Anda di halaman 1dari 5

KENAPA MELAYU GAGAL KUASAI BIDANG PERUNCITAN WALAUPUN LAHIRKAN RAMAI USAHAWAN?

Hingga hari ini, orang Melayu masih disalahkan dek kegagalan mereka dalam menguasai ekonomi.
Stigma 'Melayu Malas' dan 'Melayu tidak kompeten' dalam perniagaan terus menghantui orang Melayu
hingga ramai orang Melayu terkandas dalam bisnes. Hakikatnya, terlalu ramai orang Melayu yang ingin
berniaga seperti bangsa lain. Lihat sahaja statistik pinjaman perniagaan dari badan berkaitan seperti
MARA, TEKUN, PUNB, AIM dan lain-lain, anda akan mengakui kebenarannya.

Antara bidang bisnes keutamaan yang masih gagal ditembusi oleh orang Melayu ialah bidang
peruncitan. Walaupun ramai usahawan Melayu telah cuba dilahirkan dari bidang ini, namun bidang ini
terus dikuasai bangsa lain. Saya ambil contoh, cuba kita melawat ke pameran dan expo besar seperti
MAHA, MIHAS, KUB dan sebagainya, kita akan dapati terlalu banyak produk berkualiti yang boleh
diperolehi di sana. Ada produk yang boleh dikira menepati standard kualiti dan pembungkusan bertaraf
antarabangsa. Dari kerepek kentang, air minuman, sardin dalam tin dan banyak lagi, semuanya
berkualiti, keluaran syarikat Melayu.

Namun, jika produk ini bagus, di mana kita hendak membelinya selepas tamat expo itu? Adakah kita
dapat membelinya di pasaraya, kedai runcit atau lain-lain? Tidak. Paling-paling pun kita terpaksa ke
laman web syarikat atau mencari senarai pengedar bebas mereka di Facebook. Namun sebagai
pengguna, setakat mana kita boleh terus membeli produk mereka jika susah kita nak dapatkan? Sekali,
dua kali lepas itu kita pun malas nak beli sebab leceh nak dapatkan produk tersebut. Akhirnya, daripada
niat asal kita nak sokong produk orang Melayu, akhirnya kita terpaksa beralih semula kepada jenama
umum yang boleh didapati dengan mudah di pasaran.

Maka, produk-produk keluaran syarikat Melayu ini akan jadi lambakan di kilang dan gudang mereka
sendiri, hingga akhirnya terpaksa tutup kedai akibat produk tak laku. Seterusnya, akan ada lagi syarikat
Melayu baru yang mengeluarkan produk mereka sendiri, dan kitaran ini berulang hingga tak terkira
bilangannya syarikat pengeluar produk runcit Melayu yang gulung tikar. Soalnya mengapa ini boleh
terjadi jika produk mereka bagus dan menepati piawaian antarabangsa?

Menurut pengalaman dan pemerhatian saya sendiri yang pernah terlibat dalam bidang peruncitan,
jawapannya ialah kerana orang Melayu gagal menguasai bidang pengedaran (distribution). Hari ini, kita
lihat usahawan Melayu terlalu fokus dalam bidang pengeluaran. Masing-masing ghairah untuk
mengeluarkan produk dengan jenama sendiri. Akhirnya terlalu banyak produk-produk yang hampir sama
antara satu sama lain walaupun pasarannya kecil. Kerajaan juga terlalu fokus menyediakan bantuan
kepada usahawan yang mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan produk sendiri tanpa melihat kepada
prospek pasarannya.

Sebenarnya, perkara paling penting dalam sesuatu perniagaan ialah proses 'route to market', atau
bagaimana sesuatu produk itu sampai ke tangan pengguna. Walaupun kita mengeluarkan suatu produk
yang sangat bagus, kita akan gagal menguasai pasaran sekiranya kita tidak memahami proses rantaian
pembekalan (supply chain) sesuatu perniagaan itu, dari proses mendapatkan bahan mentah untuk
pengeluaran hinggalah ia sampai ke tangan pengguna. Kebiasaannya, syarikat Melayu hanya fokus
kepada proses pengeluaran, tetapi gagal dalam proses pengedaran.

