Anda di halaman 1dari 11

KETAGIHAN merokok termasuk penggunaan rokok elektronik (vape) dalam kalangan pelajar sekolah kini

berada pada tahap kritikal dan membimbangkan.

Malah pada usia masih mentah itu, golongan berkenaan sanggup menghabiskan wang puluhan ringgit
setiap bulan membeli rokok dan vape.

Pegawai Penyelidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, tinjauan
persatuan itu mendapati pelajar sekolah sanggup berbelanja melebihi RM60 sebulan bagi meneruskan
ketagihan vape.

Katanya, RM50 sebulan pula diperuntukkan pelajar sekolah menengah bagi membeli rokok.

Katanya, penjualan rokok dan vape dalam kalangan pelajar pada masa kini begitu mudah sama ada
membeli sebatang atau sekotak rokok.

“Kaji selidik mendapati ada antara pelajar terbabit sanggup menipu ibu bapa bagi mendapatkan wang
dengan alasan mahu membeli buku atau menghadiri aktiviti di sekolah selain meminjam dengan orang
lain.

“CAP juga hairan bagaimana pelajar yang berusia seawal 14 tahun boleh membeli rokok dan vape
dengan mudah di kedai runcit,” katanya.

Subbarow berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Kempen Anti Merokok Sempena Hari Tanpa
Tembakau Sedunia 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Xavier, Georgetown yang
dirasmikan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran dan Pemangku Presiden CAP, Mohideen
Abdul Kader.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, menghisap vape kini popular dalam kalangan pelajar dan ada yang
sanggup berkongsi wang bagi membeli cecair itu.

Mereka juga menghisap secara bergilir-gilir dan boleh menghabiskan sebotol cecair itu hanya dalam
masa dua hari.
CAP mendapati sudah ada murid sekolah rendah terpengaruh dengan pengambilan shisha yang boleh
didapati dalam enam perisa buah-buahan.

“Shisha boleh disedut 500 kali dan bahan kimianya dipercayai sama dengan cecair kimia yang terdapat
dalam vape.

“Kami tidak pasti bagaimana murid berusia 10 hingga 12 tahun boleh dapat shisha ini dan mereka perlu
tahu bahawa rasa buah itu datangnya dari bahan kimia, bukan buah,” katanya.

Sebatang rokok mengandungi 6,000 bahan kimia dan setiap batang yang dihisap akan mengurangkan
enam minit dalam kehidupan perokok.

Tiada bukti mengatakan penggunaan vape adalah selamat kerana kandungan tar di dalamnya akan
mengganggu paru-paru dan boleh menyebabkan barah.

Sementara itu, Narenasagaran berkata, tabiat merokok dan vape juga sudah menular dalam kalangan
pelajar perempuan.

“Antara faktor dikenalpasti adalah pengaruh sosial seperti rakan sebaya, keluarga dan diri yang mana
perasaan ingin tahu dan mahu mencuba.

“Peningkatan peratusan perokok dan vape di negara ini berpunca daripada masalah sosial yang tidak
ditangani dengan baik malah ia dijadikan budaya bagi mencari ketenangan dan kawan selain mengisi
kekosongan dalam hati,” katanya.

Satu ulasan ilmiah diterbitkan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia mengenai Kajian
Merokok di Malaysia 2016 melaporkan lima juta perokok negara ini terdiri daripada individu berusia
bawah 18 tahun pada 2010.

Sementara penemuan lain lima tahun berikutnya mendapati setiap seorang daripada 10 rakyat Malaysia
daripada kumpulan umur 13 tahun hingga 17 tahun adalah perokok.

Jurnal yang sama turut menyatakan wujud kes perokok dalam kalangan murid sekolah rendah
berdasarkan kajian di Kelantan selain pelajar menengah rendah di kawasan FELDA mencatat peratusan
sekali ganda lebih tinggi (42.9 peratus) berbanding sekolah pinggir bandar dan bandar (20.3 peratus).
Laporan terbabit secara tidak langsung memberi gambaran masalah moral iaitu merokok dalam
kalangan remaja negara amat membimbangkan dan wajar ditangani segera.

