Anda di halaman 1dari 17

1.

0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Remaja adalah kekuatan, ia bagaikan sinar mentari, sesungguhnya mentari tidak

dapat bersinar di senja hari secerah ketika di waktu pagi. Begitu juga pepohonan berbuah

ketika masih muda, sesudah itu semua pohon tidak lagi menghasilkan apapun kecuali

ranting. Remaja adalah tahap umur yang datang setelah berakhirnya masa kanak-kanak.

Pertumbuhan dan perkembangannya sangat cepat sehingga menyebabkan perubahan yang

besar terhadap sikap, kesihatan dan keperibadiannya.

Remaja adalah insan yang mencari sesuatu dalam dirinya sendiri, kekalutan dalam

menemukan titik identiti diri menyebabkan ia bagaikan meraba gajah di dalam gelap.

Seseorang yang kebetulan memegang kaki gajah mengatakan bahawa gajah itu hanya

sebesar bola, sedangkan seorang lagi terpegang telinganya mengatakan bahawa gajah itu

lembut dan lemah seperti kelinci, begitu juga yang lain kebetulan memegang gadingnya

mengatakan bahawa gajah itu kecil dan tajam. Begitulah persepsi para remaja dalam

mengertikan kehidupan.

Remaja yang ingin melihat dirinya dalam bentuk yang utuh harus memahami

akan hakikat dirinya sendiri agar tidak menjadi seperti meraba gajah di dalam gelap.

Sesungguhnya di dalam diri insan terdiri dari unsur roh, jasad dan nafsu. Roh merupakan

sumber kehidupan yang mengatur fikiran dan hati untuk bertanggungjawab kepada Ilahi.

Jasad, berasal dari tanah dan akhirnya akan kembali ke tempat asalnya. Begitu juga nafsu,

jika dibawa ke jalan yang lurus, maka akan luruslah kehidupan kita, namun jika diikuti

kehendaknya maka tersesatlah dalam jurang kenistaan. Hiasi diri dan peribadi dalam

menempuh kehidupan yang mungkin masih panjang.

1
Masalah sosial di kalangan remaja masa kini amat membimbangkan banyak

pihak. Boleh dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan

negara. Ini dapat dilihat dengan pembangunan yang hampir ke kemuncaknya, akhlak

remaja juga semakin jatuh dan bagaikan tidak dapat di bendung lagi. Penyakit masalah

sosial sebenarnya telah lama bertapak di negara kita dan di hati anak-anak yang semakin

meningkat remaja.

Dewasa ini masalah keruntuhan akhlak di kalangan pelbagai masyarakat di negara

kita amat mencemaskan dan menjadi semakin rumit untuk ditangani. Salah satu masalah

sosial yang agak meruncing adalah penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat

khususnya golongan remaja. Penyalahgunaan dadah yang berleluasa ini telah

menimbulkan satu masalah besar kepada negara. Setiap tahun bilangan penagih kian

bertambah sedangkan yang sedia menagih tidak pula berkurangan atau sembuh.

Pihak kerajaan telah berusaha keras untuk menangani masalah ini yang kini sudah

menjadi satu agenda utama negara untuk membasminya. Walaupun kita semua benci

kepada perkara ini, namun kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk

memulih dan menyelamatkan mereka yang terlibat ini dan berharap mereka akan insaf

serta berusaha memulihkan diri sendiri.

2
2.0 DEFINISI KONSEP

2.1 Remaja

Zaman remaja adalah "satu tempoh masa peralihan" manakala pakar-pakar

pendidikan pula menamakan zaman remaja sebagai "zaman pancaroba" penuh dengan

ciri ketegangan yang sentiasa bergolak dan bergelora. Anak-anak muda dalam tahap ini

amat mudah terpengaruh dengan budaya liar, melibatkan diri dengan gejala buruk dan

gemar meniru cara hidup yang tidak bermoral, tidak selaras dengan nilai-nilai agama dan

tidak bersesuaian dengan sopan santun bangsa sendiri.

Remaja adalah masa peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa. Zaman

remaja bermula dari usia 10 hingga 19 tahun. Walaubagaimanapun, tempoh peralihan ini

berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain.

