Boleh di katakan proses penyenggaraan ini melibatkan 10% kemahiran mekanikal, 30%
kemahiran teknikal, dan 60% nasib. Kini, industri senggaraan sistem komputer telah dengan
berkembang dengan pesatnya, sejajar dengan perkembangan industri perkomputeran
dengan pulangan keuntungan bernilai jutaan ringgit. Pengguna-pengguna korporat lazimnya
berbelanja ribuan ringgit setiap bulan untuk tujuan pentadbiran dan penyenggaraan sistem
komputer syarikat mereka. Walaupun tugas penyenggaraan bukannya mudah, namun ia
adalah cabaran yang amat ‘menyeronokkan’.
Proses penyenggaraan adalah amat penting. Selain mengatasi kegagalan sistem apabila
kerosakan berlaku, senggaraan yang berjadual juga mampu mengelakkan kegagalan sistem
yang teruk sebelum ia benar-benar berlaku. Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat.
Baik pulih belum tentu dapat membaiki sistem yang rosak, sebaliknya pencegahan sejak
peringkat awal melalui penjadualan senggaraan mampu mengelakkan daripada berlakunya
kerosakan sistem.
Cegahan adalah kaedah pertahanan pertama bagi mengelakkan kegagalan atau kerosakan
sistem komputer. Kegagalan atau kerosakan biasanya adalah berpunca daripada keadaan
persekitaran di mana sistem komputer itu ditempatkan. Oleh itu, perancangan jadual
penyenggaraan yang rapi adalah perlu.
Cegahan Aktif
Pencegahan aktif adalah prosedur yang dilakukan bagi menjadikan PC tahan lebih lama dan
kurang bermasalah. Kaedah pencegahan ini melibatkan pembersihan sistem dan
komponennya secara berkala. Teknik ini melibatkan aktiviti pembersihan komponen,
mengemaskini pemasangan cip dan penyambung, serta format semula cakera keras
(harddisk).
Kekerapan teknik pencegahan aktif perlu dilakukan bergantung kepada keadaan persekitaran
dan kualiti komponen sistem. Sekiranya persekitaran sistem terlalu kotor atau berhabuk,
seperti dalam persekitaran bermesin, berjentera berat atau stesen minyak, anda mungkin
perlu membersihkan sistem anda sekurang-kurangnya setiap tiga bulan atau kurang. Bagi
persekitaran biasa seperti dipejabat pula, pembersihan yang dilakukan pada setiap bulan
ataupun setahun sudah memadai.
Selain itu, prosedur pencegahan ini juga melibatkan aktiviti ‘backup’ ( pendua salinan) data
dan persekitaran kritikal seperti sektor boot, jadual sistem FAT, dan struktur direktori cakera
keras. Anda juga harus ‘defragment’ (aktiviti penyusunan fail) cakera keras sekurang-
kurangnya sebulan sekali bagi mengekalkan kelancaran dan kelajuan fungsi cakera keras.
Cegahan Pasif
Pencegahan pasif adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi sistem daripada
gangguan persekitaran, seperti menggunakan perkakasan perlindungan bekalan kuasa (bagi
membekalkan kuasa yang bersih, stabil serta suhu yang terkawal), dan mengelakkan gegaran
keterlaluan ke atas sistem. Dalam kata lain, pencegahan pasif bermakna anda melayan sistem
anda dengan baik.
Pencegahan pasif melibatkan penjagaan sistem melalui penyediaan persekitaran terbaik buat
sistem – fizikal dan elektrikal. Perlindungan fizikal termasuk memastikan suhu persekitaran
sistem adalah baik, aliran udara dan haba yang baik, bebas daripada pengumpulan habuk dan
asap, serta bebas hentakan dan gegaran. Perlindungan letrik pula melibatkan aktiviti
perlidungan daripada ESD (electrostatic discharge), hingar talian kuasa, dan gangguan
frekuensi radio.
Perlindungan Data
Komputer yang kita gunakan di dalam rumah lazimnya menyimpan data-data yang amat sulit
dan berbentuk peribadi. Bagi sektor korporat pula, sistem komputer digunakan bagi tujuan
memproses dan menyimpan data-data yang amat kritikal kepada syarikat. Data-data ini
kadang-kala bernilai ribuan malahan jutaan ringgit; dan kadangkala tidak ternilai harganya.
Kerosakan sistem kadang kala boleh membawa kepada kehilangan data. Oleh itu, proses
‘backup’ / perlindungan data adalah antara proses yang paling penting dalam proses
senggaraan.
Dalam topik ini, kita akan hanya menyentuh berkenaan proses membina salinan data. Proses
salinan data ini boleh dilaksanakan ke dalam beberapa medium seperti:
1. Cakera liut (disket)
2. Cakera padat (CD-R,CD-RW, DVD-R, DVD-RW, DVD-RAM)
3. Cakera keras (harddisk)
4. Memori Flash (thumb-drive, pen-drive, usb-drive, dll.)
Sebagai seorang penyenggara, anda perlu tahu kesemua kaedah ini. Anda juga perlu ingat
bahawa cakera keras (harddisk) adalah antara komponen paling penting sistem komputer!
Sekiranya anda membaiki / menyenggara komputer, pastikan anda membuat salinan bagi
cakera keras tersebut. Kebanyakan penyenggara dari kedai-kedai komputer sering
mengambil jalan mudah dengan meng-‘format’ cakera keras pengguna dan meng-‘install’
Windows baru tanpa mempedulikan data-data yang ada di dalamnya.
*inkripsi = ubah kepada bentuk yang terkod / tidak dapat dibaca dengan cara biasa
Pembersihan Perkakasan
Tujuan pembersihan adalah bagi mengelakkan gangguan akibat kehadiran habuk atau lain-
lain bahan yang boleh mengganggu kelancaran sistem. Walaupun nampak leceh dan kecil,
tugas ini masih penting sebagai satu daripada aktiviti senggaraan.
Anda juga perlu ingat bahawa sistem komputer dibina dengan pelbagai cip-cip yang sangat
sensitif kepada lembapan dan ‘elektrostatik’. Elektrostatik adalah cas-cas kecil yang lazimnya
terhasil daripada geseran dua bahan yang berlainan (seperti geseran kain baldu dengan rod
kaca). Oleh itu, proses pembersihan ini perlu dilakukan menggunakan alat-alat yang sesuai.
Seorang penyenggara yang cekap dan professional selalunya akan melakukan catatan rekod
dan dokumentasi khas bagi segala tugas yang telah dilaksanakannya. Selain memudahkan
perjalanan kerja, ia juga boleh dijadikan bukti kejujuran dalam melaksanakan tugas seharian.