Anda di halaman 1dari 10

KEPIMPINAN TRANSFORMASIONAL GURU BESAR DAN HUBUNGANNYA

DENGAN EFIKASI GURU DI SEKOLAH KURANG MURID DAERAH TUARAN


SABAH

Sainah Limbasan (PhD), Aminuddin Ismail dan Judith Eddie


Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah

ABSTRAK

Kementerian Pendidikan Malaysia menekankan kesamarataan kepada pendidikan berkualiti untuk


semua murid secara berterusan. Sejajar dengan itu, kepimpinan transformasional dan efikasi guru
berkait rapat dengan prestasi murid dan kecemerlangan sekolah. Kajian ini bertujuan untuk mengenal
pasti amalan kepimpinan transformasional guru besar dan hubungannya dengan efikasi kendiri guru ke
arah meningkatkan kemenjadian murid di Sekolah Kurang Murid (SKM). Seramai 420 orang responden
terlibat dalam kajian ini yang terdiri dalam kalangan guru SKM di daerah Tuaran, Sabah. Kajian
dijalankan dengan mengaplikasikan pendekatan kuantitatif dan borang soal selidik digunakan sebagai
instrumen untuk memperoleh data. Pengkaji mengadaptasi instrumen Multifactor-Leadership
Questionnaire (MLQ) yang telah dibangunkan oleh Bass (1985) bagi mengukur tahap kepimpinan
transformasional dan Teacher Sense of Efficacy Scale (TSES) yang dibangunkan oleh
Tschannen-Moran dan Woolfolk Hoy (2001) bagi mengukur efikasi kendiri guru. Kajian ini memberi
nilai tambah yang bermanfaat kepada sistem pendidikan khususnya dalam aspek kepimpinan
pemimpin yang lebih berfokus untuk menerajui perubahan dan kecemerlangan organisasi berterusan.

Kata kunci: Pemimpin, Kepimpinan transformasional, Efikasi guru, Sekolah Kurang Murid

PENGENALAN

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat mewujudkan kualiti pendidikan bertaraf


dunia dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama agar mampu bersaing di
peringkat global (KPM, 2012). Hasrat tersebut melibatkan semua sekolah termasuk Sekolah
Kurang Murid (SKM) bagi mewujudkan sistem pendidikan yang dapat memenuhi aspirasi
pendidikan di Malaysia. Sehubungan dengan itu, pemimpin sekolah memainkan peranan
penting untuk memperkasakan pengurusan dan kepimpinan sejajar dengan anjakan pertama
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 (KPM, 2013) iaitu
menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa
kepada semua murid. Lanjutan daripada itu, kepimpinan tranformasional yang lebih kreatif
dan inovatif dalam menerajui perubahan merupakan elemen penting ke arah meningkatkan
pencapaian dan memacu kecemerlangan organisasi berterusan (Marenne et al., 2017).
Dalam masa yang sama, pendidikan yang berkualiti dan keberhasilan murid mempunyai
hubungkait yang rapat dengan kepimpinan seorang pemimpin yang kompeten dan berdaya
saing dengan efikasi kendiri guru sebagai agen perubahan kepada proses transformasi
pendidikan murid.
LATAR BELAKANG KAJIAN

Dalam era digital ini pemimpin sekolah memainkan peranan penting sebagai nadi peneraju
perubahan untuk melaksana dasar kerajaan iaitu menggembleng tenaga mendidik murid dan
membangunkan profesionalisme guru. Menurut Mohd Faisal dan Jamallul Lail (2017), kualiti
kepimpinan dan kepimpinan berkesan adalah bergantung kepada kreadibiliti dan keupayaan
seorang pemimpin untuk meningkatkan pencapaian murid berdasarkan amalan terbaik
Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), pengurusan dan kepimpinan guru tercapai.
Justeru itu, kepimpinan transformasional guru besar merupakan kunci kepada kepimpinan
efektif yang akan memberi nilai tambah kepada efikasi kendiri guru. Tambahan lagi,
kepimpinan transformasional dilihat semakin banyak diaplikasikan dalam kalangan para
pemimpin sekolah untuk mencungkil potensi dalam diri setiap organisasi, mencipta hubungan
sesama ahli, memupuk motivasi dan menyelesaikan tugasan dengan lebih baik (Kong dan
Mohd Izham, 2016). Bahkan, faktor kepimpinan transformasional guru besar sangat penting
untuk mempengaruhi pengikutnya, membina hubungan baik dan membangunkan sesebuah
organisasi ke arah menghasilkan generasi yang berkualiti dan mampu berdaya saing
(Hishamuddin Shah, Mohd Rizal dan Supian, 2017).

