Anda di halaman 1dari 8

TATACARA DISIPLIN MURID PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN

( DISIPLIN SEKOLAH ) 1959

1.0 PENDAHULUAN

Sekolah bukanlah sebagai badan pengajar sahaja. Ia mempunyai tujuan mendidik


dalam ertikata yang lebih luas. Murid-murid sepatutnya mendapat bukan sahaja pengetahuan
dan kebolehan intelektual yang diuji melalui peperiksaan, tetapi juga kebolehan intelektual,
mutu moral dan social secara amnya, di mana ketiga-tiga aspek ini tidak diuji secara formal.

2.0 PIHAK BERKUASA DISIPLIN

Peraturan 4, dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, Guru


Besar adalah orang yang bertanggungjawab ke atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu,
mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid di sekolah itu.

Walau bagaimana pun, di bawah peraturan-peraturan tersebut Guru Besar


diperuntukkan untuk menurunkan kuasa disiplin dan kuasa menjalankan hukuman kepada
guru-guru lain yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu dan dalam menurunkan kuasa itu
tertakluk kepada syarat-syarat atau had-had yang difikirkannya patut.

Selain Guru Besar, Pendaftar Sekolah atau Pendaftar Besar juga diberi kuasa bagi
menjaga disiplin di sekolah-sekolah. Apabila menerima perintah bertulis sama ada dari
Pendaftar Sekolah atau Pendaftar Besar, Guru Besar di bawah kuasa yang diberi oleh
Peraturan 6 dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, hendaklah segera
mematuhi perintah itu.

3.0 PERATURAN YANG HARUS DIPATUHI DALAM MENJALANKAN KUASA


DISIPLIN

3.1 Di samping kuasa dan budi bicara yang diberikan kepada pihak berkuasa
disiplin sepertimana yang diperuntukkan dalam undang-undang kecil, dalam
pelaksanaannya, pihak berkuasa disiplin haruslah mengamalkan keadilan.
Peraturan-peraturan yang lazimnya disebut sebagai ‘natural justice’ hendaklah
juga diberi perhatian.

3.2 Hak untuk didengar (hearing). Peraturan ini menentukan bahawa seseorang itu
mempunyai hak untuk dibicarakan iaitu hak untuk membela diri dan ini
merangkumi keseluruhan maksud prosedur yang adil sehinggalah dalam hal-
hal mengendalikan masalah kanak-kanak.

3.3 Peluang yang diberi haruslah munasabah. Seseorang itu haruslah mendapat
peluang yang menyatakan kesnya dan dia juga belum boleh didapati bersalah
atas sebarang salah laku yang membolehkan dia dihukum atau hukuman
berkenaan yang dicadangkan itu lebih berat dan melampau daripada apa yang
sepatutnya dia terima.

3.4 Walau bagaimana pun, pihak berkuasa disiplin tidaklah diharapkan bertindak
seperti di mahkamah. Sesuatu kes itu boleh didengar secara lisan atau
dimaklumkan secara bertulis dan ini bergantunglah kepada sifat dan beratnya
tuduhan itu.

4.0 LANGKAH-LANGKAH YANG HARUS DIAMBIL

4.1 Langkah Pertama bagi tindakan disiplin adalah menerima aduan.


Tanggungjawab Guru Besar adalah mempastikan kebenaran aduan itu dan
mempastikan sama ada kes itu bersabit (prima facie) atau tidak. Langkah
berikutnya adalah membuat siasatan awal serta mengumpul bukti serta
menentukan kebenaran dan bukti-bukti tuduhan.

4.2 Langkah Kedua membuat kesimpulan dari bukti-bukti untuk menjawab kes
bersabit (prima facie) itu. Sebelum mengenakan sebarang perintah hukuman,
peluang yang munasabah hendaklah diberi kepada murid itu untuk menafikan
kesalahannya dan menegakkan kebenarannya.

4.3 Langkah Ketiga haruslah diambil untuk membolehkan murid beri sebab (To
Show Cause) jika murid itu menafikan kesalahannya. Maksud beri sebab di sini
adalah pihak berkenaan itu diberi peluang untuk menyatakan kesnya, iaitu
untuk membela diri dan memberi bukti bahawa tuduhan-tuduhan yang
dihadapkan itu tidak betul.