Menurut Pakar Psikologi Jiwa Damai Shah Alam Selangor Faeza Hasnan, pada usia remaja masih mencari
identiti selain mempunyai sifat ingin tahu tinggi yang menyebabkan mereka dilihat sebagai golongan
mudah terjebak dengan pengaruh negatif.

“Selain pengaruh rakan, media sosial menjadi elemen penting yang menarik perhatian remaja untuk
mencuba sesuatu termasuk merokok. Penerimaan sosial sangat penting pada mereka menyebabkan ada
yang sanggup mengambil risiko serta menerima cabaran agar dilihat mengikut peredaran zaman.

“Kalau remaja tidak merokok mereka dilihat tidak ‘in’ dengan semasa. Tetapi, dalam kebanyakan kes
membabitkan remaja bermasalah ia dilihat sebagai cara untuk melepaskan tekanan selain faktor lain
iaitu keluarga apabila ibu bapanya perokok,” katanya.

Kata Faeza, penting untuk mengenal pasti punca yang menyebabkan golongan itu merokok dalam
mencari penyelesaian masalah terbabit.

“Contohnya remaja merokok disebabkan masalah emosi, tabiat mereka lebih agresif dan jumlah rokok
diambil biasanya lebih banyak dan kerap. Berbanding kalau perokok yang berniat untuk kurus, sikap
terhadap rokok berbeza dan ia biasanya berlaku pada remaja perempuan.

“Tidak dinafikan pengaruh televisyen dan media sosial menyebabkan remaja ini ada perspektif sebegini
kerana kalau dilihat filem atau drama terutama luar negara memaparkan pelakon wanita seksi dengan
rokok di jari. Jadi imej itu kelihatan menarik pada remaja membuatkan mereka menjejak langkah
terbabit,” katanya.

INGIN IKUT BUDAYA

Menyokong pendapat itu, Pakar Psikologi Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM) Dr Khadijah Hasanah Abang Abdullah turut berkongsi faktor lain antaranya kewujudan
alternatif dalam trend semasa menyebabkan merokok menjadi budaya terkini.

“Cabaran lebih getir buat aktivis kesihatan mahupun moral ketika ini apabila perlu bersaing dengan
kewujudan rokok elektronik. Dulu rokok elektronik atau ‘vape’ pada awalnya bertujuan mengurangkan
tabiat merokok, tetapi kini dengan adanya inovasi ini dalam pasaran memberi kesan berlawanan apabila
ia melahirkan ramai perokok baru.

“Tambahan pula ia muncul dalam pelbagai perisa dan tiada kesan jelas ketara seperti tar mahupun
nikotin pada badan mahupun organ yang menyebabkan remaja teruja mencubanya. Melihat visual dan
rupa perokok ini begitu menyeronokkan selain ‘gajet’ itu dalam pakej menarik menyebabkan mereka
terjebak,” katanya.

Beliau yang juga aktivis Pertubuhan Bulan Sabit Hijau Malaysia aktif dalam menangani isu penagihan
menyatakan kebimbangan apabila adanya cadangan untuk mewujudkan kembali pek kecil bagi
menangani isu rokok seludup.

“Ketika ini kami terdiri daripada NGO berorientasikan kesihatan dan moral terutama dalam aspek
penagihan memandang polemik baru membabitkan pek kecil ini sesuatu yang serius. Kami membantah
usaha membenarkan kembali rokok pek kecil ini kerana ia dilihat memberi kesan lebih buruk kepada
perokok remaja.

“Kalau sebelum ini mereka mungkin berdepan dengan isu tiada kemampuan untuk membeli kerana
rokok mahal, tetapi apabila ada pek kecil, ia seolah-olah menggalakkan remaja untuk dapatkan bekalan
pada harga mampu milik,” katanya.