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyediakan kesamaratan akses kepada


pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa untuk semua murid, kepimpinan transformasional
dan efikasi guru di Sekolah Kurang Murid (SKM) perlu dititikberatkan. Berdasarkan statistik
yang dikeluarkan oleh KPM dan maklumat yang disiarkan melalui media sosial, kewujudan
SKM di Malaysia meliputi hampir semua negeri termasuk kawasan bandar masih ada yang
mempunyai sekolah bertaraf SKM dan negeri Sabah dan Sawarak mempunyai jumlah SKM
adalah paling banyak kerana struktur geografi yang agak kompleks (Nitce Isa Medina, Azlin
Norhaini & Jamalul Lail, 2017). Justeru itu, penubuhan SKM masih lagi relevan dengan
keperluan sistem pendidikan di Malaysia dan menjadi satu keutamaan untuk memenuhi
aspirasi pendidikan negara.

Menyedari hakikat bahawa kejayaan sesebuah sekolah bukan sahaja dinilai melalui aspek
kepimpinan transformasional guru besar yang mantap dan bijak mengurus organisasi tetapi
sebagai ‘role model’ untuk membangunkan efikasi guru agar sentiasa membina motivasi
kendiri dan memperbaiki pencapaian pengajaran (Hishamuddin Shah, Mohd Rizal dan
Supian, 2016). Nor Asmawati, Najihah dan Norsuhada (2019) menyatakan efikasi guru
memberi implikasi terhadap pencapaian murid dan berperanan mendidik murid menjadi insan
cemerlang dari segi intelek, akhlak, emosi dan jasmani. Hal sedemikian penting bagi
menyediakan generasi muda menangani cabaran dan mendepani persaingan menuntut ilmu.
KERANGKA KONSEPTUAL

Kerangka konseptual dibangunkan bagi kajian ini berdasarkan kepada penerokaan dan
penelitian pelbagai teori, model dan tinjauan literatur untuk mengkaji hubungan tahap amalan
kepimpinan transformasional guru besar dengan efikasi guru di sekolah yang kurang murid
bagi daerah Tuaran, Sabah. Dalam kajian ini, teori Slochum dan Hellriegel (2007) dan Teori
Bandura 1955 menjadi sandaran dan sumber rujukan utama.

Teori Slochum dan Hellriegel (2001), dibina dari empat konstruk utama berasaskan daripada
toeri Burns (1978) dan Bass (1985) iaitu melibatkan konstruk pertimbangan berasaskan
individu, motivasi berinspirasi, memupuk pengaruh yang ideal dan membina rangsangan
intelektual. Justeru itu, kepimpinan berkualiti dan efektif memberi impak terhadap
keberkesanan para guru dan kemenjadian murid. Efikasi guru pula dikaitkan dengan motivasi
kendiri dan pencapaian peribadi dari segi pengajaran agar guru dapat mengukuhkan strategi
pengajaran dan mewujudkan penglibatan murid dalam PdPc yang interaktif. Rajah 1 dibawah
menunjukkan kerangka konseptual dalam kajian ini iaitu pemboleh ubah bebas adalah
kepimpinan transformasional guru besar (Teori Slochum dan Hellriegel, 2007) manakala
pemboleh ubah bersandar ialah efikasi guru (Teori Bandura, 1955).

Pertimbangan Motivasi
Berdasarkan Berinspirasi
Individu
Efikasi Guru
 Motivasi manusia
Kepimpinan (Kendiri)
Transformasional  Pencapaian peribadi
(Pengajaran)
Memupuk Membina
Pengaruh Rangsangan
yang Ideal Intelektual
Sumber: Bandura, 1982

Sumber: Slocum dan Hellriegel, 2007

Rajah 1: Kerangka Konseptual Kajian


PERNYATAAN MASALAH

Dalam membawa perubahan dan kecemerlangan kepada organisasi sekolah di SKM,


kepimpinan transformasional dalam kalangan guru besar merupakan penentu kejayaan
pencapaian kepada akses pendidikan berkualiti. Kajian-kajian yang lepas melaporkan
bahawa isu-isu pendidikan yang semakin mencabar memerlukan amalan kepimpinan
seorang pemimpin yang berpandangan jauh, berwawasan dan boleh berfikir di luar kotak
pemikiran. Menurut Mohamad Faisal dan Jamallul Lail (2017), kepimpinan yang berkesan
dan berkualiti dalam kalangan guru besar amat diperlukan dalam menentukan
kecemerlangan organisasi. Bahkan, kajian oleh Khalip, et al., (2014) menekankan bahawa
kecemerlangan sekolah bergantung kepada corak kepimpinan pemimpin untuk
merealisasikan visi, misi dan hala tuju yang dapat memenuhi tuntutan dan cabaran
persekitaran yang wujud. Begitu juga dengan efikasi guru dari segi motivasi manusia dan
pencapaian pengajaran guru perlu diteliti secara mendalam kerana mempunyai hubung kait
yang kuat dengan kepimpinan pemimpin di sekolah dalam proses melaksanakan perubahan
untuk memenuhi aspirasi pendidikan negara. Walaupun banyak kajian secara berfokus
kepada hal kepimpinan, namun masih kurang kajian dilakukan terhadap amalan kepimpinan
transformasional yang menjelaskan kepimpinan seseorang guru besar yang berkesan untuk
menerajui perubahan. Dalam masa yang sama, efikasi guru perlu dilihat secara teliti
bersama-sama dengan kepimpinan transformasional yang diamalkan agar ruang dan
peluang dapat dimanfaatkan bersama untuk menggembeling tenaga mendidik murid, bagi
mewujudkan pendidikan berkualiti dan sekolah cemerlang. Justifikasi pemilihan Sekolah
Kurang Murid bagi kajian ini adalah untuk mengisi jurang yang berkaitan penyediaan
kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti kepada semua murid. Seterusnya, kajian
ini diharap akan memberi peluang untuk memahami dan meneroka secara terperinci agar
memberi input berguna kepada sistem pendidikan demi kecemerlangan organisasi
berterusan terutama dalam konteks kepimpinan transformasi.

OBJEKTIF KAJIAN

Penyelidikan ini dijalankan untuk mencapai objektif kajian berikut.


a. Mengenal pasti tahap amalan kepimpinan transformasional guru besar di sekolah kurang
murid daerah Tuaran, Sabah.
b. Mengenal pasti tahap efikasi guru di sekolah kurang murid daerah Tuaran, Sabah.
c. Mengenal pasti hubungan antara amalan kepimpinan transformasional guru besar
dengan efikasi guru di sekolah kurang murid daerah Tuaran, Sabah.
SOALAN KAJIAN

Berdasarkan kepada objektif kajian yang dikemukakan, beberapa soalan kajian yang berikut
diharap dapat dijawab melalui kajian yang dijalankan.
a. Apakah tahap amalan kepimpinan transformasional guru besar di sekolah kurang murid
daerah Tuaran, Sabah?
b. Apakah tahap efikasi guru di sekolah kurang murid daerah Tuaran, Sabah?
c. Adakah terdapat hubungan di antara amalan kepimpinan transformasional guru besar
dengan efikasi guru di sekolah kurang murid daerah Tuaran, Sabah?

KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian tentang kepimpinan transformasional yang dijalankan di SKM memberi nilai tambah
kepada pembangunan sistem pendidikan di Malaysia khususnya ke arah merapatkan jurang
untuk mewujudkan kesamarataan kepada akses pendidikan berkualiti untuk semua murid.
Hal ini bermaksud tidak ada lagi murid yang tercicir dan tertinggal dalam pelbagai aspek
proses pendidikan yang sentiasa berubah. Selain itu, kajian ini memberi implikasi terhadap
peningkatan kesediaan dan keupayaan warga pendidik untuk mengamalkan penyampaian
pendidikan yang berkualiti dan pengetahuan berteraskan digital dan teknologi. Pendekatan
kepimpinan transformasional yang diaplikasikan di SKM untuk membangun kapasiti guru dari
segi efikasi motivasi guru dan pencapaian pengajaran memberi ruang dan peluang kepada
guru-guru melaksanakan kaedah pengajaran yang baharu, perancangan teliti dan pelbagai
pendekatan kemahiran ke arah melahirkan potensi dan kebolehan murid menghadapi dunia
tanpa sempadan. Dalam konteks pendidikan semasa, kajian ini bermanfaat untuk
memberikan kefahaman mendalam berkaitan efikasi guru dan keperluan setiap pendidik
menerapkan nilai-nilai positif dalam tempoh perkhidmatan mereka yang sangat mencabar.

SOROTAN LITERATUR

Kepimpinan Transformasional
Kajian-kajian yang lepas mendedahkan kepimpinan transformasional memberi kesan positif
kepada pembangunan dan perkembangan pendidikan. Burns (1978) mendefinisikan
kepimpinan transformasional sebagai perilaku pemimpin yang mempengaruhi pengikutnya
untuk mengkagumi, menghormati dan mempercayainya dan mampu mengenali keperluan
pengikut untuk berubah, mencipta wawasan, membimbing perubahan dan melaksanakan
dengan berimpak. Berdasarkan kajian Bass (1985), kepimpinan transformasional lebih
mengutamakan hubungan erat antara pemimpin dan pengikut. Keeratan hubungan ini boleh
berlaku apabila pengikut diberi tanggungjawab dan autoriti dalam proses membuat keputusan
dan menyelesaikan masalah. Menurut Jamilah, Yahya dan Siti Noor (2016), kepimpinan
transformasional memberi kesan yang baik kepada organisasi dan kualiti guru. Bahkan,
amalan kepimpinan transformasional dapat memupuk budaya sekolah kreatif, pemupukan
nilai-nilai murni, membangunkan struktur dan menggalakkan penglibatan untuk membuat
keputusan (Nursyafina, Aida Hanim & Ghazali, 2018).

Bass (1985) telah membuat pemurnian kepada teori kepimpinan transformasional


berasaskan Burns (1978) iaitu terdiri daripada empat aspek merangkumi pengaruh yang ideal,
rangsangan intelek, pertimbangan individu dan motivasi berinspirasi. Seterusnya, model dan
teori Bass (1985) menjadi asas kepada pembinaan model dan teori Slocum dan Hellriegel
(2007) yang menjelaskan bahawa kepimpinan transformasional terbahagi kepada empat
elemen utama iaitu pertimbangan berasaskan individu, motivasi berinspirasi, memupuk
pengaruh yang ideal dan membina rangsangan intelektual (Nursyafina, et al 2018; Kong dan
Mohd Izham, 2016; dan Khalip, et al 2014). Dalam kajian ini, pengkaji mengaplikasikan Model
kepimpinan Slocum dan Hellriegel (2007) kerana intipati model kepimpinan transformasional
Slocum dan Hellriegel melibatkan suatu keupayaan pemimpin mempengaruhi pengikutnya
melalui amalan tingkah laku kepimpinan. Selain itu, model Slocum dan Hellriegel (2007)
bersesuaian dengan persekitaran sekolah kerana memberi peluang kepada guru
berkembang secara profesional dalam memberi tindak balas (Khalip, et al 2014; dan Jamilah,
et al 2016).

