Anda di halaman 1dari 3

Teks Pidato : Muafakat Membawa Berkat

Salam perpaduan dan salam 1 Malaysia dihulurkan untuk semua. Yang


Dihormati, Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim Yang Arif lagi Bijaksana,
warga pendidik serta hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian. Berdirinya saya
di pentas yang indah lagi menarik ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato
yang bertajuk, Muafakat Membawa Berkat.

Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, muafakat membawa maksud ‘seia


sekata atau setuju’ manakala berkat pula dimaksudkan sebagai ‘mendatangkan
kebaikan atau faedah’.

Sidang dewan yang budiman,

Kemajuan dan kesejahteraan yang dicapai oleh sesebuah negara


bermasyarakat majmuk seperti Malaysia adalah hasil daripada permuafakatan
antara kaum. Kita perlu bekerjasama dan tolong-menolong tanpa mengira
bangsa dan warna kulit. Perkara ini tidak dapat disangkal lagi kerana pesanan
nenek moyang masih segar dalam ingatan. Hati gajah sama dilapah, hati kuman
sama dicecah. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Dengan terbinanya
amalan kerjasama antara kaum, maka wujudlah sebuah perpaduan. Tanpa sikap
tolak ansur, perbalahan dan pergeseran kaum mudah berlaku.

Hadirin yang dikasihi,

Kedua, jika kita melihat sejarah yang lalu, bagaimana para pemimpin dan
rakyat di Tanah Melayu berganding bahu untuk memerdekakan tanah air tercinta
daripada terus dijajah. Adakah kita lupa bahawa masyarakat di Tanah Melayu
dahulu juga terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum? Walaupun
berbeza warna kulit, bahasa serta bangsa, dengan adanya semangat
permuafakatan yang teguh, bangsa penjajah dapat dihalau.
Seia sekata sehati sejiwa,
Menghadapi cabaran,
Kami setia kami sedia,
Berkorban untuk negara.

Nah ,inilah yang semangat yang perlu ada dalam jiwa setiap rakyat agar dapat
memastikan benteng pertahanan negara kita sentiasa kukuh! Benteng
pertahanan yang paling utama ialah perpaduan antara masyarakat. Sebagai
rakyat Malaysia, kita perlulah saling bermuafakat dan bersiap sedia berbakti
kepada nusa dan bangsa, seperti yang dinyatakan dalam lirik lagu Sejahtera
Malaysia.

Sidang dewan yang saya kasihi,

Ketiga, sedih untuk saya katakan bahawa semangat perpaduan makin pudar
dari hari ke hari sehinggalah kini. Isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan
kaum kerap dibincangkan dalam surat khabar dan televisyen. Di manakah
hilangnya semangat permuafakatan antara kita? Adakah disebabkan perbezaan
agama, warna kulit serta bangsa?

“Ikan di laut, asam di darat. Di dalam periuk, bertemu jua.”

Begitulah, kisah persahabatan antara Raju dan Suparjo menjadi elemen


kesepaduan dalam iklan TV pada suatu masa dahulu. Iklan ini telah menyentuh
hati para penonton apabila persahabatan mereka masih kukuh walaupun
terpisah setelah sekian lama.Maka terbuktilah bahawa sebuah persahabatan
yang baik dapat dibina tanpa mengira bangsa atau kaum. Ingatlah pesanan
saya, yang memisahkan kita, temboknya bukan budaya, temboknya bukan
agama, bukan warna bangsa, tetapi keegoan, asabiah dan ananiyah. Manusia
seharusnya saling memiliki antara satu sama lain.
Hadirin yang dihormati,

Akhir kata, benarlah kata orang tua-tua yang bijaksana, muafakat itu
membawa berkat. Perpaduan yang dicapai antara semua pihak dalam mentadbir
negara ini telah memungkinkan kita semua pada hari ini hidup di sebuah tanah
yang bebas merdeka serta disegani dan diiktiraf dunia. Janganlah kita bersikap
evasif mahupun bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing .
Perpaduan kaum itu hanya akan wujud apabila semua kaum menjalankan
obligasi masing-masing dengan sempurna dan bersikap bertolak ansur.

Sebelum saya mengakhiri pidato saya pada hari ini, izinkan saya melafazkan
serangkap pantun.

Dari Melaka ke Tanah Jawa,


Membawa bersama pisang seikat,
Bila hati sudah sejiwa,
Muafakat kita membawa berkat.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai