Anda di halaman 1dari 10

1.

Ciri-Ciri Kepemimpinan Pengetua / Guru Besar Yang Berkesan


Pada Masa Depan
Sebenarnya adalah sukar untuk menentukan ciri-ciri pengetua/guru besar yang
berkesan pada masa depan, kerana seseorang pengetua yang berjaya menjadi
pemimpin yang baik di sesebuah sekolah pada hari ini belum tentu akan berjaya
menjadi pemimpin yang baik di sekolah lain pada masa depan. Mengikut Stoner
(1989: 552), seseorang individu yang merupakan pemimpin yang efektif dalam satu
situasi mungkin berprestasi paling buruk dalam satu situasi yang lain. Walau
bagaimanapun, terdapat beberapa pendapat tentang ciri-ciri pengetua berkesan
atau cemerlang. Menurut Abas Awang (1999), pengetua yang berkesan memiliki ciri-
ciri profesional seperti berikut:
i.Mengenali penyakit (masalah persekolahan).
ii.Mengenal pasti ubatnya (penyelesaian masalah).
iii.Mengetahui tempoh memerlukan rawatan (jangka masa masalah dapat
ditangani).
iv.Mempunyai etika yang tinggi.
v.Memahami teori-teori yang berkaitan dengan kerjanya.
vi.Berilmu.
vii.Berkemahiran dalam bidang tugasnya.
viii.Bersikap positif dan yakin.
Beliau seterusnya mengutarakan pelbagai kemahiran yang perlu ada pada
seseorang pengetua yang berkesan iaitu kepimpinan pengajaran yang berkesan,
pengurusan kurikulum, ko-kurikulum, sumber dan kewangan, perancangan strategik,
kemahiran berkomunikasi, memotivasi, pemantauan, penilaian, membuat keputusan,
TQM dan ISO 9000.
Melalui kemahiran-kemahiran ini, pengetua akan mempunyai piawai dalam
pengurusannya dan ada fokus untuk dilaksanakan. Manakala mengikut Institut
Aminuddin Baki (1998), berdasarkan (mesyuarat Gerakan Pengetua Berkesan pada
5 Mac 1998) mengatakan bahawa ciri-ciri pengetua/guru besar yang berkesan
mengikut model Malaysia adalah seperti berikut:-
a. Mengamalkan cara berkomunikasi yang cekap.
b. Prihatin terhadap hubungan kemanusiaan.
a. Prihatin dan peka tentang perbezaan budaya dan adat resam
masyarakat.
c. Mempunyai wawasan yang jelas.
d. Berjaya mewujudkan persekitaran pendidikan yang dinamik.
e. Menerima tugas sebagai satu profesion.
f. Membuat keputusan secara konsensus.
g. Memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat
h. Ketrampilan lain
(i) Ketrampilan pentadbiran
 menganalisis masalah secara berkesan
 membuat pertimbangan yang saksama
 mengurus dan membuat keputusan
(ii) Ketrampilan peribadi
 menilai pendidikan secara jelas
 mempunyai minat dan motivasi yang tinggi
 menjaga perawakan diri
Bagi menghadapi cabaran-cabaran dan harapan pada masa depan, di mana dunia
pendidikan akan terus berubah sesuai dengan kemajuan zaman dan dunia tanpa
sempadan, ‘langit terbuka’, penggunaan komputer dan teknologi maklumat di
sekolah, ditambah pula dengan seribu satu macam kerenah pentadbiran, guru dan
masalah pelajar, maka pengetua yang berkesan pada masa depan hendaklah
mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

i.Mempunyai kualiti kepimpinan.


ii.Mempunyai kemahiran dan berketrampilan dalam bidang teknikal,
kemanusiaan, pendidikan, budaya dan simbolik.
iii.Berwawasan, kreatif dan inovatif.
iv.Mempunyai kemahiran komunikasi dan motivasi.
v.Mempunyai kemahiran membuat keputusan dan penyelesaian masalah.
vi.Mempunyai kecergasan fizikal dan kestabilan emosi
vii.Beriman dan bermoral.