2.2 Dadah

Dadah adalah bahan kimia asli dan tiruan yang dimasukkan ke dalam tubuh yang

boleh mengubah keadaan badan, perasaan dan kelakuan pengguna. Perubahan mencakupi

aspek fizikal dan emosi yang lebih menjurus ke arah keburukan. Kemasukan bahan kimia

boleh dilakukan melalui suntikan, hiduan, ditelan atau dengan apa-apa cara tanpa

mempunyai sebab yang kukuh. Pengambilan dadah yang berlebihan boleh menyebabkan

seseorang itu menemui maut.

Dadah adalah bahan psikoaktif yang boleh mendatangkan kesan terhadap

kesihatan tubuh badan. Dadah berupaya memberi kesan buruk kepada sistem saraf pusat

iaitu otak dan saraf tunjang seorang. Penggunaan dadah selain daripada perubatan adalah

dilarang.

3
3.0 DADAH MUSUH NEGARA

3.1 Jenis-jenis Dadah

Jenis-jenis dadah umumnya boleh dibahagi kepada dua iaitu jenis semula jadi

(morfin dan kodeina); separa-tiruan (heroin dan hidromorfon), dan tiruan (meperidin,

metadon). Bahan tiruan dan separa-tiruan merupakan terbitan daripada pengolahan unsur

kimia candu.

Morfin merupakan alkaloid utama dalam candu. Kandungannya antara empat

hingga 21 peratus. Rasanya pahit dan tidak berbau. Ia didapati dalam bentuk serbuk

berwarna putih. Kegunaan utama morfin terhad sebagai ubat penahan sakit di klinik dan

hospital. Di pasaran, ia tersedia dalam bentuk pil, kapsul, ataupun cecair untuk suntikan.

Apabila terdedah kepada udara dan cahaya warnanya menjadi gelap.

Alkaloid candu lain ialah kodeina. Kandungannya agak rendah iaitu 0.7 hingga

2.5 peratus. Walau bagaimanapun kebanyakan kodeina kini diperolehi daripada morfin

dan didapati dalam bentuk pil, kapsul dan cecair. Kegunaannya dalam perubatan agak

meluas berbanding morfin, khususnya sebagai ubat batuk.

Heroin ialah bahan separa-tiruan hasil daripada pengolahan morfin dan candu.

Warna asalnya putih, kadangkala perang setelah dicampurkan dengan bahan lain. Heroin

sebenarnya tidak mempunyai sebarang kegunaan perubatan walaupun pada tahun 1930-

an ia pernah diiklan sebagai ubat.

Hidomorfon juga ialah sejenis dadah separa-tiruan yang diperbuat daripada

morfin. Kegunaan perubatannya agak banyak dan oleh itu mudah disalahgunakan. Ia

didapati dalam bentuk tablet dan cecair.

4
Meperidin ataupun petidin adalah dadah tiruan sepenuhnya. Ia diperbuat

keseluruhannya dalam makmal dengan tujuan menggantikan kegunaan morfin. Ini kerana

ia boleh mengurangkan kesan buruk berbanding morfin, khususnya kesan tolerans dan

pergantungan. Meperidin juga boleh berfungsi menahan sakit dan didapati dalam bentuk

pil serta cecair. Meperidin masih mempunyai kesan tolerans dan pergantungan jika

digunakan berpanjangan dan meluas.

Metadon ialah satu lagi dadah tiruan. Selalunya ia digunakan untuk mengawal

proses detoksifikasi ataupun "pembuangan" dadah lain daripada tubuh penagih. Ini

kerana walaupun kesannya sama dengan dadah lain, kesan tersebut tidak seteruk dan

secepat jenis lain. Metadon juga boleh disalahgunakan dan menyebabkan maut.

Kini terdapat sejenis ubat dadah baru yang berupaya melawan pengaruh dan

kesan-kesan dadah lain. Ia dikenali sebagai "antagonis" narkotik, iaitu ubat penghalang

kesan dadah. Contohnya ialah nalorfin, nalokson, pentazosin dan naltrekson. Nalorfin

juga akan memberi kesan menyerupai morfin apabila diberi kepada seseorang yang

bukan penagih. Bahan lain yang bersifat seperti nalorfin ialah pentazosin.

Daripada semua yang telah disebutkan tadi, terdapat satu jenis dadah yang

semakin popular kini iaitu ecstasy. Dalam tiga bulan ini, kita telah digemparkan dengan

penggunaan secara berleluasa pil khayal ecstasy di kalangan remaja. Kaum Cina

merupakan kaum yang banyak menggunakannya kerana kemampuan dan kesanggupan

mereka membayar untuk sebiji pil pada harga yang tinggi iaitu antara RM50.00 sehingga

RM200.00.

Penggunaan pil ini di kalangan remaja Melayu seolah-olah memberikan petanda

bahawa penggunaannya sudah mula berkembang. Pada masa yang sama dibongkar berita

5
tentang kewujudan makmal haram di rumah persendirian bertujuan menghasilkan pil-pil

ecstasy tiruan. Ecstasy ialah nama yang di berikan kepada sejenis bahan kimia kumpulan

amfetamin daripada terbitan 3,4-metilin-dioksi-amfe tamina (MDA).

la dikenali sebagai 3,4-metilin-dioksi-mefamfetamin dengan nama singkatan

MDMA. Nama lain yang diberikan termasuklah XTC, Adam, AKA atau E. Di Malaysia,

ia juga dikenali sebagai WY, Diamond Brand, 88, YY coklat, ungu muda, dan biru muda.

Lazimnya, ia didapati dalam bentuk pil putih tetapi di Malaysia, terdapat dalam pelbagai

warna. Walaupun begitu, pil ecstasy yang dijual di pasaran gelap tidak semestinya

mengandungi hanya MDMA tetapi boleh digantikan dengan sumber MDA yang lain atau

dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Amfetamin terbitan MDA ini terdiri daripada 200

jenis kesemuanya, masing-masing mempunyai struktur kimia dan kesan yang hampir

sama antara satu sama lain.

3.2 Tanda-tanda Penagihan Dadah

Penagih dadah adalah satu masalah besar dalam masyarakat kita. Kehadiran

dadah dan penagih dadah merupakan ancaman kepada diri, keluarga dan masyarakat

tanpa mengira peringkat umur mahupun kedudukan. Tanda-tanda berikut boleh kelihatan

pada seseorang yang terlibat dalam penagihan dadah.

 Merosot di dalam sekolah atau kerja serta kehadiran, penurunan dari segi

disiplin, pencapaian dan kualiti sesuatu tugas.

 Perubahan di dalam sikap dan tingkah laku.

 Kemerosotan dalam terampilan dan kebersihan diri.

6
 Hilang selera makan, susut beat badan dan mata beair serta mata putih

menjadi merah.

 Kesan suntikan jarum pada lengan.

 Memencilkan diri dari kawan, rakan sekerja dan aktiviti rekreasi.

 Mempunyai keinginan (tendency) untuk meminjam wang atau mencuri

barang-barang yang senang dijual.

Sentiasa berada di tempat-tempat terpencil seperti bilik stor, bilik kecil atau

tempat terlindung dari pandangan orang ramai tanpa sebarang sebab melainkan untuk

menagih dadah.

3.3 Kesan-kesan Pengambilan Dadah

 Merosakkan sistem saraf pusat (otak dan saraf tunjang).

 Mengakibatkan kematian mengejut.

 Dalam keadaan mabuk atau khayal, penagih tidak dapat mengawal pergerakan

badan.

 Risiko jangkitan AIDS, hepatitis dan kancing gigi apabila menggunakan alat

suntikan yang kotor.

 Kesan kepada wanita mengandung :- keguguran, kelahiran bayi songsang, lahir

belum cukup umur, kematian bayi semasa lahir dan melahirkan bayi yang

menunjukkan gejala tarikan.

 Melemah dan merosakkan daya pemikiran, pemahaman, percakapan, pengiraan

dan kebolehan menyelesaikan masalah.

7
 Melemahkan aktiviti otak, terutama daya menyelesaikan masalah, budi bicara dan

penganalisaan.

Senarai di atas masih tidak cukup untuk melihat kesan akibat penggunaan najis

dadah. Kita tahu bahawa penyalahgunaan dadah ini dilakukan dengan pelbagai cara yang

membahayakan. Ini termasuklah dengan menyutik terus ke dalam vena (intravena),

dipanggil saluran utama main lining oleh penagih atau menyuntiknya melalui kulit

(subkutaneus). Ada juga yang menyedutnya melalui hidung atau menghisapnya seperti

rokok.

Melalui kaedah penggunaan yang tidak menentu ini, seseorang penagih itu boleh

dijangkiti pelbagai penyakit khususnya akibat perkongsian jarum suntikan yang kotor dan

berulang-ulang. AIDS, hepatitis serta keracunan darah merupakan antara penyakit yang

sering berlaku. Tambahan pula, dadah yang mereka gunakan selalunya telah tercemar

dengan bahan seperti gula, tepung, pewarna makanan, bedak dan ubatan lain.

Penggunaan dadah yang tercemar ini memungkinkan berlakunya kesan yang lebih buruk

lagi.

Kesan suntikan daripada tanda cucukan jarum boleh dilihat di merata badan

penagih yang menggunakan jarum suntikan khususnya di lengan. Ini membawa kepada

terjadinya penyakit kulit terutamanya di tempat-tempat suntikan dan kemudian merebak.

Oleh itu mereka selalu berbaju lengan panjang bertujuan menutup tanda tersebut.

Apabila dadah digunakan berulang kali ia menyebabkan seseorang itu bergantung

kepadanya dan memerlukannya setiap hari. Kesan pergantungan ini berlaku akibat

fenomena yang dipanggil tolerans. Sukatannya terpaksa ditingkatkan dari semasa ke

semasa bagi mendapatkan kesan seperti yang pernah dialaminya. Lama-kelamaan lebih

8
banyak dadah diperlukan setiap kali dan ini membuatkan seseorang itu terikat kepada

dadah tersebut dan akhirnya dia menjadi ketagih.

Proses pemulihan penagih bermula selepas 36 jam mereka berhenti mengambil

dadah. Ketika ini penagih menderita teramat sangat kerana terputus bekalan. Keadaan

seperti ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang rawatan melainkan disimbah dengan air

sejuk sekali-sekala. Ini dipanggil kaedah "cold turkey". Kesemua kesan ini akan mula

berkurangan pada hari ketujuh hingga kesepuluh. Keseluruhan proses ini pula dikenali

sebagai detoksifikasi. Proses detoksifikasi ini boleh dibantu dengan rawatan tertentu

sekadar mengurangkan risiko kepada penagih itu sahaja.

Namun demikian, pergantungan psikologi (mental dan emosi) terhadap

penggunaan dadah akan berterusan, mungkin untuk selama-lamanya. Inilah cabaran yang

sering menggagalkan seseorang penagih daripada meninggalkan terus tabiat penagihan

mereka. Dalam masa beberapa hari atau bulan selepas didetoksifikasikan, si penagih akan

masih terkenangkan masa silam mereka.

Dari segi sosial pula, oleh sebab ianya merupakan bahan yang paling merbahaya,

si penagih selalunya akan sentiasa berada dalam keadaan lalai, lali, dan hanya berminat

untuk tidur. Ramai di antara mereka menemui ajal semasa tidur.

Kesimpulannya seseorang yang terjerumus dalam penggunaan dadah akan

menghadapi risiko yang besar. Walaupun ia dapat dipulihkan, kenangan gelap bersama

dadah masih melekat dalam ingatan mereka dan kemungkinan besar mereka akan

kembali menagih walaupun setelah melalui proses pemulihan berulang-ulang kali.

9
4.0 PENAGIHAN DADAH DI KALANGAN REMAJA

4.1 Remaja dan Dadah

Perkembangan mutakhir, terutamanya menjelangnya abad 21, telah

memperlihatkan kepada kita akan gejala yang melanda negara kita berhubung dengan

disiplin para remaja. Berbagai pihak telah mengeluarkan hujah-hujah mereka untuk

melepaskan diri daripada tuduhan kegagalan mendisiplinkan para remaja terutamanya

yang berada di bangku sekolah.

Rata-rata masyarakat hari ini sedang kebingungan dengan fenomena keruntuhan

akhlak di kalangan remaja. Pelbagai persoalan ditimbulkan. Apakah pihak sekolah selaku

institusi pendidikan gagal menangani masalah itu? Bagaimana pula peranan ibubapa dan

keluarga? Sejauh manakah keprihatinan pemimpin dalam soal ini? Bagaimana pula reaksi

institusi agama dalam menanganinya?

Berdasarkan statistik daripada Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) pada

tahun 2001, 81.6% daripada keseluruhan penagih di Malaysia (31,556 orang) adalah

terdiri daripada golongan remaja/belia iaitu mereka yang berumur kurang 40 tahun.

Statistik ini menunjukkan penglibatan remaja/belia dalam penagihan dadah semakin

membimbangkan.

4.2 Langkah Pencegahan

Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah

penyalahgunaan dadah di negara kita khususnya yang melibatkan para remaja.

Guru-guru boleh membantu menerapkan tentang bahaya penggunaan dadah dalam

matapelajaran pendidikan moral dan menggalakkan lebih ramai pelajar menyertai

10
aktiviti-aktiviti ko-kurikulum sekolah seperti sukan badminton, bola tampar, mendaki

gunung, serta melawat rumah-rumah kebajikan, agar pelajar tidak menggunakan masa

terluang mereka dengan membuat perkara yang tidak berfaedah serta pertandingan-

pertandingan melukis, menulis esei, mencipta logo, menyanyi dan sebagainya harus

dilakukan di peringkat sekolah dari semasa ke semasa.

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka. Sebagai orang yang terdekat

dengan remaja, mereka harus peka terhadap aktiviti luaran anak-anak mereka. Mereka

harus meluangkan masa dengan anak-anak dengan cara pergi melancong atau beriadah.

Didikan agama juga penting untuk anak-anak. Mendekatkan diri dengan tuhan akan

membuatkan mereka takut untuk melakukan perkara-perkara yang tidak sihat. Namun

yang paling penting sekali ialah memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada

mereka. Ibubapa harus sedar bahawa anak-anak merupakan aset penting negara, oleh itu

bimbinglah anak-anak seperti menatang minyak yang penuh. Walaupun ramai ibubapa

yang bekerja, mereka harus pandai membahagikan masa agar dapat memberikan

perhatian yang saksama dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pekerja,

pengusaha serta sebagai ibubapa.

Pihak media massa pula harus menyiarkan serta menerbitkan banyak artikel-

artikel tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Drama-drama atau filem-filem yang

menjurus kepada memberi pengajaran dan teladan kepada orang ramai khususnya remaja

agar menjauhi diri dari dadah haruslah diperbanyakkan lagi.

Namun, dalam konteks ini, apa yang paling penting sekali ialah sikap remaja itu

sendiri. Mereka harus mempunyai kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah.

Masa remaja hanya sekali dalam hidup. Oleh itu, remaja harus menggunakan masa yang

11
terhad ini untuk menimba ilmu, berbakti kepada keluarga serta negara. Para remaja harus

mengelakkan dan menjauhkan diri daripada berkawan dengan orang yang terlibat dengan

dadah.

Namun begitu sebagai masyarakat yang prihatin kita juga mempunyai

tanggungjawab dalam membendung masalah ini daripada terus menular di kalangan

remaja. Antaranya :-

 Mengelak dadah dan mengamalkan cara hidup sihat.

 Mengetahui akibat dan kesan buruk dadah.

 Mendapatkan perskripsi ubat hanya dari doktor atau farmasi yang bertauliah.

Jangan membeli ubat atau pil dari orang perseorangan yang tidak berkelayakan

memberi perskripsi ubat.

 Jangan membiarkan dadah menghampiri keluarga anda. Kita perlu mengamalkan

hubungan erat untuk membentuk keluarga yang harmoni. Sebagai ibubapa,

jadikan diri sebagai contoh yang terbaik dengan meluangkan masa bersama anak-

anak dan sentiasa bersedia berkomunikasi dan mendengar masalah mereka,

berterus-terang dengan anak-anak, peka dan mengetahui apa yang mereka lakukan

dan siapa rakan sebaya mereka, memberikan kasih sayang kepada semua anak

kerana kasih sayang akan mengukuhkan ikatan keluarga.

 Mengetahui apa yang dibawa. Jangan menolong mengambil atau menerima beg

atau bungkusan tanpa mengetahui apa kandungannya terutama dari orang yang

tidak dikenali.

12
 Mengamalkan aktiviti sihat. Kenalilah jiran-jiran di sekitar kawasan tinggal dan

adakan aktiviti sihat seperti keagamaan, sukan, ceramah mencegah penggunaan

dadah dan jenayah.

 Bersama-sama membasmi dadah dengan melaporkan kegiatan penyalahgunaan

atau pengedaran dadah kepada pihak polis.

Terdapat dua pendekatan melalui pendidikan yang diambil bagi mencegah

penyalahgunaan dadah. Pendekatan tersebut ialah pendekatan pengetahuan atau sikap

dan pendekatan psikososial.

Pendekatan pengetahuan atau sikap menggunakan strategi 'memberi

maklumat' dan 'taktik menakutkan'. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah

menyampaikan ceramah dimana isi ceramah adalah berkaitan dengan dasar dan

strategi Biro Kawalan Narkotik, Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27, kesan

kesan buruk penyalahgunaan dadah dan perkara perkara yang berkaitan dengan

pendidikan pencegahan dadah. Selain itu, aktiviti seperti menyampaikan mesej anti

dadah melalui media massa dan melalui poster atau pamphlet juga diadakan

disamping mengambil contoh air kencing secara mengejut. Mereka yang diambil

contoh air kencing adalah termasuk penuntut-penuntut sekolah, pegawai dan

kakitangan yang bekerja di sektor awam atau swasta dan badan badan bukan kerajaan

(NGO). Pengambilan contoh air kencing adalah dihadkan, iaitu pengambilan

maksimum bagi satu masa ialah 20 orang. Ini adalah untuk mengurangkan kos bagi

penganalisaan contoh air kencing.

Strategi yang digunakan bagi pendekatan psikososial pula ialah untuk

meningkatkan kemahiran sosial. Kemahiran sosial adalah perlu bagi membina

13
kemahiran menghadapi tekanan tekanan diri (Intrapersonal) dan tekanan tekanan

antara individu (Interpersonal).

Terdapat 3 jenis latihan kemahiran digunakan iaitu :-

a. Latihan kemahiran untuk individu.

Strategi ini menekankan pelbagai teknik kognitif. Ini bertujuan untuk

meningkatkan konsep sendiri, bagaimana menangani tekanan, kemahiran

membuat keputusan, meningkatkan ketahanan diri dan kemahiran komunikasi.

b. Latihan kemahiran untuk keluarga.

Strategi ini mengandaikan bahawa remaja menyalahgunakan dadah

disebabkan perhubungan anak dan ibubapa yang kurang memuaskan, kurang

kemahiran dalam penjagaan (parenting skills) atau perpecahan dalam

keluarga.

c. Latihan untuk remaja.

Strategi ini mengandaikan bahawa remaja menyalahgunakan dadah kerana kurang

kemahiran menahan desakan atau tekanan dari luar misalnya daripada rakan

sebaya yang menggunakan dadah. Justeru itu, strategi ini menekankan peranan

kumpulan sebaya untuk mengujudkan perkembangan sosial yang sihat.

14
5.0 KESIMPULAN

Remaja masa kini adalah remaja yang hidup dalam zaman yang serba mencabar dan

maju. Bagi mereka yang kurang agamanya sering terdorong melakukan perkara-perkara yang

terkeluar dari batas-batas kemulian dan akhlak. Setiap remaja harus menilai diri mereka sendiri

dan menentukan ke arah mana mereka harus menerajui diri mereka. Jika baik jalan yang dipilih,

maka bertuahlah kehidupan dan beruntunglah negara dan bangsa. Mereka harus peka dengan apa

yang mereka lakukan, mereka harus tahu setiap sesuatu yang diusahakan dengan baik akan

mendapat hasil yang baik.

Antara punca yang biasa didengar berkaitan dengan masalah dadah pelajar ialah akibat

pergaulan dan pengaruh rakan sebaya yang bersifat negatif, kesan media elektronik, pengaruh

budaya asing, kegagalan didikan ibu bapa, kurangnya didikan agama, persekitaran yang tidak

sesuai untuk kehidupan pelajar dan disebabkan terlalu banyak punca yang boleh diramalkan,

tindakan membendung masalah tidak lagi berfokus.

Dengan persekitaran yang lebih mencabar dan dunia menuju ke arah globalisasi, masalah

dadah di kalangan remaja ini mungkin menjadi semakin serius dan tindakan yang lebih drastik

perlu diambil. Secara keseluruhannya, secara sedar atau tidak, kebanyakan masalah yang

melanda pelajar pada masa kini adalah disebabkan konflik dan tekanan yang wujud di dalam

alam persekitaran.

Para guru perlu sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada

zaman 60 an dan 70 an dahulu. Pelajar dahulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala

tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi

selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat

menghormati di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.

15
Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih

lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani

mencabar kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti memarahi, merotan,

menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.

Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga

tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk

memberontak dan terlibat dengan gejala dadah.

Proses modenisasi atau pembangunan yang pesat telah mengubah cara hidup masyarakat

kita khasnya golongan remaja. Begitu juga dengan institusi kekeluargaan yang sudah tidak

dianggap penting lagi justeru itu akan meningkatkan kadar perceraian. Keruntuhan institusi

keluarga adalah punca utama kepada peningkatan masalah moral dan disiplin di kalangan

remaja.

Penglibatan ibu bapa dalam mensosialisasikan anak di peringkat remaja adalah sangat

penting. Pada peringkat ini remaja mengalami krisis identity akibat daripada peralihan zamn dari

alam kanak-kanak dan persediaan ke peringkat dewasa. Oleh itu, sokongan emosi daripada ibu

bapa amatlah diperlukan. Kajian yang telah dilakukan oleh Wagner dan Cohen (1996) mendapati

penerimaan dan penolakan cara gaya keibubapaan dapat dilihat melalui tingkahlaku yang

dipamerkan oleh remaja tersebut.

Mungkin dalam keadaan ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya, masa untuk mendekati dan

mendidik anak dengan nilai-nilai murni dan mulia agak terbatas. Namun jika kajian

menunjukkan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai mulia ini amat penting untuk menjauhkan

anak dari jenayah dan delikuensi, maka pastinya usaha untuk mencari masa dan mendidik anak-

anak dengan apa yang mereka perlu tahu bukanlah sesuatu yang sia-sia.

16
Dalam agama pula, ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak untuk menjadi

ahli masyarakat yang berguna kepada keluarga, agama dan bangsa. Sama ada ibu bapa itu senang

atau susah, sama ada keluarga itu ada ibu dan bapa atau hanya ada ibu atau bapa atau penjaga

sahaja tidak akan terkecuali dari tugas ini.

Agama dan ilmu adalah landasan yang kuat untuk anda terus menapak sebagai remaja

yang berjaya. Seorang remaja yang beragama lebih kebal untuk menangkis godaan syaitan.

Setiap remaja harus mempunyai harga diri sendiri. Tanpa menghargai diri sendiri kita akan

dipandang rendah oleh masyarakat.

Pendeknya, untuk melahirkan generasi remaja yang berakhlak mulia memerlukan kepada

penglibatan yang serius dari semua pihak. Tanpa kerjasama dari setiap pihak yang terlibat akan

membantutkan usaha untuk mendisiplin remaja. Kita juga turut bimbang masa depan para remaja

kini lebih-lebih lagi di era globalisasi yang tiada lagi batas sempadan komunikasi yang

menjanjikan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti.

Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan

negara. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam

politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di

kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan

merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh

para remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar

terhadap aset yang tidak ternilai ini.

17

Anda mungkin juga menyukai