KUMPULAN SOKONGAN RAKAN SEBAYA

Dalam menangani masalah perokok bawah umur ini beberapa program perlu dilaksanakan pelbagai
peringkat termasuk menyokong kempen atau inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM)
antaranya Kempen Tak Nak Merokok perlu dipergiatkan selain diperkemaskan dengan peranan ibu bapa
serta sekolah.

“Sebenarnya KMM menjalankan pemeriksaan oral dan gigi berjadual di sekolah yang secara tidak
langsung membantu mengenal pasti pelajar merokok. Biasanya program sebegini maklumat penting
dikongsi dengan pihak sekolah untuk tindakan lanjut termasuk bertemu kaunselor.

“Bagi kami aktivis Pertubuhan Bulan Sabit Hijau Malaysia inisiatif yang boleh diambil ialah mewujudkan
kumpulan sokongan peringkat rakan sebaya. Peranan rakan penting kerana mereka ini berada dalam
ruang lingkup sosial yang memberi pengaruh besar kepada remaja untuk bersikap positif termasuklah
berhenti merokok.

“Paling penting ialah ibu bapa. Sebenarnya ibu bapa perlu menjadi model kepada anak. Kalau
persekitaran di rumah mesra dan ibu bapa juga bebas rokok, anak juga tidak cenderung untuk merokok.
Kesimpulannya didikan di rumah itu penting untuk membantu remaja matang membuat pilihan,”
katanya.

Ketika ini tiada lagi program membabitkan terapi ubat buat perokok remaja melainkan program
kaunseling yang membantu mereka menangani ketagihan berkenaan.

Di era sains dan teknologi yang semakin mencabar ini, ibu bapa sebagai pemimpin keluarga menghadapi
cabaran yang hebat bagi memastikan anak-anak dan ahli keluarga dapat dibesarkan dalam suasana
yang aman, harmoni, sihat dan selamat – baik ketika berada di rumah mahupun di luar rumah. Salah satu
cabaran yang harus ditangani oleh ibu bapa dalam memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak
ialah:

 Menghindari anak-anak daripada mula menghisap rokok,


 Menjauhi anak-anak daripada pencemaran asap rokok yang boleh menjadi punca pelbagai
penyakit berbahaya dan boleh membawa maut.
Pendidikan
Peranan ibu bapa sangat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak kerana didikan dan
pengaruh yang diterima oleh mereka sepanjang proses pembesaran inilah yang akan menentukan sikap
serta tingkah laku mereka apabila dewasa.

Selain daripada pengetahuan dan maklumat yang diterima oleh anak-anak daripada guru-guru di
sekolah, rakan sebaya, media massa dan internet, didikan ibu bapa serta ahli keluarga memainkan
peranan penting dalam membentuk sikap anak-anak terhadap tabiat merokok juga tindak balas mereka
terhadap pencemaran yang diakibatkan oleh asap rokok.
Ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang keburukan tabiat merokok serta pelbagai masalah kesihatan
mahupun keselamatan yang boleh diakibatkan oleh pencemaran asap rokok. Ini termasuk:

 menyediakan persekitaran rumah yang bebas asap rokok kepada anak-anak. Rumah yang bebas
asap rokok bukanlah sesuatu yang sukar atau mustahil untuk dilaksanakan.
 memastikan tiada ahli keluarga atau tetamu yang merokok di dalam rumah atau kenderaan.
 tidak menyediakan sebarang peralatan merokok seperti pemetik api atau bekas abu rokok yang
boleh menggalakkan tabiat merokok.
 menunjukkan contoh yang baik kepada ahli keluarga dengan tidak merokok. Jika ibu bapa
mempunyai tabiat merokok, elakkan daripada merokok di hadapan anak-anak supaya tabiat itu tidak
ditiru oleh anak-anak. Berusahalah untuk berhenti merokok dan dapatkan bantuan/ rawatan dari Klinik
Kesihatan yang berdekatan sekiranya perlu.
 menasihati ahli keluarga yang merokok supaya berhenti merokok.
 elakkan mengunjungi tempat di mana terdapat perokok sedang menghisap rokok. Kunjungilah
tempat awam seperti kompleks beli-belah dan restoran yang bebas asap rokok.
Role Model
Dalam keluarga, ibu bapa merupakan ketua keluarga dan berperanan sebagai contoh ikutan (role
model) kepada anak-anak. Anak-anak cenderung untuk mencontohi tingkah laku dan sikap yang
ditunjukkan oleh ibu bapa mereka sama ada yang baik mahupun yang buruk. Ini adalah kerana ibu bapa
adalah orang yang paling rapat dengan anak-anak.
Peranan ibu bapa bermula sejak anak-anak masih kecil lagi. Ibu bapa perlu memahami naluri anak-anak
bagi mewujudkan suasana erat dan harmoni dalam keluarga. Luangkan lebih banyak masa dengan anak-
anak agar mereka berasa dihargai dan disayangi. Hasilnya, anak-anak akan lebih selesa bersama-sama
keluarga berbanding rakan-rakan yang dikhuatiri membawa pengaruh tidak sihat dan buruk seperti
menghisap rokok.