Efikasi Guru
Secara realiti, efikasi guru kini telah menjadi sebagai satu pengaruh terhadap pencapaian
pelajar. Kajian lepas memaparkan efikasi guru merupakan antara elemen penting dalam
proses PdPc dan menjadi ukuran dalam menentukan keupayaan seseorang guru sebagai
medium penghubung antara ilmu yang dimiliki dengan tingkah laku pengajaran (Noornajihan
dan Ab. Halim, 2013). Bandura (1955) menjelaskan efikasi guru dikaitkan dengan motivasi
manusia dan pencapaian pengajaran iaitu keyakinan dan kemampuan melaksanakan tugas
dengan cemerlang. Semakin tinggi tahap efikasi motivasi semakin tinggi pencapaian
seseorang individu khususnya dalam membentuk (Syed Kamarzuaman, Mohd Zaki dan
Julismah, 2014). Dalam hal ini, efikasi guru dari segi motivasi diri yang tinggi dapat
mendepani semua tugasan dan menyempurnakan pengajaran dengan lebih cekap dan efektif.
Tschannen-Moran dan Hoy (2001) menyatakan efikasi guru terbukti mempunyai perkaitan
yang kuat kepada kepercayaan guru, keupayaan diri, semangat dan ketekunan, komitmen
kerja dan susun atur untuk melakukan siri tindakan bagi menyempurnakan suatu tugasan
pengajaran. Bersangkutan dengan itu, guru yang mempunyai efikasi pengajaran yang tinggi
mempunyai sasaran yang lebih tinggi terhadap keberhasilan murid. Semakin kuat efikasi
pengajaran guru maka semakin besar minat belajar murid dan lebih ramai murid memperoleh
ilmu dan kemahiran secara lebih spesifik.

Kajian yang dijalankan oleh Nor Asmawati, Najihah dan Norsuhada (2019) menjelaskan
efikasi guru sangat penting dalam menghadapi situasi pendidikan yang sentiasa mencabar
kreadibiliti seseorang guru dalam menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada murid-murid.
Dalam hal ini, guru-guru perlu lebih kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kualiti dan
keupayaan diri agar dapat menyempurnakan tugasan dengan cemerlang dan seterusnya
membina personaliti diri yang bermotivasi tinggi, berkeyakinan dan memiliki kepercayaan diri
(Syed Kamarzuaman, et al 2014).

Sekolah Kurang Murid


Sekolah Kurang Murid (SKM) ditaksirkan sebagai sebuah sekolah yang mempunyai bilangan
murid yang tidak ramai dan sekolah bersaiz kecil yang terletak di kawasan luar bandar dan
bilangan murid adalah tidak melebihi 500 orang (Nitce Isa Medina et al., 2017; Hishamuddin
Shah, et al., 2016; Tuck, 2009 dan Reeves, 2003). Berdasarkan Pekeliling Pentadbiran
Bilangan 3/1967 yang dikeluarkan pihak KPM, SKM merupakan sekolah yang mempunyai
bilangan murid kurang daripada 150 orang, terletak di luar bandar, kekurangan peruntukan
dan kemudahan infrastruktur, pencapaian akademik yang rendah dan kurang guru terlatih
(KPM, 2007). Kajian-kajian luar negara menjelaskan SKM diwujudkan sebagai salah satu
alternatif bagi memastikan semua murid mendapat akses kepada pendidikan (Nitce Isa
Medina et al., 2017). Bahkan, kewujudan SKM masih relevan dengan matlamat untuk
memberikan akses pendidikan khususnya di luar bandar dan pedalaman. Di negara luar
seperti Findland, England, Afrika Selatan, New York dan India penubuhan SKM bertujuan
untuk murid yang kurang bernasib baik dan mempunyai pencapaian akademik yang rendah.
Selain itu, SKM ditubuhkan kerana dianggap signifikan kepada landskap pendidikan dan
memenuhi keperluan pendidikan di semua peringkat umur.

Hakikatnya, penubuhan SKM di Malaysia dikaitkan dengan aspirasi pendidikan negara.


Bersangkutan dengan itu, salah satu aspirasi yang ditekankan dalam PPPM 2013-2025 (KPM,
2013) adalah menekankan kepada ekuiti iaitu merujuk kepada 50 peratus pengurangan
dalam jurang pencapaian meliputi kawasan antara bandar dan luar bandar. Senario ini
membuktikan masih terdapat perbezaan ketara dari segi pencapaian dan aspirasi tersebut
berkait rapat dengan anjakan pertama dalam PPPM 2013-2025 iaitu menyediakan
kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Justeru itu, bagi
memperkasakan SKM kepimpinan guru besar memainkan peranan untuk merealisasikan
pendidikan berkualiti yang sama taraf dengan murid yang berada di bandar.
METODOLOGI

Reka bentuk Kajian


Kajian ini dijalankan dengan mengaplikasikan pendekatan kuantitatif iaitu menggunakan
kaedah tinjauan. Data dianalisis secara deskriptif dan inferensi melalui kolerasi Pearson dan
regrasi berganda. Pengkaji menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen bagi
mengumpul dan memperoleh data. Fokus kajian adalah untuk mengenal pasti amalan
kepimpinan transformasional guru besar dan hubungannya dengan efikasi guru di sekolah
kurang murid. Pengukuran yang dibuat terhadap pemboleh ubah adalah berdasarkan
maklum balas terhadap semua penyataan yang terkandung dalam soal selidik.

Lokasi, Populasi dan Sampel


Kajian ini dijalankan di 40 buah sekolah yang dikenal pasti sebagai sekolah yang kurang
murid di daerah Tuaran, Sabah. Populasi kajian ialah guru-guru yang berkhidmat di 40 buah
Sekolah Kebangsaan berstatus Sekolah Kurang Murid di daerah Tuaran. Persampelan kajian
menggunakan kaedah persampelan rawak mudah. Kaedah penjadualan oleh Krejcie dan
Morgan (1970) digunakan bagi menentukan sampel. Sampel kajian melibatkan 420 orang
guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kurang Murid daerah Tuaran, Sabah.

Instrumen
Kajian ini menggunakan instrumen berbentuk soal selidik. Soal selidik terbahagi tiga
bahagian iaitu Bahagian A mengandungi demografi iaitu jantina, umur dan pengalaman
mengajar guru, Bahagian B mengandungi 12 soalan mengenai kepimpinan guru besar
(pertimbangan berdasarkan individu, motivasi berinspirasi, memupuk pengaruh yang ideal
dan membina rangsangan intelektual) dan Bahagian C 16 soalan mengandungi soalan
mengenai efikasi guru (motivasi manusia dan pencapaian). Soal selidik kepimpinan
transformasional guru besar mengaplikasikan soal selidik Multifactor Leadership
Questionnaire (MLQ) yang dibangunkan oleh Bass (1955) dan Teacher Sense of Eficacy
Scale (TSES) yang digunakan secara meluas oleh Tschannen-Moran dan Woolfolk Hoy
(2001) bagi mengukur efikasi guru. Skala Likert yang digunakan dalam kajian ini ditunjukkan
seperti dalam Jadual 1.
Jadual 1: Skor Mengikut 5 Skala Likert
Simbol Pernyataan Skor
STS Sangat Tidak Setuju 1
TS Tidak Setuju 2
KS Kurang Setuju 3
S Setuju 4
SS Sangat Setuju 5
KESIMPULAN
Kepimpinan transformasional guru besar di sekolah mempunyai pengaruh terhadap
kecemerlangan organisasi berterusan. Justeru itu, kesediaan pemimpin untuk menerajui
perubahan perlu mempertimbangkan dan menyesuaikan corak dan gaya kepimpinan
mengikut keperluan dan persekitaran sekolah dan guru-guru melalui elemen-elemen yang
terdapat dalam kepimpinan transformasional. Inisiatif dan usaha pemimpin sekolah
memperkasakan SKM bagi mencapai misi dan visi KPM sejajar dengan aspirasi pendidikan
dalam PPPM 2013-2025 secara tidak langsung meningkatkan mutu pendidikan generasi
muda yang hidup dalam ledakan teknologi maklumat. Bahkan, satu anjakan paradigma untuk
guru-guru diperlukan agar mempunyai efikasi yang tinggi bagi menyahut cabaran mendidik
murid dan mempersiapkan diri dengan pengaplikasian teknologi maklumat sesuai dengan
tuntutan pembelajaran murid kini.

RUJUKAN

Bandura, A. (1982). Self-Eficacy Mecahanism in Human Agency. Dalam American


Pscyhologist, 37(122-147).

Bass, B., M. (1985). Leadership and Performance Beyond Expectations. New York: The Free
Press.

Hishamuddin Shah bin Mokri, Mohd Rizal bin Atan & Supian bin Hashim. (2016). Hubungan
antara Kepimpinan Transformasi Guru Besar dengan Kepuasan Kerja Guru di Sekolah
Kebangsaan Kurang Murid Gemilang Tujuh Segamat, Johor. Universiti Teknologi
Malaysia. Dimuat turun pada 21 Mac, 2020 daripada https://www.academia.edu/5345331

Jamilah Man, Yahya Don & Siti Noor Ismail. (2016). Kepimpinan Transformasional dan Kualiti
Generasi “Y”. Jurnal Kepimpinan Pendidikan. Universiti Utara Malaysia. 3(1).

Khalip Musa, Hamidah Yusof, Jamal Yunus & Suriani Abdul Hamid. (2014). Kepimpinan
Transformasional Pengetua: Perbandingan antara Sekolah Menengah Awam dan
Swasta Cemerlang. Management Research Journal. 120-139. Dimuat turun pada 29
Mac, 2020 daripada https://www.researchgate.net/publication/310417593

Kong Chung Bing dan Mohamad Izham Mohd Hamzah. (2016). Amalan Kepimpinan
Transformasi dan Hubungannya dengan Kepuasan Kerja dalam kalangan Pentadbir
Sekolah Rendah di Sarawak. Universiti Kebangsan Malaysia. Dimuat turun pada 28 Mei,
2020 daripada
https://sted18.files.wordpress.com/2016/12/3-6-kong-chung-bing-mohd-izham-mohd-ha
mzah.pdf

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2007). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)


2006-2010. Merintis Pembaharuan-Satu Misi Nasional. Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025: Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah. Kementerian Pendidikan
Malaysia.

Krejcie, R.V., & Morgan, D.W. (1970). Determining Sampel Size for Research Activities.
Educational and Psychological Measurement.

Mareena Mohamad, Norhasni Zainal Abiddin Ismi Arif Ismail & Azizan Asmuni. (2011).
Tinjauan Hubungan Gaya Kepimpinan dengan Komitmen Organisasi. Eksplanasi, 6(1):
17-28. Dimuat turun pada 29 Mac, 2020 daripada https://www.academia.edu/33291721

Mohammad Faisal Mohd Noh & Jamallul Lail Abdul Wahab. (2017). Kepimpinan Transformasi
Pengetua Program Sekolah Transformasi dan Hubungannya dengan Kepuasan Kerja
Guru di Zon Utara. Prosiding Seminar Pendidikan Transdisiplin (STED 2017). Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Nitce Isa Medina Machmudi, Azlin Norhaini Mansor & Jamalul Lail Abdul Wahab. (2017).
Cabaran Kepimpinan Instruksional Guru Besar di Sekolah Kurang Murid. Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Nor Asmawati Ismail, Najihah Abd Wahid & Norsuhada Mat Hassan. (2019). Meningkatkan
Efikasi Kendiri Guru di Malaysia Terhadap Pecenderungan Pembelajaran Generasi Z
dan Alpha. Journal of Management and Operation Research,1(13).

Noornajihan Jaafar & Ab. Halim Tamuri. (2013). Hubungan antara Efikasi Kendiri dengan
Kualiti Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Malaysia. Journal of
Islamic and Arabic Education, 5(1): 41-60.

Nursyafina Saffiee, Aida Hanim Abdul Hamid & Ghazali Darusalam. (2018). Amalan
Kepimpinan Transformasional dalam Kalangan Guru Besar terhadap Keberkesanan
Sekolah di Daerah Subis. Malaysian Online Journal of Education, 2(2).

Reeves, C. (2003). Implementing the No Child Left Behind Act: Implications for Rural Schools
and District. Illonois: North Central Regional Educational Labroratory.

Slocum, J., W. & Hellriegel, D. (2007). Fundamentals of Organizational Behavior. USA:


Thomson South Western.

Syed Kamarzuaman Syed Ali, Mohd Zaki Che Hassan & Julismah Jani. (2014). Efikasi
Kendiri Guru Pendidikan Jasmani Terhadap Pelaksanaan Pengajaran Mata Pelajaran
Pendidikan Jasmani. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 2(3)

Tschannen-Moran, M., Hoy, A.W. (2001). Teacher Efficacy: Capturing an Elusive Construct.
Teaching and Teacher Education. 17, 783-805.

Tuck, A. (2009). Small School’s Challenge Learning Lessons from Small School
Headteachers. Research Associate Summary. National College for Schoo Leadership.

Anda mungkin juga menyukai