Anda di halaman 1dari 2

BISMILLAHIROHMANIRRAHIM,

Terima kasih Puan Pengerusi Majlis,

Yang Berbahagia En. Rosli bin Chik, Tuan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah
Hulu Terengganu,

Yang berusaha, Barisan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan daerah Hulu
Terengganu,

Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu,

Barisan Ahli Jawatankuasa Majlis Guru Besar daerah Hulu Terengganu,

Dif-dif kehormat,

Para Jemputan,

Guru-guru Penolong Kanan,

Guru-guru, dan kakitangan sekolah yang dirahmati Allah sekalian,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Yang Maha Esa, kerana dengan limpah
rahmatNya dapat kita bersama-sama pada pagi yang berbahagia ini untuk meraikan majlis persaraan
Guru Besar yang kami kasihi, Cikgu Tan Woon Su. Semoga majlis yang bermakna ini akan menjadi
memori di hati kami warga SK Getang khasnya dan kepada para hadirin amnya.

Hadirin yang dimuliakan,

Terlebih dahulu, saya mewakili warga sekolah ini terutamanya para pendidik, merakamkan rasa
terharu kerana perpisahan ini. Suasana seakan redup seketika dan keindahannya tiba-tiba terasa
suram apabila nanti Guru Besar Cikgu Tan Woon Su berlalu meninggalkan sekolah ini. Walaupun hati
masih lara dan seolah-olah tidak mengizinkan, tetapi kami semua reda dengan ketentuan ini.
Justeru, majlis ini pasti akan menjadi satu memoir indah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Cikgu Tan Woon Su bukan sahaja seorang Guru Besar, tetapi pemimpin dalam keluarga kecil SK
Getang, malah beliau juga seorang bapa yang menjadi tonggak menerajui sekolah ini ke arah
kecemerlangan. Masa terlalu pantas berlari. Kadang kala akibat kesibukan dengan tugas seharian
dan pelbagai komitmen yang kami tempuhi, menyebabkan kami tidak terasa dan tidak terperasan
begitu pantasnya juga tempoh perkhidmatan Cikgu Tan woon Su sebagai Guru Besar telah berakhir.
Sesungguhnya berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang kami rasai
sekarang ini. Berat sungguh bagi kami semua untuk melepaskannya pergi.
Hadirin yang dikasihi,

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di sekolah ini, beliau telah banyak menyumbangkan jasa
terhadap kemajuan, perkembangan dan pembangunan sekolah,sama ada dari segi akademik,
kokurikulum, keceriaan dan pembinaan modal insan. Yang diraikan Cikgu Tan Woon Su juga
merupakan seorang yang mementingkan pendidikan dan sentiasa memikirkan hala tuju sekolah ini.
Dengan berbekalkan ilmu yang ada, beliau tidak lokek dengan ilmu pengetahuan, malah segala
pendapat dan pandangan kami sentiasa akan diperhalusi dan diterima dengan hati yang terbuka.
Jalan penyelesaian sentiasa ada terhadap masalah yang kami hadapi di sekolah ini. Beliau juga
sentiasa membentuk elemen keceriaan dan sentiasa memastikan prasarana di sekolah ini lengkap
supaya setiap program yang dirancang dapat dijalankan dengan sempurna.

Hadirin yang dimuliakan,

Kehilangan ini pasti akan dirasai, Patah tumbuh hilang berganti, namun yang hilang akan tetap abadi
dalam memori dan yang tumbuh menggantiknanya pula diharapkan dapat meneruskan legasi SK
Getang. Pada kesempatan ini, saya bagi pihak semua warga SK Getang merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Diraikan Cikgu Tan Woon atas
sumbangan dan komitmen beliau sepanjang tempoh perkhidmatan di sekolah ini. Kami berdoa
semoga beliau dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan dipermudah segala urusan
pada setiap masa.

Untuk yang terakhir kalinya, terimalah ucapan “Selamat Bersara Cikgu” Daripada Kami semua..
warga SK Getang, Sekian terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai