Anda di halaman 1dari 1

TEKS UCAPAN MAJLIS PERPISAHAN PN WIDYAWATI BINTI MAHMOOD

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Yang Berusaha, Pn. Roslina binti Janor, Guru Besar SK Batu Sembilan

Yang Dihormati, En Abdul Hakim bin Ismail, Guru Penolong Kanan HEM, guru- guru SK Batu
Sembilan yang dihormati serta murid-murid yang saya kasihi sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Badan Kebajikan Guru dan
Staf (BKGS) SK Batu Sembilan kerana telah bertungkus-lumus menganjurkan majlis ini untuk
meraikan saya. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, setiap yang bermula pasti akan
berakhir. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Mahu atau tidak, perkara tersebut tidak
mungkin dapat dielakkan. Pada mulanya, saya sendiri terkejut apabila mendapat panggilan
daripada pegawai JPN yang meminta saya menghadirkan diri ke JPN untuk mengambil surat.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya adakah benar sangkaan saya tentang berita
kenaikan pangkat atau lain-lain. Setelah menerima surat penempatan sebagai Guru Besar di SK
Taman Kosas, perasaan saya bercampur-baur antara gembira dan sedih. Gembira kerana saya
diberi peluang untuk meluaskan pengalaman saya dalam bidang pendidikan sebagai Guru Besar
pula setelah 10 tahun berkhidmat sebagai penolong kanan tetapi dalam masa yang sama sedih
kerana terpaksa meninggalkan warga sekolah SK Batu Sembilan yang begitu akrab dengan
saya.

Sepanjang saya berkhidmat di sekolah ini iaitu selama hampir satu tahun bermula dari
bulan Julai 2019 sehingga ke saat ini, saya amat menghargai segala jasa baik, kerjasama dan 
kasih sayang  yang telah diberikan oleh semua guru dan staf pejabat di sekolah ini. Walaupun
baru sahaja setahun di sini tetapi kenangan dan keakraban yang terjalin pastinya sukar saya
lupakan. Segala kenangan pahit manis kita bersama dalam menjalankan tanggungjawab dan
tugas akan sentiasa saya sematkan di dalam lubuk hati saya.

Kenangan dan pengalaman bersama-sama akan sentiasa subur dalam ingatan saya
sepanjang menjadi seorang guru. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada
guru-guru dan rakan-rakan pentadbir yang telah sama-sama memberi kerjasama, tunjuk ajar dan
semangat dalam saya mengurus dan mentadbir segala urusan di SK Batu Sembilan.

Di kesempatan ini juga, saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada seluruh
warga SK Batu Sembilan iaitu rakan-rakan guru yang telah sama-sama mencurah bakti untuk
anak bangsa yang kita cintai dan juga staf pejabat yang banyak membantu melancarkan urusan
pentadbiran sekolah. Saya memohon agar dihalalkan makan minum dan segala ilmu yang telah
dikongsi bersama sepanjang saya bekerja dengan guru-guru di SK Batu Sembilan. Saya juga
menghalalkan segala perkongsian ilmu dan sebagainya sepanjang saya berada di sekolah ini.

Sekiranya terkenangkan saya atau ada sebarang masalah, janganlah segan untuk
menghubungi atau melawat saya di sana. In shaa Allah saya akan cuba membantu. Saya akhiri
ucapan saya dengan serangkap pantun.

Hujan turun baju pun basah,

Batang galah haluan perahu;

Niat di hati tak mahu berpisah,

Kehendak Allah siapa yang tahu.

Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai