Anda di halaman 1dari 4

KEMAHIRAN ASAS KAUNSELING

Kaunselor yang ingin memberikan perkhidmatan kaunseling yang baik perlu menguasai serta menggaplikasikan
beberapa kemahiran-kemahiran asas kaunseling/membantu. Kecekapan menguasai kemahiran-kemahiran
ini sangat berguna ketika berhadapan dengan klien yang berada dalam ketidakseimbangan emosi dan psikologi.

Antara kemahiran yang asas dalam membantu adalah kemahiran membina perhubungan, kemahiran
menggalakkan klien bercakap, kemahiran membalas, kemahiran penstrukturan, kemahiran menyoal, kemahiran
parafrasa, kemahiran mendengar, kemahiran memimpin secara langsung, kemahiran berkomunikasi, kemahiran
melakukan dorongan minima, kemahiran membuat refleksi perasaan, kemahiran membuat interpretasi, kemahiran
membuat klarifikasi, kemahiran meneroka,kemahiran pemfokusan, kemahiran mencabar, kemahiran
berempati,kemahiran menghadapi kesenyapan, kemahiran mengetahui teori dan teknik-teknik kaunseling,
kemahiran memberi maklumat, kemahiran merumus, kemahiran meninjau klien, kemahiran konfrontasi dan
kemahiran menyemak persepsi.

 Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran yang paling asas dan penting dalam sesi kaunseling. Dalam hal
ini, kaunselor perlu lebih banyak meluangkan masanya mendengar daripada menyampuk percakapan klien. Untuk
benar-benar memahami apa yang telah diperkatakan oleh klien, kaunselor perlu memberikan tumpuan dan
pemerhatian yang sepenuhnya untuk mendengar semua percakapan klien tersebut.

Selain dari tutur kata, gerak geri klien semasa bercakap juga patut dilihat dan didengar sama. Dikatakan bahawa
segala tingkah laku klien itu turut memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan makna sesuatu
pengucapannya itu.

 Kemahiran Membina Perhubungan


Kemahiran membina perhubungan merupakan langkah yang paling awal dalam sesi kaunseling. Tujuannya adalah
untuk membinaperhubungan yang mesra, saling mempercayai dan rasa selamat antara kaunselor dan klien supaya
klien sedia berbincang. Tahap ini termasuklah memberi perangsang kepada klien agar sentiasa tenang dengan
memberikan tanggapan pertama yang positif.

Kaunselor mesti membina suasana sekeliling dan tingkah laku yang meyakinkan dan menunjukkan kemesraan.
Dalam kemahiran ini terdapat beberapa sub kemahiran asas seperti membina suasana alam sekeliling, suasana
terapeutik, ruang untuk berkomunikasi, penampilan diri, ekspresi muka, kontak mata, pergerakan tangan dan kaki,
nada suara, senyuman dan akhir sekali cara cara duduk dalam kaunseling.

 Berpeluk tubuh
Pergerakan tubuh ini membawa erti seorang yang tertutup, kurang selamat atau kurang bersedia untuk
berbincang, merasa negatif terhadap diri dan bersifat defensif.

 Kemahiran menggalakkan klien bercakap


Kaunselor menggalakkan klien bercakap dengan menggunakan soalan-soalan jenis terbuka. Semasa klien bercakap,
kaunselor perlu mendengar dengan penuh teliti dan penuh empati. Sementara itu, semasa klien bercakap,
kaunselor harus mendengar dan memberi perhatian, memberi respon yang minima seperti mengganggukkan
kepala dan sebagainya untuk menggalakkan terus bercakap.

 Kemahiran membalas (responding)


Membalas kata-kata merupakan suatu kelebihan kepada manusia. Dengan membalas kata-kata, manusia dapat
mewujudkan hubungan yang baik antara satu dengan lain. Tujuan utama seseorang bertindak balas ke atas kata-
kata orang lain adalah untuk menggalakkan penglibatan masing-masing di dalam perbualan itu. Secara umumnya
kemahiran membalas terdiri daripada sub kemahiran iaitu kemahiran penstrukturan, dorongan minima dan
kemahiran mendengar.
 Kemahiran penstrukturan
Penstrukturan merupakan satu kemahiran yang sangat penting di dalam sesuatu sesi kaunseling. Ini adalah kerana
sekiranya penstrukturan dilakukan dengan baik dalam sesuatu sesi kaunseling itu, ia akan dapat membina
hubungan yang mesra dengan klien. Proses penstrukturan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk formal atau
tidak formal.

 Kemahiran Menyoal
Soalan merupakan kaedah yang paling banyak digunakan dalam sesebuah sesi kaunseling. Ini adalah kerana ia
merupakan cara yang paling mudah untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Biasanya, soalan akan ditanya oleh
kaunselor dan dijawab oleh klien.

Soalan-soalan yang dikemukakan haruslah berkaitan dengan usaha menggalakkan klien menjelajah dan memahami
perasaannya. Di samping itu, soalan yang ditanya perlu mempunyai tujuan yang tertentu dan berupaya untuk
menarik perhatian klien untuk meluahkan perasaan dan masalahnya tanpa merasa dirinya terggugat.

 Kemahiran Parafrasa
Kemahiran memparafrasa ini ialah respons kaunselor setelah mendengar isi dan memerhati tingkah laku klien.
Pemahaman kaunselor ini dinyatakan dalam bentuk ayat yang agak pendek tetapi tepat dan padat
maksudnya. Parafrasa ialah respons kaunselor setelah mendengar isi dan memerhatikan tingkah laku klien.
Matlamat utama ialah memudahkan penerokaan ke atas klien.

 Kemahiran Memimpin
Kemahiran memimpin boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu :-

   Memimpin secara tidak langsung

Tujuan memimpin secara tidak langsung membolehkan klien memulakan dan mengambil tanggungjawab terhadap
sesi yang sedang berjalan. Selain daripada itu, tujuan memimpin secara tidak langsung ialah untuk menjemput
klien untuk menceritakan atau memperincikan ceritanya.

   Memimpin secara langsung

Kemahiran memimpin secara langsung menggalakkan klien memperincikan, menjelaskan atau menggambarkan
apa yang diperkatakan. Antara tujuan kemahiran memimpin secara langsung ialah untuk menentukan tujuan untuk
memimpin, meluahkan dengan perkataan yang dapat memperincikan secara khusus, menggunakan soalan terbuka
dan membolehkan klien bebas mengikut pimpinan anda.

 Kemahiran Berkomunikasi
Kemahiran berkomunikasi merupakan satu kemahiran yang sangat penting bagi seorang kaunselor. Kaunselor
perlu mengelakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan yang sukar difahami oleh klien. Kaunselor patut
menggunakan ayat-ayat yang biasa dan bukannya dari buku-buku akademik. Ini adalah kerana bukan semua klien
adalah berpelajaran tinggi atau mempunyai pengetahuan yang begitu luas.

 Kemahiran melakukan dorongan minima


Dorongan minima diperlukan untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada klien untuk meneruskan
perbincangan. Dorongan minima merupakan respons atau ungkapan ringkas ataupun pergerakan positif yang
menggalakkan klien terus bercakap dan memberikan penjelasan.

 Kemahiran Membuat Refleksi Perasaan


Refleksi perasaan merupakan pengulangan atau menyebut semula percakapan klien dalam satu rangkai kata yang
pendek tetapi padat. Pengulangan yang dibuat oleh kaunselor lazimnya, hanyalah sebagai pembayang yang
mencerminkan perasaan atau keseluruhan isi yang disampaikan oleh klien tadi. Membuat refleksi perasaan
bukanlah sekadar mengulang semula perkataan yang diluahkan oleh klien, tetapi merupakan satu cara untuk
membuat kesimpulan tingkah laku tingkah laku klien yang dapat membayangkan isi, pemikiran, perasaan dan
tindakannya sendiri.

 Kemahiran Membuat Interpretasi


Kemahiran membuat interpretasi merupakan satu proses yang digunakan oleh kaunselor untuk memberikan
maklum balas atau “feedback” kepada klien supaya klien berupaya untuk melihat masalahnya dari satu sudut
berbeza. Selain itu, interpretasi digunakan untuk merujuk dan membuat tafsiran untuk maksud tersirat dalam
mesej klien.

 Kemahiran Membuat Klarifikasi


Kemahiran ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat atau penjelasan yang lebih lanjut daripada klien apabila
klien menggunakan perkataan atau ayat yang tidak jelas, tidak spesifik, umum ataupun kabur ketika menyatakan
permasalahannya itu. Membuat klarifikasi juga adalah satu penjelasan terhadap perkara yang samar kepada satu
fokus yang lebih tepat.

 Kemahiran membuat kontrak


Kaunselor mendapatkan persetujuan dan perjanjian daripada klien supaya ada tanggungjawab dan kesungguhan
untuk melaksanakan apa yang dipersetujui. Kontrak biasanya dibuat pada kes-kes yang memerlukanperubahan
tingkah laku klien seperti ponteng, merokok, mencuri, menipu, meniru dan lain-lain. Kontrak boleh dibuat secara
lisan atau bertulis.

 Kemahiran Meneroka
Dalam sesi kaunseling, kemahiran meneroka merupakan salah satu lagi kemahiran yang penting bagi menjayakan
sesi kaunseling. Ini adalah kerana tanpa penerokaan, sesi kaunseling tidak akan berjalan dengan lancar. Kaunselor
tidak akan dapat memahami masalah yang dihadapi oleh klien dengan lebih lanjut lagi ataupun dengan lebih
mendalam.

 Kemahiran Pemfokusan
Dengan adanya kemahiran memfokus, kaunselor boleh mengarahkan aliran perbualan klien kepada bidang yang
diingininya. Selain itu, kemahiran ini sangat berguna sekiranya kaunselor mempunyai klien yang
menceritakan masalah dengan tidak jelas atau klien yang tidak berfokus dalam penceritaannya.  Tujuan kemahiran
ini digunakan ialah untuk memastikan klien tidak akan bercerita sehingga terkeluar daripada topik perbualan.

 Kemahiran mencabar
Kemahiran mencabar adalah untuk memperakui dengan jujur, secara langsung dan menarik perhatian klien apa
yang sedang berlaku dan apa yang sedang dirumuskan. Konstruk kemahiran mencabar melibatkan seperti
mengenal pasti perasaan diri sendiri sebagai kaunselor, menjelaskan dan berkongsi pengalaman dan memberi
maklumbalas dan pandangan.

 Kemahiran Berempati
Empati adalah proses untuk memahami emosi dan perasaan seseorang. Dengan adanya kemahiran berempati ini,
kaunselor dikatakan berkeupayaan untuk memahami emosi dan dapat merasai apa jua yang dirasai oleh klien
tersebut. Dengan ini, klien akan merasakan bahawa kaunselor itu memang seorang pendengar yang baik,
memahami keadaannya serta mengambil berat tentang dirinya kerana kaunselor berupaya untuk memahami
situasi sebenar yang dialaminya.

 Kemahiran Menghadapi Kesenyapan


Kaunselor perlu bijak dalam mengendalikan kesenyapan semasa sesi kaunseling berjalan. Kaunselor perlu tahu
masa yang sesuai untuk sama ada menggalakkan klien terus bercakap atau terus mengekalkan kesenyapan
itu. Kesenyapan ini merupakan satu petanda yang baik kerana ia memberikan masa kepada kaunselor dan klien
untuk memikirkan tindakan apa yang seharusnya diambil seterusnya.

 Kemahiran melakukan percanggahan


Kemahiran melakukan percanggahan wujud dalam dua bentuk iaitu percanggahan dalam tingkah laku bukan lisan
dan tingkah laku lisan.
  -Percanggahan dalam tingkah laku bukan lisan
Percanggahan ini berlaku apabila mesej yang disampaikan tidak selaras dengan pergerakan badan. Contohnya
bercakap tentang satu-satu topik tetapi dilihat dari segi tingkah laku bukan lisan terdapat gerakan yang tidak
sepadan.

  -Percanggahan dalam pernyataan lisan.


Percanggahan dalam pernyataan lisan berlaku apabila dalam satu kenyataan terdapat dua idea yang bercanggah.

 Kemahiran Mengetahui Teori dan Teknik-Teknik Kaunseling


Dengan adanya kemahiran mengetahui teori dan teknik kaunseling,kaunselor akan menjadi lebih yakin dan
bersedia untuk berhadapan dengan klien. Dengan adanya kemahiran ini, kaunselor akan lebih berupaya untuk
menolong klien menghadapi masalah yang dihadapi itu.

 Kemahiran Memberi Maklumat


Kemahiran memberi maklumat memerlukan sedikit ketelitian di mana kaunselor berkongsi fakta dan maklumat
dengan klien. Antara jenis maklumat adalah kategori kepakaran seperti instrumen ujian, kemahiran merancang
dan membuat keputusan, merancang kerjaya, perancangankeluarga dan membuat keputusan bersara.

 Kemahiran Merumus
Merumus adalah pernyataan atau pengikatan semula bahagian isi dan perasaan penting yang telah dikatakan oleh
klien dalam sesi kaunseling tersebut. Rumusan adalah lebih meluas jika dibandingkan dengan parafrasa. Kemahiran
merumus ini bertujuan untuk menyedarkan klien dan mengimbas kembali apa yang telah dibincangkan semasa sesi
kaunseling itu.

 Kemahiran meninjau klien


Kemahiran meninjau klien membolehkan kaunselor meninjau klienmelalui tingkah laku lisan dan bukan lisan.
Kemahiran ini juga dapat membina hubungan. Selain daripada itu, kemahiran meninjau klien juga dapat memberi
responss yang tepat. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah tingkah laku lisan dan bukan lisan,
percanggahan dan konflik serta gaya yang disesuaikan dengan individu yang datang dari pelbagai budaya.

 Kemahiran Konfrontasi
Kemahiran ini hanya dilaksanakan setelah terbentuk hubungan yang baik antara klien dengan kaunselor. Semasa
kemahiran konfrontasi dijalankan, kaunselor harus menggunakan nada yang lembut yang mengandungi unsur-
unsur ambil berat agar mesej yang disampaikan tidaktersalah tafsir oleh klien. Biasanya kemahiran konfrontasi
akan digunakan oleh kaunselor kepada klien dalam situasi-situasi tertentu.

 Kemahiran Menyemak Persepsi


Kemahiran menyemak persepsi ini ialah mengesahkan persepsi kaunselor tentang apa yang klien katakan. Apabila
kemahiran ini dilakukan, klien akan merasa beliau lebih difahami. Garis panduan untuk membuat penyemakan
persepsi ialah membuat parafrasa apa yang kaunselor fikir kaunselor telah dengar. Selain daripada itu, kaunselor
juga meminta pengesahan klien secara terus terang tentang ketepatan persepsi kaunselor terhadap apa yang telah
diperkatakan oleh klien.Dalam menyemak persepsi, kaunselor juga akan membenarkan klien membetulkan
persepsinya jika andaian kaunselor adalah tidak tepat.

 Kemahiran Mengurus kesenyapan
Biasanya kesenyapan berlaku semasa sesi kaunseling apabila klien berfikir tentang beberapa idea yang
dibincangkan. Dalam sesetengah situasi, klien akan menjadi senyap semasa sesi kaunseling untuk
mengorganisasikan semula pemikirannya. Walau bagaimanapun, kesenyapan yang sedemikian dikatakan amat
bermanfaat apabila klien meneruskannya untuk satu atau beberapa jangka masa untuk memikirkan isi kandungan
yang dibincangkan melalui cara yang lain.

Anda mungkin juga menyukai