Anda di halaman 1dari 7

TEKS KHUTBAH JUMAAT : 15 Rejab 1440H bersamaan 22 Mac 2019

TAJUK : MENANGANI KEPELBAGAIAN

Surah Ar Rum ayat 22

Mimbar berpesan kepada yang empunya diri dan sidang hadirin yang dimuliakan, marilah kita
bertaqwa kepada Allah SWT , yakni dengan melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Carilah bekalan di dunia dan akhirat, dan sebaik-baik bekalan adalah
ketaqwaan kepada Allah. Saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekelian agar memberikan
sepenuh tumpuan kepada isi kandungan khutbah ini. Janganlah disia-siakan pahala solat Jumaat
kita ini dengan berbual dan bercakap-cakap semasa khatib membacakan khutbah.

Khutbah yang akan disampaikan hari ini akan membincangkan tajuk : Menangani Kepelbagaian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,

Genap seminggu yang lalu, kita digemparkan dengan berita serangan pengganas kulit putih di
dua buah masjid di bandar Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa para
jamaah termasuk wanita dan kanak-kanak, di samping mencederakan puluhan lagi mangsa yang
tidak berdosa. Tragedi itu membawa mesej yang jelas, bahawa tiada satu pun tempat di atas
muka bumi ini yang selamat dari pertumpahan darah yang sanggup dilakukan atas nama
kebencian yang melampau terhadap kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat.
Kepelbagaian adalah sifat lumrah penciptaan Allah SWT, yang menjadi lambang keagungan dan
kebesaran –Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam Al Quranul Karim :

Dalam surah Ar Ruum ayat ke 22 yang dibacakan di awal tadi, Allah SWT berfirman :

Yang mafhumnya :

Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan
perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan bagi orang yang berilmu pengetahuan.

Dalam Surah Fathir ayat ke 27 – 28 pula, Allah berfirman :

Mafhumnya :

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan
dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-
ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan
warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam (27). Dan demikian pula di antara
manusia dan binatang yang melata serta binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya.
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-
hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Pengampun (28).

Jelaslah, betapa kepelbagaian adalah tanda keagungan Allah SWT yang hanya akan difahami dan
dihayati oleh mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dan meluas.
Pendekata, hanyalah dengan ilmu pengetahuan, manusia akan dapat mengenal, menganalisa
dan seterusnya menghargai kepelbagaian yang ada di sekelilingnya. Tanpa ilmu, manusia yang
jahil tidak akan mampu menilai kebesaran dan kehebatan yang boleh digembleng dari
kepelbagaian yang berada di sekitarnya. Malahan, manusia jahil akan merasa cemas, terancam
dan bimbang bila berhadapan dengan kelompok lain yang tidak sama sepertinya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah sekelian,

Apakah itu kepelbagaian?

Kepelbagaian boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang menggambarkan ciri–ciri atau sifat
yang tidak sama dan menonjolkan perbezaan. Kepelbagaian dalam kelompok manusia boleh
dilihat dari sudut usia, jantina, warna kulit, bangsa dan keturunan, status ekonomi, tahap
pendidikan, fahaman dan ideologi politik, cita rasa dan selera, juga dari sudut pendapat dan
pandangan.

Bagaimanakah pula manusia menangani kepelbagaian sebagaimana yang digariskan tadi?

Secara amnya, terdapat tiga sikap dan persepsi utama yang ditonjolkan oleh manusia apabila dia
berhadapan dengan kepelbagaian .

Sikap pertama : MEMBENCI kepelbagaian (rejection), yang terhasil dari persepsi negatif bahawa
kepelbagaian adalah sesuatu yang mengancam dan merbahaya, mencabar serta perlu ditentang
dan dihapuskan. Sikap ini berpunca dari dua tanggapan ekstrim – sama ada individu tersebut
merasa jauh lebih mulia, hebat, sempurna dan berkuasa (ketuanan atau `supremacy’) atau pun
juga bila dia merasa terlalu kerdil, hina dan lemah (inferiority) bila dibandingkan dengan
kelompok yang dibenci. Sikap ini menyemai bibit permusuhan dan prasangka buruk,
mencetuskan keganasan dan menyebabkan pembunuhan serta kerosakan harta benda.
Sikap kedua : MENERIMA kepelbagaian (toleransi) – sikap ini sedikit lunak dari sikap yang
pertama. Ianya dapat menghasilkan keharmonian dan ketenteraman, namun lebih bersifat
luaran dan sementara. Individu yang sekadar menerima kepelbagaian masih menganggap diri
dan kelompoknya jauh lebih baik dan sempurna, sekalipun tidak dinyatakan secara terus terang
di hadapan kelompok lain. Kualiti komunikasi masih di tahap suam-suam kuku, banyak perkara
dimasukkan ke dalam kategori `topik sensitif’ – yang dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan
jika dibincang secara tuntas dan terbuka. Masih bersarang rasa curiga, keraguan, kebimbangan
dan was-was terhadap sejauh mana ikhlasnya persahabatan dan hubungan yang terjalin.

