Anda di halaman 1dari 1

Bayi baru lahir dibuang depan hospital swasta

SUNGAI PETANI 16 Dis. – Di manakah naluri seseorang insan bergelar ibu atau bapa
apabila sanggup membuang bayinya yang masih hidup di bawah pokok.

Tanpa perikemanusiaan, si kecil yang tidak mengerti apa-apa itu dibiar kesejukan sehingga
menggigil berdekatan laluan siar kaki Hospital Pakar Metro (HPM), di sini.

Mujurlah bayi lelaki seberat 1.25 kilogram dan masih bertali pusat itu ditemui seorang tukang
cuci, M. Anbalahan, 21, ketika membersihkan kawasan tersebut, pukul 6.45 pagi.

Katanya, ketika ditemui, bayi itu dalam keadaan menggigil akibat kesejukan kerana hanya
dibalut dengan sehelai tuala.

“Saya bekerja syif malam sampai pagi. Semasa hendak tamat waktu kerja, saya membuat
kerja-kerja mengemas kawasan terakhir dan terkejut mendapati satu bungkusan kain
ditinggalkan bawah pokok,” katanya di sini, hari ini.

Anbalahan berkata, dia seterusnya memberanikan diri untuk membuka bungkusan itu dan
terkejut mendapati ia adalah seorang bayi.

“Bayi itu berkulit cerah, masih elok dan bertali pusat serta ada sedikit darah,” katanya.

Katanya, selepas memeriksa dan mendapati bayi itu masih bernyawa, dia meminta bantuan
petugas Jabatan Kecemasan HPM untuk diberikan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika
dihubungi hari ini mengesahkan penemuan bayi tersebut.

Katanya, pihaknya percaya bayi tersebut baru dilahirkan sebelum dibuang antara tengah
malam dan awal pagi ini.

“Kita sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan untuk
membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang
bayi.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai mengesan suspek dan mereka yang mempunyai
maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-
4219999.

Anda mungkin juga menyukai