Anda di halaman 1dari 10

‫بسم الله الرحمن الرحيم‬

1.Segala puji bagi Allah yang maha esa,

tempat tuju segala hamba yang pendosa.

2.Selawat salam buat Nabi yang mulia,

Yang bersifat rahmat kepada ummatnya.

3.Juga buat keluarganya yang tercinta,

Para sahabat serta para auliya.

4.Dan inilah nazom akidah yang suci,

buat pegangan semisal diri ini.

5.Walau kecil namun jangan dipersia,

moga jadi bekal bertemu dengan-Nya.

6.Hanya kepadanya jua ku berharap,

Agar terima amal hamba yang pengharap.


PEMBAHAGIAN HUKUM AKAL

7.Ketahuilah saudaraku yang mulia,

Hukum akal itu ada tiga jua.

8.Yang pertama wujub dan yang kedua,

Istihalah serta jawaz jangan lupa.

9.Jika kamu tidak tahu tentang ia,

Jangan marah jika kamu dipanggil gila.

10.Mengetahui tentang Allah yang maha mulia,

Wajib syarak atas mukallaf sempurna.

11.Sifat rasul dan anbiya jangan leka,

Tanpa mereka kita tiada apa-apa.

12.Wajib akal kena faham maksudnya,

Perkara yang tak terima nafi padanya.


13.Mustahil akal pula tidak menerima,

Pada zatnya Thubut lawan yang pertama.

14.Dan perkara yang terima keduanya,

Penafian atau Thubut Jai`z jua.

BAHAGIAN PERTAMA : AL-ILAHIYYAT


(KETUHANAN)

15.Ketahuilah wahai saudaraku semua,

Sifat wajib bagi Allah itu ada.

16.Dua puluh sifat janganlah dilupa,

Ajar anak isteri jua keluarga.

17.Yang pertama sifat wujud sebutannya,

Sifat nafsiah ditunjuk pada zat-Nya.


18.Kemudian lima sifat salbiah,

Qidam,baqa dan juga wahdaniah

19.Pada zat-Nya pada sifat jua fe`el,

Ambil faham biar reti jangan degil.

20.Jua mukholafah Allah taala,

Dengan makhluk tidak sama tak serupa.

21.Berdiri zat-Nya dengan makna tidak ada,

Menumpang ia juga tiada pencipta-Nya.

22.Sekarang mari kita ambil faham pula,

Dengan tujuh sifat ma`ani baginya.

23.Yang pertama Qudrah adalah ia ,

Berta`alluk pada segala mumkin jua.

24.Irodah pula kehendak ia atas segala,

Perkara mumkin ada ia atau tiada.


25.Fahamilah wahai saudaraku semua,

Setiap yang dikehendaki-Nya berlaku jua.

26.Arahan itu berbeza dengan Irodah,

Jangan keliru dengan faham Muktazilah.

27.Ilmu Allah serta Kalam-Nya yang mulia,

Berta`alluk dengan segala perkara jua.

28.Berbeza dengan Sama’ jua Basornya,

Ta’alluk ia pada perkara maujud saja.

29.Yang terakhir sifat Ma`ani bagi-Nya,

Sifat Hayat tiada ta`alluk pada-Nya.

30. Dan kesemua sifat ini qodimah,

Ada pada zat-Nya yang Maha Gagah.

31. Maknawiyah pula lazim bagi malzumnya,

Siapa ingkar jatuh kafir hukumnya.


32.Serta harus bagi Tuhan Maha Kuasa,

Menjadikan meniadakan bahagia celaka.

33.Jika kamu dengar ada yang berkata,

Wajib bagi dia buat baik saja.

34.Perkataan sebegini buruk adab,

Denga Allah Maha Esa jangan biadab.

35.Melihat Allah itu pasti wahai akhi,

Di akhirat bukan di dunia ini,

36.Di dunia hanya untuk Nabi-Nya,

Bukan untuk mata kita yang hina.

37.Berpeganglah dengan perkara ini,

Jangan goyang jangan goyah sampai mati.

38.Dan mustahil bagi Allah Jalla `Ala,

Lawan bagi sifat-Nya yang Maha Mulia.


BAHAGIAN KEDUA : AN-NUBUWWAH
(KENABIAN)

39.Sifat wajib bagi para Rasul itu,

Ada empat tiada kurang dari itu.

40.Yang pertama para Rasul itu ismah,

Yang dikenal juga dengan amanah.

41.Yang kedua sifat benar tiada dusta,

Dikurniakan mukjizat dari Yang Kuasa.

42.Yang ketiga menyampaikan yang diarah,

Tanpa sembunyi walaupun satu ayah (ayat).

43.Yang keempat bijaksana tiada cela,

Tiada bodoh tiada lalai tiada alpa.


44.Beradablah dengan mereka semua,

Moga beroleh syafaatnya disana.

45.Ada satu sifat harus baginya,

Menjalani kehidupan manusia.

46.Asal tiada kekurangan padanya,

Jadi contoh tauladan buat kita.


BAHAGIAN KETIGA : AS-SAM’IYYAT ( PERKARA –
PERKARA GHAIB)

47.Wahai saudara ambillah perhatian,

Pada ini bahagian buat bekalan.

48.Setiap yang didengari dari Rasul,

Wajiblah beriman janganlah tersasul.

49.Soal kubur kebangkitan jangan lupa,

Akan dilalui oleh semuanya.

50.Perhimpunan Perhitungan tiada dusta,

Siapa ingkar tiada peluang yang kedua.

51.Segala puji bagi Tuhan alam semesta,

Selawat salam buat Junjungan yang tercinta.


52.Tamat sudah nazhom ini wahai saudara,

Salah silap mohon ampun segala dosa.

53.Berkat Junjungan mulia pengubat duka,

Ditutupi segala kekurangan yang ada.

‫والحمد لله رب العالمين‬

Selesai menulis nazhom yang diberi nama Al-Iqdu al-


Farid fi Manzumah At Tauhid karangan Al Faqir ila
afwihil Karim Turab Tahta Aqdamil Ulama wal Auliya
Muhammad Nazrul Abdul Nasir Al Azhari Al Qadahi
pada hari Arafah 9 zulhijjah 1439 H bersamaan 20 ogos
2018

Anda mungkin juga menyukai