4.1 Kepimpinan Yang Berkualiti


Pengetua/guru besar yang berkesan perlu mempunyai kepimpinan yang berkualiti.
Menurut Azmi Zakaria (1996), pengetua yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri
kualiti kepimpinan seperti berikut:
i.Kemahuan yang tinggi untuk memimpin dan tabah bertindak menghadapi
cabaran.
ii.Pintar dan berinisiatif tinggi.
iii.Berwawasan dan mempunyai matlamat yang jelas mengenai organisasi dan
pengajaran.
iv.Bekerja keras dan menjadi contoh yang baik kepada staf yang lain.
v.Memberi peluang kepada guru menonjolkan kepimpinan mereka.
vi.Mengetahui batasan kepimpinan formal dan tidak formal seperti kemahiran
interpersonal, ramah dan baik hati.
vii.Proaktif dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugas.
Oleh itu, pengetua yang berkesan pada masa depan boleh menghadapi cabaran
dan masalah-masalah sekolah secara profesional dan berkesan. Mengikut Edmonds
(1979), kepimpinan pengetua yang berkesan membolehkan "principals can make
difference". Manakala Mortimore (1995), mengatakan salah satu faktor sekolah
berkesan ialah pengetua yang mempunyai kepemimpinan profesional (professional
leadership) iaitu pengetua yang mempunyai sikap yang tegas dan bermatlamat. Ia
juga mengamalkan pendekatan bersama dan permuafakatan rumah-sekolah seperti
dalam soal-soal pembelajaran pelajar dan membuat keputusan. Kepemimpinan
profesional juga menekankan keunggulan pengetua itu sendiri sebagai pemimpin
untuk menangani pelbagai masalah di sekolah.

2. Berkemahiran dan Berketrampilan (Competent Leader)


Pengetua yang berkesan perlu mempunyai pelbagai kemahiran dan ketrampilan
supaya dapat menjalankan tugas sebagai pemimpin sekolah yang berkesan.
Ketrampilan ini boleh membantu pengetua menangani cabaran-cabaran dan
harapan-harapan yang diminta oleh majikan, ibu bapa dan pelajar yang terdapat di
sekolah. Mengikut Sergiovani (1995: 85), seseorang pengetua yang berkesan perlu
mempunyai lima kemahiran iaitu:
i.Kemahiran teknikal.
ii.Kemahiran manusia.
iii.Kemahiran pendidikan.
iv.Kemahiran simbolik.
v.Kemahiran budaya.
Kemahiran teknikal bermaksud pengetua boleh memainkan peranan sebagai
jurutera pengurusan (management engineer) (Sergiovani, 1995: 93). Ia perlu cekap
dan mahir dalam memanipulasi strategi dan keadaan untuk menjamin keberkesanan
yang maksimum dan optimum dalam menyelesaikan masalah seperti pengajaran-
pembelajaran, disiplin pelajar, kekurangan komitmen guru dan sebagainya.
Kemahiran ini termasuklah kemahiran merancang (planning), pengelolaan
(organizing), penjadualan (schedule dan penyelarasan (coordinating), tentang
takwim, masa, dan organisasi sekolah.
Kemahiran manusia bermaksud pengetua berkesan berperanan sebagai jurutera
manusia (human engineer) (Sergiovani, 1995: 93). Ini bermakna pengetua perlu
mempunyai kemahiran kemanusiaan yang tinggi, mahir dan cekap dalam aspek
perhubungan manusia seperti perhubungan individu dan mampu memotivasikan
stafnya. Salah satu masalah yang dihadapi di sekolah pada masa kini ialah
kurangnya wujud hubungan baik dan mesra antara pengetua dengan guru, guru
dengan guru, dan guru dengan pelajar. Selain itu, wujudnya masalah seperti kurang
komitmen, ketidakhadiran bertugas dan perasaan ‘burn out’ di kalangan guru-guru
juga menggambarkan pengetua kurang berjaya dalam memotivasi guru-gurunya.
Bagi menangani masalah ini, pengetua perlu mempunyai kemahiran motivasi untuk
membina dan mengekalkan moral yang tinggi di kalangan staf dengan memberi
penghargaan, sokongan, menggalakkan serta melibatkan stafnya dalam membuat
keputusan.
Kemahiran pendidikan bermaksud, seseorang pengetua adalah menjadi
pemimpin atau pengamal klinik "Clinical Practitioner’ (Sergiovani, 1995: 93). Ini
bermakna seseorang pengetua yang berkesan mesti pakar dalam pendidikan. Ia
bertindak sebagai pakar rujuk dalam kurikulum, pengajaran-pembelajaran,
penggunaan alat bantu mengajar, diagnosis keperluan, penilaian dan membuat
pencerapan pengajaran guru dalam kelas. Kemahiran ini penting bagi menangani
masalah berkaitan dengan pengajaran-pembelajaran guru dan pelajar dan pengetua
sepatutnya bertindak sebagai ‘super teacher’ kepada guru dan pelajarnya.
Kemahiran simbolik bermaksud pengetua sebagai ketua atau ‘chief’ (Sergiovani,
1995: 93), di mana pengetua yang berkesan akan berada di sekolah sepanjang
masa, membuat ‘rondaan’ di kawasan sekolah, melawat bilik darjah, mengenali dan
mengetahui masalah pelajar, mewujudkan perpaduan bagi mencapai visi dan misi
sekolah, mengetuai upacara rasmi di sekolah. Melalui kemahiran ini, pengetua dapat
menangani masalah yang berlaku di sekolah seperti masalah dalam bilik darjah,
masalah disiplin pelajar dan kelakuan yang tidak sihat.
Kemahiran budaya bermaksud, seseorang pengetua adalah memainkan
peranan sebagai ‘high priest’ (Sergiovani, 1995: 93). Ini bermakna pengetua perlu
mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang
dapat menjadi sekolah berkesan. Peranan pengetua termasuklah mewujudkan visi
dan misi sekolah, mewujudkan simbol-simbol sekolah, mewujudkan sosiolisasi di
antara guru dengan pelajar, dan mengadakan upacara memberi hadiah atau
penghargaan kepada guru dan pelajar yang telah mencapai kejayaan.
Melalui kemahiran ini pengetua dapat mewujudkan budaya sekolah atau sekolah
berwatak yang perlu diikuti oleh guru-guru dan pelajar-pelajar bagi menangani
masalah disiplin pelajar.

2. Berwawasan, Kreatif dan Inovatif

Seorang pengetua yang berkesan mestilah mempunyai wawasan dan sanggup


mengambil risiko terhadap tindakannya. Salah satu sebab sekolah kurang berkesan
dan timbulnya pelbagai masalah di kalangan guru dan pelajarnya ialah kerana
pengetua tidak mempunyai wawasan. Jika adapun, wawasan itu tidak disampai dan
dijelaskan kepada guru dan pelajarnya. Mengikut Hussein (1993: 163), wawasan
dikatakan sebagai gambaran mental masa depan yang hendak dicapai. Ia meliputi
rasional, matlamat, arah hala dan keutamaan yang mendorong dan memberi tenaga
kepada guru dan pelajar untuk mendapat hasilan yang dicita-citakan. Untuk
membolehkan seseorang pengetua itu merealisasikan wawasannya, ia perlu
sentiasa dinamik, kreatif dan inovatif serta inginkan perubahan. Pengetua yang
berkesan juga perlu menjelaskan kepada guru dan staf lain serta pelajar, ibu bapa
dan masyarakat sekitar tentang matlamat dan wawasan sekolahnya. Dengan cara
ini, masalah kurangnya hubungan, sokongan dan komitmen daripada guru, pelajar
dan masyarakat terhadap sekolah dapat ditangani dengan mudah dan berkesan.

3. Kemahiran Berkomunikasi dan Bermotivasi

Pengetua yang berkesan harus mempunyai kemahiran berkomunikasi dan


motivasi. Berlakunya beberapa masalah di kalangan guru dan pelajar, sekolah
dengan agensi luar seperti masyarakat kerana komunikasi tidak jelas dan
pendekatan yang digunakan oleh pengetua kurang sesuai. Oleh itu, pengetua perlu
memahami, proses, pola dan saluran komunikasi yang betul supaya maklumat dapat
disampaikan dan diterima oleh guru, pelajar dan ibu bapa. Mengikut A.L. Ramaiah
(1999: 115), seseorang pengetua yang mahir dalam proses komunikasi adalah
pengetua yang sedar serta peka terhadap pelbagai halangan kepada komunikasi,
sentiasa bertindak mendengar secara aktif, dan sebagai pemberi maklum balas
yang mahir. Pengetua yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik akan
dapat menangani pelbagai masalah ketidakjelasan matlamat, kurangnya komitmen
dari guru dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Selain itu, masalah jurang
komunikasi antara pengetua dengan pelajar dan masyarakat dapat dikurangkan.
Selain kemahiran berkomunikasi, pengetua yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri
sebagai seorang’motivator’ dan kaunselor di sekolah. Motivasi boleh didefinisikan
sebagai penggerak atau pendorong untuk sesuatu tingkah laku supaya menjadi
bertenaga dan bertujuan (Zaidatul Akmaliah, 1999: 108). Kemahiran motivasi
penting bagi membolehkan pengetua berhadapan dengan pelbagai masalah guru
dan pelajar di sekolah. Biasanya masalah yang dihadapi oleh pengetua di sekolah
ialah bagaimana untuk mempengaruhi dan memotivasi pekerja supaya bekerjasama
dalam usaha mencapai visi sekolah, iaitu untuk menjadi sekolah berkesan.

4. Kemahiran Membuat Keputusan dan Menyelesaikan


Masalah
Kemahiran membuat keputusan dan menyelesaikan masalah adalah satu lagi ciri
yang perlu dimiliki oleh pengetua yang berkesan dalam menangani pelbagai
masalah di sekolah. Sebarang masalah yang dihadapi sama ada yang melibatkan
guru, pelajar, masyarakat dan pihak berkuasa pendidikan memerlukan penyelesaian
masalah yang cepat dan betul. Mengikut Lunenburg (1995: 116), proses membuat
keputusan di sekolah melibatkan enam peringkat iaitu:
i.Mengenal pasti masalah.
ii.Mengenal pasti alternatif.
iii.Menilai alternatif.
iv.Memilih alternatif yang sesuai.
v.Melaksanakan keputusan.
vi.Menilai keberkesanan keputusan yang telah dibuat.
Mengikut Lunenburg (1995) lagi, pengetua perlu melibatkan guru dan pelajar
dalam membuat keputusan bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah, manakala
Hussein Mahmood (1993: 1124) penglibatan para guru dalam membuat keputusan
mempunyai kaitan yang signifikan dengan rasa puas hati bekerja, tanggapan positif
di kalangan guru terhadap kepimpinan pengetua dan pencapaian akademik yang
tinggi.

2. Kecergasan Fizikal dan Kestabilan Emosi

Pengetua yang berkesan juga perlu mempunyai personaliti yang sesuai iaitu dari
segi fizikal dan emosi. Dari segi fizikal ia perlu mempunyai tubuh badan yang sihat,
tidak cacat dan cergas. Pengetua yang tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik
didapati sukar menjalankan tugasnya dengan berkesan. Pengetua juga perlu
mempunyai tahap kecerdasan (IQ) yang tinggi dan kecerdasan emosi yang
seimbang (EQ Test). Kenyataan ini disokong oleh Keith Davis (1972) yang
mengatakan pemimpin (pengetua) hendaklah mempunyai kecerdasan IQ yang tinggi
daripada kecerdasan standard kakitangannya. Ciri ini penting bagi membolehkan
pengetua menangani masalah yang dihadapi secara rasional. Mengikut Keith Davis
lagi, pemimpin (pengetua) juga perlu mempunyai kematangan sosial iaitu matang
dan stabil dari segi emosi serta mempunyai konsep kendiri yang boleh diteladani
dan disanjung. Kajian yang dijalankan untuk melihat stres dan kepuasan kerja di
kalangan guru-guru di negara ini mendapati bahawa pengetua adalah antara
golongan yang mengalami stres pekerjaan berbanding dengan profesion lain.
Kecergasan fizikal yang terganggu dan ketidakstabilan emosi akan mempengaruhi
sikap dan tingkah laku pengetua terhadap tugas dan gaya kepimpinannya. Pengetua
yang terlalu emosional didapati lebih mudah mengalami stres dan sukar diajak
berunding. Mereka lebih cenderung mengamalkan gaya kepimpinan autokratik.
Manakala pengetua yang stabil emosinya lebih mudah diajak berunding dan
cenderung mengamalkan gaya kepimpinan demokratik.

3. Beriman dan Bermoral


Ciri-ciri pengetua yang berkesan tidak akan lengkap jika tidak mengambil kira dari
sudut keagamaan. Dari perspektif Islam, keunggulan seseorang pemimpin atau
pengetua seharusnya melibatkan ketinggian komitmen, moral dan akhlak.
Ketinggian moral dan akhlak sewajarnya dijadikan budaya sekolah di samping
mensepadukan kurikulum dan agama. Sebagai pemimpin sekolah, pengetua perlu
mempunyai rasa bertanggungjawab dan amanah terhadap tugas yang diberikan
kepada mereka. Selain daripada mempunyai kemahiran seperti yang telah
dihuraikan sebelum ini, pengetua juga perlu mempunyai "character" atau
keperibadian dan akhlak yang baik sehinga boleh dijadikan "uswatun hasanah"
(model terbaik).
Perkara ini juga selaras dengan Steven Covey (1990) yang mengatakan pemimpin
bermoral ialah pemimpin yang lebih menenangkan hati mereka secara perbincangan
moral dan rasional. Ia perlu mengamalkan konsep syura iaitu setiap pengetua perlu
menerima pandangan orang lain atau kakitangannya dengan berlapang dada dan
berhati terbuka dalam membuat keputusan. Oleh itu, sebagai pengetua sebarang
tindakan yang diambil untuk menangani masalah haruslah berdasarkan kepada nilai-
nilai kejujuran, keikhlasan, keadilan dan amanah terhadap tugas dan
tanggungjawab. Dengan mempunyai ciri-ciri ini, pengetua akan dapat menangani
masalah di sekolah dalam keadaan menang-menang (win-win).