Sikap ketiga : MERAIKAN dan MENGHARGAI kepelbagaian– sikap ini bercambah dari persepsi
yang menganggap kepelbagaian adalah kekuatan, peluang dan ruang interaksi yang indah. Sikap
ini menjadi pencetus kepada kesaksamaan dan keadilan, yang merupakan elemen terpenting
dalam kehidupan bermasyarakat. Tanpa keupayaan melihat kepelbagaian sebagai tanda
kebesaran Allah SWT yang mesti dihargai dan dihormati, kita tidak akan mampu mendidik diri
melihat kepelbagaian sebagai suatu kekuatan yang perlu digembleng untuk kebaikan semua.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah SWT sekelian,

Apa yang berlaku minggu lepas di Christchurch adalah satu manifestasi bagaimana sikap
membenci kepelbagaian boleh memuncak dan membuak-buak sehingga menyebabkan
pembunuhan kejam yang tidak berperi kemanusiaan. Sikap ini sebenarnya bermula dari sikap
berat sebelah, bias dan prejudis yang tidak ditangani dengan baik di peringkat awal. Piramid
Kebencian atau Pyramid of Hate diperkenalkan untuk mengingatkan kita betapa jenayah
kebencian atau Hate Crime, bertapak di peringkat awal dengan perlakuan yang menunjukkan
sikap berat sebelah atau bias – melalui ejekan, jolokan , sindiran dan label stereotaip yang
menghina dan merendah-rendahkan. Seterusnya ianya akan bertambah ke tahap perlakuan
prejudis yang menonjolkan budaya buli, memboikot, mencaci dan menghina kelompok yang
dibenci. Sekiranya tidak dibendung, perlakuan seterusnya adalah dengan mengadakan sekatan
dan polisi-polisi diskriminasi yang lebih terancang dan tersusun. Akhirnya perlakuan bercirikan
keganasan terhadap nyawa dan harta benda serta jenayah perang akan menyusul pula.

Bagaimanakah Islam mengajar kita untuk menangani kepelbagaian dengan sebaik-baiknya?


Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT menciptakan kepelbagaian di kalangan manusia agar
mereka saling mengenal dan memahami satu sama lain. Allah SWT sesekali tidak menilai seorang
manusia itu berdasarkan usia, jantina, keturunan, warna kulit, status ekonomi dan tahap
pendidikannya. Sebaliknya, Allah SWT memilih darjah ketakwaaan individu sebagai kayu ukur
untuk dinilai-Nya. Al Quranul karim telah menegaskan prinsip ini di dalam ayat 13, Surah Al
Hujurat yang berbunyi :

Mafhumnya :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan,
dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-
kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu
di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Rasulullah SAW juga menegaskan perkara yang sama dalam hadith baginda yang dipetik dari
Musnad Ahmad (Hadis nombor 22391) :

‫قال نضرة أبي وعن‬: «‫التشريق أيام وسط في وسلم عليه هللا صلى النبي خطبة سمع من حدثني‬
‫فقال‬: ” ‫الناس أيها يا‬، ‫واحد وأباكم واحد ربكم إن‬، ‫عجمي على لعربي فضل ال أال‬، ‫لعجمي وال‬
‫عربي على‬، ‫أحمر على أسود وال‬، ‫بالتقوى إال أسود على أحمر وال‬، ‫“ أبلغت؟‬. ‫قالوا‬: ‫رسول بلغ‬
‫وسلم عليه هللا صلى هللا‬
Dari Abu Nadhrah telah menceritakan kepadaku orang yang pernah mendengar khutbah
Rasulullah SAW ditengah-tengah hari tasyriq, baginda bersabda: “Wahai sekalian manusia! Rabb
kalian satu, dan ayah kalian juga satu. Ingatlah, tiada kelebihan bagi orang Arab atas orang Ajam
(bukan-Arab) dan bagi orang Ajam atas orang Arab, tiada kelebihan bagi orang berkulit merah
atas orang berkulit hitam, bagi orang berkulit hitam atas orang berkulit merah kecuali dengan
ketakwaan. Apakah aku sudah menyampaikan?” Mereka menjawab: Ya, benar Rasulullah SAW
telah menyampaikan.”

Kesamarataan spiritual dari sudut penilaian Allah SWT ini amatlah penting untuk mengajar
manusia agar tidak membenci dan menghina satu sama lain, hanyalah disebabkan oleh
perbezaan yang wujud di antara mereka. Allah SWT menekankan perihal pentingnya manusia
memastikan keadilan tidak terhalang oleh sikap berat sebelah dan pilih kasih, atau atas faktor
dendam kesumat dan kebencian. Firman Allah SWT dalam Surah Al Maidah ayat 8 yang berbunyi:

Mafhum ayat :

Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menyaksikan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.

Umat Islam tidak seharusnya takut dan bimbang dengan kepelbagaian yang ada. Mereka tidak
sepatutnya merasa terancam, lemah dan tidak berdaya bila berhadapan dengan kelompok lain
yang dianggap lebih kompetatif dan berwibawa. Dalam masa yang sama juga, mereka tidak boleh
leka diulit mimpi dan angan-angan, kononnya sentiasa mulia dan terjamin ganjaran syurga
disebabkan identiti agama mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,

Mimbar mengajak semua untuk mengubah persepsi negatif terhadap kepelbagaian dan
menggantikannya dengan keyakinan bahawa kepelbagaian adalah kekuatan dan peluang untuk
maju ke hadapan. Marilah wujudkan hubungan komunikasi yang telus dan berkualiti tinggi di
kalangan masyarakat majmuk Malaysia, untuk membincangkan perbezaan pandangan peribadi,
politik dan agama secara ilmiah dan profesional, disokong dengan rasa hormat dan kepercayaan
yang teguh. Tanganilah dengan berani dan bijaksana, segala tanggapan dan persepsi liar yang
tidak berasas, fitnah dan hasutan yang cuba disebarkan untuk mencemar kestabilan dan
keharmonian masyarakat kita. Sebarkanlah kasih sayang dan tingkatkan semangat solidariti di
kalangan ahli masyarakat yang pelbagai. Sekiranya terdapat konflik dan pergeseran, bersegeralah
mencari jalan penyelesaian melalui proses syura yang meluas dan permuafakatan, mudah
meminta maaf dan maafkan serta saling mempercayai. Semoga Allah SWT memberikan kita
peluang untuk hidup dalam suasana masyarakat yang harmoni, saksama dan bahagia.

Anda mungkin juga menyukai