Walaupun banyak pelaburan dibuat bagi aktiviti pemasaran dilakukan, dari membayar duta produk
hinggalah membeli 'airtime' stesen TV untuk pengiklanan, ianya tidak cukup sekiranya produk gagal
melalui proses pengedaran yang membolehkan ia memasuki pasaran seterusnya sampai ke tangan
pengguna. Anda sebenarnya boleh melihat banyak contoh-contoh produk yang diiklankan dengan bagus
sekali tetapi bila anda ke pasaran untuk membeli produk tersebut, anda tidak menjumpainya di mana-
mana.

Mengapa ini berlaku? Inilah masalah yang dihadapi syarikat Melayu. 90% dari syarikat pengedaran
(distributor) barang-barang runcit adalah bukan milik orang Melayu. Kebanyakan pengedar runcit ini
adalah dari kalangan bangsa Cina, mereka telah bertapak sejak sekian lama malah ada yang sebelum
merdeka lagi, dan perniagaan mereka telah dijalankan turun temurun, ada yang sudah memasuki
generasi ketiga hari ini.

Syarikat-syarikat pengedaran inilah yang menentukan kejayaan 'route to market' sesuatu produk. Walau
syarikat pengeluar yang besar dan ternama sekalipun, mereka perlu melalui syarikat-syarikat ini untuk
memastikan produk mereka menembusi pasaran. Lazimnya (bukan untuk bersifat rasis), bila sesuatu
bidang perniagaan itu dikuasai bangsa tertentu, sudah pastilah keutamaan diberikan kepada bangsa
mereka dan dengan kelebihan itulah mereka dapat menguasai pasaran. Syarikat-syarikat pengedaran ini
mempunyai persatuan mereka sendiri yang menjadi 'kartel' bidang pengedaran runcit di negara ini.

Syarikat-syarikat pengedaran inilah yang berhubungan baik dengan 'buyer' (pembeli) pasaraya-pasaraya
besar yang mana buyer ini pula merupakan 'gatekeeper' yang menentukan penyenaraian atau 'listing'
sesuatu produk itu ke dalam rangkaian pasaraya mereka. Selain itu, syarikat-syarikat pengedaran ini
turut mempunyai rangkaian yang baik dengan pemilik-pemilik kedai runcit dan pasaraya kecil di
kawasan-kawasan liputan mereka. Disebabkan hubungan baik yang dijalin sekian lama, syarikat-syarikat
pengedaran ini kadangkala boleh mempengaruhi mereka untuk menyenaraikan atau menyahsenaraikan
sesuatu produk itu dari pasaran.

Oleh kerana syarikat pengeluar Melayu tidak mempunyai rangkaian yang baik dengan syarikat-syarikat
pengedaran ini, maka amat susah untuk mereka menggunakan khidmat pengedaran syarikat-syarikat
berkenaan. Malah, kebanyakan syarikat-syarikat pengedaran ini amat menekan syarikat pengeluar
dengan margin yang tidak masuk akal dan meminta insentif-insentif pelik serta mengenakan caj-caj
servis yang membebankan syarikat yang baru nak mulakan proses pengedaran seperti caj 'forklift', caj
penyimpanan dan caj pallet.

Akhirnya, banyak syarikat Melayu yang tidak mampu menggunakan khidmat syarikat pengedaran dan
terpaksa mencari pengedar bebas dengan kapasiti pengedaran dan liputan pasaran yang sangat kecil.
Walaupun kini proses pengedaran boleh dibuat secara langsung kepada pengguna dengan adanya
platform internet, kita harus akui bahawa pengedaran konvensional masih dan akan terus memainkan
peranan penting bagi barangan runcit.

Penyelesaian bagi masalah ini walaupun agak sukar tetapi mesti dimulakan dari sekarang. Usahawan
Melayu mesti beralih dari sekadar fokus kepada bidang pengeluaran dan pemasaran kepada bidang
pengedaran. Halangan terbesar untuk orang Melayu menyertai bidang ini ialah modal. Proses
pengedaran ini merangkumi beberapa aspek, antaranya ialah perolehan, pergudangan dan logistik. Ia
memakan modal yang besar.

