkomunikasi mereka akan menggunakan bahasa melayu hal
ini disebabkan kedudukan bahasa melayu sebagai bahasa perhubungan yang utama berbanding
bahasa lain. Namun demikian, penggunaan bahasa lain adalah tidak dilarang.
KESIMPULAN
Penggubalan dasar, pelan kerajaan ini merupakan salah satu agenda kerajaan dalam mewujudkan
interaksi. Tetapi sejauh manakah keberkesanan dasar ini dalam isu interaksi? Perpaduan yang jitu
masih lagi dicari dan pembentukan Bangsa Malaysia tetap menjadi satu agenda utama negara.
Idea Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri Malaysia) merealisasikan konsep
Negara Bangsa masih belum tercapai disebabkan masih wujud pebagai masalah interaksi antara
indivudu. Interaksi di antara individu pelbagai etnik hanya kerap berlaku sekiranya individu
berkenaan berada dalan satu persekitaran multi-etnik seperti di SMK. Berjayakah Melayu, Cina,
India, Dayak, Kadazan, Melanau dan etnik yang lain yang terdapat di Malaysia dibawa ke satu
ruang fizikal yang sama oleh pelbagai dasar dan program perpaduan? Sekiranya ada di antara
etnik itu tercicir, maka interaksi yang berlaku hanya relevan bagi memupuk perpaduan dalam
kalangan individu etnik yang telah berjaya dibawa ke satu ruang fizikal yang sama. Etnik yang
tercicir kurang mempunyai peluang untuk berinteraksi antara pelbagai etnik. Kejayaan
meningkatkan interaksi antara pelbagai etnik bergantung kepada skop dasar dan program yang
diperkenalkan dan kejayaan perlaksanaannya oleh pelbagai peringkat agensi-agensi kerajaan.
Jika tidak dapat dilaksanakan interaksi sosial pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan maka Satu
Negara Satu Bangsa hanya akan tinggal sebagai slogan tanpa penghayatan semua rakyat
Malaysia. Yang pasti usaha, kajian serta penggubalan dasar yang lebih efektif pasti menjamin
interaksi yang lebih berkesan dan cabaran strategik yang dimuatkan dalam Wawasan 2020 iaitu
pembentukan bangsa Malaysia dapat dicapai.

DASAR-DASAR NEGARA

http://testingrema.blogspot.com/2011/11/pengenalan-konsep-interaksi-
menurut.html

Anda mungkin juga menyukai