Terima kasih pengerusi majlis, barisan panel hakim, penjaga masa dan hadirin
sekalian. Assalamuailaikum dan salam 1 Malaysia.
Pada suatu hari, Si Tanggang berkata kepada ibunya yang sedang menyapu di
halaman rumah...
” Ibu, kehidupan kita ini sangat miskin. Tanggang rasa eloklah Tangggang
pergi merantau di negeri orang mencari kekayaan. Nanti... Tanggang akan dirikan
mahligai yang indah dan akan Tanggang kalungkan intan permata pada tubuh ibu...”
”Apa??? Kau nak tinggalkan ibu...? Ibu sudah tua Tanggang... kasihanilah
ibu... jangan tinggalkan ibu, Tanggang...”
Segala rintihan dan rayuan Mak Umpit tidak diendahkan oleh anaknya Si
Tanggang.. Keesokan harinya, keluarlah Si Tanggang meningggalkan ibunya yang
tua di kampung sendirian.
Pada suatu hari, Si Tanggang dan anak-anak kapal belayar untuk berniaga.
Dalam pelayaran tersebut akhirnya kapal Si Tanggang telah berlabuh di pantai
berhampiran kampung kelahirannya. Berita kedatangan kapal Si Tanggang telah
diketahui oleh orang-orang kampung. Ibu Si Tanggang sangat gembira dengan
berita kepulangan anak kesayangannya itu. Tanpa berlengah lagi Mak Umpit terus
pergi berjumpa Si Tanggang.
” Oh, Tanggang anakku! Tidakkah engkau kenal lagi ibumu ini? Rindunya
rasa hati ibu semenjak kepemergianmu nak...”
Si Tanggang terkejut dengan kedatangan perempuan tua itu. Dia berasa malu
kepada isterinya untuk mengaku perempuan yang tua dan hodoh itu ibu
kandungnya. Lalu Si Tanggang pun menghalau perempuan tua itu dari kapalnya.
Kerana terlalu sedih, Mak Umpit menangis teresak-esak apabila dimaki dan
dihalau oleh anak kandungnya sendiri. Lalu dia pun mendayung semula sampannya
ke pantai. Setibanya Mak Umpit di pantai, dia terus menadah tangan ke langit dan
berseru kepada Tuhan;
“Oh, Tuhanku! Kalau benar Si Tanggang itu adalah anak yang ku didik dari
sebesar dua tapak tangan ini, tunjukkanlah balasan Mu ke atas anak yang
derhaka!!!”
Tidak semena-mena turunlah ribut yang amat kuat dan dahsyat. Kilat dan guruh
memecah langit, datang dengan tiba-tiba. Terdengarlah suara anak kapal riuh
rendah ketakutan. Dalam riuh rendah itu, tiba-tiba Si Tanggang meraung
memanggil ibunya.....
Itulah balasannya kepada anak-anak yang tidak mengenang budi dan dan
menderhaka kepada kedua orang tuanya yang telah bersusah payah mendidik dan
membesar dari kecil hingga ke dewasa.