Tingkah laku ahli keluarga terutamanya ibu bapa menjadi contoh dan ikutan oleh anak-anak. Ibu atau
bapa yang merokok memberi gambaran awal kepada anak-anak bahawa tingkah laku tersebut adalah
sebahagian daripada norma yang biasa dalam keluarga. Apabila tingkah laku tersebut dilihat sebagai
norma dan kebiasaan, maka anak-anak akan menjadi lebih cenderung untuk turut serta.

Bapa atau ibu sebagai pemimpin perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Merokok
adalah dilarang. Banyak kelebihannya jika ibu bapa tidak merokok. Bukan sahaja anak-anak dan seluruh
ahli keluarga mendapat persekitaran yang bersih dan sihat, taraf ekonomi keluarga juga akan bertambah
baik. Kos untuk membeli rokok boleh diganti untuk membiayai belanja harian rumahtangga. Sediakan
makanan yang sihat kepada anak-anak dengan wang yang diperuntukkan untuk membeli rokok.

Ibu bapa yang tidak merokok juga akan kelihatan lebih sihat dan bersih. Anak-anak pasti gembira dengan
penampilan ibu bapa yang segak dan cantik tanpa asap rokok. Melihat ibu bapa yang sihat, anak-anak
pasti akan ingin mengikuti jejak langkah mereka. Ibu bapa adalah role model kepada anak-anak maka
mereka juga akan kurang kecenderungan untuk memulakan tabiat merokok jika ibu dan bapa tidak
merokok. Sebaliknya, jika ibu bapa mempunyai tabiat menghisap rokok, secara automatik, mereka akan
hilang wibawa untuk menasihati atau memarahi anak-anak yang ikut merokok kerana ibu bapa itu sendiri
mengamalkan tabiat buruk tersebut.
Pantau
Apabila seseorang itu meninggalkan alam kanak-kanak dan memasuki alam remaja, pengaruh ibu bapa
sebagai agen sosialisasi mula diganti dengan peranan rakan-rakan. Pada usia remaja, pengaruh rakan
sebaya lebih besar berbanding ibu bapa. Rakan-rakan menjadi teman kepercayaan remaja untuk
berkongsi interaksi sosial; mengatasi ketakutan, kekeliruan dan masalah, malah bersama-sama cuba
untuk keluar daripada kawalan orang dewasa dan belenggu peraturan-peraturan yang dianggap
mengongkong naluri remaja.
Ibu bapa yang prihatin akan cenderung mengawal pemilihan rakan sebaya anak-anak dan mengambil
inisiatif untuk mengenali rakan sebaya anak-anak khususnya ketika meningkat usia remaja. Ibu bapa
berperanan mengenal pasti sama ada anak-anak mereka berkawan dengan golongan yang merokok
ataupun tidak. Pilihan rakan sebaya yang baik dan betul mampu mempengaruhi keputusan remaja untuk
tidak merokok. Justeru itu, rakan-rakan anak-anak khususnya ketika meningkat usia remaja perlu
diselidiki dengan teliti.

Ibu bapa yang bertanggungjawab akan berusaha memantau segala tingkah laku dan aktiviti anak-anak
termasuk pengaruh rakan sebaya terhadap sikap serta perkara yang menjadi kegemaran mahupun
kebencian mereka. Ibu bapa perlu tahu dengan siapa anak-anak berkawan dan di manakah mereka
selalu menghabiskan masa terluang. Pastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang
mempunyai sikap negatif seperti ketagih rokok. Apa yang dibimbangkan, remaja akan mula merokok
kerana adalah menjadi sifat semulajadi mereka cenderung untuk mencuba sesuatu yang baru.

Ibu bapa tidak boleh menyekat sepenuhnya pergaulan anak-anak di luar rumah lebih-lebih lagi jika anak-
anak sudah mula menjejakkan kaki ke dalam alam persekolahan. Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah
lebih praktikal bagi ibu bapa memberi perhatian terhadap rakan-rakan yang menjadi sahabat anak-anak
kerana kebanyakan remaja yang merokok mendakwa mereka menjadi perokok akibat terpengaruh
dengan ajakan rakan-rakan.

Ibu bapa juga boleh menjalinkan hubungan persahabatan dengan ibu bapa rakan-rakan anak-anak
dengan harapan jalinan hubungan yang baik dan karib ini akan melahirkan rasa tanggungjawab yang
ikhlas untuk saling memantau gerak-geri anak masing-masing. Hasilnya, ibu bapa menyelamatkan anak-
anak daripada terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti menghisap rokok.

Periksa, Prihatin dan Peka


Tanpa bertujuan menggalakkan sikap buruk sangka, ibu bapa pada masa yang sama tidak boleh terlalu
naïf dalam mempercayai sikap baik anak-anak dan sentiasa meletakkan sedikit rasa curiga terhadap
mereka melalui langkah-langkah pencegahan berhemah seperti berikut:

 periksa saku seluar, baju, pakaian dan beg anak-anak dari masa ke semasa jika terdapat rokok
atau pemetik api yang menjadi bukti mereka merokok.
 ibu bapa juga boleh mengetahui sama ada anak-anak merokok atau tidak jika terhidu bau asap
rokok pada pakaian, rambut atau badan mereka.
 prihatin dan peka terhadap paten perbelanjaan wang saku yang diberikan kepada anak-anak.
Persoalkan sekiranya wang saku yang diberikan sering habis dibelanjakan atas alasan membeli buku
dan keperluan sekolah atau keperluan peribadi lain yang tidak jelas kelihatan. Sekiranya terdapat
keraguan, ada kemungkinan wang tersebut dibelanjakan untuk membeli rokok.
Pantang
Semua ibu/ bapa tidak mahu anak-anak mereka terlibat dengan gejala negatif seperti penagihan dadah,
pergaulan bebas dan lain-lain, jadikan tabiat merokok dan pencemaran asap rokok sebagai suatu
pantang yang sangat dilarang dalam kehidupan anak-anak mahupun ahli keluarga. Dalam sesebuah
rumahtangga tidak perlu ada seorang pun yang merokok. Rumah, kenderaan dan persekitaran di mana
sahaja anak-anak dan ahli keluarga berada perlu kekal sebagai tempat yang selesa dan selamat kepada
semua penghuninya. Asap rokok akan menyebabkan suasana persekitaran menjadi tidak sihat dan
menjadi punca kepada segala macam penyakit berbahaya.

Bagi keluarga yang beragama Islam, fatwa Majlis Ulama Kebangsaan telah mengisytiharkan tabiat
merokok sebagai haram boleh dijadikan asas untuk melarang sama sekali anak-anak daripada terlibat
dengan tabiat merokok, malah jangan sekali-kali cuba untuk merokok. Ingatkan juga bahawa iklan-iklan di
media yang menonjolkan tabiat merokok sebagai rokok di media bukan ditujukan kepada mereka.

Pencegahan Itu Lebih Baik


Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Maka, zaman kecil anak-
anak adalah masa yang terbaik bagi ibu bapa untuk melatih dan mendidik sikap serta tingkah laku
mereka terhadap tabiat merokok dan tindak balas mereka terhadap pencemaran asap rokok.

Pencegahan sememangnya merupakan langkah yang lebih baik daripada merawat. Justeru itu, usaha
menangani masalah ini harus dilihat sebagai satu amalan yang sangat penting lagi mulia dalam
memastikan kesihatan dan kesejahteraan anak-anak mahupun ahli keluarga ke arah melahirkan
masyarakat dan negara yang lebih sihat bermula hari ini untuk masa hadapan.

Rujukan
1. Dr. Abu Bakar Abdul Majid, Bagaimana Cara Berhenti Merokok, 2006.
2. Dr. Abu Bakar Abdul Majid, Bacalah Ibu Bapa Guru Murid, 2004.

PETALING JAYA: Tinjauan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM)


mendedahkan dalam setiap lima pelajar, seorang daripada mereka mula mula
berjinak-jinak dengan rokok sejak berusia 10 tahun.
Tabiat itu mudah dipuaskan terutamanya apabila rokok secara terang-
terangan dijual kepada pelajar dengan sedikit atau tiada penguatkuasaan
terhadap peniaga tidak bertanggungjawab.

Lebih separuh daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam tinjauan


baru-baru ini memperoleh rokok dengan mudah dari pasar raya, kedai runcit
dan gerai tepi jalan.

Tinjauan Tembakau dan Rokok Elektronik di kalangan Remaja Malaysia 2016


(Tecma) menunjukkan empat dalam lima remaja mengetahui tabiat merokok
oleh sesiapa yang berumur di bawah 18 tahun adalah satu kesalahan.

Lebih separuh berkata mereka tidak dihalang daripada membeli produk


tembakau.

"Lebih daripada satu dalam lima remaja lelaki menghisap rokok. Dan 36.8%
daripada mereka merokok dua hingga lima batang rokok sehari.

Diterbitkan portal Institut Kesihatan Awam (Kementerian Kesihatan) pada 21


Februari lalu, Tecma merupakan kajian kebangsaan pertama untuk
mendapatkan maklumat terkini mengenai tembakau, e-rokok dan penggunaan
vape di kalangan rakyat Malaysia berusia antara 10 dan 19 tahun.
Sejumlah 14,833 pelajar dari 138 sekolah di 15 negeri menyertai tinjauan
tersebut.

Walaupun hampir semua mengetahui bahawa tabiat merokok membahayakan


kesihatan, ia satu keadaan yang perlu diambil perhatian dengan seorang
dalam 10 remaja tidak merokok berkemungkinan mencuba tabiat itu pada
masa hadapan.

Menurut kajian itu, golongan tidak merokok terdedah kepada asap rokok
terutamanya di hentian Rehat dan Rawat (RnR), dalam pengangkutan awam
selain kenderaan ibu bapa dan penjaga.

Mengenai e-rokok dan vape, kajian itu mendapati kebanyakan pelajar


mengetahui mengenai perkara itu dengan seorang daripada lima responden
telah mencubanya.

"Teknologi ini berkembang dengan pesat manakala objektif tetap sama -


untuk meningkatkan ketagihan nikotin di kalangan pengguna."

Tecma mengesyorkan penggunaan peranti tersebut menyalahi undang-


undang bagi pengguna di bawah umur sama ada ia menggandungi nikotin
atau tidak.

Pada bulan lalu, Kementerian Kesihatan mewartakan penambahan kawasan


larangan merokok di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau
(PPKHT) Pindaan 2017.

Di bawah peraturan itu, perbuatan merokok tidak lagi dibenarkan di tapak


perkhemahan, gelanggang permainan, taman permainan dan taman awam,
lokasi popular di kalangan remaja.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata satu
mesyuarat di peringkat kementerian akan diadakan bagi membincangkan
kajian tersebut.
Menyifatkan hasil kajian itu sebagai amat mengejutkan, beliau berkata
sesuatu perlu dilakukan untuk menangani isu tabiat merokok di kalangan
pelajar.

"Kita mesti mempergiatkan kempen anti-merokok di sekolah. Sementara itu


pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan mereka. Kita tidak boleh
membenarkan penjualan rokok kepada pelajar," katanya.

Sementara itu, pakar ketagihan nikotin Universiti Malaya Prof Madya Dr Amer
Siddiq Amer Nordin turut melahirkan rasa bimbang mengenai hasil penemuan
tersebut.

"Ia tidak lagi menjadi rahsia. Walaupun dengan undang-undang baharu untuk
meningkatkan kawasan bebas asap rokok, isu utama adalah
penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata, tabiat merokok di kalangan pelajar merupakan satu penyakit


kronik.

Merokok di kalangan pelajar sekolah bukanlah satu gejala yang baru. Terdapat banyak kajian yang
terperinci yang mengulas sebab-sebab pelajar sekolah, khususnya, di sekolah menengah terlibat
dengan gejala merokok. Dalam beberapa kajian tersebut, faktor yang mempengaruhi seseorang
remaja untuk merokok adalah pengaruh rakan sekolah, ahli keluarga di rumah yang merokok dan
perasaan ingin tahu. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa hampir 50% remaja tingkatan 5
adalah perokok dan hampir 40% pelajar tingkatan 4 terlibat dalam merokok. Ini adalah satu
fenomena yang membimbangkan. Merokok pada usia muda boleh mendatangkan pelbagai masalah
teurtamanya apabila rokok dijadikan sebagai ‘gateway’ kepada dadah yang lebih merbahaya seperti
Ganja, Amphetamine dan Heroin. Kempen Tak Nak Merokok di Malaysia member fokus kepada
golongan dewasa sahaja yang merokok dan tidak kepada remaja yang ingin berhenti merokok.

Di kalangan golongan pelajar sekolah rendah pula, masalah utama yang dialami oleh pelajar pelajar
tersebut adalah perokok pasif dengan kanak-kanak ini terdedah kepada asap rokok yang dihisap
oleh ahli keluarga mereka atau orang dewasa di sekeliling mereka. Dalam satu kajian rentas sebuah
sekolah rendah di Kuala Lumpur, hampir 90% dari pelajar tahun 3 hingga tahun 6 mempunyai ahli
keluarga yang merokok. Di antara mereka, ada yang mempunyai lebih dari seorang ahli keluarga
yang merokok. Ini menyebabkan kanak kanak tadi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk
mendapat penyakit yang berkaitkan dengan rokok terutamanya masalah paru-paru. Golongan
pelajar sekolah rendah ini juga didapati mempunyai kecenderungan untuk merokok kerana
perasaan ingin tahu dengan rokok lebih mudah diperoleh disebabkan adanya ahli keluarga di rumah
yang merokok.
Kajian yang dijalankan di sebuah sekolah rendah mendapati bahawa hampir 20% daripada kanak
kanak sekolah tersebut pernah merokok atau adalah perokok aktif pada umur 11 tahun. Majoriti
pelajar tersebut tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan rokok walaupun rokok tidak
dibenarkan di jual kepada kanak-kanak berumur 18 tahun kebawah. Justeru itu, penguatkuasaan
penjualan rokok kepada golongan kanak-kanak dan remaja sekolah perlulah diperketatkan lagi.
Kanak-kanak sekolah juga kurang diberikan pendedahan tentang bahaya merokok dan akibatnya.
Dalam satu kajian rentas yang dijalankan ke atas 850 orang pelajar sekolah rendah yang berumur 8
tahun di Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan dan Selangor, hanya 50% daripada kanak-kanak tersebut
tahu bahawa merokok adalah tidak sihat, 25% tidak tahu tentang masalah yang dialami oleh
perokok kronik dan hampir 50% tidak tahu tentang apa yang terkandung di dalam rokok. Lebih
membimbangkan ialah hampir 70% daripada kanak-kanak tersebut tidak tahu tentang ketagihan
merokok.

Kita boleh membenteras gejala rokok di kalangan remaja dan kanak-kanak ini dengan adanya
kerjasama di antara ibu bapa, guru sekolah, kakitangan kesihatan, penguatkuasa dengan ‘policy
makers’ dalam kerajaan kita. Ibu bapa harus sedar bahawa mereka bukan sahaja merosakkan diri
dengan merokok, malah, mereka juga membahayakan anak-anak yang bergantung dengan mereka.
Ibu bapa adalah ‘role model’ yang baik untuk anak-anak. Mereka seharusnya mencerapkan nilai-
nilai keagamaan dan nilai-nilai murni yang membentuk susila anak-anak mereka dan bukan
sebaliknya. Guru sekolah harus peka dengan pelajar-pelajar di sekolah dan mengenalpasti remaja
atau kanak-kanak yang bermasaalah dan segera mendapatkan bantuan dari pihak yang berkenaan
terutamanya kakitangan kesihatan sebelum terlambat. Penguatkuasaan harus dipertingkatkan lagi
supaya remaja dan kanak kanak tidak memperoleh rokok dengan mudah dan pihak kerajaan boleh
memainkan peranan dengan meningkatkan lagi cukai ke atas tembakau supaya dapat mengawal
gejala rokok ini. Kempen-kempen tentang bahaya rokok juga harus diperkenalkan di peringkat
sekolah dan dengan pengetahuan yang mencukupi, kanak-kanak juga boleh membantu untuk
menasihati ibu bapa mereka supaya berhenti merokok. Kita boleh membenteras gejala rokok di
kalngan pelajar sekolah rendah sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka masing masing
demi masa depan anak-anak kita.

EMPAT pelajar sekolah antara enam remaja bawah umur yang dikenakan tindakan
kerana merokok di premis makan di Sarawak.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, mereka dikompaun


mengikut Peraturan 13(1) iaitu larangan merokok dan sebagainya kepada Orang
Belum Dewasa (OBD) di bawah umur 18 tahun.

"Empat adalah pelajar sekolah dan mereka dirujuk kepada sekolah masing-masing,
manakala dua lagi lepasan sekolah.

“Mereka dikompaun sebanyak RM50 dan tiada pengurangan kerana kita tidak mahu
berkompromi dengan perokok bawah umur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jamilah berkata, secara keseluruhan sebanyak 174 notis kesalahan dikeluarkan dengan
jumlah nilai kompaun sebanyak RM42,300 dalam tempoh penguatkuasaan penuh
larangan merokok di tempat makan di Sarawak setakat 1 hingga 6 Januari ini.
Katanya, kompaun yang dikeluarkan hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan ke
atas 3,867 premis makan.

Menurutnya daripada 174 notis kesalahan itu, sebanyak 137 notis dikeluarkan di
bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004
(Pindaan 2018) iaitu kesalahan merokok di tempat makan, 26 notis kesalahan di
bawah Peraturan 12(1)(a) iaitu pemilik premis gagal mempamerkan tanda dilarang
merokok dan lima notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu pemilik premis
menyediakan kemudahan merokok.

Justeru katanya, individu atau pemilik premis yang menerima notis kesalahan perlu
menjelaskan kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah yang
terdekat dalam tempoh tidak melebihi dua bulan dari tarikh izin kompaun diterima.

"Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada


RM150 jika pembayaran dijelaskan dalam tempoh satu bulan.

"Manakala bagi kesalahan kedua pula, tiada pengurangan kompaun diberikan dan
bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

"Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang
melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya," katanya.

Beliau menegaskan kegagalan membayar kompaun dalam tempoh melebihi dua bulan,
tindakan mahkamah akan diambil dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga
RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11(1)(d).

Manakala kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a), pemilik premis jika disabit


kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan
dan di bawah Peraturan 12(1)(b) pula, jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga
RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 8:09 PM

Anda mungkin juga menyukai