4.4 Langkah Keempat mestilah diambil untuk membuat keputusan dan dapatan
Guru Besar.

4.4.1 Dapatan Guru Besar Sekiranya murid itu boleh memberi keterangan
yang memuaskan dan dia dapat membebaskan dirinya daripada tuduhan
yang dihadapkan kepadanya, maka Guru Besar boleh membuat
keputusan bahawa tuduhan itu tidak ada bukti dan tindakan selanjutnya
adalah tidak perlu.

4.4.2 Pengakuan atau Didapati bersalah Jika murid mengaku melakukan salah
laku, sebagai alternatif, selepas mendengar keterangan Guru Besar
mendapati bahawa tuduhan itu mempunyai bukti-bukti, maka dia
hendaklah membuat keputusan terhadap hukuman yang hendak
dikenakan terhadap pesalah itu.

5.0 FAKTOR ASAS YANG PATUT DIRANGKUMKAN DALAM DASAR GURU


BESAR TERHADAP HUKUMAN

Mengenai kesalahan-kesalahan yang terkumpul di bawah undang-undang jenayah


umum di mana jenayah yang diadukan itu tidak dilakukan dalam kawasan sekolah, walau pun
mengambil tindakan disiplin tidak dilarang, adalah lebih baik bagi Guru Besar menunggu
hasil keputusan mahkamah sebelum tindakan disiplin dikenakan.

5.1 Masalah Hukuman Adalah jelas berbagai-bagai salah laku mungkin berlaku di
sekolah, di mana hukuman-hukumannya tidak dapat ditentukan dengan
berpandukan kepada undang-undang sebab undang-undang telah meletakkan
kuasa mutlak kepada Guru Besar untuk memilih hukuman yang sesuai.
Setelah mendengar sesuatu kes itu, Guru Besarlah orang yang lebih memahami
akan fakta-fakta dan keadaan-keadaan dalam masa salah laku itu terjadi. Dialah
yang lebih menyedari akan sifat dan latar belakang murid yang melakukan
kesalahan itu.

Dengan itu, Guru Besarlah juga orang yang amat sesuai menentukan apakah
hukuman yang paling setimpal bagi sesuatu salah laku yang berkaitan.

Tindakan-tindakan disiplin kerana kesalahan yang dilakukan hendaklah


bersifat adil dan tegas supaya dengan tindakan-tindakan itu, murid dapat
dibimbing ke jalan yang menghindarkannya dari melakukan perbuatan-
perbuatan salah laku yang sama.

Dengan demikian dapatlah murid itu memahami perlunya ia berbudi bahasa,


bermurah hati, mempunyai keluhuran diri dan juga mempunyai sifat
merendahkan diri dan juga mempunyai aturan dan disiplin yang baik.

Faktor-faktor penting yang patut dijadikan asas dalam dasar Guru Besar
menyeragamkan tindakan mengenakan hukuman adalah seperti berikut ;

5.1.1 Beratnya Kesalahan Lebih serius salah laku itu maka lebih beratlah
hukuman yang dikenakan. Cara pemeringkatannya bergantung kepada
tujuan orang yang membuat kesalahan itu dan setakat mana perbuatan
itu membahayakan. Lebih kuat tujuan sesuatu perbuatan salah laku itu,
lebih meningkat bahaya yang didatangkan, maka lebih beratlah pula
hukuman yang patut diberikan.

5.1.2 Perwatakan dan latar Belakang Murid. Dalam menentukan apa


hukuman yang sesuai, Guru Besar tidak sepatutnya berpuas hati setakat
menyesuaikan hukuman dengan kesalahan. Pertimbangan hendaklah
diberi kepada perwatakan, sejarah dan latar belakang murid yang
melakukan kesalahan. Hukuman yang dikenakan tidak sepatutnya
disesuaikan dengan kesalahan tetapi juga kepada yang melakukan
kesalahan itu.

5.1.3 Kekerapan Kesalahan dan kesungguhan Murid Yang melakukannya.


Lebih kerap kesalahan itu berlaku atau lebih bersungguh-sungguh
murid itu melakukannya maka lebih beratlah hukuman yang boleh
dikenakan.

6.0 PENGERTIAN HUKUM

Hukuman boleh diertikan sebagai kuasa mengenakan hukuman yang menyakitkan bagi
sesuatu salah laku. Terdapat tiga unsur utama dalam pengertian hukuman ;

6.1 Ia hendaklah merupakan aspek hukuman yang bersifat memberi balasan


kepada sesuatu kesalahan yang telah dilakukan.
6.2 Hukuman hendaklah dikenakan oleh seseorang yang berkuasa ke atas yang
dihukum.
6.3 Hukuman melibatkan sesuatu yang tidak menyenangkan dikenakan ke atas
yang bersalah, ia boleh jadi tindakan fizikal bersifat positif yang menyakitkan,
atau menafikan sesuatu yang disukainya.

7.0 NILAI HUKUMAN

7.1 Pertimbangan hendaklah dibuat oleh Guru Besar tentang keperluan


mengenakan sesuatu hukuman yang boleh memberi kesan mencegah bukan
sahaja kepada mereka yang berkemungkinan melakukan kesalahan yang
serupa, tetapi juga kepada yang melakukan salah laku itu sendiri supaya
mereka tidak mengulangi salah laku itu. Satu system hukuman bersifat
mencegah adalah bergantung kepada beratnya hukuman itu.

7.2 Guru Besar juga hendaklah menimbangkan pemulihan sebagai satu unsur
hukuman iaitu hukuman yang dikenakan sesuai dengan yang bersalah. Dalam
memberi pertimbangan kepada hal ini, Guru Besar hendaklah jangan lupa akan
perlunya hukuman untuk salah laku yang telah dilakukan dan perlunya
hukuman itu menjadi sebagai pencegah kepada murid-murid lain yang
mungkin melakukan kesalahan yang serupa.

8.0 HUKUMAN YANG BOLEH DIKENAKAN

8.1 Pembuangan Seseorang murid yang telah melakukan salah laku atau
tingkahlaku yang mengganggu berulang-ulang kali dan didapati tidak berubah
selepas tindakan memulihnya diambil oleh Guru Besar atau tingkah lakunya
mendatangkan gangguan yang serius kepada murid-murid lain dan terhadap
keseluruhan disiplin sekolah, tindakan yang sesuai diambil ialah mengarahkan
pembuangannya dari sekolah.

8.2 Penggantungan Dalam keadaan di mana seorang murid itu berkelakuan liar dan
mengganggu sehingga perlu ia diasingkan dari sekolah manakala menunggu
hasil siasatan mengenai cara yang paling sesuai untuk menghadapinya, Guru
Besar boleh mengarahkan penggantungan persekolahan murid itu.
Penggantungan merupakan satu arahan di mana seseorang murid itu dilarang
dari memasuki kawasan sekolah atau menikmati sesuatau kemudahan sekolah.
Penggantungan adalah bersifat sementara sahaja dalam jangka masa yang
berpatutan.

8.3 Lain-lain Hukuman Biasa Dalam hal ini, Guru Besar dikehendaki
menggunakan budi bicaranya dengan bijak dalam mengenakan sebarang
hukuman yang difikirkan sesuai. Hukuman yang pada hemat orang ramai tidak
sesuai seperti yang berbentuk penyeksaan, cacian di khalayak ramai atau lain-
lain hukuman yang liar hendaklah dielakkan. Di antara hukuman-hukuman
biasa yang boleh dikenakan adalah seperti berikut ;

8.3.1 Hukuman Dera (corporal punishment) Hukuman dera (rotan) boleh


dikenakan (kecuali ke atas murid-murid perempuan) tertakluk kepada
syarat- syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran
(Disiplin Sekolah) 1959.
Di bawah peraturan ini [ Subperaturan 5 (1) ] menjelaskannya dengan
syarat bahawa ;

(a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang ;


dan

(b) hukuman dera kepada murid lelaki oleh seseorang guru atau
lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan
dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau pun di punggung
yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya
oleh Guru Besar atau pun dengan kuasa nyata yang diberi
olehnya dalam hal yang tertentu.

8.3.2 Penahanan ( detention ) Penahanan adalah untuk mengawal murid-


murid yang jahat ( delinquent ) supaya tingkah lakunya pada masa akan
dating diharap dapat dipengaruhi dan dibaiki dengan cara menafikannya
dari menikmati dan menggunakan masa lapangnya. Arahan penahanan
itu hendaklah menentukan masa dan jumlah jam seseorang itu ditahan.

8.3.3 Denda Dalam hal sama ada denda sebagai satu hukuman terpulanglah
kepada Guru Besar ingin mempertimbangkan secara teliti hubungan
antara denda dengan kemampuan seseorang murid untuk membayar
denda itu.

8.3.4 Amaran Amaran adalah sesuai apabila Guru besar, setelah


mempertimbangkan keadaan, jenis salah laku dan kelakuan murid yang
telah melakukan salah laku itu, berpendapat bahawa adalah kurang
wajar dikenakan hukuman yang lebih berat lagi.

9.0 HUKUMAN DERA ( CORPORAL PUNISHMENT )

Hukuman Dera yang dimaksudkan adalah Rotan, di mana boleh dikenakan ( kecuali ke
atas murid-murid perempuan ) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam
Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959. Hukuman Dera atau Rotan adalah
sangat berguna dan berkesan apabila dijalankan sebaik-baik sahaja sesuatu salah laku itu
dilakukan oleh murid.

Namun begitu ianya hendaklah dibuat setelah sesuatu salah laku itu telah dapat
disahkan. Kesan hukuman dera bukan hanya sebagai pencegah kepada yang lain tetapi yang
penting ialah kesannya ke atas yang melakukan kesalahan itu sendiri.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, hukuman dera


hendaklah dijalankan oleh Guru Besar sendiri atau oleh seorang guru yang berdaftar yang
telah diberikan kuasa oleh Guru Besar sama ada secara nyata atau khas iaitu mengikut
keadaan.

Adalah mustahak bagi Guru Besar yang menurunkan kuasa hukuman dera kepada guru
lain mempertimbangkan hubungan antara murid berkenaan dengan guru yang menjalankan
hukuman dera itu. Dalam hal mengenakan hukuman yang menyebabkan rasa sakit seperti
yang dibuat melalui hukuman dera, hukuman hanya dapat diterima jika murid itu mempunyai
perasaan suka atau sekurang-kurangnya hormat kepada guru yang menjalankan hukuman itu.
Murid yang berkenaan hendaklah diberi kesedaran bahawa hukuman dera itu adalah dibuat
untuk kepentingan dan kebajikannya sendiri.

Hukuman Dera hendaklah dijalankan dengan menggunakan rotan ringan dan pukulan
rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau di bahagian punggung yang dilapik dengan
pakaian. Guru Besar mestilah mencatatkan hukuman dera yang dikenakan dalam satu buku
rekod khas dan menyatakan bilangan pukulan yang dikenakan, bahagian anggota dirotan
(tapak tangan atau punggung) tarikh dan tandatangan Guru Besar dan seorang Guru yang
menjadi saksi.

Hukuman Rotan merupakan salah satu pilihan hukuman yang boleh dibuat oleh
Pengetua dan Guru Besar bagi mengawal disiplin murid di sekolah. Hukuman ini yang
kadang-kadang dilihat sebagai keterlaluan oleh sesetengah pihak, namun ianya masih
diperlukan dalam keadaan-keadaan tertentu.

Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran ( 1979 ) juga telah


memperakukan hukuman ini di mana dalam Perakuan 76 jawatankuasa tersebut menjelaskan ;

No. Perakuan 76 ; Adalah diperakukan bahawa :

(a) Langkah-langkah yang positif hendaklah diambil untuk menyemai dan


mengawas disiplin murid-murid di sekolah dengan melibatkan semua guru, dan
bukan setakat Guru-Guru pengawas disiplin dan pengawas murid-murid sahaja.

(b) Hukuman Dera kepada murid-murid seperti merotan hendaklah dikekalkan.


Guru Besar dan Guru-Guru lain yang tertentu diberi kuasa untuk merotan. Di
samping itu Guru-Guru tersebut hendaklah diberi garis-garis panduan dalam
menggunakan hukuman dera serta cara dan bila hukuman itu bolehdikenakan.

Bagi menjelaskan lagi tatacara yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan


hukuman rotan, peruntukan dalam Peraturan 4 , 5 ( 1 ) dan 5 ( 2 ) serta ( 6 ),

Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959 yang digubal di bawah


Ordinan Pelajaran 1957 perlu dirujuk.

Peraturan 4 , memperuntukkan ; “ Guru Besar sesebuah sekolah adalah


bertanggungjawab atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah
mempunyai kuasa ke atas Guru-Guru dan murid-murid sekolah itu. ”

Peraturan 5 ( 1 ), memperuntukkan ; “ Bagi maksud menjaga disiplin di


kalangan murid-murid, Guru Besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan
hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat :

Dengan syarat bahawa –

(a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang ; dan

(b) hukuman dera kepada murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain
kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang
ringan di tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan
pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh Guru Besar atau pun
dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu.

