Anda di halaman 1dari 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Menemui anakanda calon UPSR 2017 SK Taman Scientex yang bonda kasihi sekalian. Warkah ini
bonda tujukan khas buat anakanda yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada 11 hingga 14
September 2017 nanti. Moga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan berada dalam
kesejahteraan. Doa bonda setiasa mengiringi kalian. Harapnya anakanda sekalian telah bersedia
dari segi mental dan fizikal untuk berjuang dalam peperiksaan yang bakal tiba kelak.

Warkah dikirim sebagai pengganti diri bonda dalam mengiringi perjuangan anakanda
menghadapi peperiksaan UPSR. Warkah ini bukti sayangnya bonda pada kalian. Warkah diutus
bersama harapan dan kasih tulus buat anakanda sekalian. Ketahuilah bahawa besarnya harapan
bonda untuk melihat anakanda sekalian berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang.
Keputusan yang bukan sahaja bakal menggembirakan diri anakanda, keluarga malah seluruh warga
sekolah. Keputusan yang bakal memotivasikan anakanda untuk terus maju dan berjuang dalam
hidup.

Anakandaku sayang,

Ketahuilah bahawa kehidupan ini penuh dengan cabaran. Anakanda perlu menjadi orang
berjaya untuk hidup selesa. Namun, kejayaan tidak akan datang sendiri tanpa kita usaha. Setiap
usaha itu perlu hadir bersama matlamat yang ingin dicapai. Tanpa matlamat, kita tidak tahu arah
yang ingin dituju. Maka, untuk berjaya dalam hidup anakanda perlulah rajin dalam mencari ilmu.
Dengan adanya ilmu pengetahuan kita dapat merubah kehidupan kita menjadi lebih baik. Dengan
ilmu pengetahuan juga kita tidak akan mudah ditindas. Janganlah anakanda bersikap mudah
berputus asa. Sifat putus asa dan bertangguh hendaklah dibuang jauh-jauh daripada diri anakanda.
Bersungguh-sungguhlah dalam mencari kejayaan kerana orang yang bersungguh-sungguh
merupakan orang yang pantas mendapatkan kemenangan.

Sedarilah anakanda sekalian bahawa tiada siapa yang paling pandai dan paling bodoh di
dunia ini kerana setiap yang pandai itu boleh menjadi bodoh dan setiap yang bodoh itu boleh
menjadi pandai. Jika ada kemusykilan, tanyalah pada yang mahir. Anakanda janganlah malu
bertanya. Benarlah usaha itu tangga kejayaan tetapi jika tiada kesungguhan dan niat bukan kerana
Allah, samalah seperti anda menggunakan tangga untuk turun ke bawah kerana orang yang
cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang
tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya.

Anakandaku sayang,

Ketika warkah ini dibaca, bonda sedar bahawa peperiksaan semakin hampir menjelma.
Namun, anakanda perlu berusaha sehingga ke garisan penamat. Anakanda janganlah leka dengan
perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Mohonlah restu dan sokongan daripada ibu bapa, keluarga
dan para guru. Berbuat baiklah pada orang di sekeliling kita. Tinggalkanlah perkara-perkara yang
lalai. Sentiasalah mohon kemaafan daripada orang di sekeliling anakanda. Berdoalah pada pencipta
kita. Berusahalah, berdoalah dan bertawakallah dalam mengharungi peperiksaan ini. Jaga
kesihatan, jaga diri dan jaga hati. Moga kejayaan milik anakanda sekalian.

Akhir kata Selamat menduduki peperiksaan UPSR. “StaSC Memacu Kecemerlangan” Semoga
berjaya dengan cemerlang.

Salam sayang,
BONDA
(RAMLAH BINTI OTHMAN)

Anda mungkin juga menyukai