1. Cadangan dan Saranan Untuk Pemilihan dan Lantikan Jawatan


Pengetua/Guru Besar Pada Abad Ke 21 Ini
Di bawah ini adalah cadangan dan saranan untuk memperbaiki pemilihan dan
lantikan pengetua/guru besar sekolah dan dicadangkan juga jawatan pengetua
dinaikkan taraf sesuai dengan beban tugas dan tanggungjawab pengetua di sekolah
pada abad ini.
5:1 Semua sekolah menengah Gred A, seharus dinaikkan pangkat daripada
Jawatan Pengetua DG2 kepada Jawatan Pengetua DG1 selaras dengan beban
tugas yang dijalankan oleh pengetua pada hari ini. Walau bagaimanapun, dalam
perlantikan jawatan Pengetua DG1, hendaklah berdasarkan kepada kelulusan
(Masters dan Ph.D.), pengalaman, dan ciri-ciri pengetua yang berkesan seperti yang
dicadangkan di atas.
5:2 Bagi sekolah menengah Gred B, seharusnya disandang oleh pengetua
berjawatan DG2. Walau bagaimanapun, bagi menjalankan tugas-tugas sebagai
pengetua, seharusnya diberi elaun tanggung kerja di antara RM450 – RM650. Ini
untuk membezakan gaji dan beban tugas pengetua DG2 dengan guru-guru biasa
DG2 (lantikan melalui time base).
5:3 Bakal-bakal pengetua/guru besar yang telah menghadiri Kursus National
Professional Qualification Headship (NPQH) dari IAB dan dari Institut Pengetua,
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, hendaklah terus dilantik ke jawatan
Pengetua/Guru Besar di sekolah menengah Gred B atau rendah Gred A dengan
elaun tanggungan kerja, jika ada kekosongan jawatan dan tanpa menunggu
kekananan jawatan. Ini disebabkan latihan-latihan yang diberikan kepada mereka ini
tidak akan dapat diamalkan di sekolah sebagai pengetua/guru besar jika tidak terus
dilantik.
5:4 Jawatan Guru Besar Gred A di sekolah rendah seharusnya dipegang oleh guru-
guru siswazah yang telah menghadiri kursus NPQH, dengan diberi elaun
tanggungan kerja. Jawatan Guru Besar di sekolah rendah Gred B seharusnya
dipegang oleh guru-guru DG4 atau DG5.
5:5 Pengetua/guru besar yang dilantik dan yang memegang jawatan di sekolah
hendaklah terdiri daripada mereka yang berumur 35 – 45 tahun, kerana mereka ini
masih bertenaga, berinovatif dan kreatif dalam mengubah dan memajukan sekolah
untuk menjadi sekolah berkesan.
6. Jawatan Pengetua seharusnya dipegang oleh mereka yang
mempunyai keluusan Master atau Ph.D. serta telah menghadiri kursus NPQH
di IAB.
Kesimpulan
Dalam menangani permasalahan yang semakin kompleks di sekolah-sekolah pada
abad ke 21 ini, pengetua/guru besar seharusnya mempunyai ciri-ciri seperti:
mempunyai kualiti kepimpinan, mempunyai kemahiran dan berketrampilan dalam
bidang teknikal, kemanusiaan, pendidikan, budaya dan simbolik, berkemahiran
dalam komunikasi, motivasi, membuat keputusan dan penyelesaian masalah. Selain
itu, ia mesti mempunyai kecergasan fizikal dan kestabilan emosi, beriman dan
bermoral. Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan seharusnya memberikan
ganjaran yang setimpal dengan beban tugas dan tanggungjawab yang semakin
kompleks yang dipikul oleh pengetua pada abad ke 21 ini.

Anda mungkin juga menyukai