Anda di halaman 1dari 2

BAITULMAL PERLU LEBIH PROAKTIF

SAODAH ABD. RAHMAN  |  19 Februari 2016 6:20 PM

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/baitulmal-perlu-lebih-proaktif-


1.192127#sthash.jIrI1h9n.dpuf

BAITULMAL ertinya perbendaharaan atau tempat simpanan wang hasil kutipan zakat
daripada umat Islam. Zakat adalah salah satu rukun Islam yang tidak boleh dinafikan oleh
umat Islam. Setiap umat Islam yang mempunyai kekayaan, wajib membayar zakat kerana ini
adalah salah satu cara untuk menyelesaikan permasalahan kemiskinan dalam kalangan umat
Islam.
Setelah Rasulullah SAW wafat, kumpulan murtad yang diketuai Musaylamah al-Kazzab
menyebarkan propaganda bahawa zakat tidak wajib. Sikap dan tindakan Musaylamah dan
kumpulannya menyebabkan Sayidina Abu Bakar yang adalah pemimpin umat Islam ketika itu
mengisytiharkan peperangan terhadap kumpulan tersebut.
Sebelum Sayidina Abu Bakar menyerang kumpulan berkenaan, Sayidina Umar al-Khattab
menegur beliau dengan katanya bahawa Rasulullah SAW tidak membunuh orang murtad.
Abu Bakar menegaskan bahawa beliau menyerang Musaylamah bukan disebabkan murtad
tetapi propagandanya mempengaruhi umat Islam menghapuskan zakat adalah kegiatan yang
boleh menggugurkan salah satu rukun Islam dan memberi kesan yang paling buruk terhadap
struktur kemasyarakatan Islam di mana orang miskin akan menderita tanpa pembelaan.
Setelah mendapat penjelasan tersebut Saidina Umar bersetuju dengan keputusan Sayidina
Abu Bakar.
Para pemimpin negara Islam sejak pemerintahan Khulafa’ al-Rashidun sehingga terbinanya
empayar Islam yang agung amat prihatin terhadap penderitaan rakyat. Pelbagai kegiatan
dilakukan untuk menjamin keperluan asas rakyat dipenuhi. Sistem pengutipan zakat
dipertingkatkan oleh umat Islam sehingga terbentuknya Baitulmal yang adalah
perbendaharaan negara yang mampu membangun negara dan menjana kewangan kepada
rakyat yang miskin.
Baitulmal diperkembangkan sebagai institusi kewangan dalam negara Islam. Khalifah Umar
al-Khattab memulakan penubuhan Baitulmal secara mantap dengan persetujuan para sahabat
Rasulullah SAW. Beliau menubuhkan pusat perbendaharaan ini di Madinah.
Baitulmal yang berasaskan kepada kutipan zakat dan cukai diperkembangkan lagi oleh pe-
mimpin Islam selepas beliau sebagai institusi kewangan negara yang mantap dan kukuh.
Konsep dan peranan Baitulmal sebagai institusi kewangan dan perbendaharaan negara yang
prihatin terhadap keperluan rakyat, orang miskin, anak-anak yatim dan sebagainya
menjadikan negara Islam sebagai negara kebajikan.
Berdasarkan penjelasan tersebut maka Baitulmal yang ditubuhkan dalam Malaysia sepatutnya
memperkembangkan konsep dan peranannya sebagai sumber kewangan bagi umat Islam yang
miskin dan golongan yang memerlukan bantuan walaupun kegiatan tersebut adalah agenda
negara keseluruhannya. Baitulmal yang mendapat dana hasil daripada kutipan zakat umat
Islam dalam negara ini sepatutnya mempelbagaikan kegiatan yang berbentuk bantuan
kewangan kepada umat Islam seperti menubuhkan agensi pinjaman peribadi sepertimana
dilakukan oleh bank dan agensi pinjaman peribadi lain.
Pegawai yang mempunyai kepakaran dalam soal kewangan dan pinjaman sepatutnya dilantik
untuk mengendalikan kegiatan ini kerana kurang kepakaran dan pengalaman dalam urusan
kewangan menyebabkan program dan kegiatan yang dilaksanakan itu gagal untuk mencapai
objektif penubuhan Baitulmal.
