Anda di halaman 1dari 5

1.

0 PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2013), perkataan “modal insan” ditakrifkan
sebagai suatu cara untuk mengenal pasti dan mengkategori kemahiran dan kebolehan orang
yang digunakan dalam pengambilan pekerja dan dalam hal lain, akhirnya mereka mampu
memberi sumbangan kepada pembangunan negara tidak kira apa-apa aspek sekalipun. Modal
insan pada masa kini adalah lebih tertumpu kepada golongan belia iaitu golongan remaja dan
dewasa kerana merekalah harapan negara untuk memajukan negara kita suatu hari kelak.
Pada zaman globalisasi ini, dalam dunia yang dilingkari oleh kemajuan sains dan teknologi,
pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh negara untuk mencapai apa yang diperlukan oleh
dunia pada masa ini. Bagi memenuhi permintaan dan menempuhi cabaran-cabaran dunia yang
semakin mencabar, anak-anak muda yang ada pada sesebuah negara haruslah menggalas
tanggungjawab tersebut bagi menjayakan visi dan misi sesebuah negara itu. Bagi negara
Malaysia, anak-anak muda yang telah dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan merupakan
tulang belakang kepada negara untuk memajukan negara sama ada dari aspek pembangunan,
ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Buktinya, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-
10) yang dilancarkan oleh perdana menteri, Dato Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak,
pembangunan modal insan merupakan satu aspek yang penting untuk pembangunan negara.
Pembangunan modal insan adalah dilaksanakan secara holistik bukan sahaja melibatkan
pemerolehan pengetahuan dan kemahiran tetapi juga menitikberatkan nilai-nilai murni serta
pembelajaran dan latihan sepanjang hayat.

2.0 PANDANGAN TERHADAP PERNYATAAN MANTAN MENTERI PENDIDIKAN

Mengenai petikan yang telah dinyatakan, iaitu penyataan yang dibuat oleh YAB Tan Sri
Dato’ Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin bahawa modal insan yang dibangunkan bukan sahaja
perlu menitikberatkan aspek ilmu pengetahuan semata-mata, namun aspek akhlak dan nilai-
nilai murni seperti budi pekerti, integriti, amanah dan sebagainya turut harus diberi perhatian
adalah benar sekali dan harus disokong dengan sepenuhnya. Kita sedia maklum bahawa aset
yang paling berharga bagi sesebuah negara merupakan warganya dan secara tidak langsung
pembangunan modal insan adalah penentu kepada peningkatan daya saing dan produktiviti
negara.

1
Apabila dikatakan sebagai aset negara, modal insan itu sudah semestinya dilengkapi
dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi terhadap pelbagai bidang. Namun, dengan
berbekalkan ilmu pengetahuan sahaja adalah tidak mencukupi bagi seseorang individu untuk
membantu mencapai sesuatu visi negara sekiranya tidak dilengkapi dengan peribadi dan akhlak
yang mulia. Sebagai contoh, menurut laporan Berita Harian Online tanggal 13 Julai 2015, isu
hangat yang berlaku di negara kita baru-baru ini iaitu berkaitan dengan kes yang berlaku di
Plaza Low Yatt, beratus orang anak muda negara kita yang merupakan modal insan negara
telah terlibat dalam suatu kes pergaduhan yang menjadi tumpuan media negara kita. Kesemua
anak muda tersebut mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi, namun disebabkan oleh
akhlak yang goyah, maka secara tidak langsung ianya langsung tidak mampu menyumbang
apa-apa kebaikan kepada negara. Insiden inilah yang harus dijadikan sebagai pengajaran oleh
anak-anak muda kita bahawa sememangnya akhlak mulia dalam diri anak-anak muda pada
masa kini adalah masih kurang dan seharusnya dipupuk dengan segera supaya insiden
sebegitu tidak akan berulang kembali.

Oleh itu, adalah amat penting bagi anak-anak muda generasi zaman kini untuk disemai
dengan nilai-nilai moral supaya mereka boleh bertindak dengan lebih rasional bagi membantu
membangunkan negara kita dan adalah amat merugikan sekiranya mereka tidak mampu
menyumbangkan tenaga kepada negara kita. Untuk memastikan modal insan negara kita
adalah seimbang dari segi intelek dan sahsiah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah
mengambil langkah pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,
dengan menumpukan agenda “Melahirkan Rakyat Malaysia Dengan Pengahayatan Nilai” dalam
anjakan ketiga pelan tersebut. Kita boleh lihat betapa gigihnya usaha Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk membangunkan modal insan kelas pertama yang mampu menjanjikan sebuah
tamadun yang cemerlang.

3.0 LANGKAH-LANGKAH MENGHASILKAN MODAL INSAN YANG CEMERLANG

Pada masa kini, negara kita seharusnya melahirkan modal insan yang seimbang dari
segi ilmu pengetahuan, akhlak dan kemahiran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara yang berdaya maju dan berdaya saing. Persoalannya, bagaimanakah negara kita
hendak melahirkan modal insan yang seimbang dari pelbagai aspek? Ilmu pengetahuan
merupakan sesuatu yang subjektif. Pelbagai ilmu pengetahuan perlu disemai dalam diri modal
insan bukan terhad kepada ilmu sastera, sains dan teknologi bahkan ilmu kepimpinan juga

2
amat penting dalam diri seseorang modal insan. Untuk menghasilkan modal insan yang
berpengetahuan, ibu bapa yang merupakan guru pertama kepada anak-anak mereka haruslah
mengambil langkah untuk mencorak anak-anak mereka. Ibu bapa seharusnya memberi
perhatian yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka dari segi pelajaran supaya anak-anak
mereka mampu mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa pada masa kini seharusnya menghantar anak-anak mereka ke
sekolah sejak umur 5 tahun lagi supaya anak-anak mereka mampu mendapat ilmu-ilmu
pengetahuan bermula dari prasekolah sehinggalah ke peringat universiti (Mok, 2010). Bagi
memastikan modal insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, bukan sahaja perlu
bergantung kepada ibu bapa, malah guru-guru di sekolah juga perlu mengambil peranan. Oleh
itu, saya sebagai guru di sekolah perlulah mengambil langkah yang proaktif dengan
mengaplikasikan pelbagai kaedah pengajaran yang berkesan terhadap murid-murid supaya
mereka mampu menerima segala input yang diberi oleh guru ketika dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran.

Kita sedia maklum bahawa bukan semua murid yang mahu menurut segala arahan
daripada guru telah mengakibatkan sesetengah murid kurang mendapat ilmu pengetahuan
daripada guru disebabkan oleh beberapa faktor seperti pengaruh rakan sebaya, kurang minat
belajar dan sebagainya. Oleh itu, saya sebagai seorang guru di sekolah haruslah kreatif untuk
menarik minat murid-murid untuk belajar dan secara tidak langsung mengubah tingkah laku
negatif murid-murid di sekolah. Menurut B.F Skinner dalam Khoo Bee Lee (2014), setiap insan
mempunyai tingkah laku yang berlainan dan untuk memastikan seseorang individu berkelakuan
positif, maka pelbagai teknik boleh diaplikasikan terhadap murid seperti teknik ekonomi token
yang boleh menarik minat individu terhadap sesuatu perkara.

Di samping itu, modal insan yang ingin dibentuk juga perlu dibekalkan dengan moraliti
yang tinggi. Pelbagai insiden yang berlaku di negara kita cukup memperlihatkan akhlak yang
dimiliki oleh modal insan di negara kita masih tidak mencukupi. Untuk melahirkan modal insan
yang berakhlak, saya sebagai guru perlu bergiat aktif untuk mengadakan aktiviti untuk
membentuk sahsiah positif dalam murid-murid sejak di bangku sekolah lagi. Sebagai contoh,
program “1Murid 1Sukan” yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada
tahun 2011 merupakan wadah utama yang mampu membentuk murid-murid yang bersahsiah
sama ada melalui sukan permainan, badan beruniform dan sebagainya. Pelbagai aktiviti seperti
perkhemahan dan ceramah boleh dilaksanakan secara aktif kerana ianya mampu melatih
murid-murid untuk lebih berdisiplin dan mereka juga boleh belajar untuk menghormati antara

3
satu sama lain sekiranya aktiviti tersebut melibatkan pelabagai kaum. Selain itu, murid-murid di
sekolah juga boleh mempelajari cara kepimpinan yang berkesan supaya suatu hari nanti
mereka mampu memimpin negara kita ke arah yang berintegriti dan positif untuk memajukan
negara kita.

Di samping itu, sahsiah terpuji dalam kalangan murid juga boleh dibentuk melalui
peranan guru. Untuk menyemaikan sahsiah yang baik dalam diri murid, saya sebagai guru
sepatutnya mengambil peranan yang besar dalam dengan berperanan menjadi role model
kepada murid. Saya seharusnya bersikap profesional dengan mengamalkan nilai-nilai murni
ketika mengajar supaya murid-murid boleh menjadikan guru sebagai ikutan mereka. Sebagai
contoh, saya tidak sepatutnya merokok di kawasan sekolah, menggunakan kata-kata yang
kasar ketika di hadapan murid kerana semua ini akan mempengaruhi murid-murid di sekolah.
Selain itu, saya juga boleh membahagikan murid-murid kepada kumpulan yang kecil yang terdiri
daripada pelbagai kaum dalam satu kumpulan ketika melakukan aktiviti di dalam kelas. Hal ini
demikian kerana, dengan adanya usaha seperti itu, murid-murid boleh belajar untuk bertoleransi
dan saling menghormati serta bekerjasama supaya masalah-masalah pergaduhan dalam
kalangan murid tidak akan berlaku dan mampu melahirkan modal insan yang cukup bersahsiah
untuk mengelakkan tragedi hitam seperti tragedi 13 Mei 1969 yang merugikan modal insan dan
negara kita.

Selain daripada sahsiah terpuji, murid-murid di sekolah juga perlu dibekalkan dengan
pelbagai kemahiran. Hal ini demikian kerana, negara kita pada hari ini bukan sahaja
menumpukan ke atas bidang kolar putih, tetapi juga kolar biru yang memerlukan pelbagai
kemahiran. Oleh itu, semasa di sekolah, saya perlu mengajar murid-murid dengan baik segala
kemahiran dalam matapelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB). Pelbagai kemahiran yang
boleh diajar kepada murid-murid melalui matapelajaran tersebut seperti kemahiran teknikal,
bertukang dan sebagainya. Apabila mereka melangkah ke sekolah menengah pula,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah menyediakan Sekolah Teknik dan
Vokasional yang khas melatih murid-murid dengan menawarkan pelbagai matapelajaran bidang
kemahiran seperti kimpalan, pempaipan, mekanikal elektrik dan sebagainya untuk
menggilapkan lagi bidang kemahiran mereka supaya mereka boleh menggunakan segala
kemahiran yang mereka pelajari untuk membangunkan sektor ekonomi negara kita. Oleh itu,
saya seharusnya komited dalam mengajar murid-murid kerana terdapat sesetengah guru yang
mengajar hanya sambil lewa kerana mereka menganggap bidang kemahiran adalah suatu
bidang yang tidak penting kerana mereka lebih menumpukan kepada bidang akademik.

4
Akhir sekali, untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, saya sebagai guru juga perlu
mencungkil dan menggilap potensi yang ada dalam diri murid-murid. Kita sedia maklum bahawa
setiap murid mempunyai potensi mereka yang tersendiri. Untuk mencungkil potensi murid-
murid, saya akan berbincang dengan pihak sekolah untuk mengadakan pelbagai pertandingan
seperti pertandingan bercerita, syarahan, perbahasan dan sebagainya untuk memberi ruang
dan peluang kepada murid-murid bagi memperkembangkan lagi potensi-potensi yang sedia ada
dalam diri mereka. Sekiranya mereka boleh menguasai potensi tersebut, maka ianya mampu
membantu murid-murid tersebut menjadi lebih yakin ketika berinteraksi dengan masyarakat dan
tidak mustahil juga mereka boleh jadi guru dan pemimpin yang baik pada suatu hari kelak yang
boleh memajukan negara kita.

4.0 KESIMPULAN

Tuntasnya, usaha untuk mengembangkan potensi individu secara holistik dan


bersepadu serta melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan perlu dijadikan matlamat
utama Kementerian Pendidikan Malaysia demi menjadi penyumbang kepada pembinaan
tamadun yang cemerlang pada masa depan. Pembangunan modal insan bermindakan kelas
pertama amat penting bagi menjadikan Malaysia bukan sahaja negara maju yang beridentitikan
diri sendiri, malah akan menjadi contoh bagi negara-negara di seluruh pelosok dunia. Dalam
konteks dunia global hari ini, modal insan yang benar-benar berkualiti adalah satu kemestian,
bukan lagi satu kemewahan dan kemegahan. Oleh itu, bersama-samalah kita melangkah maju
ke hadapan bukan sahaja berpaksikan pengetahuan bahkan juga dengan akhlak yang mulia
serta berkemahiran untuk mencapai wawasan negara iaitu wawasan 2020.

Anda mungkin juga menyukai