Peraturan 5 ( 2 ), pula memperuntukkan ; “ Satu rekod mengandungi semua


hukuman yang dijalankan di bawah perenggan ( 1 ) hendaklah disimpan secara
sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh Pendaftar. ”

Peraturan 6, memperuntukkan ; “ Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari


semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya
patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum
kepada guru-guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan
olehnya bagi maksud itu; tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun
Guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan
tertentu: Dengan syarat bahawa kuasa menjalankan hukuman dera tidak boleh
diwakilkan kepada mana-mana orang selain daripada guru berdaftar. ”

10.0 RUMUSAN

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapatlah dirumuskan kuasa dan tindakan


merotan seperti berikut ; Pengetua dan Guru Besar mempunyai kuasa bagi mengawal
organisasi sekolahnya dan bagi menentukan disiplin, mereka mempunyai kuasa menjalankan
hukuman rotan kepada murid di sekolahnya.

Oleh yang demikian juga mereka adalah bertanggungjawab sepenuhnya dan


memastikan usaha-usaha dijalankan bagi meningkatkan lagi mutu disiplin di sekolah masing-
masing. Dalam melaksanakan hukuman rotan, pengetua atau guru besar dan guru-guru yang
diturunkan kuasa hendaklah sentiasa menyedari bahawa merotan adalah sebahagian daripada
proses pendidikan.

Tindakan yang dikenakan mestilah difahami sebagai alat untuk mendisiplinkan murid
dan bukan sebagai alat yang akan merosakkan fizikal dan mental murid. Hukuman Dera yang
dimaksudkan oleh peraturan ini hanya melibatkan hukuman rotan sahaja. Hukuman ini
menggunakan rotan yang ringan.

Hukuman rotan tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan. Ini bermakna apa-apa
bentuk deraan yang lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk dengan tangan
atau menggunakan pembaris atau lain-lain alat atau lain-lain tindakan seumpamanya adalah
tidak dibenarkan sama sekali di bawah peraturan ini.

Hukuman rotan tidaklah boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan perlu mematuhi


peruntukan seperti dalam peraturan yang disebutkan di atas. Hukuman rotan hendaklah
seboleh-bolehnya dilakukan sendiri oleh Pengetua dan Guru Besar kerana merekalah orang
yang diberi kuasa membuat keputusan terhadap hukuman tersebut.

Walau bagaimanapun Pengetua dan Guru Besar masih boleh menurunkan kuasa
tersebut kepada guru-guru lain yang berdaftar dan perlu mematuhi tatacara yang telah
ditetapkan. Tempat yang boleh dirotan hanya melibatkan tapak tangan dan punggung yang
berlapik dengan pakaian. Ini bermakna kawasan lain daripada dua tersebut tidak dibenarkan.
Pengetua, Guru Besar atau guru-guru yang diturunkan kuasa dalam melaksanakan
hukuman tersebut hendaklah melaksanakan hukuman ini bukan berdasarkan rasa marah dan
dendam tetapi untuk memberi pengajaran bahawa setiap kesalahan ada hukumannya.

Hukuman rotan di khalayak sama ada di perhimpunan atau di bilik-bilik yang sedang
berlangsung proses Pengajaran dan Pembelajaran adalah dilarang. Tindakan sedemikian akan
menjatuhkan maruah serta menimbulkan kesan negative terhadap perkembangan keperibadian
murid berkenaan. Hukuman rotan hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang guru sebagai
saksi.

Hayunan rotan hendaklah dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangan
melebihi paras bahu orang yang melaksanakan hukuman supaya tidak melukakan kulit murid
itu. Selepas mengenakan satu rotan, orang yang melaksanakan hukuman hendaklah
mengangkat rotan dan tidak menariknya.

Sekiranya pengetua atau guru besar hendak menurunkan kuasa kepada guru lain dalam
melaksanakan hukuman rotan, maka surat penurunan kuasa hendaklah dikeluarkan kepada
guru tersebut.

Hukuman Rotan bukanlah merupakan satu-satunya pendekatan untuk mendisiplinkan


murid. Ia hendaklah digunakan sebagai langkah akhir setelah semua usaha membimbing dan
kaunseling telah dilaksanakan.

Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan


Bahagian Sekolah
Kementerian Pelajaran Malaysia

Anda mungkin juga menyukai