Baitulmal sepatutnya lebih peka terhadap permasalahan masyarakat Islam yang miskin dan
memerlukan bantuan kewangan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan
harga keperluan hidup seharian semakin tinggi.
Konsep dan peranan Baitulmal perlu dikaji secara terperinci supaya individu yang layak
menerima zakat tidak ketinggalan untuk mendapat bantuan daripada perbendaharaan ini.
Individu yang terdesak dengan permasalahan wang sering terdorong untuk membuat pinjaman
wang daripada agensi-agensi yang diharamkan oleh Islam jika permohonan mereka melalui
bank dan agensi pinjaman peribadi yang diiktirafkan oleh Islam menolak permohonan
mereka.
Dalam keadaan terdesak dan kebuntuan pemikiran mereka akan terperangkap dengan agensi
pinjaman wang haram seperti along. Tinjauan penulis terhadap agensi pinjaman wang haram
ini secara rambang menunjukkan ramai umat Islam masih menggunakan agensi ini untuk
mendapat wang bagi mengatasi masalah kesulitan hidup.
Persoalannya, dengan sumber kewangan yang begitu banyak disumbangkan oleh umat Islam
kepada Baitulmal untuk membantu umat Islam yang mempunyai kesempitan hidup seperti
mendapat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan permasalahan hidup adakah mereka tidak
layak untuk menerimanya? Sedangkan dalam Islam, umat Islam yang terdesak untuk
membayar hutang berhak mendapat bantuan zakat bagi menyelesaikan masalah hutang.
Dalam konteks masa kini penubuhan skim pinjaman peribadi amat perlu diperkenalkan
Baitulmal bagi mengelak umat Islam terjebak dengan skim pinjaman haram yang diharamkan
oleh Islam.
Sistem pinjaman yang ingin diperkenalkan itu tidak sepatutnya sama dengan bank dan agensi
pinjaman peribadi lain kerana skim pinjaman yang diperkenalkan oleh agensi-agensi tersebut
lebih mementingkan keuntungan bukan bantuan atau kebajikan.
Sedangkan konsep pinjaman Baitulmal lebih menumpukan kepada kebajikan dan bantuan.
Jika tidak wujud agensi pinjaman berbentuk kebajikan dan bantuan maka semakin ramai umat
Islam yang terdesak dalam kehidupan akan terjebak dengan skim pinjaman haram.
Jika Baitulmal mampu menubuhkan skim pinjaman kebajikan secara berkesan dan
komprehensif maka umat Islam yang miskin dan terdesak dapat merasai Baitulmal adalah
tempat yang paling baik untuk mereka membebaskan diri daripada kesempitan hidup. Skim
pinjaman peribadi yang diperkenalkan perlu berdasarkan kepada kategori peminjam.
Golongan yang kurang berkemampuan membuat pinjaman memulangkan wang mengikut
kadar wang dipinjamkan kepada mereka. Bagi golongan yang meminjam wang untuk urusan
perniagaan secara kecil-kecilan wang yang dipulangkan itu perlu disertai dengan zakat hasil
perniagaan mereka. Surat perjanjian pinjaman perlu disertai ketika membuat pinjaman supaya
umat Islam tidak cuai dalam urusan membayar hutang.
Jika skim pinjaman ini ditubuhkan maka Baitulmal juga dapat menambahkan sumber dana
hasil daripada sumbangan zakat daripada peniaga Islam yang meminjam daripada institusi
tersebut. Ini adalah satu cara dapat membendung umat Islam terjebak dengan agensi
peminjam haram yang semakin berleluasa masa kini terutama ketika ekonomi negara tidak
menentu.
Individu-individu yang bertugas dengan Baitulmal perlu proaktif melaksanakan tugas mereka
secara berhemah dan dedikasi supaya peranan Baitulmal dapat memenuhi konsep dan
peranannya sebagai institusi kebajikan umat Islam sepertimana dituntut oleh Islam.
Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai