Anda di halaman 1dari 2

TEMA KARANGAN

MEROKOK
Remaja kini suka merokok di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.
Huraikan faktor-faktor gejala ini terus berlaku.

Remaja merupakan golongan yang berusia antara 13 hingga 21 tahun. Dalam usia
yang muda dan mencabar ini, mereka mengalami perubahan dari segi fizikal dan
mental. Perubahan demi perubahan ini menyebabkan ada dalam kalangan remaja yang
terpengaruh untuk berjinak-jinak dengan tabiat merokok. Oleh hal yang demikian,
kadar perokok remaja semakin merebak bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Realitinya, remaja pada masa ini semakin berani merokok di mana-mana sahaja tanpa
segan silu. Saya berpendapat bahawa banyak faktor yang menyebabkan gejala
merokok terus merebak dalam kalangan remaja.

Mengikut kajian yang dijalankan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang


merupakan faktor utama yang menjadi pemangkin gejala merokok dalam kalangan
remaja. Hal ini berlaku kerana pihak berwajib dikatakan tidak serius melaksanakan
undang-undang yang digubal. Oleh sebab pihak berkuasa bersikap melepaskan
batuk di tangga, remaja menjadi tidak takut waima tidak gentar untuk melakukan
kesalahan seperti merokok di tempat-tempat awam. Lama-kelamaan, fenomena
merokok dalam kalangan remaja bagai bisul menjadi nanah yang sukar diubati lagi.

Selain kelemahan penguatkuasaan, pengaruh media massa yang bebas


menyiarkan iklan juga merupakan penyumbang kepada masalah merokok dalam
kalangan remaja. Remaja yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk
pinang sudah pasti mudah terpengaruh dengan ledakan iklan daripada media massa.
Kajian juga mendapati remaja dan golongan muda-mudi merupakan penonton tertinggi
siaran media. Oleh sebab itu, iklan rokok dan poster konsert yang ditaja oleh pihak
pekilang rokok mudah meresap dalam jiwa remaja yang mendahagakan
keseronokan. Remaja memang mudah mempelajari apa-apa sahaja tontonan mereka.
Oleh hal yang demikian, kebanyakan remaja memberanikan diri membeli dan
memegang rokok kerana pengaruh media massa.

Di samping itu, kawan merupakan insan yang paling istimewa dan memainkan
peranan yang penting dalam pergaulan remaja. Walau bagaimanapun, ada antara
remaja yang cuba merokok selepas dicabar atau diajak oleh kawan-kawan. Hal ini tidak
mustahil kerana hubungan antara kawan yang rapat bagai isi dengan kuku sedikit
sebanyak merangsang kepercayaan remaja terhadap kata-kata kawan mereka. Oleh
sebab menjadi pak turut kawan, majoriti mereka sama-sama ponteng sekolah, sama-
sama membeli rokok lalu merasai asap rokok tanpa menyedari kebahayaan rokok.
Selepas terjebak dan ketagihan rokok, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada
tabiat buruk ini lagi.

Ibu bapa yang kurang memberi kasih sayang dan tidak prihatin akan perubahan
sikap anak-anak juga merupakan faktor remaja merokok. Hal ini demikian kerana ibu
bapa pada zaman berteknologi ini terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan
sehingga mengabaikan tanggungjawab keibubapaan mereka. Sikap ibu bapa ini bagai
enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mereka sanggup
mengabaikan kasih sayang dengan memberi wang kepada anak-anak mereka sebagai
gantian kasih sayang. Anak-anak yang belum berfikiran matang pula menyalahgunakan
wang tersebut tanpa kawalan ibu bapa. Hal ini menyebabkan remaja dapat membeli
rokok dengan mudah kerana harganya masih murah.

Secara tuntas, saya berpendapat bahawa gejala merokok sebenarnya dapat


diatasi sehingga akar umbi. Namun begitu, semua pihak haruslah bersikap bagai aur
dengan tebing untuk bekerjasama membanteras gejala merokok dalam kalangan
anak-anak. Remaja haruslah bangun daripada kesalahan yang dibuat oleh mereka
kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh hal yang
demikian, penjagaan kesihatan diri ialah tanggungjawab sendiri. Jika kita berkesedaran
dan berfikiran matang, nescaya dapat meningkatkan tahap kesihatan diri dengan
menjauhi tabiat merokok. Saya berharap pihak berkenaan, terutamanya kerajaan dapat
mempergiat kempen antimerokok agar remaja dapat menjauhi gejala merokok yang
mampu membawa maut dalam jangka masa panjang.

GEJALA MEROKOK DALAM KALANGAN REMAJA


Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk
mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak
dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah
membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru.
Menurut Menteri Kesihatan, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian
meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.

Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini


sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk
membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras
negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini.
Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru
tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.

Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media.


Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok.
Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi
kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui
pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan
kadar perokok dapat dikurangkan.

Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu
di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk
membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-
kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa
perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok
untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji.
Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan
mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja. Kesimpulannya, semua pihak
berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini.
Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif, ditambah dengan kerjasama
masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

Anda mungkin juga menyukai