Anda di halaman 1dari 7

TUNGGAK PEMBINAN TAMADUNAN MELAYU-ISLAM

Dr. Faisal @ Ahmad Faisal bin Abdul Hamid,1


Ketua / Pensyarah Kanan
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya, 50603 KUALA LUMPUR
Hp: 016-6659502, e-mail. faisal@um.edu.my

Abstrak

Kertas ini akan membincangkan keperluan umat Islam khususnya orang Melayu kepada
perbincangan ketamadunan dalam mengungkai kemelut kehidupan mereka kini. Kita
tidak perlu kepada pandagan yang ekstrem dan non objektif, sebaiknya kita perlu
kepada perbincangan yang waras dan kritikan kendiri serta ulang pandang kepada
warisan budaya dana agama kita agar kita mendapat petunjuk dari sejarah silam.
Kertas ini akan membincangkan langkah-langkah yang dilakukan oleh Baginda selama
berada di Mekah dalam usaha membina sebuah tamadun Islam unggul setelah berhijrah
ke Madinah.

Pendahuluan

1. Antara persoalan utama yang melanda umat Islam sedunia termasuklah orang Melayu
iaitu persoalan jatidiri atau bangga dengan diri sendiri. Bertolak dari penyakit inilah
banyak perkara yang timbul dan memerlukan penyelesaian tidak dapat ditangani dengan
sebaiknya. Mengapa tidak, kerana mereka adalah manusia yang bukan berwatak dan
mempunyai personaliti yang sama seperti orang barat namun setiap masalah mereka akan
dirujuk dengan barat atau dari kacamata barat. Lantaran itulah, setiap masalah yang
dihadapi oleh orang Islam seperti tiada kata penyudah kerana mereka tidak bangga
dengan apa yang mereka ada samada nilai agama Islam atau warisan budaya Melayu.

2. Sebenarnya kita mempunyai legasi budaya dan warisan yang kaya dengan nilai serta
ajaran yang cukup untuk bangkit dan membina kembali tamadun silam. Namun yang
menyedihkan segala yang ada dibuang atau dipinggirkan kerana terpukau dengan orang
jauh yang kononnya baik segalanya. Kita ada sejarah silam, kita ada agama yang
sempurna iaitu Islam, kita ada budaya, kita ada tanah air yang merdeka, kita ada sumber
alam yang kaya, kita ada segalanya. Apa yang pasti kita hilang rasa bangga dengan diri
kita serta lupakan agama Islam maka kini kita bagai melukut di tepi gantang.

3. Perbincangan tentang sejarah Islam dapat dilihat dari pelbagai dimensi, antaranya
dimensi Tauhid, dimensi Fekah atau dimensi ketamadunan. Jika sejarah Islam itu dilihat
dari dimensi tauhid, maka segala gerak sejarah akan berbentuk tauhid dan akan wujud

1
Kertas ini dibentang dalam Seminar Tamadun Islam, anjuran Pejabat Agama Islam daerah Sepang, di Dewan
Makmal Kesihatan Awam Veterinar, Banting, Selangor pada 7hb. Mei 2015.

1
situasi pertembungan yang membicarakan antara benar (al-haq) dan salah (al-batil).
Apabila dimensi fekah menjadi tunjang perbincangan sejarah Islam maka catatan sejarah
itu akan dilihat dari aspek hukum syarie, sama ada ianya wajib, sunat, harus, halal dan
haram. Sebaliknya jika catatan sejarah itu dilihat dari dimensi tamadun, segala apa yang
berlaku itu akan dianalisis dari teori gerak sejarah yang akhirnya pencarian terhadap
jawapan kenapa dan bagaimana gerak sejarah Islam itu berlaku sedemikian.

4. Dalam dimensi tamadun, sejarah yang bermakna catatan tentang peristiwa lalu, tidak
sekadar melakarkan apa yang telah terjadi. Sebaliknya, fakta-fakta sejarah akan dilihat
dari aspek faktor pendorong, penghalang, nila-nilai yang boleh dikongsi. Kebaikan
sesuatu peristiwa dan keburukannya digabung jalin sehingga tampak dengan nyata segala
hasil capaian manusia samada dalam bentuk ciptaan alat, ilmu pengetahuan dan
sebagainya. Hasil yang nyata itu pastinya dari proses interaksi sejahtera atau agresif,
kolaborasi antara pakar, asimilasi antara budaya, dan berbagai rupa lagi sesama manusia.
Perbincangan tamadun tidak memfokuskan kepada salah atau betul, sebaliknya lebih
tertumpu kepada apakah perkara yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan manusia
seterusnya dari apa yang terjadi di masa silam.

5. Sebahagian ulama Islam semasa cuba mengajak kita agar melihat sejarah silam Islam itu
dari kacamata tamadun. Ini kerana tujuan sejarah itu diungkap adalah untuk kita
mendapat pengajaran darinya. Dalam al-Quran ianya disebut dengan kata “al-Ibar”
mengambil pengajaran. Sejarah islam yang sudah berusia 1400 tahun ini mempunyai
banyak pengajaran yang boleh diambil oleh umat Islam. Sejarah itu dilakarkan dengan
jatuh bangun katamadunan Islam yang di dalamnya merakamkan sumbangan,
perjuangan, pergeseran, peperangan dan perdamaian, perkongsian serta sebagainya
menjadi warna-warni sejarah Islam. Tidak seharusnya apa yang telah mereka lakukan itu
hanya tinggal dalam lipatan bisu sejarah sahaja. Firman Allah dalam al-Quran, Surah
Yusof ayat 111.

               

         


Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran Yang mendatangkan iktibar bagi orang-
orang Yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi Yang terkandung Dalam Al-Quran) bukanlah ia
cerita-cerita Yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa Yang tersebut di Dalam Kitab-kitab ugama
Yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan Yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi
hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum Yang (mahu) beriman.

6. Perbincangan saya dalam kertas ini, hanyalah satu aspek sahaja dari pelbagai dimensi
sejarah yang boleh diungkai oleh kita semua. Perbincangan ini hanya sekadar mengambil
beberapa sudut dari peristiwa silam dan cuba dikaitkan dengan realiti semasa umat Islam
pada hari ini. Saya amat berharap dengan perbincangan ringkas ini dapat kita sama-sama
menelaah dan membuka minda ke arah pengkajian yang lebih jauh terhadap segala
peniggalan yang dirakamkan oleh sejarah.

2
Asas Perbincangan

7. Persoalan pertama: Dalam posisi manakah umat Islam di Malaysia pada hari ini akan kita
letak jika dibandingkan antara zaman Mekah dan zaman Madinah dalam sejarah Islam?
Untuk menentukan kedudukan itu, saya akan cuba menyenaraikan ciri-ciri masyarakat
Mekah dan ciri-ciri masyarakat Madinah terlebih dahulu.

8. Ciri masyarakat Mekah: masyarakat Mekah dapat dicirikan dari persepsi Islam dalam 5
perkara asas, (1) Jahil tentang Islam, (2) tersebar pengaruh syirik dan pemujaan terhadap
sesuatu selain Allah, (3) kebejatan akhlak yang melampau, (4) keegoan dan kekuasaan
serta darjat yang kejam dan zalim, (5) kebergantungan mutlak terhadap material yang
mendominasi segala aspek kehidupan.

9. Ciri masyarakat Madinah: terdapat 4 ciri masyarakat Madinah, (1) masyarakat yang tahu
tentang agama dan kepelbagaian agama, (2) masyarakat yang sederhana kerana mereka
adalah petani yang miskin, (3) mereka sering kalah dan menang dalam peperangan, oleh
itu keegoan mereka tidak tinggi, (4) toleransi hidup yang tinggi.

10. Dari kedua-dua ciri yang dinyatakan di atas, saya lebih cenderung meletakkan
masyarakat Islam di Malaysia pada hari ini dan umat Islam secara umumnya masih
berada dalam kategori masyarakat Mekah bukannya masyarakat Madinah. Jika benar
telaah saya, maka pendekatan kita untuk membincangkan persoalan masyarakat Islam
kini harus mengambil kira apa yang pernah dilakukan oleh Baginda s.a.w semasa di
Mekah bukannya semasa di Madinah. Saya tidak menafikan fakta bahawa umat Islam
kini telah mempunyai negara dan merdeka, namun pada hakikatnya dua ciri utama di
zaman Mekah itu masih menebal dalam masyarakat Islam kini, iaitu kejahilan tentang
Islam dan pemujaan terhadap sesuatu yang lain selain Allah.

11. Sudah pastinya pendekatan yang telah digunakan oleh Baginda dalam menaggani
masyarakat Mekah boleh dijadikan model untuk kita membina kembali tamadun Islam di
bumi sebelah sini, khsusunya di tanah air kita. Saya amat yakin bahawa kita semua
sayangkan agama, tanah air dan anak bangsa kita. Namun hanya sentimen sahaja tidak
mampu untuk mengerakkan semua yang kita tangisi hari ini dapat menjadikan mimpi
indah itu sebuah realiti nyata.

12. Seorang ahli fikir Islam sezaman, Muhammad Qutb menyatakan “kekurangan umat Islam
pada hari ini untuk bangkit semula adalah berpunca kepada 5 perkara, (1) ketiadaan
model pemimpin yang realitik dan dihormati, (2) kejahilan dalam mengurus kehidupan
dunia, (3) ketidak seriusan dalam tidakan, (4) tidak mengunakan sumberdaya secara
maksimum dan (5) tiada hasrat untuk berkongsi dan saling membantu”. Saya amat
bersetuju dengan telaah beliau dalam usaha merekonstruksi semula umat Islam kini.

13. Kita semua pada hari ini masih bertuah kerana menerima warisan Islam yang tulen iaitu
al-Quran dan juga hadith nabawi. Namun oleh kerana lima kekurangan di atas
manjadikan dua warisan hebat itu bagaikan mati dan tidak berfungsi. Saya tidak
mengatakan keduanya tidak mampu berfungsi langsung, apa yang menjadi persoalannya

3
ialah kesan dari al-Quran itu hanya terbatas pada air jampi untuk mengubati sakit dan
menghalau hantu sahaja. Kenapakah kitab suci yang sehebat al-Quran itu, bagaikan tidak
bermaya lagi membawa kita ke puncak jaya? Jawapannya mungkin kita kekurangan lima
perkara di atas yang tidak digembeling bersama dengan al-Quran dan hadith.

Perbincangan

14. Dengan itu, saya akan membincangkan kepentingan bicara ketamadunan dalam kertas ini
berdasarkan kepada model masyarakat Mekah seperti yang saya nyatakan di atas. Apabila
kita menelusuri apa yang telah Baginda s.a.w lakukan semasa baginda berada di Mekah,
dapatlah saya simpulkan terdapat 5 langkah saling mengukuh telah digunakan oleh
Baginda selama di Mekah yang akhirnya setelah berpindah ke Madinah, kesan dari
usaha-usaha di zaman Mekah itu mula teserlah.

15. Sebelum saya menjelaskan 5 langkah yang telah dilakukan oleh Baginda selama di
Mekah, terlebih dahulu saya ingin mengajak kita semua merenung sejenak tentang dua
perkara, pertama mengenai tempoh masa selama 40 tahun pernah dilalui oleh Baginda
untuk berada di tengah masyarakatnya yang rosak itu sebelum dilantik menjadi rasul.
Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dari tempoh selama 40 tahun itu? Selama 40
tahun pelbagai perkara telah dilakukan oleh Baginda sebagai persediaan untuk menjadi
rasul, memerhati norma masyarakat, siapakah tokoh masyarakat, apa kekuatan mereka,
apa kelemahan mereka, bergaul dengan mereka, berbakti, membina nama baik, membina
pengaruh dan banyak lagi.

