Anda di halaman 1dari 4

Scribd

Kami, kami pernah bertawassul (meminta hujan) dengan (perantaraan) Nabimu, maka
Engkau menurunkan hujan, kini, kami bertawassul dengan bapa saudara Nabimu (Al-
Abbas), maka turunkanlah hujan kepada kami".
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa, keharusan berdoa dengan orang-orang soleh
selain daripada bertawassul dengan Rasulullah s.a.w.. Adapun Ibn Taimiyah menggunakan
hadis ini untuk membela pendapat beliau bahawa, tawassul kepada Rasulullah s.a.w. tidak
dibolehkan selepas kewafatan Baginda s.a.w. kerana Saidina Umar tidak bertawassul
dengan Rasulullah s.a.w. lagi setelah ketiadaan Baginda s.a.w. dalam hadis tersebut.
Kefahaman Ibn Taimiyah mengenai hadis tersebut disanggah oleh ramai para
ulama yang muktabar. Hal ini kerana, telah terbukti di dalam hadis yang lain, di mana para
sahabat masih lagi bertawassul dengan Rasulullah s.a.w. setelah kewafatan Baginda s.a.w.,
seperti yang dinukilkan oleh Shiekh Syed Muhammad Alawi Al-Maliki.
Menurut Sheikh Syed Muhammad Alawi Al-Maliki lagi, Saidina Umar r.a. tidak
bertawassul kepada Allah dengan Rasulullah s.a.w. untuk meminta hujan dalam hadis
tersebut untuk menjelaskan bahawa, kita boleh bertawassul dengan selain daripada
Rasulullah s.a.w.
Saidina Umar tida bertawassul dengan Rasulullah s.a.w. dalam perkara meminta
hujan kerana hujan merupakan rahmat dan keperluan bagi yang masih hidup, bukan bagi
yang telah tiada. Maka, Saidina Umar bertawassul dengan Al-Abbas kerana Al-Abbas masih
lagi hidup, dan beliau (Al-Abbas) berhajat juga kepada air pada musim kemarau tersebut.
Jadi kefahaman Saidina Umar r.a. dalam situasi tersebut, menyebabkan beliau bertawassul
kepada Allah s.w.t. dengan kedudukan Al-Abbas di sisi Allah s.w.t. kerana pada ketika itu,
Saidina Al-Abbaslah memerlukan air dari hujan, berbanding dengan Rasulullah s.a.w. yang
telah wafat pada ketika itu, yang tidak berhajat kepada hujan. Maka, beliau meminta belas
kasihan Allah s.w.t. dengan kedudukan Al-Abbas yang juga masih hidup dan memerlukan
hujan pada ketika itu.
Maka, Saidina Umar r.a. bertawassul dengan Saidina Al-Abbas di hadapan Allah
s.w.t. untuk menagih simpati Allah s.w.t. supaya menurunkan hujan, dan memberi minum
umat Islam yang masih hidup termasuklah kekasih Allah dan Rasulullah s.a.w., Al-Abbas,
bukan kerana tidak boleh bertawassul kepada Rasulullah s.a.w. setelah kewafatan Baginda
s.a.w.
Dalil yang lain tentang keharusan bertawassul dengan orang-orang soleh, seperti
yang diriwayatkan oleh Ibn Majah r.a., tentang doa sewaktu keluar dari rumah menuju solat,
iaitu "Wahai Tuhanku, aku meminta kepada-Mu, dengan hak orang-orang yang berjalan (di
atas jalan) menujumu, dengan hak orang yang berjalan ini… maka jauhilah kami dari azab
neraka…" (Hadis riwayat Ibn Majah) Al-Hafiz Abu Hasan mengatakan, hadis ini, hadis
hasan.
Berdasarkan hadis-hadis tersebut, jelaslah bahawa, berdoa kepada Allah dengan
perantaraan Rasulullah s.a.w., para solihin dan sebagainya, dibenarkan di dalam Islam. Ini
kerana, tawassul tidak ada kaitan dengan aqidah, kerana, setiap orang yang bertawassul,
hanya menyakini, hanya Allah s.w.t. lah yang mampu memberi manfaat dan kemudaratan
kepada mereka. Tawassul cuma suatua kaedah, diantara pelbagai kaedah-kaedah dalam
berdoa kepada Allah s.w.t.

Rahsia kaum sufi dalam persepsi Tawassul


Ada juga di kalangan masyarakat awam yang terkeliru dengan dakwaan Wahhabi,
yang mengatakan bahawa, tawassul kepada Allah dengan para masyaikh seperti yang
dilakukan oleh golongan sufi adalah syirik.
Sebenarnya, berdasarkan dalil-dalil yang dijelaskan sebelum ini, menunjukkan
kepada kita bahawa, tawassul merupakan ajaran Islam. Tawassul bukanlah bererti
menyembah selain daripada Allah s.w.t., tetapi tawassul merupakan salah satu kaedah
berdoa kepada Allah s.w.t., dan salah satu simbol adab kita di hadapan Allah s.w.t.
Para sufi yang berpegang teguh dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah memahami
makna tawassul dan rahsia disebalik tawasssul. Ia bukanlah bermakna, kita berdoa kepada
selain Allah s.w.t., kerana tawassul dalam Islam hanya sekadar menggunakan kedudukan
seseorang di sisi Allah, dalam berdoa kepada Allah s.w.t.
Persoalannya, mengapakah kita perlu menggunakan kedudukan orang lain antara
kita dengan Allah s.w.t, sedangkan Allah s.w.t. menegaskan bahawa, tiada sempadan
antara kita dengan Tuhan?
Tawassul bukanlah sempadan antara kita dengan Tuhan. Tawassul bukanlah
perantaraan dalam pengabdian kita kepada Tuhan. Tawassul sekadar kaedah berdoa yang
diajarkan oleh Rasulullah s.a.w., kepada Allah s.w.t., dengan menjadikan kedudukan
seseorang di sisi Allah s.w.t., supaya Allah s.w.t. menerima hajat kita.
Tetapi, tanpa tawassul juga, tidak menafikan bahawa Allah s.w.t. mampu
menunaikan hajat kita. Malah, tawassul juga tidak mewajibkan Tuhan menunaikan hajat kita.
Samada kita bertawassul dengan seseorang atau tidak, doa kita tetap sampai kepada Allah
s.w.t. selagi kita ikhlas dalam berdoa, dan terserah kepada Allah s.w.t. untuk menunaikan
hajat kita atau tidak.
Adapun di sisi para sufi, tawassul merupakan suatu simbol adab kita di hadapan
Allah s.w.t.. Kita berdoa, misalnya, "wahai Tuhanku, dengan kedudukan Sheikhku di sisi-Mu,
ampunkanlah aku."
Mengapa para sufi menganggap tawassul ialah adab kita di hadapan Allah s.w.t.. Ini
kerana, para sufi merasakan diri mereka sangat hina dan kerdil di hadapan Allah s.w.t., dan
mereka teramat malu untuk mengadap Allah s.w.t. dengan dosa mereka yang menggunung,
kemudian meminta pula daripada Tuhan untuk menunaikan hajat kita, sedangkan kita
empunya dosa yang menggunung di hadapan Allah s.w.t.
Maka, para sufi merasa tidak layak untuk mengharapkan agar Allah s.w.t.
menunaikan hajat mereka, sedangkan mereka juga yakin Allah s.w.t. Maha Pemurah lagi
Maha Penyayang. Namun, rasa rendah diri mereka di hadapan Allah s.w.t. membuatkan
mereka bertawassul dengan orang-orang yang mempunyai kedudukan di sisi Allah, menurut
prasangka mereka.
Seolah-olah, lafaz doa mereka di hadapan Allah s.w.t., Ya Allah, aku begitu hina di
hadapan-Mu. Aku tidak layak untuk menghadap-Mu dengan tubuh badan yang diselaputi
maksiat dan dosa ini. Namun, Engkau Maha Penyayang dan Maha Pengampun, tetapi
Engkau juga Maha Adil. Jika Engkau membenci aku sekalipun dengan kemaksiatanku, maka
ampunilah dosaku dengan hak para guruku yang berkedudukan di sisi-Mu. Ampunilah
aku kerana aku juga umat kekasih-Mu Muhammad s.a.w. Aku juga anak murid kepada
Sheikh Fulan bin Fulan yang aku rasakan mempunyai kedudukan di sisimu. Maka,
ampunilah aku dengan kedudukan mereka di sisi-Mu."
Lihatlah, inilah makna sebenar tawassul dalam berdoa, iaitu beradab kepada Allah
s.w.t. Siapalah kita untuk merasa besar dan hebat di sisi Allah s.w.t. Jika seseorang itu
merasa kerdil di hadapan seorang raja sekalipun, dia akan mencari seseorang yang
mempunyai kedudukan yang dekat di sisi raja tersebut, sebagai perantaraan untuk bertemu
raja tersebut melalui orang tersebut. Jadi, bagaimana pula dengan orang yang merasa kerdil
di hadapan Allah s.w.t., salahkah dia mengunakan kedudukan seseorang di sisi Allah s.w.t.
untuk berhadapan dengan Allah s.w.t.?
Maka, tawasssul hanyalah sekadar adab dalam berdoa kepada Allah s.w.t., kerana
merasa diri kita kerdil dan hina di sisi Allah s.w.t. Bukankah Allah s.w.t. memberitahu kepada
kita tentang betapa hinanya kita di hadapan Allah s.w.t. dengan firman-Nya "kamu semua
fuqoro' (faqir) di hadapan Allah"?
Bagi para sufi juga, mereka berdoa kepada Allah s.w.t. juga bukanlah kerana
mereka inginkan sesuatu hajat, atau minta kepada Allah s.w.t. sesuatu hajat, tetapi mereka
berdoa kerana Allah s.w.t. yang menyuruh mereka berdoa, dan menjadikan doa itu ialah
salah satu simbol ibadah kepada Allah s.w.t. Jika tidak, nescaya mereka tidak berdoa
kepada Allah s.w.t. kerana mereka faham dan yakini bahawa, Allah s.w.t. Maha Mengetahui
hajat kita walaupun kita tidak memberitahu kepada-Nya dengan doa tersebut. Jadi, doa itu
sendiri bagi para sufi, ialah untuk menunjukkan rasa rendah diri kita kepada Allah s.w.t.,
kerana meminta-minta merupakan suatu sifat yang hina, maka berdoa dan meminta di
hadapan Allah s.w.t. merupakan adab dan simbol rendah diri kita di depan Allah s.w.t.
Mereka tidak berdoa kerana menginginkan sesuatu, tetapi mereka berdoa juga untuk
merendahkan diri mereka kepada Allah s.w.t., kerana mereka yakin Allah s.w.t. Maha
Mengetahui tentang hajat kita, tanpa perlu kita memberitahunya.
Maka, kefahaman para sufi dalam masalah doa dan tawassul merupakan mutiara yang
terang dan jelas tentang aqidah mereka yang utuh dan mantap kepada Allah s.w.t.
Jadi, tawassul kepada Allah s.w.t. dalam pengertian ini, bukanlah suatu perkara
yang syirik ataupun boleh membawa kepada syirik. Golongan yang cuba mengharamkan
tawassul yang merupakan ajaran Islam, semata-mata kerana takut umat Islam akan
menyembah selain daripada Allah s.w.t. dan melakukan syirik dengan menyembah para wali
dan berdoa kepada selain Allah s.w.t., merupakan suatu usaha yang batil dan melampui. Ini
kerana, perjuangan mereka berdasarkan su'uk adhon (buruk sangka) terhadap umat Islam
yang bertawassul.
Mereka cuba membuang tawassul yang merupakan adab dalam berdoa yang
diajarkan oleh Rasulullah s.a.w., semata-mata kerana takut umat Islam jatuh ke jurang syirik,
adalah tidak berasas sama sekali.
Rasulullah s.a.w. sediri tidak takut umat Baginda s.a.w. kembali syirik dan
menyembah selain daripada Allah s.w.t., kerana perkara tersebut tidak akan berlaku dalam
umat Islam.
Renungilah hadis ini:
Seorang sahabat bernama Syaddad bin Aus bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,
"apa yang menyebabkan aku lihat pada mukamu (iaitu kemuraman)?" Rasulullah s.a.w.
menjawab: "aku memikirkan tentang perkara yang paling aku takut, yang akan berlaku pada
umatku, setelah ketiadaanku". Syaddad bertanya: " Apakah yang akan berlaku?" Rasulullah
s.a.w. menjawab: "Syirik dan syahwat yang tersembunyi". Syaddad bertanya lagi: " Wahai
Rasulullah, adakah umat kamu akan kembali mempersekutukan Allah setelah
ketiadaanmu?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Syaddad…mereka tidak akan menyembah
matahari, bukan, berhala dan batu, tetapi (yang aku takut ialah) mereka riya' dalam amalan
mereka" Syaddad bertanya lagi, "adakah riya' itu syirik?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "ya".
Syaddad bertanya lagi: "apa pula syahwat yang tersembunyi itu?" Rasulullah s.a.w.
menjawab: "seseorang berpuasa pada waktu paginya, kemudian, apabila timbul keinginan
syahwat kepada dunia, dia aka membuka puasanya". (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Hakim,
dan hadis ini sahih dari sudut sanadnya).
Oleh itu, tawassul bukanlah pintu kepada syirik jika kita memahami tawassul
hanyalah sekadar adab dalam berdoa kepada Allah s.w.t. Ini kerana, syirik tidak akan
kembali ke dalam jiwa umat Islam, kerana perkara tersebut dinafikan sendiri oleh
Rasulullah .s.a.w. Apa yang ditakuti hanyalah syirik kecil, iaitu penyakit riya' dalam
beribadah, di kalangan umat Islam.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan membantu kita untuk ikhlas dalam
pengabdian kita kepada-Nya. Isu tawassul ini merupakan suatu isu yang tidak perlu menjadi
titik perpecahan umat Islam, kerana ianya masalah khilafiyah, dan tidak ada kaitan dengan
aqidah. Ikutilah pendapat majoriti ulama' Islam yang membenarkan tawassul dengan
Rasulullah s.a.w. dan para solihin kerana hujah mereka amat kuat daripada Sunnah.
Semoga Allah membantu kita semua dalam menghirup secebis keredhaan dan rahmat-
Nya.
Al-Faqir ila Allah…
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Al-Azhar…Mesir…

Anda mungkin juga menyukai