Sebagai contoh, untuk proses perolehan sahaja, ia memerlukan ratusan ribu RM bagi satu jenis produk
saja untuk dibayar kepada pengeluar jika transaksi dijalankan dalam tunai. Bayangkan jika 20 produk,
sudah pasti cecah jutaan RM, dalam masa sama perlu menyediakan perkhidmatan kredit pula kepada
pasaraya dan kedai runcit, maka modal pusingannya sangat besar. Itu belum lagi kos menyediakan
gudang yang lengkap dengan 'pallet racking' dan 'forklift' untuk mengangkat barang. Bagi logistik pula,
syarikat pengedaran perlu mempunyai lori mereka sendiri. Jika mereka 'outsource' logistik mereka, kos
akan menjadi lebih tinggi walaupun ianya memudahkan dari segi proses.

Saya yakin, dengan modal jutaan RM, tak ramai orang Melayu mampu dan berani ceburi bidang
peruncitan. Di sinilah perlunya peranan kerajaan melalui bantuan modal dari agensi berkaitan seperti
yang disenaraikan tadi. Sepanjang pengetahuan saya, hanya PUNB yang ada dana khusus untuk bidang
pemborongan dan peruncitan. Namun, tak banyak orang Melayu yang mohon kerana kurang
keberanian, pengalaman dan jaringan.
Justeru, di peringkat usahawan, apa yang perlu kita lakukan? Ya, kita perlu wujudkan rangkaian
perniagaan yang besar. Bulan lepas, saya berkesempatan bertemu dengan Tan Sri Mat Shah Safuan,
usahawan Melayu terkenal, Pengerusi Safuan Group Holdings yang juga Pengerusi PERDASAMA, sebuah
persatuan yang menghimpunkan usahawan Melayu. Beliau juga menekankan tentang pentingnya
diadakan lebih banyak jaringan perniagaan di kalangan usahawan Melayu untuk kita wujudkan rantaian
pembekalan yang lebih besar.

Kita perlu kurangkan fokus mengeluarkan produk-produk baru yang sama jenis. Sebaliknya, kita perlu
kumpulkan semua produk keluaran Melayu berkualiti pelbagai jenis bawah satu jenama yang sama
melalui penubuhan sebuah syarikat konsortium dengan sokongan pihak kerajaan.

Model ini telah berjaya dilakukan di Bangladesh oleh syarikat PRAN. PRAN adalah sebuah syarikat yang
berjaya mengumpulkan pelbagai produk runcit keluaran rakyat Bangladesh di luar bandar di bawah satu
jenama dan hari ini PRAN telah berjaya menguasai pasaran 118 buah negara termasuk Malaysia dengan
nilai jualan melebihi USD500juta setahun. Bila kita berjaya mewujudkan sebuah jenama yang kuat, kita
akan mempunyai kuasa untuk menembusi pasaran.

Selain itu, bagi pengguna Melayu, kita perlu sokong rangkaian perniagaan runcit orang Melayu. Kita
perlu utamakan membeli barangan keluaran syarikat Melayu dari rangkaian pasaraya Melayu seperti
MYDIN Malaysia, Ikhwan Mart, Azzainmart dan lain-lain. Jika kita boleh berbuat demikian, kita akan
membantu meluaskan pasaran produk Melayu dan membina ekonomi orang Melayu dengan lebih
kukuh agar kita boleh membina rangkaian pembekalan kita sendiri tanpa dibuli oleh syarikat-syarikat
pengedar bangsa lain.

Inilah juga model yang digunakan oleh sahabat Rasulullah, Abdul Rahman Auf yang berjaya menguasai
ekonomi Madinah yang sebelumnya dimonopoli kaum Yahudi dengan membina jaringan perniagaan
orang Islam yang besar dan kukuh. Di Malaysia, orang Melayu adalah pengguna terbesar dengan lebih
60% pasaran dan jika kita menggunakan sepenuhnya kelebihan ini, saya yakin ekonomi orang Melayu
akan lebih baik di masa depan.

Wallahualam.
#jihadekonomi

Kredit : Mohd Faizal Zulkifly

Anda mungkin juga menyukai