16. Perkara kedua ialah, kanapa Baginda kehilangan semua mereka yang menjadi pelindung
Baginda di saat Baginda amat memerlukannya, seperti ayah, ibu, datuk, pakcik dan anak-
anak? Kenapa baginda perlu memelihara kambing bukannya unta, kuda dan binatang
lain. Semua itu, pada hemat saya bukanlah kebetulan sebaliknya meruapakan pengajaran
yang Allah s.w.t mahu kita melihatnya dengan mendalam, mengkaji dan mencari formula
untuk kita membina kembali tamadun kita yang telah roboh ini. Pengajara utama yang
saya perolehi ialah, tiada jalan singkat dan mudah dalam kehidupan ini. Makin besar cita-
cita dan harapan kita, maka makin besarlah pengorbanan yang dituntut. Pastinya kita
semua inginkan Islam dijulang semula, maka kitalah batu-batu kecil yang akan menjadi
tempat untuk menjulang Islam. Janganlah kita semua sedih dikala kita susah dan sempit,
tiada sesiapa yang mendapat kesenangan dengan kesenangan. Firman Allah dalam surah
al-Insyiqaq ayat 6.

        

Wahai manusia! Sesungguhnya Engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) Dengan
sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian Engkau tetap menemui
balasan apa Yang Engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).

4
17. Langkah pertama yang dilakukan oleh Baginda selama berada 53 tahun di Mekah ialah
memahami norma, sikap dan budaya orang Mekah. Sepanjang tempoh 40 tahun baginda
berada di Mekah, pelbagai peristiwa dan watak cuba dikenali oleh Baginda. Siapa Abu
Sofian, siapa Abu Jahal, Siapa Ikrimah, apa yang diperlukan oleh masyarakat Mekah, apa
kebanggaan orang Mekah, apa norma-norma hidup orang Mekah, semuanya diteliti dan
dianalisis oleh baginda sebelum bertindak menyebarkan dakwah di sana. Persoalan hari
ini, adakah kita kenal siapa orang Melayu? Apa nilai orang Melayu? Apa cara fikir orang
Melayu? Siapa orang Cina dan India, apa kelebihan mereka dan apa kelemahan mereka?
Dapatlah saya katakan, tidak ramai di kalangan kita yang mengenali bangsa, sejarah,
nilai, norma dan bangsa Cina dan India yang berjiran dengan kita, begitu jugalah kita
sendiri tidak mengenali siapa kita. Oleh kerana itulah, kita sering melakukan kesilapan
dalam tindakan kita dalam mencari penyelesaian hidup atau untuk membina hidup yang
lebih bermaruah.

18. Langkah kedua ialah dengan melihat kepada masyarakat Mekah, mereka adalah
masyarakat jahil tentang agama walaupun mereka dilihat sebagai beragama kerana di
negeri Mekah itu ada Kaabah dan mereka pula penjaga Kaabah. Oleh kerana mereka
jahil, maka baginda mengunakan pendekatan memujuk, mengajak, menjelaskan,
menerangkan, berbincang, membandingkan, menyindir dan dengan kata lain, baginda
tidak menghukum mereka dengan apa-apa bentuk hukuman kerana kejahilan itu menjadi
sebab yang asasi menghalang mereka dari dihukum. Adakah pada hari ini kita telah
mengunakan segala pendekatan yang kita tahu dan boleh untuk mengajak bangsa kita
memahami dan menghayati Islam. Masih banyak ruang dan cara yang boleh dan belum
kita praktiskan untuk mengajak umat Melayu agar faham, hayati dan bangga dengan
agama mereka sendiri. Bangsa kita pernah melalui zaman penjajahan yang menjadikan
seluruh pandangan hidup kita dikuasai oleh view dari barat. Untuk merubah pandangan
hidup itu, maka usaha yang berterusan harus dibuat dengan mengunakan segala
pendekatan yang boleh dan upaya kita lakukan.

19. Langkah ketiga ialah mencari punca sebenar kebanggaan diri. Masyarakat Mekah pada
ketika itu telah hilang punca kebanggaan mereka yang asal iaitu mewarisi kemuliaan nabi
Ibrahim dan penjaga Kaabah. Mereka lebih bangga dengan Quraish dan harta perniagaan
mereka yang palsu itu. Lantaran terpedayanya mereka dengan label palsu itu maka
mereka menempa kesesatan dan kesesatan yang berterusan. Menyedari akan punca
kesesatan itu, baginda s.a.w berusaha mengajak kaum Quraish agar sedar akan punca atau
sumber kebanggaan mereka adalah nabi Ibrahim dan Kaabah. Kesan dari kemuliaan dan
kebangaan itu masih jelas kelihatan di hadapan mata mereka, berdiri tegak kaabah, dua
bukit Sofa dan Marwah, Manasik Haji dan banyak lagi. Setelah orang Mekah mula sedar
akan kesesatan mereka, kemulian yang sudah lama hilang itu kembali menjadikan mereka
mulia selamanya. Demikian juga dengan kita, orang Melayu Islam di Malaysia. Kita
tidak mulia kerana kita hanya berdarah Melayu, kita tidak mulia kerana kesultanan
Melayu, kita tidak mulia kerana cerita hantu bungkus dan lainya, sebaliknya kita mulia
kerana kita adalah orang Islam yang praktis dan mempunyai akhlak Islam yang tinggi.
Ketuanan Melayu itu tidak menjadikan kita tuan yang zalim, sebaliknya ketuanan Melayu
itu membawa makna kita adalah tuan rumah yang baik dan penuh catatan sejarah
menyatakan secara adil dan jujur bahawa kita adalah tuan rumah yang baik dan boleh

5
dipercayai. Semua itu adalah kerana kita menganut agama Islam dan mengamalkannya
dalam kehidupan.

20. Langkah keempat ialah pengisian jatidiri dan nilai. Pada zaman Mekah, penguasaan
Quraish adalah dominan berbanding dengan pengaruh umat Islam. Dengan kelebihan itu,
apa sahaja yang dilakukan oleh Quraish akan dilihat oleh masyarakat umum sebagai
benar dan berautoriti. Untuk menanggani permasalahan itu, Baginda mengunakan
pendekatan “garam” dalam masakan bukan pendekatan “gincu” mak dara. Apa yang
dimaksudkan dengan pendekatan garam ialah, Baginda lebih mengutamakan nilai dan
jatidiri muslim berbanding dengan label-label Islam. Pada ketika para sahabat berada di
Mekah, baginda dan para sahabat memakai baju jubah yang sama dipakai oleh orang
musyrik Quraish, makan makanan yang sama, hidup di rumah yang sama malah dapatlah
dikatakan hampir sama sahaja watak yang ada pada orang Islam dan orang Quraish. Apa
yang utama membezakan mereka ialah akidah dan keperibadian muslim.

21. Pada hari ini, masyarakat Islam lebih gemar dengan gincu Islam. Mereka amat
bersungguh menitikberatkan label-label Islam. Apa yang menyedihkan ialah kebanyakan
label Islam itu tidak menghayati atau menampilkan nilai-nilai Islam. Kita perlu
menyemak kembali keperluan kita kepada pendekatan gincu. Saya tidak menafikan
bahawa kita perlu kepada jabatan agama Islam, sekolah agama Islam, univesriti Islam,
namun apa yang penting bukannya label Islam itu. Banyak perkara apabila kita
melabelkan Islam menjadikan ianya labiliti kepada Islam. Ada kalanya kita tidak
menamakan seseatu yang baik itu dengan Islam tetapi isi dan maknanya adalah jelmaan
hakiki tentang Islam.

