Anda di halaman 1dari 3

Bantu bayi tercekik Oleh Faizatul Farlin Farush Khan DEWASA ini kita sering disajikan berita sedih

kejadian bayi meninggal dunia akibat tersedak susu dan keadaan itu sudah semestinya membimbangkan serta menjadi igauan ngeri kepada setiap ibu bapa. Hampir setiap bulan berita mengenai kejadian bayi tersedak susu menjadi tajuk utama yang terpampang di dada akhbar utama serta menjadi topik perbualan hangat hingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa dan penjaga mengenai keselamatan anak kecil masing-masing. Ada banyak kemungkinan yang menjurus kepada masalah bayi tersedak, namun secara amnya, ia berkaitan tubuh bayi yang masih kecil serta kekurangan pengalaman dalam pengambilan makanan. Bayi selalunya mudah tersedak atau tercekik apabila ia mula diberi makanan jenis pepejal. Ini kerana makanan berbentuk puri walaupun masih lembut, ia tidak bergerak lancar seperti cecair, misalnya susu yang biasa diminum bayi sebelum diperkenalkan dengan makanan. Apakah langkah atau tindakan yang harus diambil sekiranya bayi tersedak atau tercekik ketika sedang diberi makan? Bagi ibu muda, perkara itu pasti membuatkan mereka panik dan hilang arah. Apa lagi sekiranya bayi yang tersedak masih terlalu kecil dan tiada siapa di rumah yang dapat membantu. Selain tersedak kerana tercekik makanan yang disuap, bayi juga boleh tercekik akibat objek yang dimasukkannya sendiri ke dalam mulut memandangkan pada ketika usianya yang masih kecil, bayi gemar merangkak dan memasukkan sebarang objek yang menarik perhatian ke dalam mulutnya. Perkara pertama yang harus diingat dan ditanam dalam fikiran adalah tidak panik berhadapan dengan situasi mencemaskan itu, sebaliknya bersikap tenang supaya mampu berfikir dengan lebih jelas bagi membantu anak yang memerlukan pertolongan. Jika bayi berkenaan menangis ketika kejadian, itu memberi tanda ia masih bernafas, maka ibu atau bapa tidak perlu bersikap cemas sehingga tidak mampu berfikir bagaimana untuk membantu anak mereka keluar daripada situasi terbabit. Antara cara yang boleh dilakukan ibu bapa atau penjaga adalah dengan meniarapkan bayi muka ke bawah di atas lengan dengan bahagian kepala berada pada paras lebih rendah daripada tubuhnya dan bahagian belakang serta kepala diampu. Kemudian dengan menggunakan bahagian tumit tapak tangan, tepuk bahagian belakang dengan kuat sebanyak lima kali. Periksa juga bahagian mulut bayi dan keluarkan sebarang objek yang menghalang tetapi jangan gunakan jari untuk menguis kerana ia boleh mengakibatkan objek terbabit masuk lebih dalam ke bahagian tekak.

Jika bayi masih tidak mampu bernafas, pusingkan serta baringkan di atas tangan dalam posisi sama dan tekan bahagian dada sebanyak lima kali. Gunakan hujung dua jari untuk tolakan ke atas dan ke bawah ke arah kepala, di bahagian tulang dada manakala satu jari berada di bawah garisan puting. Setiap kali selepas lakukan tekanan, periksa mulut bayi bagi mengenal pasti objek yang menghalang saluran pernafasannya. Sekiranya objek yang menghalang pernafasan anak masih tidak keluar selepas tiga pusingan tepukan dan tekanan di belakang serta dada bayi, ibu bapa atau penjaga perlu menghubungi ambulans dengan kadar segera. Pada masa sama, teruskan usaha menepuk belakang dan menekan dada bayi supaya objek berkenaan mampu dikeluarkan sementara menanti bantuan seterusnya tiba. Jika bayi tidak sedarkan diri, langkah seterusnya adalah dengan melakukan bantuan kecemasan pernafasan mulut ke mulut (CPR) sementara menunggu bantuan kecemasan. Teknik mengendali bayi yang tersedak penting kerana pengetahuan yang ada mampu menyelamatkan nyawa bayi dan ia sepatutnya diketahui setiap ibu bapa dan pengasuh. Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Azhari Rosman berkata, teknik berkenaan penting dipelajari memandangkan masih ramai tidak tahu kepentingannya apabila berdepan dengan situasi kecemasan seperti bayi mereka tersedak atau tercekik objek. Beliau berkata, pertolongan perlu diberi secepat mungkin kepada bayi yang tersedak atau tercekik kerana setiap minit yang berlalu boleh membahayakan dan meragut nyawanya. Kecederaan di bahagian otak boleh berlaku dalam tempoh empat minit saja dan mati otak berlaku selepas 10 minit disebabkan kekurangan oksigen ke bahagian terbabit, katanya ketika menyampaikan syarahan dalam bengkel Pencegahan Bayi Tersedak di Balai Berita NSTP Kuala Lumpur. Baru-baru ini, dalam usaha menambah pengetahuan ibu bapa mengenai penjagaan keselamatan dan kesihatan bayi mereka, Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengambil inisiatif menganjurkan bengkel berkenaan dengan kerjasama IJN. Menurut Dr Azhari, teknik CPR mudah yang perlu diketahui pengasuh atau ibu bapa dan mampu menyelamatkan nyawa bayi yang tidak sedarkan diri menerusi konsep CAB iaitu tekan, beri ruang udara dan bernafas. Beliau berkata, sekiranya bayi masih bernafas ketika tercekik, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan bantuan perubatan sambil mangsa disokong dengan tangan, kepala diletakkan rendah dari badan dan tepuk lima kali pada belakang bayi menggunakan satu tangan. Selepas prosedur itu, periksa sama ada wujud objek boleh dilihat pada lidah mangsa. Jika tidak kelihatan, baringkan bayi di kawasan padat, gunakan jari, tekankan di dada secara perlahan dan ulangi sehingga objek dikeluarkan atau terus masuk ke dalam perut, katanya.

Menurutnya, antara punca yang menjurus kepada kejadian bayi tersedak susu adalah kahak bayi yang terhasil akibat selesema masuk bersama susu, susu tiba-tiba masuk terlampau laju, teknik penyusuan tidak betul, masalah menelan yang mungkin berlaku kepada bayi sewaktu kelahiran atau bayi pramatang atau masalah anatomi seperti sumbing. Teknik CPR boleh dilakukan dengan cara membaringkan bayi, dongak kepalanya dan buka mulutnya sebelum menghembus dua nafas ke dalam mulutnya dengan bibir menutupi mulut bayi dan lubang hidungnya ditutup. Kemudian periksa nadi dan sekiranya bayi mempunyai nadi, teruskan dengan hembusan nafas setiap beberapa saat, jika tiada nadi, gunakan dua jari untuk lima kali tekanan secara pantas di bahagian tengah dada bayi, sedikit bawah dari puting. Lakukan tekanan secara lembut iaitu kira-kira setengah inci bagi mengelak merosakkan tulang rusuk bayi. Ibu bapa atau pengasuh boleh meneruskan teknik CPR sehingga bayi bernafas semula atau kru kecemasan tiba. Cara terbaik mengelak bayi tercekik atau tersedak adalah dengan memastikan rumah bebas objek kecil yang diletak merata-rata dan boleh dicapai bayi. Selain itu, makanan yang diberi pada bayi juga perlu dipastikan dipotong sekecil mungkin yang mampu dikunyah bayi tanpa membahayakan nyawanya. Ibu bapa, penjaga dan pengasuh juga digalak menyertai kelas CPR sebagai persediaan sekiranya perkara tidak diingini berlaku kepada bayi di bawah jagaan mereka, sekali gus mampu menyelamatkan nyawa bayi berkenaan dan mengelak tragedi. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04

Anda mungkin juga menyukai