22. Langkah kelima ialah beransur-ansur dalam melaksanakan dakwah. Dalam situasi
tertekan di Mekah dan nilai-nilai agama serta norma masyarakat yang ada di Mekah itu
lebih dominan dari nilai baru Islam, Baginda s.a.w cuba membawa nilai-nilai yang
sejagat dan serupa dengan apa yang sudah diterima oleh masyarakat Arab dahulu
berbanding dengan nilai baru Islam. Banyak perkara yang dilakukan oleh Quraish telah
diakui dan diiktiraf oleh Baginda dan membawanya ke dalam Islam. Sebagai contoh,
perkahwinan Arab, hukuman hudud, konsep asabiyyah, menghormati tetamu, berpegang
kepada janji dan banyak lagi. Kesamaan nilai-nilai ini diketengahkan dahulu oleh
Baginda sebelum menunjukkan unsur kelainan kerana pada ketika itu, Islam adalah
tertindas dan lemah.

23. Demikian jugalah dengan masyarakat Islam di Malaysia pada hari ini. Benar kita adalah
pemerintah dan Islam adalah agama rasmi. Namun pada hakikatnya kita masih lemah dan
tidak mampu secara mutlak mengatakan apa yang ingin kita katakan. Oleh itu,
pendekatan yang baik ialah mencari nilai-nilai sama dahulu antara kita dan orang lain,
agar mereka tidak bersalah sangka terhadap kita. Masih banyak nilai-nilai sama yang kita
boleh berkongsi dengan orang lain atau sesama kita, sedangkan apa yang menjadikan kita
berbeza adalah sedikit. Kenapakah kita begitu ghairah mengutarakan apa yang
membezakan kita berbanding apa yang kita boleh kongsi. Saya tahu bahawa Baginda
s.a.w pernah bersabda “sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kaum

6
tersebut”. Persoalan di sini, kita bukan ingin meniru kaum lain sebaliknya kita hanya
ingin berkongsi nilai apa yang sama antara kita dengan mereka.

Penutup

24. Akhirnya, perbincangan ini hanyalah sekadar lontaran awal idea saya untuk kita kongsi
bersama dan sebagai satu contoh perbincangan yang bercorak ketamadunan dalam
wacana sejarah Islam. Saya menyatakan perkara-perkara di atas adalah hasil dari telaah
saya terhadap perjalanan dakwah baginda s.a.w semasa di Mekah dan di Madinah. Masih
terdapat banyak aspek yang boleh diterakai dan gali untuk kita melihat rahsia kejayaan
baginda dalam menjulang Islam ke kemuncak jaya ketika berada di Madinah. Saya amat
yakin, bahawa perjuangan yang gigih dan terancang serta pengembelingan semua daya
sumber akan membawa kita kepada kejayaan, demikianlah apa yang telah dilakukan oleh
Baginda s.a.w. Semoga dengan pengenalan ringkas tentang bicara tamadun ini dapat
memberi bahan untuk kita sama-sama berfikir dalam mencari penyelesaian kemelut yang
melanda umat Islam kini, saya amat yakin, bahawa setiap persoalan dalam umat ini pasti
ada jalan penyelesaiannya. Kita hanya perlu mencari solusi, cadangan dan pendekatan
yang efektif dalam menyelesaikannya.

25. Telah ramai para sarjana Islam cuba mengutarakan pelbagai jalan penyelesaian untuk kita
bincang dan membina rancangan masa depan. Nama-nama seperti al-Maududi,
Muhammad Qutb, Syeikh al-Ghazali, Malek Ben Nabi, al-Faruqi, Dr. Sidek Fadhil, Syed
Naquib al-Attas dan ramai lagi boleh kita manfaatkan hasil kajian mereka. Saya berharap
kita dapat mengisi segala lompong dan kepincangan yang ada dalam masayarakat kita
hari ini dengan sedikit telaah yang telah saya kemukakan. Saya hanyalah insan biasa yang
jauh dari kesempurnaan. Semoga perbincangan ringkas ini dapat dimanfaatkan oleh kita
bersama atau ianya menjadi satu usaha kecil dari saya untuk ikut sama menyumbang ke
arah kelestarian ummah.

Yang benar

Ahmad Faisal Abdul Hamid,


Pinggiran Kg, Kuang, Sg. Buloh. Selangor

Anda mungkin juga menyukai